satu lagi kisah...ana dapat dari emel..
Sunday, March 04, 2007
Chan Li Jin: Dari Gereja ke Masjid
Saya sempat singgah di Auditorium A, Kulliyyah Kejuruteraan Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia untuk menjejak sebarang 'permata berharga' dari
Muzakarah Jawatankuasa Dakwah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang
dianjurkan pada hari ini. Nampaknya kehadiran saya tidak sia-sia. Walaupun
agak sibuk dengan pelbagai komitmen, tempoh 1 jam yang saya laburkan
membawa pulangan yang cukup besar. Hasilnya cukup bermanfaat, dan saya akan
kongsikan bersama kalian.
Parahadirin 'dihidangkan' dengan 'menu' pengisian yang cukup 'berkhasiat'.
'Chef'nya ialah Puan Chan Li Jin atau nama Islamnya; Ahaddhaniah, Editorial
Consultant dari Sanarea PR Sdn Bhd. Puan Chan Li Jin bersedia untuk
berkongsi cerita pengalaman beliau sebelum dan selepas memilih Islam
sebagai cara hidup. Alhamdulillah, nampaknya telah bertambah seorang lagi
saudara kita.
Semoga catatan saya yang diolah dari penyampaian Puan Chan Li Jin berguna
untuk semua, khususnya buat individu-individu yang bergelar Muslim sejak
dari lahir. Ambillah iktibar dalam membina personaliti Muslim yang
berkualiti. (Ayat bertanda * adalah cetusan minda saya sendiri)
Li Jin jarang memakai baju kurung. Ini kerana, orang akan tertanya-tanya ?
adakah Li Jin Melayu atau Cina. Hakikatnya, apa yang Li Jin pakai berbeza
dengan apa yang kebanyakan orang Melayu pakai. Ada orang Melayu menganggap
baju kurung hanyalah sekadar fesyen. Kerana fesyen, mereka tidak memakai
tudung. Tetapi tidak bagi Li Jin kerana Li Jin memakai tudung. Li Jin
memakai baju kurung kerana menutup aurat dan memelihara kesopanan.
Lazimnya, soalan dari orang Melayu yang menghujani Li Jin ? Awak kahwin
dengan orang Melayu ke? Ya, betul. Ramai orang di kalangan kita yang
bersikap negatif, sering menganggap ramai non-Muslim memeluk Islam kerana
cinta.
*Inilah sikap 'penggalak' agar tidak ramai orang memeluk Islam, biar mereka
(non-Muslim) terus dengan kepercayaan mereka. Di manakah sokongan kita
kepada saudara baru?
Soalan dari kawan-kawan non-Muslim pula ? Kenapa awak pakai tudung? Masuk
Islam sudah cukuplah, tak payah pakai tudung. Lagipun ramai orang Melayu
tak pakai tudung.
Inilah salah faham yang wujud di kalangan non-Muslim ? Melayu adalah
Islam, Islam adalah Melayu. Maka jika orang Melayu tak pakai tudung, maka
Islam pun tak suruh pakai tudung. Kalau orang Melayu main 'nombor ekor',
maka Islam tak larang penganutnya bermain 'nombor ekor'. Kitalah yang
sepatutnya memurnikan persepsi ini.
Maka jawapan yang cukup menyentuh jiwa dari Li Jin ? Saya mahu dikenali
sebagai seorang Muslim. Sekiranya satu hari nanti ketika saya sedang
melintas jalan tiba-tiba dilanggar kereta lalu meninggal, saya mahu
diiktiraf sebagai seorang Muslim. Saya tidak mahu dihantar ke Tokong,
tetapi saya mahu dikebumikan sebagaimana tatacara jenazah Muslim diuruskan.
*Adakah kekuatan akidah kita seteguh ini? Berpuluh tahun menganut Islam,
mungkin kepercayaan Li Jin jauh lebih menyakinkan dari kita?
Dikongsikan latar belakang kehidupan Li Jin. Li Jin dilahirkan di dalam
keluarga Kristian Katholik. Di usia muda, Li Jin terlibat aktif di dalam
program keagamaan Kristian seperti kumpulan koir dan lain-lain. Li Jin giat
menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak gereja. Li Jin
bergaul bebas dengan ramai penganut Kristian Katholik.
Tiba suatu masa, Li Jin terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur. Memandangkan Li
Jin langsung tidak mempunyai saudara-mara atau sahabat handai di sana, maka
rakan segereja mencadangkan agar Li Jin menetap di sebuah gereja yang
menyediakan asrama di ibu kota. Li Jin bersetuju dan bermulalah diari
kehidupannya di gereja itu.
Li Jin yang berpersonaliti peramah sering dikunjungi kawan-kawannya dari
komuniti Katholik. Rahib di sana mula berasa pelik kerana terlalu ramai
yang menziarahi Li Jin dan mereka merasakan bahawa Li Jin terlalu
bersosial. Akibatnya, Li Jin telah dihalau dari tempat persinggahannya itu
dengan alasan perlakuannya telah mencalar imej gereja. Li Jin yang
terkesima terpaksa berpindah ketika itu juga di kala hujan lebat turun
mencurah-curah. Li Jin mula berfikir panjang. Li Jin merasakan ada sesuatu
yang tidak kena. Li Jin terus berusaha untuk mencari haluan yang baru.
Li Jin akhirnya bekerja di sebuah agnesi pelancongan dan banyak bergaul
dengan orang Melayu. Di kalangan rakan-rakan Melayunya, ada yang
mengamalkan cara hidup sebagai seorang Muslim dan ada juga yang tidak.
Namun, baginya yang paling istimewa ialah sahabatnya yang bernama Zura.
Zura merupakan seorang 'rockers' dengan rambut yang tercacak, Zura juga
'merokok' dan 'merempit'.
Suatu hari ketika sedang out station, maka segala-galanya bermula di sini.
Zura tinggal di bilik hotel bersama Li Jin. Tiba-tiba, Zura ke bilik air,
'bermain air' dan seterusnya memakai 'baju serba putih' dan membentangkan
suatu 'hamparan' lalu 'bersembahyang'. Li Jin sangat teruja kerana inilah
kali pertama Li Jin melihat kaedah Muslim bersolat.
*Persoalannya, bagaimana dengan orang-orang Melayu yang berada di
sekeliling Li Jin? Adakah mereka tidak pernah bersolat? Menurut Li Jin,
kebanyakan non-Muslim tidak tahu bahawa umat Islam perlu bersolat. Malah
keluarganya langsung tidak tahu apakah sebenarnya laungan azan dan mereka
menyangka itu adalah nyanyian. Ini bermakna kita perlu kerja keras untuk
menyampaikan kefahaman yang jelas tentang Islam kepada golongan bukan
Islam. Siapa lagi kalau bukan kita yang bersaksi bahawa Allah SWT itu Tuhan
kita? Kita yang mengakui Rasulullah SAW itu Nabi kita?
Usai solat, Li Jin Tanya Zura pelbagai soalan berkenaan solatnya sebentar
tadi. Maka Zura mula bercerita tentang Islam menurut acuannya sendiri.
Walaupun seorang 'rockers', namun Zura menekankan bahawa dia tidak pernah
meninggalkan kewajipan sebagai seorang Muslim. Zura terus bercerita tentang
kebaikan Islam. Ketika itu, Li Jin terasa bagai 'wahyu' telah datang
mengisi hatinya.
*Bayangkan, seorang 'rockers' mampu untuk 'menyejukkan' hati seorang
non-Muslim dengan pelbagai cerita tentang Islam. Bagaimana pula dengan
kita? Tidak perlu pergi jauh, sekadar kira ? berapa ramaikan orang Islam
yang kita berjaya dakwahkan?
Bila berbicara tentang solat dan puasa, Li Jin merasakan bahawa Islam ialah agama yang cukup indah. Islam ialah agama yang cukup sistematik dan mendidik umat-Nya
agar berdisiplin. Lihat sahaja bagaimana kerukunan ibadah solat dan puasa yang
cukup tersusun dan berhikmah. Kemuncaknya apabila Li Jin ke Pejabat Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bertanya tentang persoalan
kaedah pengebumian seorang Muslim. Seorang ustazah menjawab bahawa mayat
Muslim perlu dikebumikan sesegera mungkin pada hari kematiannya juga.
Li Jin melihat Islam adalah agama yang mempermudahkan si mati dan juga kaum
keluarganya yang masih hidup. Tidak seperti agama lain, jenazah si mati
tidak ditanam terlebih dahulu dan akan disimpan di rumah buat beberapa
hari. Kemudian, barulah jenazah tersebut akan dibakar. Li Jin mula sedar
bahawa Islam adalah agama yang benar dan tidak membebankan penganut.
Hidayah mengetuk hati Li Jin. Alhamdulillah, Li Jin kini seorang Muslimah.
Nampaknya telah bertambah seorang lagi saudara kita. Semoga barakah terus
menyelimuti kehidupan Li Jin.
[ Telah diedit oleh: miledi pada 14-04-07 00:32 ]