Saya harap dapat kongsi sedikit ilmu tauhid (dan tasauf sikit) yang baru-baru ni saya pelajari daripada seorang ustaz...
Mengikut penerangannya, org yg kata ..." aku bagi ni ikhlas kerana Allah...". adalah perbuatan yang tidak ikhlas. Ini kerana memerhatikan kepada keikhlasan dan melihat kepadanya itu adalah satu sifat
ujub.
Abu Ya'kub As-Susi berkata: "Ikhlas ialah tidak melihatnya ikhlas. Siapa yang menyaksikan pada keikhlasannya akan ikhlas, maka sesungguhnya keikhlasannya itu memerlukan ikhlas."
sebenarnya ikhlas tu apa maksudnya?
Hakikat ikhlas : Bahawasanya bagi tiap-tiap sesuatu itu tasawur (terbuka/terdedah) mencampuri akan dia oleh sesuatu yang lain. Maka apabila suci ia daripada suatu yang mencampuri; itu dinamakan kholis (bersih) dan dinamakan perbuatan orang yang menyucikan itu IKHLAS.
Seperti firman Allah dalam Surah An-Nahl:66 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada di dalam perutnya berupa susu yang bersih di antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya."
Jadi, sesungguhnya kebersihan susu itu adalah tiada di dalamnya campuran dari darah dan tahi dan dari setiap apa yang mungkin bercampur dengan dia..
Ikhlas ni bersih dan ibarat seperti kebersihan susu tu jugalah..
Apabila seseorang
menyucikan amalnya itu daripada ujub, riya',
kasih akan dunia, hasad, takabbur atau lain-lain jenis maksiat dalam hati, maka secara automatik apa yang dibuatnya itu adalah semata-mata kerana Allah.. Ini lah amal yang bersih dan barulah dinamakan ikhlas..
Ditanyakan kepada Sahal r.a.: "Apakah yang paling berat atas diri?" Sahal r.a. menjawab: "Ikhlas, kerana tiada bagi dirinya itu 'keuntungan'."
Ini bermaksud, amal dengan ikhlas ni adalah kita tak mengharapkan apa-apa pun balasan daripada Allah...
Abu Usman berkata: "Ikhlas ialah lupa melihat makhluk, dengan berkekalan memandang kepada Al-Khalik sahaja."
Melalui pertanyaan saudara Azri, bila masakah kita ini Ikhlas..saya harap saya dah tolong jawab.
Ustaz ajar lagi, soal pembersihan (ikhlas) ini begitu rumit, tersangat payah dan amatlah halus. Ini kerana ikhlas itu adalah persoalan hati kita atau jiwa kita atau roh kita.. Bagaimana halus dan samarnya pengetahuan kita tentang roh kita, begitulah juga halus dan samar ikhlas ini.. Hanya mereka yang hidup cahaya mata hatinya sahaja yang mampu melihat dan menyaksikannya. Hanya mereka yang hidup rohnya sahaja yang akan mengenali makna sebenar hakikat ikhlas ini. Hanya mereka yang memiliki Ilmu yang Haq (adab tasauf) sahaja yang dapat mengkholiskan (membersih/ikhlas) amalannya..
Bermulanya benar (sidiq) di dalam niat kita adalah kembali kepada ikhlas dan niat ingin berbuat kebajikan. Maka jikalau ada bercampur di dalam niat berkehendak berbuat kejahatan (tak kiralah untuk
kepentingan diri atau
mendapat sesuatu balasan atau
tujuan selain daripada Allah) maka hilang nama sidiq/benar niat itu...
Memang sukar nak capai keikhlasan hati ni.. Ini adalah kerana tujuan/kehendak yang baik kadang-kadang
bercampur dengan syirik yang khafi (tersembunyi). [Syirik ada 2 jenis : syirik khofi dan syirik jali (nampak)]. Dan keikhlasan belum benar-benar bersih kerana masih bercampur dengan sesuatu maksud atau tujuan selain daripada Allah..
Jika seseorang melihat kepada usaha dan perbuatannya (Cth: Muazzin yang sanggup melaungkan azan di masjid), dan mengharapkan pula sesuatu sbg ganjarannya (mengharapkan ganjaran elaun yang disediakan. atau nak syurga semata-mata), bagaimana dapat dikatakan ikhlas itu dan bagaimana dapat dikatakan benar ikhlas itu kerana permintaan (nak duit elaun. nak syurga). Mereka itu menunjukkan bahawa dia mendakwa amalan itu darinya yang sewajarnya diperhitungkan.
Ini adalah bertentangan dengan pandangan makrifat kerana hakikatnya (zahirnya amal/perbuatan), Allah yang memberi taufiq dan berlaku amalan itu dengan Qudrat dan Iradat-Nya.
Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat melakukan amal itu dengan limpah kurnia Allah kerana dengan
bersyukur inilah mereka akan dapat melihat kpd Allah tanpa mengaitkan sesuatu usaha/ikhtiar dari dalam dirinya.
Maka kesempurnaan ikhlas yang sidiq adalah menghilangkan dakwaan pada amalan dan melenyapkan amalan itu wujud dari dirinya...
Ini sebab, amalan yang kita lakukan itu adalah pemberian Allah. Maka tidak munasabah sekali jika kita meminta sesuatu balasan kepada orang yang telah memberikan sesuatu hadiah kepada kita. Hanya yg tidak berakal sahaja yang melakukannya. Pada sisi mereka yang berakal, mereka akan membalasi pemberian itu dengan berterima kasih kepada pemberi itu.
Untuk menjawab pertanyaan Azri tentang bangun pada 2/3 malam utk bersembahyang Tahajud, lepas tu solat hajat pohon tu pohon ni, adakah perbuatan ini ikhlas? saya rasa tidak... tidak sebenar-benar ikhlas... sebab tahajud dan hajat untuk harapkan ganjaran. kalau saya salah, sape2 sila betulkan. tapi sebenarnya ikut pada niat Azri lah..
Kata Ibni Ruslan di dalam risalahnya yang disyarahkan oleh Sheikh Al-Islam Zakaria rahimahullahi taala;
"Bermula kamu semua syirik yang khafi (tersembunyi) dan tiada nyata bagi tauhid kamu, melainkan apabila kamu terkeluar daripada kehendak kamu di dalam berbuat ibadat itu, dan berbuat ibadat itu kerana Allah Taala dan kerana ingin menghampirkan diri kepada Allah supaya kasih Dia akan engkau."
Inilah makna kata Imam Ghazali:
"Bermula niat itu tiada dapat diusahakan dengan ikhtiar." kerana makna niat itu: Kehendak yang tetap di dalam hati. Kehendak yang ikhlas lagi sidiq hanya lahir dari hati yang bersih dan bersifat dengan sifat Yang Haq. Azri ada bertanya adakah ikhlas itu boleh dilatih, mengikut kata-kata Imam Ghazali ni, maka tentunya tidak boleh.
Dan ini adalah sebahagian makna yang tersirat di sebalik firman Allah Taala yang bermaksud:
"Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia Aku, Aku taruhkan ia di hati hamba yang Aku kasihi daripada hamba-hamba-Ku."
Siapakah hamba-hamba yang dikasihi Allah ini? Hamba-hamba Allah yg istimewa ini adalah yang menjadikan ikhlas dan sidiq sebagai pakaian dan perhiasan bagi dirinya.
Kata Muhammad bin Said Al-Maruzi Rahimahullahi Taala;
"Apabila menuntut akan menghampirkan kepada Allah Taala dengan sebenar-benar ikhlas, nescaya memberi Allah akan dikau akan cermin (terang hati dan tajam mata hati) pada tanganmu hingga lihat akan tiap-tiap sesuatu pada segala rahsia ajaib di dalam dunia dan akhirat."
Ini adalah sebagai anugerah Allah sebagai kurnia-Nya pada hamba-Nya yang berjaya menjejaki hakikat ikhlas yang sidiq. Inilah sumber ilmu mereka yang mana mereka belajar melalui Ilmu pembukaan (Mukhoshafah).
Kata Muhammad bin Said Al-Maruzi Rahimahullahi Taala;
"Bermula segala pekerjaan agama itu sekaliannya kembali kepada dua asal iaitu;
- pertama, perbuatan itu daripada Allah Taala (hingga kita mampu melakukannya)
- kedua, perbuatan daripadamu itu adalah kepada Allah Taala.
Maka seharusnya engkau redha akan sesuatu yang diperbuat oleh Allah akan engkau. Hendaklah engkau ikhlas kerana Allah di dalam amal yang engkau perbuat. Maka apabila engkau perbuat dua perkara ini nescaya engkau dapat bahagia dan kemenangan di dalam dua negeri yakni dunia dan akhirat."
p/s : terima kasih Azri sebab bertanya... saya pun dapat belajar dan perkukuhkan ilmu yang saya dapat ini.
[ Posting ini telah di edit oleh: syahidatul pada 2005-05-29 17:37 ]