(TAZKIRAH)
Seorang anak kecil bermain di atas hamparan permaidani.
Ibunya sedang menyulam di atas kerusi.
“Ibu buat apa itu?” Soal si anak kecil yang hairan kerana melihat si ibu tekun melakukan sesuatu yang tidak difahaminya kerana dari sudut pandangannya apa yang terpamer hanyalah simpulan benang-benang pelbagai warna yang tidak menggambarkan apa-apa.
“Ibu sedang menyulam sebuah gambar pada kain, nak” jawab si ibu.
“Gambar?Tapi yang saya nampak hanyalah benang-benang yang kusut” komen si anak kecil.
Ibu menghadiahkan senyuman lalu berkata “Tunggu.Nanti bila tiba masanya, ia boleh dihayati dengan penuh erti”
Setelah beberapa hari si ibu tekun menyulam,akhirnya sulamannya siap.
“Anakku, mari ibu tunjukkan sesuatu”
Anak kecil dengan penuh minat menghampiri ibunya.
Dengan penuh mesra si ibu menunjukkan hasil sulamannya kepada anak tersayang.
“Wah! Cantiknya.Pandainya ibu buat.Cantiklah.Sangat cantik.Tapi..” anak terhenti setelah memuji dengan penuh ikhlas.
“Kenapa?”
Anak kecil hanya terdiam.
“Anakku..ibu ingin menceritakan sesuatu.Semoga ia menjadi pegangan buat dirimu dalam menjalani kehidupan ini. Anakku, kita ini manusia lemah.Kita tiada kuasa. Allah SWT yang Maha Esa yang berkuasa.
Kehidupan kita bagaikan corak sulaman ini.Allah SWT yang menciptakan kita lah yang mencorakkan kehidupan kita umpama sulaman. Pada saat Allah SWT menyusun atur segala unsur di muka bumi ini ketika mencorakkan perjalanan hidup kita, kita selalu mengeluh dan mempertikaikan apa yang sedang diaturkan oleh Allah kerana apa yang kita nampak cuma masalah, kekusutan,ketidakcantikan, tidak menepati citarasa kita.Masa terus berjalan.Aturan Allah itu sangat halus, nak.
Apabila tiba masa Allah berkehendak menunjukkan kepada kita apa sebenarnya aturan Dia untuk kita, maka saat itu kita akan takjub dengan kebesaran Allah SWT yang menyusun segalanya mewarnai hidup kita.Maka, biar seburuk mana corak di mata kasar mu,percayalah Allah sedang melakar keindahan dan kecantikan yang akan terukir di mata hati mu.Bersabarlah menanti kerana janjiNya setiap yang datang daripada Dia, ialah yang terbaik untuk hambaNya.
Tidak ada yang sia-sia kerana setiap yang terjadi ada tujuan dan hikmahnya. Cuma barangkali masa belum tiba untuk kita fahami, bersabarlah menanti.Insya Allah kita akan nampak betapa cantiknya susunan Allah swt untuk hidup kita.”
Anak kecil lantas tersenyum dan memeluk ibu dengan penuh kasih sayang.
-----------------