KUALA LUMPUR 2 Mac – Golongan remaja berusia 16 hingga 20 tahun merupakan kumpulan yang paling ‘berani’ menunggang motosikal di jalan raya tanpa lesen.
Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar berkata, daripada sejumlah 1,197 saman yang dikeluarkan pada Selasa dan Rabu lalu saja, menyaksikan hampir 70 peratus atau 811 kes membabitkan penunggang motosikal lingkungan usia terbabit tidak memiliki lesen di seluruh negara.
Menurutnya, angka tersebut amat membimbangkan berikutan mereka merupakan jumlah pengguna jalan raya yang besar dan dikenal pasti boleh menjadi penyumbang kepada kemalangan maut.
‘‘Jumlah yang tinggi ini menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya di Malaysia masih berada pada tahap rendah bukan sahaja membahayakan diri tetapi turut membabitkan orang lain yang tidak berdosa,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Nooryah berkata, polis telah mengeluarkan 280 saman kerana tidak memiliki lesen kepada penunggang motosikal di Kelantan sementara Kedah dan Selangor, masing-masing 207 saman dalam tempoh dua hari.
Sehubungan itu beliau berkata, polis akan terus menempatkan anggota trafik dalam bas ekspres ke beberapa destinasi yang dipilih secara mengejut.
Katanya, strategi itu terbukti berkesan dalam Ops Sikap XII yang diadakan baru-baru ini.