Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 01-12-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika anda taknak bekerja, carilah duit sebanyak-banyaknya; nanti anda tak perlu bekerja
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 57
Ahli: 0
Jumlah: 57




  Yang Masuk Ke Sini
Muslim1987: 4 hari yang lalu


Copy & Paste
Topik: Program Bulan Membaca Kebangsaan (Julai)


Carian Forum

Moderator: Administrator
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Copy & Paste
    »» Program Bulan Membaca Kebangsaan (Julai)

Please Mendaftar To Post


Oleh Program Bulan Membaca Kebangsaan (Julai)

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 28-06-04 09:03


Kita tidak menghargai buku

MUKADIMAH

BUAT kali ke-10, program Bulan Membaca Kebangsaan akan bermula dari 1 hingga 31 Julai ini. Matlamatnya sudah tentu untuk memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat.

Namun dengan kempen sebulan itu, ditambah pula dengan pelbagai program lain dan insentif kerajaan termasuk pelepasan cukai untuk pembelian buku, rakyat Malaysia masih tergolong sebagai malas membaca.

Hanya dua buah buku setahun dibaca secara purata oleh rakyat negara ini, ia memberi gambaran seolah-olah masyarakat tidak pernah menyedari keperluan dan kepentingan membaca.

Utusan Malaysia menyedari tentang desakan untuk mengupas mengenai fenomena ini dan mengenal pasti punca masyarakat menjauhkan diri daripada bahan-bahan bacaan bermaklumat.

Wartawan RAMLI ABDUL KARIM baru-baru ini menemui Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Zawiyah Baba bagi menjengah pandangannya terhadap isu ini.

UTUSAN : Kepada Datuk, bagaimanakah sepatutnya setiap orang melihat kepentingan membaca?

ZAWIYAH: Selain tuntutan agama, membaca merupakan cara paling berkesan untuk menimba ilmu dan menambah pengetahuan. Ia juga untuk hiburan, rekreasi dan untuk menambahkan kemahiran dan meningkatkan profesionalisme.

Jadi semua orang perlu membaca walaupun sebagai suri rumah tangga, tidak boleh berhenti membaca sebaliknya ia mesti berterusan untuk menambah pengetahuan.

Jadi menambah ilmu itu penting kalau kita hendak memajukan diri dalam bidang atau profesion kita. Kita kena ingat bahawa dalam dunia yang penuh dengan persaingan, kita perlu meningkatkan kebolehan.

Kita tidak boleh mendapat segala-gala pengalaman dengan sendirinya tanpa belajar daripada orang lain. Cara yang paling berkesan ialah menambah ilmu dengan membaca. Dengan menimba ilmu dan bermaklumat, kita akan lebih berkeyakinan.

Kita perlukan maklumat sepanjang masa, sama ada sedar atau tidak, walaupun saya sudah bekerja sekian lama saya masih perlu membaca untuk mengetahui perkembangan baru dalam bidang teknologi, pustakawanan dan cara-cara memelihara bahan bacaan.

Kebanyakan orang masih tidak menyedari tentang kepentingan membaca yang saya sebutkan itu.

Tentang petunjuk minat membaca, bagaimana Datuk melihat perkembangannya di negara ini?

ZAWIYAH: Kalau penggunaan bahan bacaan di Perpustakaan Negara Malaysia boleh dijadikan petunjuk, saya lihat ia ada peningkatan. Keahlian bertambah daripada 580,000 pada akhir tahun lalu kepada lebih 620,000 orang data semasa.

Itu statistik di Perpustakaan Negara Malaysia, tetapi perpustakaan lain di seluruh negara peningkatannya tidak seperti diharapkan.

Kita perlu bekerja lebih keras lagi di peringkat negeri dan desa untuk meningkatkan minat membaca.

Seperti yang dibincangkan tadi, walaupun minat itu meningkat, tetapi belum menjadi budaya. Kepada saya, masalahnya lebih tertumpu di luar bandar.

Setakat manakah kesanggupan kita mengeluarkan wang untuk membeli buku?

ZAWIYAH: Kalau buku import, itu mungkin ada masalah sebab harganya yang mahal. Tidak semua orang mampu membelinya, mereka berharap dapat menggunakan perpustakaan untuk membacanya.

Sememangnya orang kita belum ada kesanggupan untuk membeli buku yang mahal semata-mata untuk membaca. Walaupun ada yang mampu tetapi berbanding jumlah penduduk, ia kecil sekali.

Orang kita belum menghargai buku sampai ke tahap membelanjakan wang untuk membeli.

Namun kita juga boleh melihat pembukaan kedai-kedai buku baru, maksudnya peningkatan pelanggan bertambah dari semasa ke semasa.

Kita melalui zaman membaca buku sebagai kemestian dalam tempoh sehingga 15 tahun melalui sistem pendidikan. Tetapi mengapakah kita tidak boleh meneruskan amalan itu?

ZAWIYAH: Ramai yang menyatakan bahawa ini berpunca daripada sistem pendidikan itu sendiri yang berorientasikan peperiksaan. Jadi dorongan membaca ketika itu adalah kerana mahu lulus peperiksaan, bukannya kerana mahu menambah atau menimba ilmu. Semua ini kerana tumpuan kita ialah pencapaian dalam akademik.

Dengan nisbah dua naskhah buku yang dibaca setahun bagi setiap rakyat Malaysia, adakah itu petanda bahawa membaca belum menjadi amalan atau budaya?

ZAWIYAH: Kalau kita ingin menjadikannya budaya, kita perlu mengenali dan menemukan nilai daripada buku supaya ia memupuk minat membaca. Membaca juga mestilah dorongan inisiatif sendiri.

Tetapi kenapa sampai begitu sekali sedangkan ada negara yang rakyatnya membaca 20 buku setahun?

ZAWIYAH: Ada yang membaca sekadar untuk hiburan, sebab itu ramai yang suka novel sekadar untuk hiburan.

Jadi masalahnya ialah bahan yang dibaca, kita perlu berusaha untuk menyedarkan tentang kebijaksanaan memilih bahan bacaan. Kita mesti seimbangkan supaya pembacaan bahan ilmiah tetap diberi keutamaan.

Selain daripada apa yang menjadi kebiasaan dibaca pada setiap hari, kita juga perlu membaca bahan-bahan terutama buku bermaklumat yang boleh memaju dan menambahkan keyakinan diri.

Maksudnya, orang kita tiada kecenderungan untuk membaca lebih daripada sekadar membaca bahan bacaan ringan?

ZAWIYAH: Ya. Dorongan untuk rasa ingin tahu, mengkaji dan menambah pengetahuan masih kurang.

Ataupun kita tidak pernah melihat adanya tarikan daripada buku?

ZAWIYAH: Amalan membaca buku semakin banyak saingan terutama untuk golongan muda. Saingan ini termasuklah daripada penggunaan komputer, Internet dan bahan-bahan digital seperti cakera padat (CD) dan lain-lain. Jadi kalau mereka membaca pun adalah menerusi Internet, bukan lagi buku.

Sebab itu Perpustakaan Negara Malaysia kini giat menggunakan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan dan dalam usaha menggalakkan membaca.

Dalam menggalakkan generasi muda membaca misalnya, program kita disesuaikan dengan kecenderungan mereka terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu.

Kita kena hasilkan banyak maklumat dan bahan bacaan dalam bentuk digital. Itulah respons kita terhadap saingan kepada amalan membaca buku. Kita cuba menjadikan membaca ini sebagai amalan yang menarik.

Adakah Bulan Membaca Kebangsaan sebenarnya gagal kerana setelah 10 tahun, kita belum berjaya menjadikan membaca sebagai budaya masyarakat?

ZAWIYAH: Saya tidak setuju. Kesedaran sudah ada termasuk di kalangan ibu bapa dan masyarakat. Setiap kali kempen diadakan tentang kepentingan membaca, kita nampak kesedaran itu wujud.

Ada orang kata kempen tidak berjaya apabila masyarakat hanya membaca sepanjang bulan membaca apabila tiada usaha yang berterusan. Apakah penjelasan Datuk?

ZAWIYAH: Bulan Membaca bertujuan memberi tumpuan tentang kepentingan membaca. Dalam bulan ini kita mengadakan program sebagai intensif.

Ini tidak bermakna sepanjang tahun tidak dijalankan program galakan membaca, cuma mungkin tidak kempen secara berbesar-besaran kerana itu melibatkan kos dan guna tenaga yang ramai.

Mungkin perlu ada pendekatan baru dalam kempen membaca?

ZAWIYAH: Saya ingin tekankan tentang amalan membaca daripada inisiatif sendiri dan menonjolkan kepentingan membaca menerusi galakan persekitaran.

Sebab itulah dalam Bulan Membaca Kebangsaan tahun ini kita pilih `Membaca Santapan Minda Sekeluarga'.

Ibu bapa perlu memberi dorongan dan mendedahkan tentang keseronokan membaca kepada anak-anak bermula seawal usia. Persekitaran itu akan membantu kanak-kanak menjadikan membaca sebagai keperluan dan budaya apabila mereka membesar.

Kenapakah terlalu sukar untuk menyampaikan kepada orang ramai tentang kepentingan membaca?

ZAWIYAH: Saya berpendapat ini mungkin disebabkan lebih banyak acara untuk hiburan. Hiburan lebih menarik perhatian dan minat orang kita. Malah masa untuk hiburan juga lebih banyak berbanding membaca dan aktiviti lainnya.

Bagi saya, tiada salahnya mereka menonton televisyen rancangan kartun, membaca komik atau berhibur apa cara sekali pun, tetapi jangan lupa memperuntukkan masa untuk membaca. Ada sesetengah keluarga membiarkan televisyen terpasang sepanjang hari tanpa kawalan. Ini sudah bertentangan kalau kita hendak menggalakkan ahli keluarga membaca.

Satu lagi pandangan tentang punca kegagalan kempen membaca ini ialah tiadanya pembabitan serius daripada pemimpin kerajaan sendiri. Apakah komen Datuk?

ZAWIYAH: Saya tidak fikir begitu. Ada menteri-menteri dan menteri besar yang mengambil bahagian dalam kempen ini.

Tetapi kita jarang melihat pemimpin kerajaan termasuk menteri `berkepit' dengan buku apabila bersama rakyat. Maksudnya pemimpin sepatutnya membantu kempen dengan menjadi teladan.

ZAWIYAH: Saya setuju pandangan saudara bahawa menteri-menteri dan pemimpin atasan adalah role model termasuk dalam menggalakkan minat membaca.

Saya percaya kebanyakan pemimpin kerajaan adalah antara orang yang banyak membaca, kalau tidak bagaimana mereka boleh berjaya menjadi pemimpin di peringkat atasan. Tetapi memang betul, selain program yang diaturkan sepanjang Bulan Membaca, para pemimpin kerajaan malah pemimpin di semua peringkat perlu memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan orang ramai membaca.

Saya percaya penghormatan tinggi masyarakat kepada pemimpin-pemimpin mereka mempunyai pengaruh yang besar. Dalam ucapan-ucapan misalnya, kalau boleh diselitkan kepentingan membaca.

Sempena Bulan Membaca Kebangsaan dari 1 hingga 31 Julai ini, apakah harapan Datuk kepada rakyat Malaysia?

ZAWIYAH: Mesej saya mudah. Kepada ibu bapa, luangkanlah masa sekurang-kurangnya 15 minit hingga setengah jam untuk membacakan buku kepada anak-anak atau mendengar mereka membaca.

Selain itu, anak-anak juga akan lebih tertarik membaca jika buku dibeli atau dihadiahkan oleh ibu bapa mereka. Kalau setiap ibu bapa melaksanakannya sepanjang Bulan Membaca ini, insya-Allah ia akan menjadi tabiat.

Sumber: Utusan Online (28/06/04)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 28-06-04 14:28


Kita lebih suka hiburan daripada membaca

Oleh RAMLI ABDUL KARIM

DALAM kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati setiap orang secara purata hanya membaca dua buku setahun. Kajian sama yang dijalankan oleh Frank Small & Associates bagi pihak PNM itu juga menemukan perangkaan cuma 29 peratus yang menggunakan perpustakaan.

Pun begitu, hasil kajian PNM lapan tahun lalu itu sebenarnya sedikit memberangsangkan berbanding penemuan Profesor Atan Long dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1983. Ketika itu beliau mengetuai sekumpulan ahli akademik UPM untuk menjalankan kajian umum mengenai minat masyarakat membaca buku.

Penemuan kajian 21 tahun lalu itu ialah rakyat Malaysia ketika itu secara purata hanya membaca dua halaman buku dalam setahun. Walaupun mungkin kajian oleh PNM pada 1996 itu lebih terkini sebagai rujukan semasa namun satu lagi penemuan Profesor Atan ini mungkin masih relevan.

Kajian beliau itu mendapati 59 peratus rakyat Malaysia memberi alasan tidak ada masa apabila ditanya kenapa tidak membaca buku. Sebanyak 11 peratus responden pula memberitahu kerja lain lebih penting daripada membaca buku.

Hasil kajian PNM dan Profesor Atan memang memeranjatkan, namun itulah realitinya. Masyarakat di Malaysia masih belum melihat kepentingan buku sebagai sumber ilmu untuk memajukan diri dan juga menambahkan pengetahuan.

Sama ada sedar atau tidak, ia juga menjadi petunjuk bahawa masyarakat kita sebenarnya tidak gemar belajar daripada pengalaman orang lain menerusi pembacaan buku. Sebaliknya mereka gemar menjadi lebih selesa dengan pengalaman jatuh bangun sendiri daripada meluangkan sedikit masa untuk mengutip pengajaran daripada kegagalan atau meneladani kejayaan orang lain yang tertulis dalam buku-buku.

Walaupun buku tidak menjadi pilihan utama dan rakan hidup, namun tidak dinafikan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya membaca pada setiap hari.

Ada yang tidak ketinggalan membaca akhbar, tabloid, majalah hiburan, novel cinta, buku kecil rahsia `kebahagiaan' suami isteri atau cerita polong serta hantu raya dan juga buku-buku picisan termasuk yang mengadu-domba pihak-pihak tertentu.

Ramai juga daripada kita berminat membaca `prospektus' untuk menjadi cepat kaya ataupun membaca surat-surat layang bercorak politik. Tanpa perlu disembunyikan, orang kita gemar membaca buku atau tulisan-tulisan yang berunsurkan seks atau keghairahan naluri. Kalau membaca sumber begitu, nampak tinggi peningkatannya.

Itulah wajah sebenar kita. Ia cerminan sikap dan penghargaan kita terhadap ilmu. Majalah dan buku-buku ilmiah tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat, lebih ketara berlaku terhadap penerbitan berbahasa Melayu.

Terbaru, percubaan Kumpulan Utusan untuk memupuk budaya membaca bahan-bahan ilmiah menerusi majalah berita mingguan MASSA sembilan tahun lalu berakhir dengan kematiannya, dua minggu lalu.

Ramai yang terkejut dengan kematiannya walaupun tiada apa yang menggemparkan atas pemberhentian penerbitan MASSA. Ini kerana kita semua dari dulu bersetuju bahawa sumber-sumber ilmiah kurang diminati di Malaysia. Dan yang penting, sekali lagi diulangi, fenomena itu hanya berlaku kepada sumber berbahasa Melayu.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman adalah antara orang yang tidak terkejut dengan berkuburnya majalah MASSA.

Katanya, bahan bacaan berbahasa Melayu sejak sekian lama dicicirkan oleh bangsanya sendiri dan itu adalah manifestasi daripada jiwa kecil orang Melayu sehingga membiarkan kematian MASSA.

``Bagaimana hendak mengatakan kita berjiwa besar kerana ketika orang lain membaca empat buku seminggu, kita hanya dua naskhah setahun. Itu termasuk novel atau buku picisan dan majalah hiburan.

``Tidak hairanlah kenapa MASSA kena tutup, jurnal Pemikir pula jadi tanda tanya. Anak kita tidak dididik mencari sumber ilmu sedangkan kita mahu membina tamadun yang mana ia mestilah berteraskan ilmu,'' katanya. (Wawancara Di Sebalik Nama di muka 35)

Ketua Pengarah PNM, Datuk Zawiyah Baba yang ditemui penulis baru-baru ini pula terkejut kerana tiba-tiba langganan majalah MASSA ke rumahnya terhenti.

``Saya ingat ada masalah lambat sampai tetapi kemudian barulah tahu ia diberhentikan. Saya sedih sebab banyak yang menarik untuk dibaca di dalam MASSA, saya enjoy baca MASSA, ia banyak maklumat.

``Saya sebenarnya boleh membaca MASSA di pejabat (perpustakaan) tetapi kerana kandungannya yang menarik saya langgan sendiri di rumah supaya lebih puas membacanya,'' katanya.

Tentang kurangnya minat masyarakat membaca sumber ilmiah sama ada buku, majalah atau jurnal, Zawiyah memberitahu puncanya adalah kerana tabiat yang lebih sukakan hiburan daripada ilmu.

``Ada yang membaca buku pun sekadar mencari hiburan, sama ada ia bahan bacaan hiburan seperti majalah-majalah atau mungkin buku rancangan televisyen.

``Buku-buku dan sumber bacaan ilmiah sebenarnya berhadapan dengan saingan hebat daripada apa saja yang menjadi medium hiburan kerana ia lebih mudah dan murah didapati malah dengan pelbagai cara,'' katanya.

Menyedari bahawa masyarakat masih tiada kesanggupan untuk mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membeli buku-buku ilmiah, Zawiyah menyarankan supaya orang ramai menggunakan perpustakaan untuk mendapatkan pinjaman buku.

Menyertai 620,000 orang ahli PNM sehingga kini, tentu banyak kemudahannya. Namun sejarah rakyat Malaysia ialah mereka juga selalu tidak menghargai sumber pinjaman atau pemberian percuma terutama daripada kerajaan.

Sumber: Utusan Online (27/06/04)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 29-06-04 10:01


Masalah siswa harapkan nota suapan

TERUSIK hati saya apabila membaca laporan akhbar yang menyatakan hanya dua buah buku setahun dibaca secara purata oleh rakyat negara ini sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia bukanlah orang yang sentiasa menimba ilmu.

Setelah genap 10 kali Bulan Membaca Kebangsaan diadakan, ditambah dengan pelbagai program lain dan insentif kerajaan termasuk pelepasan cukai untuk pembelian buku, purata tersebut masih tidak meningkat.

Teringat sewaktu berusia lapan tahun, ibu melanggankan saya akhbar Bintang Kecil yang berharga 40 sen senaskhah pada masa itu. Saya tidak pernah masuk kelas di sekolah setiap pagi tanpa terlebih dahulu membaca akhbar kecil tersebut. Saya sentiasa mengulang-ulang membacanya sehingga naskhah yang seterusnya sampai ke rumah. Saya melarang sama sekali sesiapa pun menggunakan akhbar saya sebagai alas tempat duduk mahupun membalut sesuatu.

Setelah menginjak usia 10 tahun, saya mendapati akhbar kecil itu tidak lagi sesuai untuk saya. Saya meminta ibu tambah koleksi majalah di rumah seperti Dewan Siswa dan Dewan Pelajar. Selain itu, saya juga sudah pandai membaca novel ilmiah dan mengulas intipatinya bersama ibu.

Setelah memasuki universiti saya dapat rasakan bahawa saya makin rajin membaca buku dan majalah kerana apa yang saya inginkan ada dalam perpustakaan universiti. Malah saya boleh memilikinya dengan sementara hanya melalui pinjaman yang mengikut prosedur. Saya tidak lagi bising meminta wang dengan ibu untuk membeli buku kerana semuanya saya dapat dengan percuma.

Simpanan

Sekarang saya adalah seorang pensyarah universiti, masih gemar membaca dan kadangkala mengulangi semula apa yang saya baca 20 tahun lalu kerana semua buku-buku dan majalah saya masih baik dalam simpanan. Setiap kali bermulanya pesta buku, saya akan membeli buku untuk dibaca selama setahun. Saya akan pastikan buku tahun ini akan dihabiskan sebelum pesta buku akan datang kerana saya akan menambah koleksi baru dan tiada masa untuk diagihkan kepada buku lama.

Saya merasa sungguh terkilan kiranya rakyat Malaysia tidak mengamalkan budaya membaca. Selain tuntutan agama, membaca adalah satu cara yang paling baik untuk menambah pengetahuan.

Untuk menjadikan membaca sebagai budaya, kerajaan tidak perlu berhabisan, tetapi rakyat yang harus sedar diri tentang peri pentingnya membaca untuk menjadi insan yang berjaya. Tiada siapa pun yang berjaya di dunia ini tanpa membudayakan pembacaan kerana kejayaan tidak hadir tanpa ilmu yang dikendong! Waima ingin berjaya menjadi juara dalam Roda Impian, Who Wants To Be A Millionare sekalipun, bacaan adalah pemangkin.

Rakyat Malaysia juga tidak harus membiarkan ilmu mengejar kita minta diraih, kerana itu menyebabkan kita jauh ketinggalan, tentunya tidak sejajar dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan Malaysia pusat pendidikan terkemuka di dunia.

Datuk Zawiyah Baba, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara ada menjelaskan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh meneruskan amalan membaca yang dipupuk sejak zaman persekolahan kerana sistem pendidikan sekolah-sekolah di Malaysia berorientasikan peperiksaan. Jadi amalan membaca adalah `wajib' disebabkan ingin lulus peperiksaan, bukan didorong oleh nilai daripada pembacaan itu sendiri yang menjadikan kita sentiasa ingin menambah ilmu pengetahuan.

Memang benar peperiksaan adalah penting untuk menilai prestasi pelajar, tetapi mungkin juga galakan untuk membaca yang tidak banyak daripada guru-guru menjadikan pelajar sekadar cukup dengan apa yang ada.

Kronik


Pengalaman mengajar di institusi pengajian tinggi awam, saya dapat meramalkan bahawa pelajar Malaysia semakin kronik dalam mengharapkan `nota suapan'. Mereka seolah-olah ternganga dengan mulut mendongak ke langit minta disuap. Pensyarah yang tidak memberi nota untuk disalin di dalam kelas dianggap tidak mempunyai sistem pengajaran yang menarik dan mereka tentunya bukanlah pensyarah favourite.

Pelajar tidak berinisiatif untuk membaca buku di perpustakaan, membuat nota sendiri hasil daripada pembacaan yang banyak ataupun membeli buku rujukan yang tidak disuruh oleh pensyarah mereka. Sebaliknya mereka mampu membeli telefon bimbit yang beratus-ratus harganya dan sentiasa menukarnya mengikut trend semasa.

Selain itu ada sesetengah ibu bapa membiarkan televisyen di dalam rumah sentiasa terpasang untuk ditonton anak-anak. Mereka tidak tahu menjadualkan anak-anak dengan disiplin yang sepatutnya sedangkan anak-anak adalah pelajar. Ada juga yang menyuruh anak-anak membaca dalam masa yang sama mereka menonton televisyen dengan ghairah. Terbiasa dengan fenomena ini membuatkan anak-anak tidak nampak bahawa membaca adalah juga santapan harian yang tidak boleh ditinggalkan di waktu pagi, tengah hari dan malam selain daripada menonton televisyen.

Bagaimanapun, melihat kepada senario kedai-kedai buku yang agak meriah terutama hari minggu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hati saya sedikit terubat. Fakta juga mengatakan bahawa kedai-kedai buku makin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Keahlian Perpustakaan Negara Malaysia bertambah daripada 580,000 pada akhir tahun lalu kepada 620,000 sehingga hari ini menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. Tambahan pula terlalu banyak sumbangan sosial yang menjebakkan rakyat Malaysia kepada kurangnya minat membaca. Rancangan-rancangan televisyen berbentuk realiti yang mendorong rakyat Malaysia menghabiskan masa di hadapan televisyen setiap hari juga menyebabkan kurangnya waktu diagihkan untuk membaca.

Apa yang menarik, masih ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang menjadikan membaca sebagai santapan minda sekeluarga cuma yang membezakan mereka ialah mereka membaca melalui Internet.

Perpustakaan Negara Malaysia juga sedang giat menggunakan teknologi dalam usaha menggalakkan membaca. Pembacaan dalam bentuk digital adalah jauh lebih menarik oleh sebab itu usaha menjadikan rakyat Malaysia sebagai ulat buku perlu juga ditinjau dengan penuh kreatif.

- IDA SUHAILA MOHD. NAJIB, Gombak, Selangor.

Sumber: Utusan Online (29/06/04)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 12-07-04 10:06


Perpustakaan daerah kurang aktif galak membaca

Oleh Pauzi Mohd Isa

BULAN Julai 2004 telah diisytiharkan sebagai Bulan Membaca Kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun pelbagai aktiviti diadakan di Perpustakaan Negara sepanjang bulan ini, namun saya melihat usaha ini tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bersepadu.

Seharusnya kempen ini digerakkan secara agresif ke seluruh negeri melalui perpustakaan negeri dan daerah masing-masing, termasuk di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi serta ke jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta.

Paling ketara adalah aspek promosi yang masih hambar dan tidak bersemangat dalam usaha memupuk minat membaca di kalangan rakyat kita yang masih lagi menyedihkan.

Pada hemat saya, kementerian patut menggunakan saluran media sedia ada, terutama televisyen untuk membuat hebahan tentang kempen bulan membaca ini sebagaimana hebatnya promosi bagi program hiburan seperti Akademi Fantasia ataupun karnival Sure Heboh sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan rasa muak penonton.

Bagi promosi kempen Bulan Membaca, alahai cukup menyedihkan. Mengapakah harus terjadi sebegini? Jika kempen yang dijalankan hanya sekadar untuk melepaskan batuk di tangga, adalah lebih baik tidak perlu diadakan kerana matlamat sebenar itu tidak sampai kepada khalayak masyarakat secara total dan menyeluruh terutama masyarakat di luar bandar. Ini bagi menyemai tabiat membaca di kalangan rakyat.

Minat

Tambah menyedihkan apabila perpustakaan daerah yang ada di setiap negeri seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Beberapa perpustakaan yang ada di setiap daerah sesetengahnya `membunuh' minat membaca rakyat.

Contohnya Perpustakaan Awam Tapah acap kalinya menyusahkan masyarakat sekitar apabila selalunya ditutup walaupun pada hari bekerja. Ini kerap terjadi kepada saya sendiri apabila hendak berkunjung ke gedung ilmu itu bersama anak-anak.

Jika disorot, gaya hidup masyarakat hari ini, terutama golongan muda dilihat tidak langsung menjurus kepada budaya membaca untuk dijadikan sebagai amalan. Melainkan mereka terbuai dengan pelbagai gejala negatif akibat terpengaruh daripada pelbagai cabang sumber seperti televisyen, Internet, video cakera padat (VCD) dan sebagainya.

Hal ini demikian kerana usaha memupuk budaya membaca di kalangan penduduk negara ini adalah agenda negara bagi memperkayakan ilmu, selain mencerdaskan minda pengamalnya.

Kajian yang dijalankan menunjukkan rakyat negara ini hanya membaca dua buah buku setahun berbanding negara maju. Justeru, kempen kesedaran membaca perlu disemai sesungguh hati agar amalan ini dapat dibudayakan sebagai tugas utama.

Kini, tabiat membaca lazimnya hanyalah semata-mata untuk keperluan peperiksaan atau menyiapkan sesuatu tugasan sahaja.

Oleh itu, bagi memupuk kesedaran budaya membaca yang tinggi, pelbagai usaha boleh dilakukan oleh pelbagai pihak. Kempen gerakan membaca yang dianjurkan oleh perpustakaan-perpustakaan dan institusi-institusi tertentu seperti ini perlu disemarakkan, malah diperluaskan ke jabatan lain, termasuk di kilang-kilang perindustrian.

Kemudahan


Sehubungan itu, pihak majikan boleh menyediakan kemudahan seperti sudut pembacaan, perpustakaan mini, memberi pengiktirafan kepada kakitangan yang gemar membaca dan sebagainya.

Melalui cara ini, secara tidak langsung dapat mengasah minda pekerja, sekali gus membantu mereka mengeluarkan pendapat dan idea yang bernas kepada pihak majikan yang diperoleh melalui aktiviti pembacaan itu.

Guru-guru di sekolah juga boleh memainkan peranan yang sama agar dapat membimbing dan mendidik pelajar mereka supaya dapat mengamalkan disiplin bacaan yang betul di kalangan pelajar di sekolah.

Meskipun begitu, saya melihat masyarakat hari ini seperti sudah menyerah kalah kepada ledakan gelombang sains dan teknologi yang semakin canggih dalam meniti arus globalisasi yang semakin mencabar.

Rata-rata ibu bapa hari ini dilihat terlalu mudah tunduk kepada desakan anak-anak dengan sanggup membeli pelbagai mainan canggih seperti permainan video playstation daripada membeli buku bacaan bagi mengisi masa senggang anak-anak.

Inilah senario yang sedang melanda generasi hari ini sehinggakan tabiat membaca dipinggirkan dek budaya hedonistik ini.

Sebagai rumusan, bagi mencapai matlamat budaya membaca sebagaimana yang wujud di negara maju, semua pihak perlu memberi komitmen padu serta bersungguh-sungguh untuk mencorakkan pemikiran rakyat hari ini dengan budaya ilmu.

Sumber: Utusan Online (12/07/04)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

sasician
WARGA SETIA
Menyertai: 04.05.2004
Ahli No: 8783
Posting: 453
Dari: Melaka

Melaka   avatar


posticon Posting pada: 12-07-04 10:27



Skrg ni kesedaran utk baca mmg kurang,bayangkanlah purata rakyta M'sia membaca 2 buku setahun.Ya Allah teruknya.
Dengan membacalah ilmu kita akan makin bertambah dan akan kita ketahui bahawa diri kita masih lagi kekurangan ttg ilmu.
dengan membaca juga fikiran kita akan jadi lebih matang.Kalu membaca pun tak jadi budaya,mcm manalah nk jadi negara maju,dan tak mustahil Wawasan 2020 pun tak kan menjadi kenyataan.
Kadang2 kempen pun sekadar tinggal kempen je.
Tak taulah nape rakyat M'sia terutama remaja lebih suka membaca majalah hiburan yg byk menyajikan perkara dosa.Entahlah...diaorg ni,nak belanjakan duit utk buku ilmiah terasa mcm membazir je.
Majalah Massa dah nak berhentikan penerbitannya,majalah Ilmiah pula tiada sambutan,laku lebih kurang 800 naskhah je dlm setiap 3 bulan sekali penerbitannya.
Sedaralah waahai rakan2 sekalian...

Bookmark and Share

    


  Member Information For sasicianProfil   Hantar PM kepada sasician   Pergi ke sasician's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 26-07-04 13:29


Punca orang Malaysia kurang membaca

Oleh Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)

Minggu ini akan berakhirnya Bulan Membaca Kebangsaan bagi tahun ini. Penulis percaya kempen bagi menggalakkan membaca yang dilakukan sepanjang bulan ini tidak memberi kesan bererti kepada masyarakat negara ini. Pastinya tahap membaca rakyat ini akan berterusan.

Tahun depan, hampir pasti kempen seumpama ini akan terus dijalankan.

Persoalan mengapakah rakyat Malaysia kurang minat membaca? Jawapan ringkas yang penulis boleh beri ialah rakyat Malaysia kurang minat pada ilmu, fikiran dan kreativiti.

Andai kata rakyat Malaysia benar-benar berminat terhadap tiga perkara ini, maka sudah tentu buku dan bahan bacaan lain akan menjadi sasaran mereka. Ini kerana dalam banyak-banyak media, hanya bahan bacaan yang memberikan skop paling luas untuk mendapatkan ilmu, fikiran dan kreativiti.

Tetapi rakyat Malaysia secara umumnya kurang berminat terhadap perkara-perkara ini. Ilmu yang dicari hanya sekadar untuk lulus periksa, mendapatkan pekerjaan dan untuk melakukan amal ibadat.

Berfikir pula adalah sekadar yang selaras dengan cara hidup turun-temurun. Sebarang idea baru tidak dapat ditimbangkan. Kreativiti juga sukar bertapak kerana lebih mudah untuk meniru daripada mencipta yang baru.

Tanpa dorongan untuk mendapatkan ilmu, mempelbagaikan fikiran dan meneroka kreativiti, maka dorongan untuk menatap buku juga kurang.

Justeru, untuk menggalakkan mereka membaca, usaha yang selari dengannya adalah juga dengan menggalakkan minat terhadap ilmu, berfikir dan mereka cipta.

Tetapi apakah caranya untuk menggalakkan perkara-perkara ini? Jawapannya ialah mewujudkan budaya rasa ingin tahu, gemar dan berani mempersoalkan idea atau fakta di samping tidak sensitif jika disanggah atau dibantah. Bagi menggalakkan kreativiti pula, suasana mencuba perkara-perkara baru wajar digalakkan di samping sentiasa berfikiran positif terhadap sesuatu cadangan.

Maka perubahan budaya ini akan membawa kepada minat membaca yang lebih tinggi.

Ketinggalan

Dalam pada itu, infrastruktur bagi menghidupkan budaya membaca perlu tersedia, sesuatu yang negara ini amat ketinggalan. Sememangnya tidak ramai di kalangan rakyat Malaysia yang minat membaca.

Akibat tidak ramainya pembaca, maka sudah tentu tidak muncul banyak kemudahan bagi pembaca. Ini kerana bekalan akan mengikut permintaan.

Maka buku tidak banyak diterbit dan dijual. Kedai buku tidak banyak wujud. Perpustakaan juga tidak banyak didirikan. Kalau ada pun, tidak dikendalikan dengan baik kerana sambutan kurang di samping pengendalinya tidak mempunyai minat untuk menggalakkan pembacaan.

Bagaimanapun, terdapat segolongan di kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai minat membaca. Kebanyakannya mempunyai minat itu secara naluri sendiri yang dipupuk daripada kanak-kanak. Orang inilah yang bertumpu ke perpustakaan dan kedai buku yang tidak banyak adanya di negara ini.

Malangnya oleh kerana infrastruktur bagi golongan pembaca ini amat kurang, maka ada antaranya yang kehilangan minat membacanya kerana kekurangan kemudahan.

Sebagai contoh, seorang anak kecil yang minat membaca tetapi oleh kerana bahan-bahan bacaan tidak mencukupi di rumah dan di sekolah, kedai buku juga tidak banyak di bandar kecilnya, maka minatnya terpupus dan apabila dia dewasa kelak, dorongan untuk membacanya hilang begitu saja.

Maka negara telah kehilangan segelintir pembaca akibat kekurangan kemudahan.

Justeru, pemupukan sifat membaca ini harus ditingkat daripada kanak-kanak hingga dewasa dan berterusan sampai menjadi warga emas. Minat membaca wajar berbentuk sepanjang hayat. Untuk mempertahankan minat membaca ini maka diperlukan kemudahan yang dapat membekal buku sepanjang hayat bagi seseorang.

Bagi ibu bapa yang mempunyai wang, maka mudahlah mereka meneruskan pemupukan minat membaca ini melalui pembelian buku. Sekali gus ia akan menggalakkan percambahan kedai buku, penerbit, editor dan penulis.

Tetapi bagi mereka yang kurang memiliki wang, hanya perpustakaan dapat menggalakkan pembacaan mereka. Malangnya di negara ini perpustakaan tidak memainkan peranan sepenuhnya. Perpustakaan awam terletak di bawah kuasa negeri-negeri. Apa yang diutamakan ialah pembinaan bangunan cantik tetapi buku-buku yang disediakan jauh daripada memuaskan.

Kunjungan

Cubalah lawati perpustakaan-perpustakaan negeri, pastinya ia hanya menjadi tempat kunjungan budak-budak sekolah.

Dua perkara yang lebih penting daripada bangunan ialah buku dan pustakawan. Buku hendaklah sentiasa terbaru dan pustakawan mestilah mereka yang mempunyai kecintaan tinggi terhadap buku dan ilmu.

Buku pula mestilah boleh dipinjam dan bilangannya mestilah banyak dan mudah untuk dipinjam oleh pembaca. Perpustakaan bukannya untuk menyimpan buku. Ia adalah untuk memberi pinjam buku.

Oleh kerana negeri-negeri tidak mampu menyediakan perpustakaan yang mencukupi maka tidak semua daerah dan bandar-bandar kecil mempunyai perpustakaan. Sedangkan apa yang patut ada ialah perpustakaan di setiap taman dan desa.

Di Kuala Lumpur, terdapat dua perpustakaan utama iaitu Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Kuala Lumpur yang baru dibina dan tersergam indah di Dataran Merdeka.

Perpustakaan Negara popular di kalangan warga kota tetapi bahagian pinjamannya terlalu kecil dan bukunya tidak banyak yang terkini.

Nilai sebuah kota terletak pada kualiti perpustakaan awamnya. Kuala Lumpur seperti bandar-bandar raya negara maju yang lain perlu mempunyai banyak perpustakaan awam di setiap bahagian kota. Barulah warganya tergerak untuk meminjam dan membaca buku.

Di Putrajaya belum ada perpustakaan awam.

Sementara itu, di sekolah-sekolah perpustakaan yang pernah satu masa dikenali sebagai kutubkhanah sudah tidak wujud. Yang ada ialah pusat sumber. Pustakawan sekolah dikenali sebagai pengawas pusat sumber. Apresiasi kepada buku sudah hilang dengan perubahan konsep ini. Maka akibatnya yang ada di pusat sumber sekolah adalah lebih banyak buku-buku untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Perubahan mesti dilakukan demi masa depan negara.

Sumber: Utusan Online (26/07/04)

p/s: rakyat Malaysia lebih suka membaca majalah hiburan...

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 27-07-04 09:51


Saranan karnival jualan mega buku sekali setahun

Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI

KUALA LUMPUR 26 Julai - Gabungan lima kementerian yang menyertai Kempen Bulan Membaca Kebangsaan menyarankan supaya satu karnival jualan mega buku dianjurkan sekali setiap tahun.

Lima kementerian yang bergabung tersebut ialah Kementerian Pelajaran; Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Penerangan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd. Khir berkata, cadangan karnival jualan mega itu bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai pilihan buku dengan potongan harga dan tawaran yang menarik.

Menurutnya, karnival tersebut haruslah diadakan sempena Kempen Bulan Membaca Kebangsaan yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun selama sebulan.

``Penerbit dan kedai buku seluruh negara diwajibkan menawarkan potongan harga pada musim kempen tersebut,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena mesyuarat gabungan usaha lima kementerian untuk Kempen Bulan Membaca Kebangsaan.

Menurut Mahadzir, karnival tersebut juga bertujuan mempertingkatkan peranan institusi keluarga dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.

Tambahnya, penganjuran karnival itu turut memberi rangsangan kepada ekonomi negara berikutan peningkatan pembelian buku import dan tempatan di kalangan masyarakat.

``Saya berharap karnival itu dapat dimasukkan oleh Kementerian Pelancongan dalam acara tahunan kalendar pelancongan negara,'' jelas beliau.

Sementara itu katanya, mesyuarat tersebut turut mencadangkan supaya potongan rebat cukai pendapatan bagi pembelian buku dinaikkan daripada RM500 ke RM1,000.

Peningkatan tersebut penting terutamanya bagi golongan profesional yang banyak membeli buku yang berharga mahal.

``Selain itu, setiap kawasan perumahan perlu mewujudkan premis untuk dijadikan perpustakaan dan dikendalikan oleh sukarelawan yang terdiri daripada pesara-pesara kerajaan,'' jelas beliau.

Dalam pada itu, Mahadzir turut menyarankan agar penerbit dan pengedar buku menurunkan harga buku import dan tempatan yang dirasakan masih tinggi bagi menggalakkan orang ramai membeli buku.

Beliau juga turut berharap pada masa akan datang, semua kementerian dapat bergabung dalam kempen membaca untuk memperluaskan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan membaca sebagai kunci ilmu pengetahuan yang tidak terbatas.

Sumber: Utusan Online (27/07/04)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Engku_Salina

Menyertai: 13.05.2003
Ahli No: 5
Posting: 462
Dari: Terengganu - KL

Terengganu   avatar


posticon Posting pada: 06-09-04 15:52


Menilai semula kekurangan Dasar Buku Negara

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)

DASAR Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada 9 November 1988 tidak banyak menampakkan kesan dalam mencapai dua matlamat utamanya iaitu meningkatkan profesionalisme dalam industri buku serta mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca dan bermaklumat.

Bermakna, ada agenda baru yang perlu direnungkan oleh masyarakat negara ini. Bagaimana mengubah senario yang tidak begitu memuaskan hati iaitu kadar celik huruf mencecah 93 peratus tetapi kadar minat membaca buku berada pada tahap mengecewakan.

Keadaan yang sepatutnya berlaku sesuai dengan Dasar Pandang Ke Timur misalnya meniru budaya Jepun - kadar celik huruf meningkat diikuti dengan kadar minat membaca yang tinggi.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah terbalik, dan inilah dilema yang perlu dinilai semula dalam Dasar Buku Negara.

Fenomena yang menghambat Dasar Buku Negara kini ialah apabila minat membaca di kalangan masyarakat yang rendah menyebabkan penyakitnya berjangkit kepada jumlah penerbitan buku yang rendah.

Yang banyak dipamerkan di kedai-kedai buku hanya buku akademik. Tidak banyak penerbitan buku umum yang menarik dan boleh dibanggakan.

Memang langkah memperkenalkan program Nilam di peringkat sekolah rendah bagi meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar adalah baik. Namun kita sendiri boleh mengesan budaya minat membaca ini terpadam apabila pelajar tamat mengikuti sesuatu peperiksaan baik peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

Dasar Buku Negara yang berusia 16 tahun itu sebenarnya boleh dianggap lengkap kerana ia menggabungkan pandangan pihak Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), peminat buku, penulis buku, penterjemah buku, penerbit buku, editor, pencetak, pengedar buku, kedai buku, kelab buku dan perpustakaan.

Menurut pandangan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, dalam Dasar Buku Negara, matlamat kerajaan adalah untuk memperkayakan pemikiran rakyat, menjadikan buku sebagai sumber nikmat rakyat, menjadikan masyarakat negara ini 100 peratus boleh membaca serta mendidik dan membangunkan pemikiran generasi muda mengikut perkembangan ilmu.

Dalam melaksanakan tugas ini jelas Sanusi yang mengilhamkan kewujudan Kampung Buku Langkawi, DBP menjadi pelaksana program kerajaan, perpustakaan tempat kemudahan membaca, manakala penulis akan puas hati jika karyanya boleh memberi pendapatan lumayan. Pihak swasta yang mempunyai peranan dalam dasar ini semestinya lebih kepada kepentingan komersial.

Berminat

``Golongan yang paling ketara tidak diwakili dalam usaha menggubal dasar ini ialah pihak yang tidak berminat membaca.

``Oleh kerana kepentingan golongan ini tidak diberi perhatian yang bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan dasar ini maka usaha menjadikan rakyat Malaysia 100 peratus boleh membaca pada tahun 2000 tidak tercapai,'' kata Sanusi yang banyak mencetuskan idea kreatif ketika dalam kerajaan yang mungkin ilham daripada banyak membaca.

Namun kita tidak usah berasa takut atau malu mengatakan apa yang dihasratkan dalam Dasar Buku Negara itu gagal dilaksanakan. Jadi bagaimana nasib dasar ini dalam mengharungi zaman buku elektronik dan kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) yang sedang ditekankan oleh kerajaan. Apakah ia akan hanya tinggal nama sahaja seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan?

Dalam menilai semula Dasar Buku Negara ini Sanusi secara analogi berpendapat kalau pegawai pelaksana diberi dua pilihan, mereka akan memilih untuk membuat kerja yang senang.

Dalam konteks dasar buku negara, dua tugas atau matlamat utamanya ialah menerbitkan buku dan menggalakkan minat membaca.

Oleh kerana pelaksana dasar itu diberi pilihan maka yang nampak berjaya ialah penerbitan buku. Tetapi dalam penerbitan buku yang direbutkan oleh kebanyakan orang ialah menghasilkan buku untuk keperluan kanak-kanak dan pelajar terutama buku teks sekolah. Jika buku jenis ini yang banyak di pasaran, apakah bahan bacaan yang dapat memenuhi selera masyarakat umum selain majalah?

Seperti lazimnya masalah yang dihadapi dalam menggalakkan minat membaca akan diserahkan kepada kerajaan. Oleh itu Seminar Penilaian Semula Dasar Buku Negara pada 3 dan 4 September lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka bertujuan mencari punca masalah orang tidak gemar membaca.

Menurut Sanusi usaha Dasar Buku Negara yang belum berjaya sepenuhnya ialah memupuk budaya membaca, walaupun tahun 2000 ditetapkan sebagai Tahun Buta Huruf Sifar atau kemampuan membaca masyarakat mencapai matlamat 100 peratus.

Buku dianggap penting sebagai alat pendidikan masyarakat, sumber pendidikan sepanjang hayat, alat memperkayakan fikiran rakyat dan memajukan keadaan budaya dan moral kita.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad, jika negara hendak menjadikan buku sebagai alat pembangunan manusia dari segi sumber kemajuan moral, fikiran, sosial dan budaya bangsa dan negara, dan tidak hanya sebagai makhluk ekonomi, maka budaya buku harus dikembangkan dan dijadikan komponen penting dalam dasar, budaya dan perancangan pembangunan negara.

``Masalah budaya membaca misalnya, tidak lagi berkaitan dengan pengeluaran penerbitan atau daya beli masyarakat semata-mata tetapi berkait dengan setakat manakah pembangunan negara memberikan perhatian yang komited terhadap kemajuan buku itu. Bukan semata-mata sebagai komoditi ekonomi dan alat pendidikan formal tetapi lebih penting sebagai komoditi budaya negara,'' jelas Hassan .

Ringkasnya, buku hendaklah diberi tempat atau harga yang ketara dalam dasar pembangunan negara.

Dalam hal ini, kita telah saksikan apa yang terjadi pada buku dan ilmu di luar sistem formal pendidikan kita iaitu nasib buku dalam masyarakat. Tidak banyak pihak yang berminat pada buku. Buku dicari bila diperlukan.

Dalam buku kuning Dasar Buku Negara yang diterbit pada 1992 ada dicadangkan sebuah badan profesional yang khusus menumpukan perhatian kepada pembangunan buku negara.

``Saya cadangkan supaya badan itu ditubuhkan segera. Organisasi pembangunan buku ini harus mempunyai taraf sebagai agensi pusat,'' kata Hassan yang nampaknya menggesa agensi itu ditubuh di luar kuasa Kementerian Pelajaran.

Bekas Ketua Pengarah DBP itu juga melontarkan idea apa yang perlu dikaji semula tentang Dasar Buku Negara. Antaranya kaedah yang digunakan untuk mengukur kadar minat membaca dan menentukan tanda aras kita sendiri tentang tahap kemajuan buku di negara ini sesuai dengan keadaan negara kita yang pelbagai etnik, budaya dan bahasa. Bukan mengikut pandangan pakar Barat dalam menentukan tahap minat membaca sesebuah negara.

Apa pun kekurangan dan kelemahan dalam melaksanakan matlamat Dasar Buku Negara selama 16 tahun sebelum ini perlu diperbetulkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak, kita sekadar menyahut untuk membanyakkan koleksi dasar negara.

Sumber: Utusan Online (06/09/2004)

-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat

Bookmark and Share

    


  Member Information For Engku_SalinaProfil   Hantar PM kepada Engku_Salina   Pergi ke Engku_Salina's Website   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.10246 saat. Lajunya....