mujahidah khaulah azwar
SEWAKTU pertempuran sengit berlaku antara tentera
Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid dengan
tentera kafir Rom, telah terjadi suatu peristiwa yang
menakjubkan. Peristiwa itu telah meninggalkan sejarah
gemilang kepada pejuang Islam lain untuk
mencontohinya. Sejarah kan tetap tinggal sejarah. Dan
sejarah ini akan menjadi suatu memori indah buat umat
Islam, sebagaimana umat dulu membangunkannya.
********************************************
PERISTIWA ini terjadi kepada seorang pejuang misteri
yang menyerbu ke tengah barisan musuh dengan begitu
berani, meluncur dengan kuda meninggalkan para tentera
berkuda yang lain di belakang dan melompat ke tengah
medan perjuangan. Pejuang misteri itu telah menerkam
dan merobek musuh dengan pedang dan tombak yang
dibawanya. Dengan sekali hayun sahaja, tiga orang
musuh jatuh tersungkur ke bumi.
Panglima Khalid Ibnu Walid kagum dengan pejuang
misteri itu. Dan menjadi tanda tanya beliau siapakah
satria yang begitu gigih dan berani menentang musuh.
Orangnya tinggi lampai, berpakaian serba hitam, yang
kelihatan hanya kedua belah matanya yang sangat tajam
pandangannya, di pinggang tersisip pisau belati dengan
baju besinya yang hampir tidak kelihatan kerana
tertutup oleh pakaian labuhnya.
Khalid segera memacukan kudanya dengan diikuti oleh
tentera-tentera muslim yang lain ke tempat pejuang
misteri yang sedang mengasak musuh dan membuatkan
pihak lawan gempar dan bimbang, lalu masing-masing
cuba menyelamatkan diri.
Pejuang misteri terus mendesak ke sana ke mari
dengan penuh yakin dan tawakkal. Sedikit pun tidak
memberi kesempatan pihak musuh mengambil bahagian
dalam pertempuran itu. Beliau memainkan tombaknya
bagaikan singa lapar yang sedang menerkam mangsanya
dan tombak itu menari-nari di barisan musuh,
membuatkan mereka kucar-kacir, seolah-olah bagi mereka
ada tombak yang sedang kehausan darah.
Tentera Islam begitu bangga, begitu juga panglima
Khalid Ibnu Walid. Mereka kagum dengan pejuang
misteri itu. Masing-masing menggelengkan kepala takjub
bercampur syukur kerana dikurniakan pejuang yang
berani seperti itu. Maka Khalid pun mengambil
kesempatan memberi semangat kepada tentera Islam yang
lain dengan berkata:
“Wahai tentera Islam, majulah, berjuanglah bantu
pembela agama Allah ini, perkuatkanlah kedudukan orang
yang bersendirian itu.”
Khalid pun bagaikan terbang menuju pejuang misteri
yang sudah memperlihatkan contoh itu, diikuti oleh
orang-orang Islam yang lain. Disentaknya tali kekang
kuda dan dihunuskan tombak untuk melindungi dan
memberikan bantuan buat pejuang misteri. Tapi pejuang
misteri seakan-akan tidak sedar diri. Ia sudah
dikepung oleh tentera Rom, tetapi ia terus berperang
dan menghabiskan mereka semua dengan berpakaian
bergelumang dengan darah.
“ALLAHU AKBAR!” pekik Khalid
“ALLAHU AKBAR!” sahut tentera Islam semuanya. Maka
medan pertempuran itu bergetar dengan pekikan takbir.
Mereka menghampiri pejuang misteri itu.
“Demi Allah yang telah melindungi seorang yang telah
membela agamanya dan menentang orang musyrik
habis-habisan. Tolonglah bukakan tutup muka kamu,”
kata mereka.
Tetapi pejuang misteri itu tidak menjawab malah ia
terus menyerbu ke tangah-tengah pasukan kufar itu
sehingga seakan-akan angin puting beliung di
tengah-tengah pasukan musuh. Khalid terus mengejarnya,
sambil mendekati ia meminta “Hai kamu, kecut hati kami
semua melihat engkau. Siapakah engkau?”
“Aku ialah Khaulah Binti Azwar. Aku melihat abangku
Dhirar tertangkap. Lalu aku datang menolongnya untuk
membebaskan dia yang berperang kerana Allah,”
jawabnya.
Semua tentera Islam termasuk panglima mereka Khalid
Ibnu Walid tidak menyangka bahawa pejuang misteri itu
adalah seorang wanita. Ketangkasan dan keberaniannya
mengalahkan 1000 orang lelaki kafir.
Khaulah terus berjuang tanpa henti-hentinya
bersama-sama tentera Islam yang lainnya, sehinggalah
berakhir pertempuran itu dengan kemenangan mutlak di
tangan Muslimin.
*********************************
insyaallah sesama jadikan teladan ......
-----------------
THIS PATH MAY BE DIFFICULT
BUT THE DESTINATION IS CERTAIN