Mengapa kami derma darah? Oleh Najibah Hassan
BARANGKALI, jika tidak terlibat dalam satu nahas kemalangan jalan raya empat tahun lalu, mungkin pada hari ini Muhammad Isa Sulaiman tidak akan tampil untuk menderma darah.
Tragedi menyayat hati yang berlaku sehari sebelum sambutan Aidilfitri itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada anak kelahiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur ini.
Meskipun kehilangan dua ahli keluarganya, persepsi pendidik di salah sebuah sekolah rendah di Cheras ini terhadap menderma darah berubah sekelip mata.
Betapa, sesungguhnya tindakan murni tanpa balasan itu, sebetulnya satu tuntutan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
``Saya benar-benar terhutang budi kerana selepas terlibat dalam kemalangan tersebut, saya bergantung kepada darah orang lain untuk menyelamatkan nyawa saya,'' katanya ketika ditemui di Pusat Darah Negara (PDN), untuk menderma darah kali kesembilan baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya, nahas ngeri itu yang membabitkan sebuah bas mini dengan kereta yang dipandu abangnya telah mengorbankan kakak ipar yang hamil empat bulan dan seorang anak saudaranya.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi Muhammad Isa, 27, abang dan seorang anak saudaranya yang berusia enam tahun.
Dengan kecederaan serius hingga menyebabkannya koma, anak bongsu daripada tujuh beradik ini mendapat bantuan bekalan darah.
Berdasarkan cerita ahli keluarganya, Muhammad Isa memberitahu, dia juga mengalami pendarahan di telinga tanpa henti.
``Dengan keadaan yang begitu, ramai di kalangan ahli keluarga hampir putus asa dan mengatakan saya mungkin tiada harapan untuk hidup.
``Tetapi, alhamdulillah, berkat doa dan pertolongan orang lain, lebih-lebih lagi darah yang diberikan, saya dapat terus bernafas hingga hari ini,'' katanya.
Menurutnya, berita berhubung kekurangan bekalan darah yang diuar-uarkan di media setiap kali menjelang Aidilfitri, ingatan terhadap peristiwa ngeri itu akan menjelma.
Ketika itu, dia bagaikan disuntik `satu semangat', betapa menderma darah menjadi satu kemestian.
Pada masa yang sama, Muhammad Isa tidak menafikan pakej istimewa yang ditawarkan kepada penderma, menarik minatnya.
``Walaupun itu bukanlah matlamat sebenar saya, tetapi kepada saya menderma darah dan membantu mereka yang memerlukan ibarat satu kepuasan.
``Hidup ini umpama roda akan sentiasa berubah-ubah. Kita tidak tahu bila masanya kita memerlukan dan paling penting kita mesti tahu untuk menyumbang,'' katanya.
Juruteknik kanan, di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, Michael Savrimuthu, menganggap amalan menderma darah sejak 19 tahun yang lalu sebagai salah satu bentuk sumbangannya kepada rakyat di negara ini.
Bapa kepada dua anak ini, memberitahu kesedaran untuk menderma ini timbul atas rasa tanggungjawab.
``Saya rasa menderma darah adalah bentuk sumbangan paling mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun.
``Sebagai seorang warganegara di bumi Malaysia yang dicintai, saya rasa inilah bentuk sumbangan yang mampu saya lakukan kepada rakyat negara ini,'' katanya yang telah menderma sebanyak 135 kali.
Menurut Savrimuthu, pengalaman dibantu oleh seseorang yang tiada hubungan kekeluargaan ketika merantau ke Kuala Lumpur 25 tahun lalu, amat menyentuh perasaannya.
Dia tidak dapat membayangkan, betapa luhurnya hati insan tersebut yang membenarkannya menumpang untuk tinggal beberapa hari sementara mendapat kerja.
``Jadi, apa yang saya lakukan selama ini sebagai tanda penghargaan kepada orang yang pernah membantu saya dan orang ramai,'' katanya.
Menurut Savrimuthu, orang ramai seharusnya tidak memberi alasan untuk tidak tampil menderma darah.
Dengan kemudahan dan kecanggihan peralatan yang ada pada hari ini, masa bukanlah halangan.
Proses menderma seluruh komponen darah (wholeblood) hanya mengambil enam minit. Manakala, plasma darah satu jam 45 minit.
Ketika ditemui, Savrimuthu baru habis tempoh `berehat' selama enam bulan dari menderma darah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dia yang berasal dari estet di Batang Berjuntai, Kuala Selangor, Selangor memberitahu, amalan menderma darah mempunyai kelebihan tersendiri.
``Saya mendapat banyak manfaat lain seperti tahu paras kolesterol, glukos, tekanan darah dan perkembangan kesihatan dari semasa ke semasa.
``Jadi, secara tidak langsung pengetahuan berhubung tahap kesihatan diri juga meningkat,'' ujarnya.
Sehubungan itu, katanya orang ramai harus merobah persepsi negatif tentang menderma darah.
Tambahnya, keinsafan betapa penting menderma darah ini tidak timbul sehinggalah berlaku sesuatu kepada diri atau ahli keluarga mereka.
``Kita tidak boleh membeli darah di kedai seperti membeli barang, tetapi kita perlu mempunyai hati dan perasaan untuk tampil ke depan menderma darah,'' katanya yang juga telah berikrar untuk menderma organ-organ dan tisu tubuh selepas kematiannya.
Berbeza dengan Wong Heong Leong, 33, yang menderma darah sejak empat tahun lalu.
Menurut ibu kepada dua anak ini, beliau tampil menderma darah apabila membaca berita yang meminta orang ramai berbuat demikian.
``Saya begitu sensitif apabila melihat kecederaan mangsa kemalangan jalan raya yang kehilangan banyak darah,'' ujarnya yang telah menderma darah lapan kali.
Eksekutif di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur ini juga ingin membuktikan tanggapan salah orang ramai selama ini.
Menurut beliau, ramai yang percaya, selepas seseorang menderma darah tubuh akan menjadi gemuk. Ternyata, kata beliau, kepercayaan lapuk yang disampaikan melalui mulut ke mulut itu, tidak benar.
``Saya rasa mereka yang mempunyai persepsi seperti itu perlu cuba menderma darah untuk membuktikan kebenaran kata-kata mereka,'' ujarnya.
Anak kelahiran Sitiawan, Perak ini juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa wanita tidak wajar menderma darah kerana mereka telah kehilangan darah melalui pusingan haid setiap bulan.
Sebaliknya, menderma darah adalah baik untuk kesihatan terutama kepada wanita kerana ia umpama satu kitaran.
Julung kalinya Leong menderma darah di salah sebuah gereja di Kuala Lumpur, ketika kempen menderma darah.
Dia berazam akan terus menderma, selagi tubuhnya sihat dan mampu untuk melakukannya.
Sebagai penganut agama Buddha, Leong percaya dengan prinsipnya.
``Setitik darah boleh menyelamatkan satu nyawa. Nyawa tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.
``Sekalipun kita tidak kaya, tetapi kita masih boleh membantu mereka dengan cara menderma darah kepada yang memerlukan,'' katanya penuh berkeyakinan.
Nota: Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2004, yang jatuh esok, 14 Jun sebagai tanda meraikan ketulusan hati penderma-penderma darah selama ini.
Ia merupakan satu sambutan sejagat dan terima kasih kepada penderma yang menyumbang sesuatu yang cukup berharga dalam kehidupan secara sukarela.
Tahun ini, dengan temanya - Darah, hadiah untuk kehidupan. Terima kasih.
Sambutan ini juga diraikan sebagai rentetan kejayaan Hari Kesihatan Sedunia, 2000 yang membawa tema, Darah Menyelamatkan Nyawa. Darah Yang Selamat Bermula Dengan Saya.
Tarikh ini dipilih sempena hari lahir, Karl Landsteiner, pemenang Hadiah Nobel, atas penemuan sistem kumpulan darah ABO.
Sumber: Utusan Online (15/06/04)
-----------------
Hai org-org yang beriman, jika datang kpdmu org fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui kdaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat