SUATU hari mungkin nama telefon bimbit perlu diubah kerana ia tidak lagi digunakan untuk membuat panggilan suara.SEBUT sahaja telefon bimbit, anak-anak kecil pun begitu cekap mengendalikannya. Dewasa ini, boleh dikatakan hampir tiada yang tidak mengenali apa itu telefon bimbit kerana popularitinya.
Kita boleh melihat ia digunakan di mana- mana. Di rumah, pejabat, di dalam kereta, di tepi-tepi jalan, restoran, termasuklah di tempat-tempat yang ia tidak diperlukan seperti hospital, panggung wayang, tempat ibadat dan sebagainya.
Nada deringnya yang pelbagai itu sememangnya menyakit hati jika ia digunakan di tempat-tempat yang begitu senyap dan sunyi oleh mereka yang tidak `faham bahasa.’
Seolah-olah mereka sahaja yang mempunyai telefon bimbit dan merupakan orang yang sangat penting hinggakan tidak boleh mematikan telefon itu walaupun sesaat.
Sememangnya diakui rakyat Malaysia merupakan golongan yang begitu taksub dengan telefon bimbit dan ini terbukti jika kita dilihat kepada bilangan penggunanya.
Statistik dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan pada awal tahun ini, terdapat sebanyak 20.6 juta pengguna telefon bimbit di negara ini dan ia mewakili kadar penembusan kira-kira 77 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Bagaimanapun tidak lama lagi telefon bimbit akan tiada lagi. Benarkah demikian?
Walaupun, mungkin tidak benar tetapi sekurang-kurangnya nama atau istilah telefon bimbit itu sendiri perlu diubah kerana telefon bimbit sekarang bukan hanya berfungsi sebagai sebuah telefon - alat untuk komunikasi suara.
Memiliki kamera, boleh menjadi pemain muzik, memainkan video, aplikasi produktiviti (untuk menaip dan mengira), mengakses Internet, menghantar e-mel, menghantar pesanan ringkas dan pelbagai lagi fungsi yang terdapat dalam telefon bimbit terkini.
Maka sudah tentu nama telefon bimbit itu sendiri sudah tidak relevan di zaman ini kerana kebanyakan telefon bimbit telah menjadi telefon atau gajet pintar.
Maka dapat kita lihat syarikat-syarikat pengeluar telefon bimbit terkenal seperti Nokia, Sony Ericsson, Motorola, Samsung dan sebagainya telah banyak memperkenalkan pelbagai telefon bimbit yang sebenarnya adalah gajet multimedia.
Nokia seperti yang kita ketahui telah memperkenalkan pelbagai peranti multimedia melalui produk-produknya termasuk telefon yang berfungsi sebagai alat permainan, kamera video, alat produktiviti dan sebagainya.
Syarikat itu menyatakan mereka kini telah memasuki era ‘komputer mutlimedia’ mudah alih yang sebelum ini hanya dikuasai oleh syarikat-syarikat komputer.
Samsung melabelkan kategori produk- produk generasi baru ini sebagai ‘terminal maklumat bergerak’ dan Sony Ericsson mungkin lebih gemar jika mereka dikenali sebagai pengeluar telefon Walkman.
Selepas berjaya melepas ujian untuk menjadi sebagai sebuah kamera berkualiti, alat permainan bergerak, pemain MP3 dan video yang mengagumkan, resolusi skrin yang seakan skrin komputer dan TV, telefon pintar sedang memasuki era baru.
Sememangnya ia sebelum ini boleh digunakan sebagai alat untuk mengakses Internet, tetapi kelajuan rangkaiannya sungguh ‘menyedihkan’ walaupun kita telah memasuki era telekomunikasi Generasi Ketiga (3G).
Maka, telefon 3G masih gagal memenuhi permintaan atau keinginan sesetengah golongan yang ingin menjadikan telefon, peranti atau gajet mereka sebagai alat mengakses Internet yang boleh dipercayai masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, kini teknologi terus berkembang dengan usaha menggabungkan telefon bimbit/pintar tersebut dengan rangkaian Internet wayarles sama ada WiFi (sedia ada) atau WiMax (akan datang).
Jika semua ini digabungkan, Naib presiden eksekutif Intel berkata: “Saya rasa sukar kita hendak mendapatkan nama yang sesuai untuk memanggil alat ini tetapi jika ia hanya untuk panggilan suara, telefon selular (atau telefon bimbit) merupakan nama yang paling sesuai.’’
Bagi Samsung, syarikat itu sedang berusaha keras untuk memasuki dunia Mobile WiMax dan akan melakukan pelaburan kirakira RM1,080 juta setahun bagi pembangunan peranti Internet bergerak jalur lebar tersebut.
Korea Selatan sendiri telah memperkenalkan beberapa versi WiMax bergerak di kawasan bandar walaupun penerimaannya masih perlahan ketika ini.
Syarikat teknologi terkenal dari negara itu, Samsung sudah tentu tidak melepas peluang untuk menjadi antara yang pertama dalam industri dengan membuka kilang dna pusat penyelidikan WiMax di China.
Syarikat itu kini sedang mempromosikan WiBro, peranti bergerak untuk digunakan bersama WiMax.
Rangkaian WiMax, walaupun masih baru tetapi telah menyaksikan momentum penerimaan di kalangan penyediaan perkhidmatan wayarles jalur lebar di seluruh dunia.
Tidak terkecuali di Malaysia, WiMax juga sedang dipromosikan sebagai rangkaian masa depan dengan Intel Malaysia sendiri telah melaksanakan beberapa ujian rangkaian.
Maka apabila telefon bimbit anda sudah digabungkan dengan pelbagai teknologi itu, wajarkah ia dikenali sebagai ‘telefon bimbit’? Atau anda mempunyai cadangan nama lain yang lebih sesuai?