Tuan Guru selamat jalani pembedahan Angiogram di HUSM pagi tadi
Friday, July 23 @ 09:57:55 MYT
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob dan Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat menjalani pembedahan Angiogram di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian awal pagi tadi.
Kemudian beliau turut berjaya menjalani pembedahan Angioplasty dengan selamat di hospital yang sama.
Pembedahan yang dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi itu tamat kira-kira jam 4.00 pagi tadi adalah bertujuan membuang sekatan yang ada dalam saluran darah yang mengakibatkan beliau diserang sakit jantung.
Pembedahan itu dilakukan selepas beliau dipindahkan dari Hospital Pakar Perdana Kota Bharu ke HUSM.
Menurut Ahli Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa, hingga kini keadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz stabil.
Menurut Husam lagi, sebelum itu, kira-kira jam 11.30 malam tadi, anak Mursyidul Am PAS, Nik Adli yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tiba dari Kem Tahanan Kamunting (Kemta) di Hospital Pakar Perdana untuk melawat ayahnya.
Beliau dibenarkan berbuat demikian setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) semalam.
Kata Husam, bagaimanapun Nik Adli dikawal ketat oleh pihak berkuasa polis dan penjara. Katanya lagi, pertemuan antara Nik Adli dan ayahnya itu berlangsung dalam keadaan yang sangat dramatik serta mengharukan.
Tambahnya, keadaan itu membuatkan denyutan jantung Tuan Guru Nik Abdul Aziz meningkat dari 82 kebiasaannya hingga 95 denyutan seminit.
Semasa pertemuan itu, Tuan Guru sempat berkata sepatah dua kepada Nik Adli yang kemudiannya sempat melawat ibunya yang turut mengalami gangguan kesihatan dan dimasukkan ke wad bersebelahan dengan Tuan Guru.
Nik Adli dibenarkan melawat kedua-dua ibu bapanya selama setengah jam.
Pertemuan ini adalah yang pertama selepas dua tahun lebih Nik Adli ditahan di bawah ISA berikutan dakwaan kerajaan beliau terlibat dengan kumpulan pengganas Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Sejurus selepas itu, beliau (Nik Adli) dihantar semula ke Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kota Bharu, untuk kawalan pihak berkuasa sebelum beliau sekali lagi dibenarkan untuk melawat ayahnya di HUSM pagi ini.
Semalam, kira-kira jam 6.30 pagi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikejarkan ke Hospital Pakar Perdana akibat diserang sakit jantung dan kencing manis. Beliau dilaporkan kepenatan akibat mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Rabu lalu.
Sementara itu, Raja Perempuan Kelantan adalah antara kenamaan yang mencemar duli menziarahi Tuan Guru.
Baginda tiba di hospital tersebut pada jam 3.57 petang semalam.
Keberangkatan baginda turut disambut isteri Timbalan Menteri Besar, Ustazah Siti Zubaidah, isteri-isteri wakil rakyat dan kakitangan hospital.
Selain itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Dato’ Mustafa Ali; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mustapa Mohamed turut menziarahi Tuan Guru.
Hadir sama, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa, Ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Dr Nik Mazian dan yang lain turut berada di sisi Tuan Guru. - mks.