PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa gaji kakitangan awam tidak dapat disemak buat masa ini kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.
Saya memang bersetuju kerana ia akan melibatkan jumlah kakitangan awam yang ramai.
Akan tetapi, apa yang agak mengejutkan saya ialah dalam masa yang sama Timbalan Menteri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow menyatakan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM500,000 sehari bagi menangani masalah pendatang tanpa izin.
Cuba bayangkan berapakah jumlah yang dibayar dalam masa sebulan, setahun dan seterusnya? Barangkali jumlahnya dapat menampung kenaikan gaji kakitangan kerajaan.
Sebagai kakitangan awam kumpulan sokongan dan bertugas di kota, saya boleh menerima alasan kerajaan tidak mampu menyemak semula gaji kakitangan awam kerana belum cukup wang.
Tapi wajarkah kita terus menyara pendatang haram yang ditahan? Ini yang saya tidak boleh terima kerana saya juga menerima kesannya iaitu gaji saya tidak akan disemak semula.
Oleh itu saya mendesak supaya kawalan di sempadan serta semua pintu masuk ke negara kita diperketatkan.
Anggota pasukan penguat kuasa hendaklah bertugas dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh menyekat kemasukan pendatang tanpa izin kerana mereka telah menyebabkan kerajaan kekurangan wang untuk membiayai semakan skim gaji kakitangan awam. Akibat kecuaian mereka berkenaan, kita semua menanggung padahnya.
Dalam masa yang sama, adalah lebih baik kerajaan menggunakan wang RM500,000 sehari itu untuk memperkukuhkan kawalan sempadan dan pintu masuk bagi menyekat kemasukan pendatang haram.
Gunakan peruntukan yang sama untuk menambah kekuatan anggota dan peralatan.