MINGGU Object of Desire yang berlangsung di Mid Valley baru-baru ini juga buat pertama kali memperkenalkan model K880i Sony Ericsson kepada peminat gajet di Malaysia. PAMERAN gajet walau diadakan di mana-mana sekali pun tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai.
Siapa yang tidak teruja untuk melihat lebih dekat rangkaian gajet terkini yang dihimpunkan di bawah satu bumbung dan biarpun tidak berniat untuk membeli, sekadar mencuci mata pun sudah cukup memadai.
Tarikan pameran gajet ini akan menjadi lebih tinggi apabila ia turut disertai oleh jenama-jenama terkemuka seperti Nokia, Canon, Samsung, Sony dan banyak lagi yang sudah sedia maklum sentiasa tampil dengan produk-produk baru.
Atas tarikan yang sama, gedung membeli-belah terkemuka di ibu negara, Mid Valley City Sdn. Bhd (Mid Valley) buat kali ketiga menganjurkan pameran khusus untuk mempromosikan gajet-gajet terkini, baru-baru ini.
Pameran yang diberi nama Minggu Object of Desire' itu menghimpunkan sebanyak kira-kira 13 buah syarikat teknologi terkemuka yang mempamerkan gajet masing-masing.
Ia termasuk Sony, Sony-Ericsson, Samsung, Nokia, Canon, O2, Aztech, Hewlett-Packard, Olympus, Nikon, Pentax, Panasonic serta syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan DiGi.
Tidak cukup dengan itu, pameran ini juga menawarkan sudut interaktif khusus untuk pengunjung bertempat di tingkat tiga yang menghimpunkan koleksi permainan video untuk diuji sendiri seperti Nintendo Wii, Nintendo NDS Lite, Game Boy, Play Station dan tak-Box 360.
“Gajet yang ditawarkan pula terdiri daripada telefon bimbit, kamera dan video digital, komputer riba, monitor, pemain muzik MP3 dan MP4, pencetak, konsol permainan video dan banyak lagi,'' ujar Pembantu Pengurus Perhubungan Awam Mid Valley, Catherine Lim.
Pameran ini juga buat pertama kalinya menampilkan empat produk pertama di dunia dalam kelas masing-masing iaitu komputer riba Lenovo Y300, lampu isolator CAL-LAB, poket PC 3G 02 dan telefon Skype Aztech.
Ia sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 tetapi dalam bentuk tarikan teknologi terkini.
Tidak seperti pameran gajet lain yang menempatkan petak-petak pameran di satu kawasan, pameran Object of Desire Mid Valley City ini sedikit berbeza apabila petak pamerannya dibuka di beberapa kawasan di tingkat yang berbeza.
Alasannya kerana tidak mahu menganggu pengunjung lain yang mungkin terpaksa bersesak di kawasan pameran tersebut, dalam masa yang sama memberikan kebebasan dan keselesaan kepada peminat gajet untuk benar-benar menghayati pameran berkenaan.
Bersesuaian dengan konsep sebuah pameran, gajet-gajet yang dijual juga ditawarkan dengan harga yang cukup murah ditambah dengan pelbagai aksesori lain yang pastinya tidak mungkin diperoleh jika dibeli pada hari biasa.
Berikut adalah beberapa produk yang paling mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengunjung sepanjang Minggu Promosi Digital itu.
*Kamera Digital NV3 Samsung
Hadir sebagai kamera digital pertama di dunia dengan kemampuan memainkan muzik MP3, model terbaru Samsung siri NV3 ini antara produk yang paling menarik minat pengunjung.
Reka bentuknya yang nipis dan elegan dengan kemasan warna hitam berkilat menambahkan lagi keunggulan produk yang menghimpunkan kesemua fungsi multimedia ini.
Model ini juga dilengkapi dengan pengesan CCD dengan resolusi 7.2 megapiksel serta kemampuan memainkan video dan menonton filem.
Layar TFT berukuran 2.5 inci model ini juga memberikan kelebihan rakaman gambar yang jelas dan boleh disimpan di ruang simpanan memori sebesar 15MB.
Jika tidak memadai, model yang dijual pada harga RM1,299 ini juga disokong oleh slot simpanan memori luar sehingga 2MB menggunakan kad MMC atau SD.
*Telefon bimbit Walkman 3G Sony Ericsson
Siri telefon bimbit walkman Sony Ericsson tidak perlu diperkenalkan lagi dan model-model terbaru daripada siri ini sentiasa dinantikan oleh peminat-peminat gajet di seluruh dunia.
Sambutan yang sama juga ditunjukkan kepada siri W950i yang julung-julung kali diperkenalkan pada pameran ini dan menjadi antara produk yang menerima sambutan hangat pengunjung.
Model ramping dan ringan ini dilengkapi dengan jaringan 3G dengan ruang simpanan memori paling besar ketika ini iaitu 4GB atau bersamaan dengan kira-kira 4,000 buah lagu.
Ia juga merupakan model skrin sesentuh pertama Sony Ericsson sekali gus meletakkan model ini di dalam kelas gajet pembantu peribadi digital (PDA).
Model yang beroperasi menggunakan sistem Symbian v9.1 dan UIQ baru ini juga membolehkan penggunanya mengakses kepada Internet dengan mudah.
*PDA tak ada Zinc 02
Memang tidak ramai yang menggunakan PDA ketika ini lantaran ciri-cirinya lebih menjurus kepada pengguna kelas profesional namun, ia juga sebenarnya sesuai kepada semua peringkat pengguna.
Sebagai contoh, PDA terbaru daripada 02 ini yang merupakan gajet dengan jaringan 3G pertama sekali gus mendukung kelebihan aplikasi Internet dengan lebih meluas.
Model dengan papan kekunci QWERTY dan layar ukuran besar TFT ini juga dilengkapkan dengan aplikasi seperti Excel dan Powerpoint.
Meskipun menggunakan platform sistem operasi Mobile 5.0, gajet ini masih menawarkan kuasa yang maksimum dengan pemprosesan Intel Xscale PDA 270 pada kepantasan 520 Mhz serta Intel Hermon Cip untuk tujuan pemindahan data.
Model seberat 175 gram ini juga didatangkan dengan kamera 2.0 megapiksel. Kelebihan lain model yang berharga RM3,288 ini termasuk aplikasi yang memudahkan pelbagai urusan pengguna seperti O2 phone plus, O2 message plus dan SMS sokongan.
*Rangkaian komputer Acer
Terletak di bahagian pintu masuk di sebelah timur Atrium Mid Valley, petak pameran Acer menjadi persinggahan paling strategik lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang mencari komputer peribadi.
Menghimpunkan rangkaian komputer terkini terutamanya komputer riba bermula pada harga serendah kira-kira RM2,000, Acer turut menawarkan kepada pengguna monitor LCD pertama yang menyokong sistem operasi terbaru Windows iaitu Vista.