Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 29-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk
-- Al-Baqarah: 45

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 185
Ahli: 0
Jumlah: 185




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 2 hari yang lalu
Rashdin: 27 hari yang lalu


Cerpen
Topik: cinta isra' ... masyaallah..


Carian Forum

Moderator: Administrator, NaZa_FirmaN
Portal Komuniti :: Ukhwah.com Indeks Forum
  »» Cerpen
    »» cinta isra' ... masyaallah..

Please Mendaftar To Post


Oleh cinta isra' ... masyaallah..

nak_jadi_baik
Warga 3 Bintang
Menyertai: 14.10.2007
Ahli No: 31409
Posting: 112
Dari: bumi Allah

malaysia   avatar


posticon Posting pada: 07-03-08 14:47


Cinta Isra'

Bas yang bertulis Raghadan itu berhenti. Betul-betul di tengah Bandar
`Amman. Aku dan Bushra segera melangkah turun. Balad `Amman. Itulah
tempat shopping kegemaranku dan Bushra. Di kepala masing-masing sudah
ada senarai ole-ole yang akan dibeli untuk keluarga di Malaysia. Balad
Amman ini kalau boleh ditasybihkan, mungkin seperti Chow Kit di KL.
Tapi tentulah tidak sama walau bagaimanapun aku cuba menyamakannya.

Sedar tak sedar, sudah dua tahun aku dan sahabat-sahabatku menghirup
udara bumi anbiya' al-Urdun yang merupakan jiran Negara Palestin ini.
Jadual penerbangan pulang kami sudah diatur. Kalau tak ada aral
melintang, lagi dua minggu kami akan berangkat. Semakin hampir waktu
pulang, semakin aku tak sabar. Dah lama benar tak kucup tangan ibu dan
ayah, kak long dan abang ngah. Anak kak long, Affaf Sofeah, tentu dah
besar, tentu dah boleh panggil aku- Cik Su! Cik Su dia yang comel ni.
Aku tersenyum sendiri.

Senyumanku dimatikan oleh angin kuat yang mengerbangkan tudung kami.
Mungkin angin selamat datang untuk musim saifi. Segera aku pegang
tudung kejap-kejap. Namun bagi kebanyakan wanita Jordan, itu bukan
masalah. Tudung mereka diselitkan di dalam jilbab, atau
dipusing-pusing entah dua atau tiga kali, tentulah takkan mengerbang
ditiup angin. Kami segera melangkah masuk ke kedai. Nak tengok `abayah
untuk mak, kata Bushra.

Pantasnya masa berlalu bersama perubahan musim, dari rabi' ke saifi.
Bererti semakin hampir saat kepulangan kami ke tanah air. Maka semakin
dekat jugalah saat perpisahan. Perpisahan, detik itu akan tiba. Kata
orang, jangan salahkan perpisahan kerana pertemuanlah yang meyebabkan
perpisahan. Maka. Aku takkan salahkan perpisahan. Aku juga takkan
salahkan pertemuan, malah aku bersyukur. Bumi Jordan ini telah
merakamkan pertemuanku dengan universitiku. Universiti yang terletak
di tengah-tengah padang pasir Az-Zarqa' itu banyak memberi
kenang-kenangan padaku . Aku pasti akan merinduinya nanti. Ah,
rindukan universitikah atau rindukan ustaz di universiti itu? Hatiku
menyindir. Ustaz `Amru- selama dua tahun ini nama itu singgah
dihatiku. Perkenalan yang semusim cuma, membawa ingatan yang seumur
lamanya. Ustaz `Amru. Aku takkan lupa kamu!

Dua tahun yang lepas, kedatanganku dan kawan-kawan ke markaz lughah di
universiti itu disambut dengan Minggu Al-Quds atau Usbu' Al-Quds yang
dianjurkan para pelajar ketika itu. Langkahku dan kawan-kawan yang
sedang mencari kelas terhenti mendengar satu suara. Ada suara merdu
mendendangkan lagu. Datangnya dari mudarraj Al-Quds. Aku turut
terpana. Tak tahulah mengapa. Mungkin kerana aku memang meminati
nasyid-nasyid arab sejak dulu berbanding nasyid melayu. Nasyid arab
ada keistimewaan tersendiri. Mungkin juga disebabkan darah arab yang
mengalir dalam diriku. Datukku Jazaieri. Tapi Aku malu mengaku itu,
kerana aku tidak mahir bertutur arab. Memahaminya mungkin boleh
sedikit-sedikit. Yang tinggal padaku hanya nama. Namaku - Isra', bukan
nama Melayu. Nama itu gharib di tanah Melayu. Nama Jazaieriyyah
barangkali. Lantas aku ke mari, menuntut bahasa Al-Quran itu.

Aku menghayati nasyid yang dialun merdu…
Dihening fajar,
ada ibu yang tenang,
menghantar anak ke medan juang,
mana anakku tak pulang hingga petang,
duhai angin khabarkan,
anakmu ibu syuhada' terbilang.

Oh Ardul Isra'
Ardul-anbiya'
Ardul muqaddasah

Oh bumi, usah bersedih
Kelak kan pasti tiba
Nusrah dan janji Allah
Saat punahya zulmat
Dan sinar Islam dijulang bermartabat
Bumimu kan kembali berdaulat!

Rupanya, si pemilik suara merdu itu adalah Ustaz `Amru yang bakal
mengajar kami. Aku masih ingat tatkala Ustaz `Amru memperkenalkan
dirinya,

"Nama saya `Amru, saya berasal dari Nablus, Palestin. Oleh kerana
tidak sesuai lagi tinggal di situ, saya dan keluarga berpindah ke
Haifa dan kemudian ke `Amman".

Begitulah. Mudah saja Ustaz `Amru memperkenalkan diri. Tidak langsung
disebut mengapa beliau berpindah. Barangkali beliau terlalu memandang
naĂŻf kepada kami, seolah-olah kami tidak tahu pergelutan yang berlaku
di tanah Palestin, hingga menyebabkan mereka merasa terasing di rumah
sendiri. Barangkali Ustaz `Amru kurang sedar bahawa kami juga seagama
dengan ustaz. Dimana kiblat pertama ustaz, disitulah juga kiblat
pertama kami - Al Quds. Atau barangkali ustaz menyembunyikan sesuatu
dari kami.

Ya! Sesuatu yang perit dan sukar diceritakan. Aku dapat saksikannya
dari dalam mata Ustaz `Amru. Mata yang redup itu menyimpan ribuan
cerita berdarah dan tragis…

Tapi dalam hatiku, ada tanda tanya dan ketidakpuasan. Mengapa perlu
ustaz `Amru tinggalkan Palestin? Mengapa tinggalkan tanah air sendiri
sedangkan ia sedang dijajah? Setahu aku, bukan sedikit muslimin
Palestin yang meninggalkan negara mereka dan berhijrah ke Jordan.
Malah jumlahnya semakin banyak dari tahun ke tahun. Pada hematku, ini
tidak betul. Negara mereka adalah hak mereka. Hak mesti dipertahankan!
Kaum muda seperti Ustaz `Amru sepatutnya berada di saf hadapan
menentang kezaliman dan penindasan ke atas bangsa dan negara mereka.
Apakah dan mengapakah Ustaz `Amru ini? Pelbagai persoalan timbul dalam
benakku. Ada rasa ingin tahu dalam hatiku.

Seolah-olah ada chemistry, petang itu ketika dalam perjalanan pulang,
aku dipertemukan dengan Ustaz `Amru di mujamma' Zarqa', tempat
pertukaran bas. Segera aku mendekati Ustaz dan kuberikan sapaan salam.

Usai menjawab salam, Ustaz `Amru segera menundukkan pandangan.
`Menjaga' juga rupanya Ustaz ini. Aku pula yang malu. Tapi, oleh
kerana perasaan inkuiriku sangat tinggi. Aku beranikan diri. Segala
persoalan yang terpendam dalam benak fikiran aku ajukan bertubi-tubi
padanya. Ustaz memandangku, tunduk kemudian diam. Jawapan yang ku
tunggu namun dia hanya membatu.

Tidak lama, Ustaz Amru mendongak tenang dan berkata,

"Sabarlah Ukhti. Kamu pasti akan dapat jawapannya jika kamu gunakan
pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah berikan kepada kamu.
Maaf, saya pergi dulu kerana bas sudah sampai. Ma'as salamah".

Aku ditinggalkan terkebil-kebil. Termangu aku berfikir. Pendengaran,
penglihatan dan hati – as-sam'u, al basar dan al-qulub. Tiga perkara
yang Allah sebutkan di dalam Al Quran jarang dimanfaatkan oleh manusia.

Bulan pertama di universiti. Aku mengikuti rombongan rehlah
universiti. Kami ke mazar maqam syuhada' mu'tah. Di situ, Ustaz Ahmad
yang turut serta dalam rombongan bercerita tentang peperangan Mu'tah.
Peperangan tersebut ajaib sekali. Tentera Muslimin yang hanya seramai
3000 orang, melawan tentera kuffar yang seramai 200 000 orang.
Bererti, seorang tentera muslim berhadapan dengan hampir 70 orang
tentera musyrikin. Ajib! Hanya lapan orang muslimin yang syahid
dibunuh musyrikun. Merekalah syuhada' mu'tah. Antaranya, Saidina Zaid
ibnu Harithah, Saidina Abdullah ibnu Rawahah dan Saidina saja'far ibnu
Abi Talib. Tiga orang sahabat agung ini diamanahkan oleh Nabi s.a.w
memegang panji-panji Islam - Andainya Zaid gugur, serahkan panji
kepada Abdullah. Andai Abdullah gugur, serahkan panji kepada saja'far.
Andai saja'far gugur, Khalid kamu pimpinlah angkatan ini. Dalam benar
maksud pesan Rasulullah s.a.w itu hingga tiga syuhada' agung itu sudah
bersedia untuk mati. Tentu ada sesuatu dengan pesanan Rasul s.a.w.

Benar sekali. Mereka syahid, dan Khalid Al Walid memimpin pasukan
perang dengan membawa pulang kemenangan. Subhanallah, teknologi apakah
pada zaman itu hingga baginda Rasul s.a.w tahu apa yang akan berlaku?
Kalau teknologi hari ini mampu mengetahui banjir, gempa bumi dan ribut
taufan yang akan melanda, teknologi Rasul itu telah mendahului
teknologi hari ini. Hairan aku pada yang tidak mahu beriman kepada
Rasululllah s.a.w.

"Ya Allah, janganlah palingkan hati kami setelah Kau berikan hidayah
kepada kami. Himpunkan kami bersama-sama hambaMu yang telah kau
berikan nikmat ke atas mereka, dari kalangan para anbiya', para
syuhada' dan para solihin. Amin."

Selesai di makam, kami mengunjungi tempat berlakunya peperangan
mu'tah. Belum habis aku menghayati cerita Ustaz Ahmad tentang syuhada'
mu'tah tadi, kali ini Ustaz `Amru pula memulakan kisah.

"Saudaraku sekalian, disinilah tempat berlakunya peperangan pertama
kaum muslimin menentang tentera Rom pada tahun ke-8 hijrah. Lihat
tempat ini. Seluas dan sejauh mata memandang. Jalan yang dipenuhi
bukit-bukit batu. Bayangkan tentera muslimin yang mengenderai kuda
dari Makkah al-Mukarramah. Perjalanan yang beribu batu. Di padang
pasir yang terik, tandus dan berdebu. Hebatnya kesabaran mereka itu!
Saudaraku, bumi yang kalian sedang pijak ini pernah dipijak oleh para
sahabat, para mujahidin dan para syuhada'. Disinilah mereka, 1418
tahun yang lalu. Sesungguhnya bumi ini bukan sebarang bumi. Ini bumi
suci, bumi barakah, bumi yang yang melengkapi madinah al-Quds, seperti
firmanNya dalam Surah Al-Isra';

`Maha suci Dia yang telah memperjalanan hambaNya (Muhammad) di malam
hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati
sekelilingnya' .

Nah! Bumi ini bumi barakah bukan? Bumi Jordan ini adalah sebahagian
tanah yang mengelilingi al-Quds. Al-Quds sebenarnya tidak jauh dari
kalian. Ia berada dekat dengan kalian dan berada dekat dengan hati
orang-orang mukmin. Hendaknya janganlah ada diantara kalian yang masih
tidak mengerti, seolah-olah tidak tahu apa-apa, tidak langsung merasai
bumi suci itu adalah hak kalian. Tega melihat saudara seagama kita
dizalimi. Tiada rasa marah melihat tanah itu dinodai. Ia adalah hak
kita semua, umat Islam! Apa yang sedang kalian saksikan sekarang
adalah bukti perjuangan umat terdahulu yang berkorban darah dan nyawa
demi Islam. Mereka telah pergi, namun semangat mereka mesti kita
warisi. Perjuangan di Palestin bukan semata-mata peperangan
mempertahankan negara dan tanahair, tetapi sebenarnya peperangan
sabil! Perjuangan menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini.
Pertahankan Islam! Berkorbanlah walau hanya dengan perasaan, tenaga,
masa atau harta. Yang pasti, Islam tetap tinggi!"

Begitulah Ustaz Amru, ustaz muda yang tak pernah jemu menceritakan
tentang negaranya. Menyedarkan tentang tanggungjawab kami terhadap
saudara sesama Islam. Malah, kata Ustaz Amru, beliau takkan jemu
menceritakannya dan mengulanginya hingga seluruh muslimin yang
dikenalinya mencintai Al-Quds sebagaimana dia mencintainya.

Satu hari di dalam kelas. Aku ambil kesempatan bertanyakan satu soalan
pada ustaz. Ustaz Amru memang sering memperuntukkan sedikit masa di
akhir kelas bagi menjawab apa saja soalan kami, baik yang berkaitan
dengan pelajaran atau pun sebaliknya. Aku ingin ustaz ceritakan,
apakah sebenarnya yang menyebabkan tanah Palestin itu menjadi rebutan
tiga agama samawi - Islam, Kristian dan Yahudi. Masing-masing mengaku
lebih berhak ke atas tanah itu. Tetapi nampaknya sekarang ini Yahudi
yang mendominasi dan berkuasa. Mereka menghalau penduduk-penduduk
muslim yang merupakan penduduk asal tempat itu. Melampau sungguh. Jika
Islam yang memerintah, penduduk yang bukan Islam juga akan diberi hak,
selama mana mereka menunaikan kewajipan mereka sebagai dzimmi.
Disitulah keadilan Islam.

Lalu Ustaz Amru menerangkan dengan ringkas bahawa orang kristian
menganggap tempat itu sebagai tempat suci mereka kerana mereka percaya
di situlah tempat kelahiran Jesus, di situ jugalah Jesus telah disalib
dan bakal dibangkitkan kembali menjelang hari kiamat. Bagi orang
Yahudi pula, mereka mendakwa kota itu adalah janji tuhan mereka untuk
mereka dan disitulah bakal munculnya Isa Al-Masih yang mereka tunggu.
Bagi orang Islam, Baitul Maqdis atau Al-Quds sangat istimewa kerana di
situlah kiblat pertama umat Islam. Di situ Nabi s.a.w telah di isra'
mi'rajkan, di situ bumi para anbiya' yang antaranya Nabi Ismail, Nabi
Ishaq, Nabi Ya'qub, Nabi Syu'ib dan banyak lagi. Lebih dari itu, Allah
s.w.t menjanjikan pahala 500 kali ganda bagi sesiapa yang solat di
Masjidil Aqsa.

Ustaz Amru meneruskan lagi penerangannya, "Memang sekarang ini rejim
zionis Yahudi telah berjaya meluaskan kuasa ke atas tanah itu. Sudah
berlalu lebih 50 tahun sejak kemunculan Negara Israel. Dari
sehalus-halus cara sehingga sekeras-kerasnya, semuanya telah mereka
lakukan untuk memperluaskan kuasa. Mereka menipu manusia dengan slogan
`a land without people for a people without land'.

Lihatlah, mereka tidak menganggap bangsa arab yang tinggal di situ
sebagai manusia pun! Pantas saja mereka memperlakukannnya sekehendak
hati mereka. Manusia jenis apa yang tidak mengiktiraf manusia sebagai
manusia? Haiwan pun mengenali bangsanya. Mereka itu lebih dahsyat
daripada haiwan!

Sememangnya Allah s.w.t telah menganugerahkan tanah suci itu kepada
bani israil yang merupakan kaum Nabi Musa yang Allah wahyukan Kitab
Taurat kepada baginda. Tetapi kita mesti memahami bahawa
penganugerahan tanah itu kepada mereka adalah bersyarat. Syaratnya
ialah ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya, serta melakukan amal soleh".

Lalu Ustaz Amru bacakan ayat Al-Quran dari surah Al-Maidah, ayat 20-26
yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: `Hai kaumku,
ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat Nabi-nabi di
antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka dan diberikan-Nya
kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorangpun di
antara umat-umat yang lain (20). Hai kaumku, masuklah ke tanah suci
(Palestin) yang telah ditentukan Allah kepadamu, dan janganlah kamu
lari kebelakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi
orang-orang yang rugi (21). Mereka berkata: `Hai Musa, sesungguhnya
dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami
sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya.
Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya' (22).
Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah)
yang telah diberikan nikmat atas kedua-duanya: `Serbulah mereka dengan
melalui pintu gerbang (kota) itu, maka apabila kamu memasukinya
nescaya kamu akan menang. Dan kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal,
jika kamu benar-benar orang yang beriman' (23). Mereka berkata: `Hai
Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi
mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu dan
berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di
sini saja' (24). Berkata Musa: `Ya Tuhanku. Aku tidak menguasai
kecuali diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Maka pisahkanlah antara
kami dengan orang-orang yang fasiq itu' (25). Allah berfirman: `Maka
sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh
tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi
(padang tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan
nasib) orang-orang yang fasiq itu' (26). "

"Itulah saatnya Allah mengharamkan tanah Palestin daripada bani
israil, kaum yahudi, iaitu apabila mereka mengingkari perintah Allah
dan rasul-Nya, Musa a.s. Maka sekarang setelah 40 tahun itu berlalu,
adakah mereka layak menduduki tanah itu?" Ustaz Amru mengajukan soalan
yang sudah pasti akan dijawabnya sendiri. Kemudian Ustaz Amru bacakan
pula ayat 105 dari Surah Al-Anbiya' yang bermaksud,

"Dan sesungguhnya telah kami tulis di dalam Zabur, sesudah (kami
tulis) di dalam Az-Zikr, bahawa bumi ini dipusakai hamba-hamba- Ku yang
soleh".

Ustaz kemudian menerangkan,

"Yang dimaksudkan dengan Kitab Zabur itu adalah kitab yang diturunkan
kepada Nabi Daud a.s, dan Az-Zikr adalah merujuk kepada Kitab Taurat
yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Manakala kalimah al-ard atau
bumi merujuk kepada ardul-muqaddasah, iaitu Al-Quds. Allah
mensyaratkan bahawa sesiapa yang mahu mewarisi bumi itu, mestilah kaum
yang soleh, yang mengabdi diri pada Allah. Ia mesti dipimpin oleh
mereka yang takutkan Allah dan melakukan kebaikan di muka bumi. Siapa
orang yahudi atau Israel hari ini? Mereka syirik kepada Allah. Mereka
mengubah kitab Taurat dengan tangan mereka agar sesuai dengan kehendak
hati mereka. Mereka tidak mengimani Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah.
Mereka sombong, bongkak terhadap Allah s.w.t yang telah memberi banyak
nikmat kepada mereka. Mereka melakukan fasad, memporak-perandakan
manusia sejagat. Mereka zalim! Mereka membunuh manusia sesuka hati.
Tidak ada satu tempat pun yang mereka diami di muka bumi ini,
melainkan punah ranah tempat itu dek tangan-tangan kejam mereka. Di
dalam Al-Quran sendiri, Allah Taala telah mengatakan bahawa mereka ini
adalah bangsa yang membunuh para nabi dan selalu berbuat derhaka dan
melampaui batas. Justeru, mereka tidak layak sama sekali mewarisi bumi
barakah Al-Quds, yang merupakan bumi anbiya' itu. Selama-lamanya
mereka tidak layak. Bangsa yang hina takkan dapat menduduki tanah yang
mulia".

"Jadi, apa yang mesti kita lakukan ustaz?". Seorang kawan yang duduk
di sebelahku mengajukan soalan.

"Pertama, cintailah Al-Quds kerana dari cinta itulah akan lahirnya
pengorbanan. Cintailah ia sebagaimana kamu mencintai Makkah
al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah yang sentiasa dekat di hati
kamu. Ketiga-tiga tempat inilah yang Rasulullah s.a.w sebutkan di
dalam hadis yang mafhumnya; tidak digalakkan bersusah payah untuk
rehlah kecuali ke tiga buah masjid; Masjidil Haram di Makkah, Masjidil
Aqsa di Palestin dan Masjidin Nabawi di Madinah. Begitu juga, jihad
dan perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh dipandang ringan. Jika
yahudi yang tinggal di US, Eropah atau Rusia dibenarkan membantu
Israel, mengapa kita umat Islam tidak diberi kebebasan membantu dalam
jihad secara langsung, malah yang membantu dianggap pengganas.
Salahkah orang yang mempertahankan dirinya dan rumahnya daripada
perompak? Salahkah orang yang membantu saudaranya mengusir perompak
itu? Yang mempertahankan diri dan rumah, dan yang mempertahankan
saudaranya, kedua-duanya di anggap pengganas. Perkataan jihad dan
perjuangan menegakkan kalimah Allah dipandang sinis. Tetapi apabila
seseorang bekerja kerana nama, pangkat dan harta, berkorban untuk
menjadikan dirinya atau negaranya disanjung dunia, itulah yang
dikatakan perjuangan yang sebenar, diberi kebebasan, penghormatan yang
melampau-lampau, melebihi orang yang berjuang kerana agama. Sedarlah,
jalan jihad itu bukan mudah. Malah ketakutan, kesakitan, kelaparan,
kekurangan harta pakai, apalagi di anggap pengganas, adalah mahar yang
wajib di bayar bagi mendapat syurga Allah.

Yang kedua, jika tidak mampu membantu secara langsung dalam jihad,
bantulah dengan apa saja yang terdaya, khususnya sekarang ini,
kerajaan Palestin sangat membutuhkan wang bagi melancarkan pentadbiran
mereka, buat mengurus masyarakat dan memastikan pembangunan
sosio-ekonominya. Untuk pengetahuan kamu, jumlah pengangguran di
Palestin sejak 1948, iaitu sejak Yahudi mula memasuki Palestin sudah
melebihi 350 000, dan jumlah sekolah yang rosak akibat perbuatan
militan mereka sudah mencecah 850 buah. Malah bukan setakat itu,
mereka juga menanggung beban hutang yang diwarisi dari kerajaan
sebelumnya, yang mencapai 3 billion USD. Wang yang telah kita leburkan
untuk kepentingan diri, berkali ganda banyaknya daripada kepentingan
ummah. Infaqkanlah hartamu untuk mereka mengikut keupayaan kamu.
Jangan nanti pada hari Allah kunci rapat mulut dan kaki kita manakala
seluruh anggota kita menjadi saksi atas perbuatan kita di dunia, lalu
Allah tanya ke mana wang kita dileburkan, kita hanya menggigil,
ketakutan bagai mahu luruh kulit dari isi dan daging. Jika tidak mampu
juga, berusahalah membuat orang yang berkemampuan menafkahkan harta
mereka di jalan Allah. Jika tidak, kita akan jadi orang yang amat
pentingkan diri sendiri. Hidup nafsi-nafsi dengan urusan sendiri,
membiarkan kemungkaran dan kekejaman bermaharajalela.

Yang ketiga, perhati dan pelajarilah mesej dan petunjuk yang Allah
sampaikan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah tentang tanah suci Al-Quds
itu, tentang nasibnya dan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang akan
berlaku di situ dan di tanah-tanah sekitarnya. Ini termasuklah zaman
kebangkitan semula Islam yang akan berpusat di situ. Sudah banyak buku
yang menulis tentang itu, yang ditulis oleh orang-orang yang
benar-benar mengkaji dan mendalami hadis-hadis dan peristiwa akhir
zaman. Kita hanya tinggal membacanya sahaja. Itu pun masih dianggap
susah. Bermula dari pembacaan, kamu akan faham. Jadi, kamu takkan
berjuang dengan semangat semata-mata. Jika tidak, kamu akan mudah
mengalah bila kamu susah. Banyakkan pembacaan dan tuntutlah ilmu,
kemudian dakwahlah orang lain supaya turut sama tahu apa yang kamu
tahu. Tugas dakwah jangan sekali-kali ditinggalkan. Siapapun kamu, di
mana pun kamu, jawatan apa pun yang kamu sandang, berdakwahlah walau
hanya dengan menunjukkan akhlaq yang mulia dan kata-kata yang
mempamerkan syiar Islam. Jangan pula kita yang menjadi syiar pada
rosaknya imej Islam. Jangan sekali-kali asingkan tugas dakwah daripada
kehidupan kamu. Ingat, kerana wujudnya dakwah dan pendakwahlah kita
masih dapat merasai nikmat Islam yang tulen meskipun sudah terpisah
beribu tahun lamanya dengan baginda Rasul s.a.w.

Yang terakhir dan terpenting, pelihara iman dan taqwamu serta
panjatkan doa yang sebanyak-banyaknya kepada Allah. Saya ingin
bertanya, berapa kali kalian berdoa untuk kecemerlangan kalian dalam
imtihan, dan berapa kali pula kalian berdoa untuk umat Islam? Tepuk
dada, tanyalah iman. Jangan pentingkan diri sendiri. Luaskan doa
kalian untuk seluruh muslimin dan muslimat seantero dunia.
Mudah-mudahan Allah Ta'ala meluaskan keampunan dan rahmatnya ke atas
kalian pada hari tiada siapa yang dapat menolong kalian melainkan Dia.
Dengan iman, taqwa dan doa, umat Islam jadi kuat. Buktiya, bacalah
Al-Quran, pelajarilah sejarah dan sirah, lihatlah betapa banyaknya
kumpulan muslimin yang kecil mengalahkan kumpulan kafirun yang besar
dan lengkap bersenjata. Semuanya berlaku dengan izin Allah".

Kelas hari itu berakhir dengan pesanan bermakna daripada Ustaz Amru.
Itu yang aku suka sangat tentang universiti ini. Di sini,
ustaz-ustaznya bukan saja mengajar tapi lebih dari itu, mereka
mendidik dan mentarbiyah. Keikhlasan hati mereka terpancar, hingga apa
yang mereka sampaikan dari hati mereka yang ikhlas itu jatuh ke
hati-hati kami yang mendengarnya. Hari itu aku pulang dengan sesuatu
dalam hatiku. Aku jatuh cinta. Aku mahu cinta itu terus bertunas,
berputik dan berkembang mekar lalu memberikan haruman yang semerbak
baunya, bertebaran wangiannya ke seluruh jagat raya dan menghidupkan
hati-hati manusia yang gersang, lantaran kemarau dari hujan iman.

Cinta itu membuat aku mahu terus meyelidiki dan mendalami. Justeru,
pada satu musim bunga yang indah, sekali lagi aku mengikuti rombogan
rehlah Jami'ah. Kali ini kami ke Qal'ah Ajloun atau Kubu Ajloun
melihat jejak Salehuddin Al-Ayyubi. Terasa sejuk mencucuk, angin di
puncak kubu ini. Kubu Ajloun ini adalah salah satu daripada tujuh kubu
yang berperanan dalam penaklukan semula Palestin oleh Salehuddin Al
Ayyubi. Strategi perang panglima ini hebat sungguh. Bayangkan,
ketujuh-tujuh kubu tersebut berada dalam kedudukan mengelilingi
Palestin. Biarpun berada beratus kilometer antara satu sama lain,
setiap Qal'ah boleh berkomunikasi dengan Qal'ah yang lain. Bagaimana?
Mereka guna isyarat api. Kata orang, dari puncak kubu Ajloun ini, kita
boleh tengok tanah Palestin, Benarkah?

"Ustaz, dimana Palestin?" Aku mengambil kesempatan bertanyakan di mana
arah negaranya kepada Ustaz `Amru yang berada di situ.

"Kamu nampak pencawang elektrik tu? Ada bukit yang setentang dengan
pencawang itu. Bukit itulah sempadan Jordan-Palestin. Disebalik bukit
itulah al-Quds. Dan ke kanan sedikit, Masjidil Aqsa". Terang beliau.
Ustaz `Amru tentulah arif dengan negaranya.

"Kamu tahu…". Ustaz `Amru menyambung. "Suatu masa dahulu, pada setiap
hari jumaat, penduduk Jordan akan berduyun-duyun pergi ke sana
menunaikan Solat Jumaat. Begitu cerita yang pernah disampaikan
oleh…oleh arwah ayahku".

"Oh...ayah kamu…" Hanya itu saja yang terkeluar dari mulutku. Tidak
pasti Ustaz `Amru dengar atau tidak. Hasrat di hati ingin terus
bertanya. Tapi terbantut apabila ku lihat ada air bergenang di
matanya. Aku tidak pasti apa yang disedihkan. Rindukan negaranyakah,
atau rindukan bapanya? Apapun, mungkin terlalu banyak episod nestapa
dalam hidupnya yang mengundang hiba.

"Inna lilLahi wa inna ilaihi raji'un".

"Pertama kali aku datang ke sini ialah semasa mula-mula aku berpindah
ke `Amman bersama keluargaku. Ayahku membawaku ke sini. Masa itu aku
masih kecil. Kata ayah. Aku satu-satunya hero dikalangan
adik-beradikku. Sudah tentu, kerana akulah satu-satunya anak lelaki
ayah. Keenam-enam adikku yang lain semuanya perempuan. Ayah berpesan
supaya menjaga ibuku dan adik-adikku biar apa pun yang terjadi. Dari
sini, ayah tunjukkan padaku mana letaknya negara asal usul kami. Ayah
pesan padaku, jangan lupakan tanah itu. Ia milikku. Ia milik orang
Islam. Satu hari nanti, ia mesti menjadi hak milik orang Islam
sepenuhnya. Waktu itu, ayah hanya beritahu padaku, dia akan sibuk
berjuang, entah bila lagi dia akan dapat berbual denganku sebegitu."
"Ayah kamu…err..hmm… " Aku mahu bertanya, tapi aku bimbang nanti
tersalah kata pula.

"Tidak lama selepas itu ayahku meninggalkan aku, ibuku dan adik-adikku
di sini. Semasa ayah pergi. Aku lihat ibuku sungguh tenang. Dia tidak
sedih langsung. Malah ibu memujukku yang memanggil-manggil ayahku
supaya kembali. Ibu kesat air mataku. Jangan tumpahkan air mata kerana
pemergian ayah. Kamu sepatutnya berbangga, bukan bersedih. Kamu mesti
berbangga kerana kamu anak pejuang. Begitu yang ibu katakan padaku."
Cerita Ustaz Amru lagi.

"Rupanya ayahku adalah orang yang sangat dikehendaki puak Yahudi.
Ayahku ketika itu adalah tentera Palestin yang ditugaskan mencari dan
menangkap agen-agen perisikan rejim zionis". Kata-kata itu menjawab
soalan di fikiranku. Aku terkedu. Masya Allah. Ini kali pertama aku
dengar sendiri dengan telingaku tentang kewujudan manusia seperti itu.
Selama ini aku hanya membaca di buku atau akhbar. Hebatnya keberanian
Abu `Amru itu. Rejim zionis jadi mainan hariannya. Bukan calang-calang
orang boleh membuat kerja itu.

"Satu hari, seorang daripada rakan sepasukan ayahku tertangkap. Dia
dipaksa oleh tentera Israel supaya memberitahu di mana ayahku berada.
Dia enggan memberitahu, akibatnya dia di seksa mental dan fizikalnya
dengan seksaan yang amat dahsyat, hingga akhirnya dia tidak mampu lagi
menyembunyikan rahsia. Pada hari yang sama juga, tempat persembunyian
ayah di kepung dengan dua puluh buah trak. Mereka meletupkan tempat
itu bersama ayahku. Hairan ya, mereka hanya mahu menumpaskan seorang
individu yang tak punya apa-apa pertahanan, datangnya dengan dua puluh
buah trak. Mereka benar-benar pengecut. Mereka bukan apa-apa tanpa
peralatan dan senjata".

Ustaz `Amru menyambung lagi,

"Mengikut kata pak cik yang menceritakan peristiwa ini pada ibuku,
ayahku berpuasa pada hari itu. Ahamdulillah, tentu ayahku jadi tetamu
syurga, menjamah hidangan berbuka yang kelazatannya tiada bandingan
dengan nikmat di dunia ini sambil ditemani hurun-aien yang Allah
janjikan buat para syuhada'".

"Masya- Allah! Bukan sedikit rupanya pejuang Palestin yang seperti
Syeikh Ahmad Yasin dan Dr Ar-Rantisi." Kagum. Aku benar-benar kagum!

"Kamu tahu juga ya, tentang dua orang pemimpin hebat itu?"

"Ya, saya ada membaca tentang mereka. Saya berminat. Pergerakan dan
kepimpinan mereka hebat sungguh. Saya amat mengagumi As-Syahid Sheikh
Ahmad Yasin, pejuang berkerusi roda itu. Beliau tidak pernah takut
apa-apa melainkan Allah Ta'ala. Baliau hanya mahukan redha Allah,
seperti kata-katanya- amali an yardalLahu `anni, lantas seluruh
hidupnya diserahkan dijalan Allah. Dipenjara hingga entah berapa kali.
Meskipun keadaan beliau kurang upaya namun beliau sangat ditakuti kaum
yahudi. Hingga akhirnya beliau syahid dibom puak yahudi, hancur
berkecai seluruh tubuhnya kecuali wajahnyanya yang tersenyum. Begitu
juga Al-Rantisi yang sangat mencita-citakan syahid. Allah mengabulkan
impiannya apabila genap sebulan selepas dia menggantikan Sheikh Ahmad
Yasin, dia mengikut jejak langkah pemimpin sebelumnya itu. Dialah
as-syahid, al-hafiz, ad-duktur dan al-qaied. Tapi, saya paling kagum
dengan kisah Zainab Al-Ghazali yang di Mesir itu, kerana dia seorang
wanita, tapi menerima seksaan semasa di dalam penjara, yang belum
tentu orang lelaki boleh menerimanya. Seksaan demi seksaan diterima
hingga habis dayanya. Namun kesabarannya tinggi. Dibuang, dia rehlah.
Dipenjara, dia uzlah. Munajat, pergantungan dan tawakkal pada Allah
tak pernah ditinggalkan, hingga Allah membantunya dengan jalan yang
ajaib dan tidak disangka-sangka. Saya dah baca semua pesanan Zainab
Al-Ghazali untuk para wanita dalam bukunya - Ya Ibnati. Tapi Ustaz,
Kenapa ya, orang yang soleh-soleh dan baik-baik selalu meninggalkan
kita lebih awal?"

"Kamu…oh…saya tak sangka minat kamu sungguh mendalam, Isra'. Kamu tak
pernah menampakkan yang kamu tahu semua itu." Ustaz Amru bersuara agak
terkejut hingga soalanku dibiarkan saja berlalu. Mengapa pula harus
pelik atau terkejut. Aku tidak faham. Bukankah itu yang selalu ustaz
pesankan – ambil tahu tentang kaum muslimin.

Sesungguhnya, apa yang Ustaz `Amru ceritakan padaku membuat aku lebih
memahami erti Islam yang aku anuti. Islam itu tinggi dan tiada yang
lebih tinggi darinya. Kehidupanku di tanah air terlalu mudah, senang,
selesa. Sedangkan muslimin dan mujahidin di negara sana mengorbankan
darah untuk Islam. Apa yang telah aku sumbangkan untuk Islam? Untuk
memboikot barangan Israel saja amat susah. Mujurlah, Ustaz `Amru telah
memberitahu di dalam kelas bahawa para ulama' Islam telah mengeluarkan
fatwa sejak bulan Januari 1953 bahawa wajib memboikot zionis dan
sekutunya. Selepas ini. Aku takkan sama sekali membeli lagi barangan
mereka. Aku sudah sedar, setiap sen yang aku belanjakan buat membeli
barangan mereka adalah peluru-peluru yang menembusi dada-dada saudara
seislamku yang sedang diancam mereka.

Ustaz `Amru benar-benar telah menyedarkan aku. Dia menyedarkan aku
dengan membuka lembaran kisah hidupnya. Aku yakin, yang belum
diceritakan tentu lebih banyak lagi. Tekaanku benar . . .

Tika itu hanya tinggal seminggu saja lagi semester akan berakhir
sebelum peperiksaan menjelang. Aku ingin tanya sesuatu kepada ustaz.
Setelah membuat ulangkaji tentang qawa'id dan nahwu malam tadi, ada
sesuatu yang memusykilkan kepalaku. Aku sangka aku telah faham
semuanya di dalam kelas tetapi apabila membuat latihan malam tadi baru
aku perasan ada beberapa perkara yang aku tidak tahu. Aku perlu
mendapat penjelasan segera. Lalu aku mendaki tangga menuju ke bilik
Ustaz `Amru. Kedatanganku disambut ramah oleh ustaz. Katanya, dia
memang ingin berjumpa denganku. Ustaz Amru memberiku peluang bertanya
kemusykilanku. Beliau kemudiannya menerangkan satu persatu, hingga aku
faham semuanya. Rugi juga rasanya tidak mengajak kawan-kawan yang
lain. Tapi, mungkin mereka sudah faham awal-awal, tidak sepertiku yang
hanya mencari ustaz di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Lega
rasanya bila masalah itu selesai.

"Sudah setakat mana pembacaan kamu, Isra'?" Ustaz bertanya.

"Err…hmm…sebenarnya saya baru saja mula membaca. Sebab itulah saya
baru sedar bahawa banyak juga yang saya tak faham tentang qawaid dan
nahwu ni". Balasku malu. Apa nak buat, kenalah mengaku saja.

Ustaz Amru tersenyum.

"Bukan pembacaan itu. Maksud saya, kamu kan suka membaca buku-buku
selain buku pelajaran. Buku agama, sejarah dan sebagainya. Mungkin ada
yang kamu mahu kongsi dengan saya?"

"Ohh". Itu rupanya maksud Ustaz Amru. Bertanya biarlah jelas!

"Ya. Sekarang saya sedang membaca sebuah buku karangan Harun Yahya.
Tajuknya `Evolution Deceit'. Tentang Darwinism dan penipuan teori
evolusi Darwin. Tapi saya belum habis membacanya. Maklum saja Ustaz,
peperiksaan tak lama lagi. Jadi, saya tumpukan pada peperiksaan dulu."

"Kamu baca yang berbahasa Inggeris, ya? Bukankah buku beliau ada yang
berbahasa arab?" Ustaz bertanya sambil tersenyum.

Mungkin dia fikir aku tidak ingat pesannya – tambahkan perbendaharaan
kata bahasa arab melalui pembacaan.

"Erk…" bukannya aku tak ingat pesan ustaz Amru. Tapi, mahu memahami
konsep yang diterangkan oleh Harun Yahya itu saja memerlukan kefahaman
yang tinggi. Apa lagi kalau berbahasa arab, entah bila baru boleh habis.

"Tak mengapalah. Kamu mahu membacanya pun sudah sangat bagus". Bangga
juga aku dengan pujian Ustaz Amru.

"Kamu tahu. Aku punya seorang adik yang seperti kamu. Dia juga suka
membaca seperti kamu".

"Di mana adik Ustaz sekarang?" Entah Kenapa mudah saja mulutku
bertanya. Pada mulanya tadi. Aku berhajat mahu segera pulang setelah
selesai munaqasyah dengan Ustaz `Amru.

"Ketika kami berpindah dari Haifa ke `Amman, tidak semua ahli
keluargaku yang ikut pindah. Adikku tinggal di sana kerana nenek dan
datukku enggan berpindah dari bumi tanah tumpah darah mereka.
Kasihankan nenek dan datuk, lalu ibu titip adik perempuanku buat
menemani mereka. Tinggallah mereka bertiga di sana. Aku dan kedua ibu
bapaku serta adik-adikku yang lain berhijrah ke sini." Ustaz Amru
begitu terbuka menceritakannya kepadaku.

"Satu hari, adikku ke sekolah seperti biasa. Bila saatnya dia patut
pulang ke rumah, nenekku pun menunggunya. Namun bukan dia yang sampai
ke rumah nenek tapi kawannya. Kawan adikku mambawa pulang ke rumah beg
sekolahnya dan sepucuk surat buat nenek".

Aku mendengar terus tanpa sepatah kata. Minatku bertambah.

Buat datuk dan nenda tersayang,

Berbahagialah kalian kerana aku akan memberi khabar gembira buat
kalian di akhir surat ini. Namun sebelum itu, ada perkara yang ingin
ku sampaikan. Ingatkah datuk dan nenda beberapa hari lepas. Aku tidak
pulang ke rumah. Ku titipkan pesan bahawa aku bermalam di rumah
sahabatku kerana diskusi ilmu.

Ketahuilah datuk dan nenda,

Saat itu sebenarnya maruahku telah diragut. Kesucianku dinodai. Aku
tergadai sudah. Mereka, tentera-tentera yahudi laknatullah itu yang
telah melakukannya. Pagi itu, dalam perjalanan ke sekolah. Aku ditahan
oleh mereka. Mereka melakukannya! Mereka melakukannya pada cucumu ini.
Kudratku tidak upaya melawan mereka. Aku tidak ke sekolah, lalu
beberapa orang kawanku mencari jejakku. Mereka menjumpaiku yang sudah
terkapar lemah di sebuah bangunan usang lantas mereka merawatku hingga
akhirnya aku kembali bertenaga. Ku kuatkan azam untuk kembali ke rumah
dan berlakon di hadapan datuk dan nenda seolah-olah tiada apa yang
berlaku kerana Aku tidak mahu kalian berduka nestapa melihatku.

Namun ketahuilah datuk dan nenda,

Hatiku menderita. Jiwaku parah, jasadku musnah. Benar, jiwaku
menderita. Tapi mereka fikir, dengan merosakkan aku begitu, semangatku
akan lemah? Mereka salah! Mereka hanya menyimbah minyak pada api yang
sedang menyala.

Datuk dan nenda,

Aku mencintai Islam agamaku. Aku mencintai saudara-saudara seislamku
lebih dari diriku sendiri. Seorang yahudi bangsat boleh merosakkan
ratusan gadis muslimah seagama kita. Aku rela mengorbankan diriku
asalkan saudara seagamaku dapatku selamatkan daripada menerima
kecelakaan sepertiku. Seorang musuh terbunuh, bererti ratusan gadis
muslimah terselamat. Dengan nama Allah Tuhan seru sekelian alam. Aku
rela nyawaku mejadi galang gantinya. Aku mahu kecutkan tentera-tentera
laknat itu dengan keberanianku. Datuk dan nenda, mahkota kebanggaanku
telah terkorban. Alang-alang terkorban, biar hingga nyawa dan darah
kukorbankan! Izinkan cucunda menyusul jejak para istisyhadiyyat.
Inilah saja sumbangan yang mampu ku lakukan. Aku sudah bosan hanya
membaling batu dan mencaci hamun mereka dari belakang. Apa lagi yang
mampu ku lakukan untuk membanteras kedurjanaan dan kezaliman dihadapan
mata. Aku tidak punya wang buat membantu para pejuang di medan sana.
Aku tidak punya apa-apa melainkan jasad dan roh yang amat rindukan
syahid. Hatiku sudah kering melihat penderitaan dan kezaliman saban
waktu. Andai tanganku berkuasa. Aku mahu kumpulkan semua penguasa
durjana itu dan kucincang lumat hingga tidak tersisa lagi tubuh dan
hati mereka yang berajakan iblis.�

Bookmark and Share

    


  Member Information For nak_jadi_baikProfil   Hantar PM kepada nak_jadi_baik   Quote dan BalasQuote

tasnimilliyyin
Warga Rasmi
Menyertai: 02.11.2006
Ahli No: 27165
Posting: 14
Dari: serdang,selangor

Kelantan  


posticon Posting pada: 06-09-08 13:05


assalamualaikum...mana lagi sambungan cerita ni..best sangat-sangat ...saya tak belajar kat bumi anbia' jadi dengan baca cerita ini, saya boleh dapat gmbrn suasana kat sana...terima kasih

Bookmark and Share

    


  Member Information For tasnimilliyyinProfil   Hantar PM kepada tasnimilliyyin   Quote dan BalasQuote

Member Messages

Forum Search & Navigation

 

Log in to check your private messages

Silakan Login atau Mendaftar





  


 

[ Carian Advance ]

Jum ke Forum 




Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.085803 saat. Lajunya....