Saya bukanlah orang yang paling layak untuk berbicara pasal cinta. Kerana umur yang masih muda, maka pandangan saya mengenai cinta mungkin terbatas, berbanding golongan-golongan senior seperti ibu bapa. Namun izinkan saya untuk berkongsi pandangan mengenai cinta.
Cinta sama seperti nafsu. Yakni mempunyai skop yang luas. Cinta tak sepatutnya bertumpu kepada cinta kepada berlawanan jenis semat-mata. Begitu juga nafsu, tidak perlu berfokus kepada syahwat atau seks semata-mata.
Saya yakin ramai bersetuju dengan mukaddimah diatas. Topik perbincangan pada di dalam artikel ini mungkin berkisar kepada konsep atau tatacara cinta. InsyaAllah saya sedaya mungkin akan mencakupi skop cinta yang tidak hanya terbatas kepada cinta berlawanan jenis atau lebih senang dikenali sebagai cinta remaja.
Saya suka untuk mengajak pembaca untuk membincangkan mengenai Cinta Allah, Cinta Rasul, Cinta ibu bapa, Cinta ulamak, Cinta pemerintah, Cinta adam dan hawa, dan yang terakhir mungkin mengenai Cinta bangsa.
Sebelum kita masuk kepada perbincangan yang lebih terperinci, ingin saya jelaskan tentang fikrah cinta yang ingin saya utarakan. Pada pandangan saya, cinta perlu mempunyai dua rukun. Pertama ialah perasaan cinta, kedua ialah perlakuan atau pembuktian kepada cinta itu. Maknanya disini ia mencakupi dari segi teori dan praktikal.
Cinta Allah
Sebagai muslim, kita diajar untuk mencintai Allah. Islam mengajar kita untuk menginsafi kejadian diri yang hina, dan kewajipan kita sebagai hamba untuk menunaikan hak-hak yang patut diberi kepada Allah. Dari segi teori ia kelihatan mudah dan senang difahami, tetapi bagaimana pula dari segi praktikal?
Dari segi praktikal kita perlu mengamalkan apa yang diajar oleh syariat yakni keseimbangan dalam amalan kita. Ada orang yang begitu ekstrem dalam membuktikan cintanya kepada Allah, dengan mengabaikan hak-hak pada dirinya. Padahal Allah tidak menyukai hambaNya yang menzalimi diri sendiri.
Namun ada juga yang begitu lalai dalam mencari atau memenuhi cinta Allah. Golongan ini terlala mencintai diri sehingga alpa kepada hak-hak yang wajib ditunaikan kepada Allah. Moga kita tak tergolong didalam golongan yang ekstrem mahupun golongan yang lalai.
Cinta Rasul
Rasul adalah kekasih Allah. Rasul juga adalah hamba Nya. Ada umat Islam yang membuktikan cinta Rasul dengan mengadakan Maulid Nabi. Ada juga umat Islam yang menyatakan cinta Rasul dengan mengadakan demonstrasi apabila berlaku penghinaan terhadap nabi. Kedua-duanya mempunyai niat yang baik. Yakni membuktikan kecintaan pada Rasul.
Namun, alangkan indah jika kecintaan pada Rasul sentiasa mekar dan sentiasa subur dalam kehidupan kita seharian…?Kita boleh membuktikan kecintaan kita pada kehidupan seharian dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasul dalam kehidupan. InsyaAllah diri akan terassa hamper dengan Rasul.
Cinta ibu bapa
Cinta ibu bapa perlu berada dibawah cinta Allah dan Rasul. Hasil cinta antara ibu dan bapa maka kita lahir ke dunia. Maka amatlah derhaka anak-anak yang gagal membuktikan kecintaan pada ibu bapa.
Satu kaedah yang paling mudah ialah, apabila cinta kita kepada selain ibu bapa(tak termasuk cinta Allah dan Rasul) menambahkan cinta kita pada ibu bapa, maka itu adalah contoh kecintaan ibu bapa yang terbaik. Remaja tidak harus mengenepikan cinta ibu bapa apabila terlibat dengan cinta remaja, cinta remaja sepatutnya akan menyuburkan kecintaan terhadap kedua ibubapa mereka.
Cinta pemerintah dan ulamak
Pemerintah perlu dikasihi dan ditaati selagi mana mereka mendirikan solat dan mengajak kepada amar makruf dan nahi mungkar. Jika sebaliknya, maka kita perlu menasihati pemerintah. Menasihati atau menegur perlu dibezakan dengan memberontak atau menikam pemerintah dari belakang. Ini adalah contoh kecintaan yang terbaik kepada pemerintah.
Ulamak adalah pewaris nabi. Allah mengangkat darjat ulamak. Tetapi ulamak tetap manusia biasa. Mungkin ada kesalahan mereka semasa melakukan ijtihad, namun kita tidak perlu terus membesarkan kesalahan mereka mengatasi kebaikan yang telah mereka sumbangkan. Kecintaan pada para ulamak perlu disusuli dengan sikap yang berhemah. Kita tidak perlu taksub sebagai bukti kecintaan, dan kita juga tidak perlu mengutuk sebagai bukti kecintaan.
Cinta adam dan hawa
Sesiapa pun tak dapat menafikan kepentingan cinta ini. Namun mungkin ramai remaja yang masih belum memahami cinta ini. Cinta ini bukan cinta sebelum perkahwinan. Cinta sebelum perkahwinan tidak bererti, kerana ia tidak mempunyai asas. Berbeza antara cinta apabila ikatan yang sah sudah dimeterai, ia cinta yang mempunyai halatuju, matlamat dan mempunyai asas yang kukuh.
Kepada para remaja, termasuklah saya, cinta ini sepatutnya dapat membantu seseorang itu lebih mencintai Allah, Rasul dan ibu bapa.Jika dengan cinta berlainan jenis membawa kita kearah melupakan cinta Allah, Rasul dan ibubapa…nyatalah ada sesuatu yang tidak kena dengan cinta ini.
Cinta bangsa
Saya adalah orang Melayu. Sepanjang pengamatan saya, orang Melayu mencintai Melayu dengan mengamalkan konsep tidak boleh mengkritik kesalahan didepan pesalah, tetapi dibolehkan mengkrtitik di belakang (mengumpat). Sedar atau pun tidak inilah konsep cinta Melayu. Kita perlu berhijrah. Kecintaan kepada bangsa (melayu) perlu disertai dengan kritikan membina dan amalan mengumpat perlu dibuang.