Siapakah aku ?
Hanya musafir cuma
Menumpang lalu di jambatan dunia
Sebelum bertemu penghujungnya
Menunggu tiba akhir usia.
Insankah aku ?
Kerana tanganku ini bisa merosak dunia
Berbuat maksiat bergelumang dosa
Tunduk akur kehendak rasa
Sujud menyembah nafsu durjana.
Khalifahkah aku ?
Sedangkan aku dipimpin lonjakan jiwa
Tanpa secarik ilmu di dada
Tanpa tirai iman di hati
Tanpa beralas garak lakuku.
Berkuasakah aku ?
Sedangkan aku sendiri dicipta
Dari sari pati tanah hina..
hingga bergelar manusia
Hanya mengharap ehsan pencipta
Masih mengharap diri dijaga.
Luruskah aku ?
Gusar aku mengenangkan hari muka
Gelap jalanku tanpa penyuluh-Mu
Menyimpang jalanku tanpa petunjuk
Hanyut aku tanpa hidayah.
Hebatkah aku ?
Sempit dadaku dalam bidangku
Menggeletar tubuhku dalam sihatku
Menangis aku dalam tawaku
Kecilnya aku dalam kebesaran-Mu.
Bersediakah aku ?
Tika Izrail datang menjemput
Menghadap pencipta Yang Maha Berkuasa
Berbekal bekalan yang sedia ada
Yang hasilnya belum tentu sempurna.
Berharapnya aku
Moga berada di taman syurga
Jauh dari api yang membahang
Dihindar dari azab sengsara
Tiada jerit pekik di dalamnya.
Sejahterakanlah aku
Di dalam selimut putih membalut tubuhku
Janganlah aku dipukul dipalu
Hingga tiba hari kebangkitanku
Ya Tuhanku...rahmatilah aku.