assalamualaikum..,
Agama - Fikrah:
nullKeaiban Orang Islam Tidak Baik Diheboh
ALLAH berfirman yang bermaksud : *Wahai orang beriman, janganlah satu golongan memperolok-olokkan satu golongan yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan). *Begitu juga janganlah satu golongan wanita (memperolok-olokkan) itu lebih baik daripada wanita (yang memperolok-olokkan).
*Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman, dan mereka yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.* (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Bagi memupuk kasih sayang dan mengelak daripada kebencian dan permusuhan sesama Islam, kita wajib menjaga dan memelihara etika dan adab pergaulan. Kewajipan terhadap orang Islam dan adab pergaulan sesama Islam adalah menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira kedudukan, pangkat dan darjat, kaya atau miskin, berilmu atau jahil. Antara satu sama lain,
digalakkan menjalin kemesraan dan perhubungan baik. Islam melarang satu pihak memandang hina pihak yang lain. Orang slam yang melakukan kesalahan sekali pun, dilarang oleh Islam menghinanya. Apatah lagi menghina orang Islam tidak melakukan kesalahan semata-mata kerana perbezaan pandangan atau pendapat.
At-Tirmizi meriwayatkan bahawa seorang sahabat Rasulullah saw melakukan kesalahan minum arak. Selepas disabitkan kesalahannya, Rasulullah memerintahkan supaya dia disebat.
Perintah Rasulullah itu dilaksanakan oleh sahabat lain. Seorang daripada sahabat yang menjalankan perintah itu sambil menyebat pesalah berkata: *Kamu dihina oleh Allah.*
Nabi mendengar perkataan itu dan bertanya siapa berkata yang demikian. Baginda bersabda: *Janganlah kamu menolong syaitan menentang saudara kamu.*
Seorang Islam yang melakukan kesalahan, tidak terputus hubungan saudara dengan orang Islam lain. Haknya sebagai saudara, tetap kekal. Satu haknya ialah dia mesti dihormati, tidak dihina atau dipandang rendah. Hukuman yang dikenakan kepadanya, menebus dosa yang dilakukannya. Setiap orang ada melakukan kesilapan dan kesalahan. Kerana itu kesalahan dan kesilapan tidak menjadi alasan untuk dihina dan dicaci. Kesilapan mesti diperbetulkan dengan nasihat dan tunjuk ajar.
Kesalahan diperbetulkan dengan hukuman adil dan nasihat baik. Mencaci, menghina dan mencela adalah perbuatan mungkar yang dilarang Islam.
Islam mengkehendaki supaya kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.
Rasulullah bersabda bermaksud: *Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam, maka Allah menutup keaibannya pada hari kiamat.* (Hadis riwayat Muslim Abu Daud dan At-Tirmizi)
Suasana masyarakat Islam sekarang yang sering tidak menghormati sesama Islam, adalah melanggar hukum Islam.
Menghormati saudara sesama Islam dalam erti kata menjaga maruah dan air mukanya melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan, akan dapat melahirkan suasana hidup bermasyarakat harmoni dan sejahtera.
Itulah jaminan Islam kepada umatnya apabila mereka mengamalkan sikap menghormati sesama Islam.
Keaiban sesama Islam apabila didedahkan bukan saja menyebabkan hilang kehormatan umat itu sendiri, malah menyebabkan orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.
Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama Islam sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.
wassalam..