Seni adalah sesuatu yang indah, cantik dan disenangi. Fitrah manusia menyukai sesuatu yang indah dan cantik. Oleh itu, adalah tidak bertentangan dengan fitrah manusia untuk menyukai sesuatu yang bersifat seni.
Manifestasi seni itu dapat dilihat dalam bahasa, puisi, nyanyian dan dendangan, drama, filem dan sebagainya. Allah SWT juga telah menjadikan alam ini dengan penuh seni agar dapat dinikmati oleh semua makhluk ciptaan-Nya dan direnungi oleh setiap insan yang ingin berfikir mengenai kejadian alam yang menakjubkan ini.
Para remaja adalah golongan yang sangat gemarkan sesuatu yang seni. Sifat remaja yang kreatif dan perasaan ingin tahu yang tinggi mendorong untuk remaja mencari dan mengeksplorasi segala bahan yang menarik perhatian mereka. Lalu kebanyakannya saat ini, remaja lebih cenderung kepada sesuatu yang bersifat hiburan.
Dalam Islam, seni itu harus berakar umbi kepada keagungan Allah dan hikmahnya kembali kepada manusia. Seni dalam Islam adalah sesuatu yang bukan bersifat memuja kerana kecantikan atau kelebihan sehingga mensyirikkan Allah SWT.
Ia harus bertitik tolak daripada penelitian manusia terhadap sesuatu kejadian atau penciptaan yang mencetuskan rasa kekaguman terhadap kebesaran Allah SWT, menginsafi kekurangan manusia dalam segala hal serta tunduk kepada kehebatan Allah. Lantas, perasaan tersebut dapat mendorong manusia untuk berbuat kebaikan dan patuh kepda ajaran-Nya.
Seni yang bermakna ialah seni yang mampu menumbuhkan jiwa kehambaan terhadap Allah Tuhan yang Esa. Firman Allah dalam surah Al-ra’ad ayat 28 yang bermaksud: Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.
Justeru, terdapat banyak saluran yang boleh diambil oleh penggiat seni sama ada dalam bidang seni nyanyian, kraftangan, seni layar dan sebagainya dalam usaha merintis jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta.
Agen Perubahan Minda
Peranan media massa kini semakin meluas dengan terbangunnya pelbagai medium komunikasi seperti televisyen, Internet, emel dan sebagainya. Kalangan penggiat seni berperanan besar dalam mencorakkan budaya serta pemikiran masyarakat.
Apatah lagi bagi seseorang penggiat seni Muslim, mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam menghasilkan karya yang mampu membangunkan keupayaan intelek, rohani, emosi dan sosial anggota masyarakat.
Karya yang dihasilkan harus selari dengan panduan syarak dan tidak bersifat memuja atau mengkritik sesuatu secara berlebihan. Ia seharusnya berupaya menyampaikan mesej yang baik dengan cara yang berkesan dan tidak keterlaluan.
Justeru, penekanan juga harus diberikan terhadap pembawaan nilai-nilai murni, kasih sayang, keadilan serta perjuangan di samping unsur hiburan yang tidak melampaui batas dan melalaikan. Andainya tuntutan komersial menjadi sandaran tunggal maka natijah dan mesej tidak akan terkesan ke dalam hati khalayak.
Filem sebagai medium dakwah
Dasawarsa ini pelbagai isu atau subjek diangkat menjadi tema cerita sesebuah filem. Sebagai contoh kecil, kita boleh melihat kepada drama-drama tempatan atau luar negara yang berkualiti sebagai rujukan. Filem animasi juga tidak ketinggalan untuk memberikan sumbangan terhadap pembangunan dakwah Islam, contohnya filem Saladin yang telah dihasilkan oleh pengkarya seni tempatan.
Dalam menyoroti filem yang dihasilkan oleh orang bukan Islam, sebagai contoh, penulis berkesempatan menonton sebuah filem luar negara (sayang sekali) yang menyoroti kemelut emosi seseorang pesakit yang menghidap Alzheimer serta ketabahan kaum keluarganya menghadapinya. Melaluinya, penonton dapat mengetahui informasi tentang penyakit Alzheimer serta meneladani ketabahan anggota keluarga dalam membantu kehidupan seorang pesakit itu.
Ciri budaya mereka tentulah tidak selari dengan Islam, tetapi yang ingin ditonjolkan adalah sifat kasih-sayang yang kuat di antara si pesakit dan suami serta keluarganya. Alangkah baiknya jika ia dapat diterjemahkan dalam pemahaman Islam kita, iaitu kepayahan yang dilalui harus disertakan dengan menginsafi takdir Allah serta meredai akan kebesaran-Nya.
Penulis percaya bahawa terdapat pelbagai lagi kisah kehidupan dalam masyarakat yang berpotensi diangkat menjadi subjek drama atau filem berbanding kisah trend kehidupan remaja kota ataupun kecurangan rumah tangga yang mungkin kedengaran begitu klise.
Tema-tema cerita yang segar serta meyakinkan tidak semestinya perlu mengungkapkan contoh negatif dan jelik. Adegan-adegan yang tidak senonoh dan tidak wajar dipertontonkan kepada umum tidak harus disiarkan atas nama kebebasan berkarya.
Seni dan moral dapat juga diungkapkan dalam sentuhan yang lebih positif, tetapi dalam masa yang sama memberi peringatan kepada penonton untuk menjauhi perkara-perkara yang kurang baik.
Harus diingatkan bahawa kedapatan juga penonton yang mungkin tertarik dengan perkara negatif yang dipaparkan. Malah ada yang berasa bangga kisah kehidupan mereka diangkat menjadi tema cerita filem. Ini seterusnya mendukung gaya hidup tersebut ke arah menjadi budaya popular yang mungkin pula menular di kalangan golongan muda mudi.
Andainya pun pihak penerbit berpendapat bahawa contoh negatif itu mampu menyampaikan pengajaran berguna dengan lebih berkesan, namun olahan tersebut tidak seharusnya disampaikan secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam penerimaan mesej yang ingin disampaikan.
Kesimpulan
Filem adalah salah satu medium seni yang berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej yang ingin diutarakan kepada khalayak umum. Justeru, bagi penggiat filem Muslim, filem boleh diaplikasikan dalam usaha menyampaikan mesej dakwah serta menggambarkan imej Islam yang sebenar agar syiar Islam dapat dimartabatkan.
-----------------