Poligami hanya untuk lelaki pilihan
Pandangan pertama dari Encik ok. Dalam e-melnya, beliau berkata, sudah fitrah kejadian, wanita itu bengkok dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam. Maka tugas lelaki meluruskannya supaya tidak terlalu keras agar tidak patah. Sedangkan Aisyah cemburukan Siti Khadijah inikan pula wanita zaman ini yang lemah imannya.
“Namun saya setuju dengan Encik Zawawi, kisah tiga minggu lalu, tetapi saya tidak nafikan perasaan wanita terhadap poligami. Saya terpanggil menulis bila ada wanita menafikan poligami. Memang mereka kata tidak berniat menafikan hukum Allah tetapi satu ketika dahulu mereka promosikan kempen satu isteri, satu suami.
“Tetapi saya terfikir balik, fenomena ini terjadi kerana ramai lelaki ‘tak tahu ukur baju di badan sendiri’. Ini penyebab undang-undang Allah dihina oleh wanita lemah iman dan disalahertikan. Kesilapan ketara apabila suami gagal jadi ketua keluarga. Bila suami lemah iman, cetek ilmu bagaimana nak didik dan bimbing isteri? Saya sebagai suami amat marah kerana mereka tidak faham kemurnian poligami.
“Seharusnya poligami menjadi penyelamat wanita dari pelbagai fitnah dan anak-anak. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya dan amat menyedihkan. Sepatutnya isteri dan keluarga yang ada menjadi kayu pengukur untuk suami sebelum membina keluarga baru. Adakah apa yang diberi selama ini mencukupi, dapat dikekalkan?
“Persoalan penting bagaimana tahap pengamalan agama isteri dan anak-anak. Kebahagiaan sebenar bukan diukur dari faktor wang dan kebendaaan, tetapi tahap agama. Jika dua persoalan ini tiada masalah, maka dipersilakan berpoligami.
“Kepada para isteri, jangan tamak dan jangan fikirkan kehidupan di dunia sahaja. Suami hanya teman dan tanggungjawab tetapi tempat pergantungan sebenar hanya kepada Allah! Jangan nafikan hak suami berpoligami jika dia benar-benar layak! Isteri jangan cuba berbohong mendakwa suami tidak layak. Itu semua mainan emosi, nafsu dan syaitan untuk melihat masjid yang dibina sekian lama runtuh. Ingatlah meminta cerai itu haram dan besar dosanya
“Jikalau dosa dengan Allah, anda boleh bertaubat, tetapi dosa dengan suami yang soleh tidak terampun. Jika suami kahwin lain, berikannya peluang untuk buktikan kemampuannya. Jangan terus beri kata dua minta cerai! Kalau jelas suami tidak jalankan tanggungjawab, baru ambil tindakan. Jika cintakan suami, jangan biarkan suami buat dosa bersekedudukan dan sebagainya. Suami juga manusia tidak terlepas dari godaan syaitan walau sekuat mana imannya.
“Saya sedih bila melihat ramai wanita baik atau ingin jadi baik malangnya jadi mangsa lelaki. Dua tiga bulan lepas ada berita mahasiswa tahfiz Quran ketagih seks. Kejadian seperti itu tidak terjadi kalau teman lelakinya baik. Sedarlah wahai wanita, lelaki yang baik sedikit bilangannya, janganlah mereka dinafikan berpoligami.
“Sebab itu saya merayu agar isteri yang mempunyai suami yang baik supaya berkongsi kasih, menggalakkan suami kahwin lagi. Payung emas menanti anda di syurga. Jangan kerana ramai gagal berpoligami, anda anggap semua lelaki tidak layak.
“Saya yakin tulisan saya bakal mengundang kontroversi, tapi terpulanglah. Tetapi, jika melihat isu ini dari kaca mata iman dan Islam, pasti kita dapat lihat kecantikannya. Ingatlah wahai suami mahupun isteri, kejayaan hidup di dunia ini hanya satu – iaitu sejauh mana kita dapat membawa agama dalam kehidupan dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w. dan para sahabat sejauh itulah kejayaan kita di dunia dan di akhirat,’’ demikian pandangan ok dari UIA.
Sementara itu Encik Zek dalam e-melnya pula mengaku dulu dia memang tidak suka baca DCCK kerana katanya berat sebelah.
“DCCK cuma bela kaum wanita, tetapi setelah mengikutinya saya mengaku ia terlihat adil. Akhir-akhir ini banyak pandangan disiarkan pasal poligami, isu sensetif terutama kepada wanita.
“Namun poligami hanya dipraktikkan oleh kurang dari lima peratus populasi perkahwinan, jadi sepatutnya kita lebih banyak membicarakan soal majoriti. Kalau nak diikutkan ketidakadilan atau kezaliman, hanya berlaku lebih berleluasa dalam perkahwinan monogami, di mana ramai isteri mahupun suami dizalimi secara fizikal ataupun mental (emosi). Contohnya ramai isteri lebih rela suami simpan mistress atau teman dari menjadi isteri yang sah. Iu satu kezaliman atau penderaan emosi.
“Bagaimanapun saya mengaku pernah berpoligami selama 10 tahun tetapi akhirnya saya mengalah. Kerana itu saya terpanggil menceritakan pengalaman saya agar pembaca melihat isu ini dengan lebih positif, adil dan objektif.
“Selama ini saya nampak apa yang ditulis tentang berpoligami ini lebih kepada pandangan pihak ketiga dan banyak diselaputi perasaan marah, dengki, emosi dan agak negatif dari beberapa sudut. Saya tidak salahkan mereka, kerana itulah gambaran dan realiti sekeliling kita. Tetapi janganlah kerana keburukan dan kekurangan seseorang pengamal poligami itu, maka ia mesti ditentang. Poligami dibenarkan syarak.
“Pengamalnya mungkin banyak kekurangan, namun ia tetap suci seperti dipraktikkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Saya terjebak ke kancah berpoligami sewaktu usia mencecah 40 tahun. Waktu itu saya di puncak kejayaan, di segi kerjaya dan kewangan. Pangkat besar, pengurus besar syarikat gergasi, bergaji lima angka. Waktu itulah saya mula berjinak dengan kemanisan duniawi, termasuk wanita.
“Ramai wanita cuba menggoda. Akhirnya saya termakan pujukan janda muda beranak dua. Farra namanya. Dia sanggup jadi mistress asalkan saya bersamanya dan mencintainya. Saya ada pegangan dan asas agama, lantas menikahinya secara sah.
“Isteri pertama pasti mengamuk. Namun saya teruskan pernikahan itu sebab tidak mahu bergelumang dosa, di samping berniat suci menolong Farra dan anak-anaknya. Sebelum itu hidup Farra agak bebas, berpakaian tanpa menutup aurat, rambut mengurai tanpa tudung dan selalu berbikini di kolam renang awam.
“Saya tahu untuk menjinakkannya adalah tugas amat berat, namun berkat usaha, kegigihan dan yang pastinya hidayah Allah, selepas beberapa bulan memaksa, Farra dapat dijinakkan dengan tudung, menutup aurat dan tidak lagi ke kolam renang.
“Selepas itu cinta kami terus mekar dan banyaklah wang saya belanjakan. Namun hidup ini seperti roda. Waktu senang, mekarlah cinta Farra. Takdir menentukan saya berhenti kerja, ambil VSS dan berniaga. Merudum ekonomi rumah tangga, dari senang-lenang kepada berjimat cermat.
“Akibatnya Farra dan saya sentiasa bergaduh, punca utamanya wang. Dulu duit banyak, tak ada masalah, tak ada pergaduhan. Tetapi bila susah, kehidupan terus dilanda arus dan gelombang. Setiap kali bergaduh, Farra minta cerai. Itulah perangainya kufur nikmat.
“Namun saya bersabar, tidak pernah terniat menceraikannya. Sekiranya saya ceraikan dia, pasti hidupnya musnah. Dia bercakap ikut emosi dan nafsu amarahnya. Setelah sedar, dia akan menyesal. Dia kembali menyatakan kasih dan cintanya kepada saya. Itulah antara kelemahan wanita.
“Namun selepas dia kembali bekerja, dan bergaji besar, kehidupan kami lebih baik. Tetapi gaji saya masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan asas keluarga pertama saya yang ramai anak masih bersekolah. Walaupun begitu, disebabkan banyak hutang, dan gaya hidup yang agak boros dulu, Farra sentiasa tidak cukup duit, sekalipun gajinya lebih banyak. Akibatnya dia suka memaki saya, mengungkit-ungkit, menghina gara-gara tidak cukup duit.
“Sepatutnya dia faham saya ada banyak tanggungjawab dan insaf kerana saya membantunya ketika dia susah. Seharusnya dia membantu ketika saya susah. Tetapi Farra sentiasa mengherdik dan menghina saya, akhirnya dia minta cerai. Itulah perangainya waktu terdesak gara-gara wang.
“Dulu saya tidak mahu ceraikannya sebab dia tidak bekerja, dan anak-anak masih kecil. Tetapi setelah dia bekerja dan anak-anak tiri sudah besar, saya ceraikan dia dengan hati yang amat berat. Itulah penamat jodoh kami.
“Dari pengalaman pahit itu boleh dianalisiskan, pertama kita kena terima bahawa jodoh pertemuan, perpisahan, rezeki dan maut adalah hak mutlak Maha Pencipta. Janganlah kita pandai-pandai mempertikaikan. Ramai antara kita menentang qadak dan qadar, jika kita terima hakikat kejadian sebegitu, maka kita pasti dapat hidup lebih tenteram.
“Apa yang perlu dilakukan, tangani dan mengurus circumstances atau permasalahan dengan baik. Selesaikanlah dengan matang, waras, bijaksana dan penuh kesabaran.
“Kedua, biasanya wanita cenderung mengikut emosi dari akal yang waras, terutama ketika dilanda masalah. Begitulah susahnya menjaga hati dan emosi wanita. Tersilap langkah, patahlah dia.
“Dalam hal-hal sebegini, lebih baik bercerai dari bergaduh, kerana perceraian adalah di antara jalan keluar dibenarkan Allah sekalipun amat dibenci-Nya.
“Ketiga, poligami bukan hak semua, walaupun ramai lelaki inginkannya. Malah menjadi sifat lelaki suka dibelai dan dicintai ramai wanita. Itulah yang akan berlaku di syurga, penghuninya dikelilingi para bidadari yang manja-manja dan amat jelita. Untuk menjadi penghuni syurga bukan mudah. Amal ibadat yang banyak tidak menjanjikan syurga. Hanya Allah menentukan.
“Begitulah dengan poligami. Sekalipun ramai yang berminat, namun hanya insan teristimewa boleh melakukannya dan hanya yang tersangat istimewa boleh melakukan dengan adil dan berjaya. Sebab itu janganlah dikeji atau dikecam poligami, kerana ia untuk mereka yang dipilih oleh Allah. Kalaulah ‘gagal’ lebih baik berundur.
“Poligami memang banyak pahit dari manisnya kepada lelaki atau wanita. Sebagai lelaki yang pernah berpoligami selama 10 tahun, pahit yang dirasai ternyata mengatasi kemanisannya, mungkin kerana kelemahan saya sendiri. Kawan-kawan saya ada yang berjaya. Tahniah! Kepada rakan-rakan yang berhasrat berpoligami, fikirlah beratus-ratus kali. Banyakkan solat hajat, istikharah dan yang penting kewangan.
“Kalau setakat bergaji lima atau enam ribu sebulan, belum mampu berpoligami. Jika ada harta sekalipun, nilailah kemampuan diri isteri-isteri tersebut. Kadang-kadang kita rasa boleh, namun isteri pertama tidak mampu menghadapinya. Kadang-kadang kita rasa isteri pertama boleh, mungkin isteri baru tidak bersedia berkongsi.
“Nilailah dengan cara objektif, jangan hanya pandai bermain kata-kata. Dulu pun isteri kedua saya hanya inginkan secebis kasih sayang. Tapi semua terlerai, terkecai dan terlena dengan badai dan ombak kehidupan berpoligami.
“Namun, kepada yang bersedia, saya hanya ucapkan all the best, semoga anda bahagia mengikut sunnah Rasulullah itu. Jika berjaya, andalah antara sedikit hamba-Nya yang tersangat istimewa, tahniah!” begitulah pandangan Zek.
Demikian hebatnya poligami, namun terpulang kepada anda membuat keputusan. Baca dan analisis dengan tenang.