TIDAK berapa lama lagi, institusi-institusi pengajian tinggi akan meriah dengan pesta konvokesyen bagi meraikan graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di kampus.
Akan tergambarlah senyuman kepuasan di bibir setiap graduan tanda kejayaan yang dikecapi dengan segulung ijazah di genggaman.
Namun di sebalik senyuman ini, mereka pasti dibayangi dengan dilema pekerjaan yang belum pasti akan menjadi milik mereka atau tidak.
Hal ini pasti akan lebih dirasai oleh graduan-graduan pengajian Islam yang mana sering digembar-gemburkan di telinga mereka bahawa graduan pengajian Islam sukar mendapat pekerjaan lantaran skop kerjaya yang agak sempit.
Tanggapan ini merupakan satu andaian yang sempit dan tidak tepat. Hal ini kerana pasaran kerja bukan hanya menuntut kepada bidang pengajian semata-mata namun, turut melihat kepada kemahiran-kemahiran tambahan ataupun softskills yang akan menjadi nilai tambah bagi mahasiswa tidak kira sama ada mahasiswa pengajian Islam atau tidak.
Antara kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh mahasiswa ialah kemahiran komunikasi, kemahiran pengurusan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Jika kita telusuri sejarah kegemilangan ilmu di Andalus, ia sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa ilmuwan-ilmuwan Islam juga mampu untuk menguasai ilmu-ilmu lain seperti ilmu perubatan, sains dan teknologi di samping menguasai ilmu-ilmu agama.
Apa yang lebih membanggakan, tulisan-tulisan mereka kemudiannya diterjemahkan dan digunapakai sehingga sekarang.
Namun, mahasiswa pengajian Islam tidak boleh bermimpi untuk turut mewarisi kegemilangan mereka jika mereka tidak mampu untuk menghayati dan mengambil iktibar daripada kesungguhan ilmuwan-ilmuwan Islam terdahulu dalam mendalami ilmu.
Mahasiswa pengajian Islam seharusnya tidak menyempitkan ilmu mereka hanya pada pengajian. Sebaliknya, mereka perlu mencari ilmu-ilmu lain sebagai nilai tambah diri mereka untuk memastikan bahawa mahasiswa pengajian Islam kekal relevan dan kompetitif dengan tuntutan dan keperluan tenaga kerja di alaf 21.
Langkah kerajaan mewujudkan dwipengkhususan adalah langkah bijak bagi merealisasikan kelahiran graduan yang lebih berkualiti dan bersifat global ilmu.
Selain itu, mahasiswa juga boleh menyahut saranan kerajaan untuk belajar sambil bekerja. Ia dapat melahirkan mahasiswa yang berpengalaman dan mampu untuk melihat peluang-peluang kerjaya selepas graduasi kelak.
Namun, perkara penting yang perlu ditekankan ialah soal pembahagian masa antara belajar dan bekerja. Di sinilah mahasiswa dilatih dalam pengaplikasian ilmu pengurusan yang sangat penting dalam dunia pekerjaan nanti.
Jika dilihat, terdapat usaha bagi membantu mahasiswa pengajian Islam seperti peluang pekerjaan dalam program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (JQAF) yang khusus bagi graduan pengajian Islam.
Jadi, terpulang kepada kita untuk merebut peluang-peluang yang ada, tetapi perlulah dengan berbekalkan kualiti ilmu dan keterampilan diri yang mantap.
Keputusan daripada Kementerian Sumber Manusia untuk memberi elaun bulanan kepada graduan yang mengikuti Skim Latihan Graduan Menganggur merupakan satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah pengangguran di kalangan siswazah.
Jelaslah bahawa isu di sini bukanlah bidang pengajian yang menjadi punca pengangguran, tetapi isunya adalah sikap mahasiswa itu sendiri yang terlalu bergantung kepada bidang pengajian tanpa mahu mengambil peluang memantapkan diri dengan kemahiran-kemahiran lain yang mampu membantu mereka menembusi peluang kerjaya yang semakin sengit persaingannya.
Tegasnya, peluang kerjaya kita, kitalah yang mencorakkannya. Jika tingi kualiti ilmu dan kemahiran yang kita miliki, maka lebih cerahlah peluang kerjaya kita. Jadi, berfikir dan bertindaklah sebelum terlambat.
-----------------
Sabda Nabi Muhammad s.a.w.yang bermaksud:"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam,dia adalah orang yang beruntung.