KUALA LUMPUR 17 Dis. - Bagaikan sudah ketentuan orang yang berbuat jahat akan dibalas dengan kejahatan.
Jika sebelum ini orang ramai menjadi mangsa ragut malah ada nyawa yang terkorban, namun lain pula berlaku di Jalan Greenwood, Gombak dekat sini, apabila seorang daripada dua peragut mati dilanggar kereta.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang semalam, kira-kira sejam selepas kedua-dua peragut berkenaan meragut telefon bimbit seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Taman Sri Gombak.
Orang ramai yang menyaksikan insiden itu cuba mengejar, bagaimanapun kedua-dua penjenayah, masing-masing berusia 16 dan 18 tahun itu berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z.
Tidak lama selepas itu, kedua-dua suspek mengalami kemalangan apabila dirempuh sebuah kereta di persimpangan Greenwood mengakibatkan suspek berusia 16 tahun meninggal dunia manakala rakannya parah.
Polis yang menyangka kemalangan biasa mula curiga apabila mendapati kedua-duanya memiliki tiga unit telefon bimbit dan siasatan akhirnya mendapati ia adalah milik mangsa-mangsa ragut.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sejurus sampai di lokasi kejadian, kedua-dua suspek dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian muka serta kepala.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan menemui sebuah beg galas berwarna hitam mengandungi tiga unit telefon bimbit termasuk jenis Sony Ericsson milik mangsa di Taman Sri Gombak.
''Siasatan mendapati, kedua-dua suspek juga sebelum itu cuba menyamun seorang lagi pelajar berusia 15 tahun yang sedang berjalan kaki di Batu 5, Jalan Gombak, Sentul.
''Dalam kejadian pukul 4 petang itu, kedua-dua suspek cuba meragut rantai leher tetapi gagal kerana mangsa sempat memegang barang kemas tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa cedera ringan di kaki dan tangan kerana terjatuh manakala kedua-dua suspek pula melarikan diri.
Abdul Rahim memberitahu, suspek berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Selayang manakala rakannya dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital sama.
Beliau memberitahu, siasatan terhadap motosikal yang ditunggangi suspek mendapati kenderaan itu milik keluarganya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
-----------------
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap alam nasyrah: 8