Daripada Ibnu Umar r.a., katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah kamu menegah para wanita keluar ke masjid-masjid, dan (sedangkan) rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.” (HR Ahmad & Abu Daud) Hadis di atas, Rasulullah secara umum menyatakan bahawa para suami tidak boleh menghalang isterinya dari pergi berjamaah di masjid tanpa mengira waktu sembahyang manapun – Pada waktu siang ataupun malam.
Terdapat hadis lain lagi yang menyatakan larangan menegah wanita dari berjamaah di masjid tanpa mengaitkan dengan waktu mana,
tetapi diberi peringatan agar wanita itu
tidak boleh memakai bau-bauan.
Hadis berkenaan adalah riwayat dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai bau-bauan.” (HR Ahmad dan Abu Daud) Manakala terdapat juga hadis-hadis yang melarang wanita pergi berjamaah di masjid pada waktu-waktu tertentu, antaranya ialah:
Dari Abu Hurairah r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Mana-mana wanita yang memakai dupa, maka janganlah dia menghadiri sembahyang Isyak bersama kami.” (HR Muslim, Abu Daud & al-Nasa’I) Berikut ini pula adalah hadis yang mengizinkan wanita pergi ke masjid pada waktu tertentu:
Dari Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila wanita-wanitamu meminta izin kepadamu dimalam hari untuk pergi ke masjid, maka kamu izinkanlah.” (HR jamaah kecuali Ibnu Majah) -------------------------------------------
pendapat para ulama'
Golongan Syafi’iyah membenarkan wanita-wanita tua pergi berjamaah di masjid, sedangkan yang masih muda dimakruhkan. [LIST]
Menurut satu riwayat dari Imam Malik mengatakan bahawa wanita boleh pergi ke masjid tetapi tidak boleh kerap, manakala wanita muda boleh sekali sahaja. Imam Hanafi pula tidak menyukai para wanita menghadiri Jumaat dan jamaah sembahyang fardu. Namun beliau membolehkan para wanita yang telah tua menghadiri jamaah sembahyang Isyak dan Subuh. Al-Nakha’I melarang para wanita menghadiri Jumaat dan jamaah. Beliau sendiri menegah isteri-isterinya berbuat demikian. Ibnu Qudamah dari mazhab Hanbali mengatakan bahawa wanita boleh menghadiri jamaah kaum lelaki, memandangkan wanita pada masa Rasulullah s.a.w. turut bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w. di masjid. Ibnu Hazmin dari kalangan mazhab Zahiriah berpendapat bahawa para wanita tidak diberatkan untuk menghadiri sembahyang jamaah di masjid. Perkara ini tidak diperselisihkan. Namun adalah dipandang sebagai baik jika mereka menghadirinya. Perkara ini juga telah jelas diketahui, kerana para wanita telah menghadiri jamaah bersama Rasulullah s.a.w., dan baginda mengetahuinya tetapi tidak melarangnya. Dan tidak boleh para wali (ibubapa/penjaga) melarang wanita dari menghadiri jamaah di masjid. Berdasarkan pendapat Ibnu Hazmin, bukanlah seorang wanita bersembahyang di rumah itu lebih afdhal, bahkan berjamaah di masjid adalah lebih afdhal bagi mereka. Mereka akan diberi pahala kerana berjamaah di masjid. Perkara ini di sokong oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. serta perbuatannya yang tidak melarang para wanita yang menjadi makmumnya
Akhirnya, jika wanita-wanita itu dilarang pergi ke masjid atas alasan takut timbulnya fitnah, maka adalah lebih baik jika mereka dilarang samasekali untuk keluar ke pasar, ke tempat umum, bekerja dsbnya. Dengan tidak syak dan ragu lagi, bahawa kemungkinan untuk timbulnya fitnah kerana pergi berjamaah di masjid adalah jauh seribu kali lebih ringan lagi berbanding fitnah kerana pergi ke tempat-tempat umum, pasar, kerja dsbnya. Jika para wanita ini biasa berulang alik ke masjid untuk beribadah dan mendengar pengajian-pengajian yang berguna, maka akan menjadi mengecillah dunia kerusakkan dan kemaksiatannya.. Insya Allah..