Pelajar Selangor di Mesir dakwa dinafikan hak
Wednesday, April 20 @ 15:41:33 MYT
Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) – Sekumpulan pelajar
Selangor di Mesir mendakwa dinafikan hak keistimewaan
penuntut termasuk sebagai penerima zakat dan penghuni
Rumah Selangor di negara itu.
Mereka mendakwa tindakan itu diambil berdasarkan sikap
keterlaluan dua pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) di
rumah tersebut.
Bagi menyatakan bantahan, wakil pelajar Selangor di
Universiti Al-Azhar telah menyerahkan 'Memorandum
Bantahan Terhadap Penafian Hak-hak Anak Selangor'
kepada Perdana Menteri melalui wakilnya, Fatimah Abdul
Rahman di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Pihak rombongan pelajar cuba mengadakan perjumpaan
dengan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato'
Mohd Tajuddin dan Setiausaha Politiknya, Dato' Osman,
tetapi kedua-duanya dikatakan mempunyai urusan.
Dalam memorandum itu, pelajar-pelajar tersebut
menuntut diadakan perbincangan yang adil mengenai
kebajikan anak-anak Selangor antara mahasiswa Selangor
dengan pihak kedutaan, Jabatan Penuntut Malaysia
Kaherah dan Kerajaan Negeri Selangor.
Mereka juga meminta agar hak-hak asasi mahasiswa
Selangor seperti pengagihan zakat dibuat secara adil
dan telus, manakala program kecemerlangan akademik dan
ketenteraman sosial tidak diabaikan.
Malah pelajar-pelajar terbabit juga menuntut agar
digantikan pegawai HEP di Rumah Selangor di Mesir yang
lebih profesional, mesra pelajar serta tidak
mengamalkan sistem kroni semasa menjalankan tugas.
Menurut salah seorang penuntut di sana, Mohd Ikmal
Izwan Rosli, berkata kerajaan negeri Selangor telah
memberi kepercayaan penuh kepada pelajar untuk
menguruskan dua kediaman iaitu Rumah Selangor Rabaah
Adawiyah dan Rumah Selangor Haiyu Asyir, amanah ini
dilaksanakan dengan jujur.
Katanya, tahun 2003, pengurusan kediaman tersebut
diambil alih oleh dua pegawai HEP dari Malaysia dan
dibantu oleh seorang kerani.
Tambahnya, Rabaah Adawiyah menampung 12 penghuni tetap
dengan kelengkapan yang mencukupi manakala Haiyu Asyir
menampung seramai 162 penghuni.
"Kini bilangan pelajar yang tinggal di Haiyu Asyir
hanya 106 orang, kali pertama pelajar keluar dari situ
sebab kerja-kerja membaik pulih seluruh bangunan itu
malah pegawai terlibat juga menjanjikan penempatan
semula pelajar di rumah tersebut," katanya dalam satu
kenyataan.
Malangnya, kata beliau, apabila selesai kerja pembaik
pulih hanya pelajar terpilih sahaja yang mendapat
penempatan semula dan ada di kalangan pelajar
dinafikan hak sebagai pelajar ijazah lanjutan untuk
tinggal di Rumah Selangor dan mengaitkan perkara
tersebut dengan 'Dokumen Perjanjian Zakat Selangor dan
Akujanji'.
Sementara itu, katanya, pada Julai 2004 pula pelajar
di Rabaah Adawiyah terpaksa juga keluar kerana alasan
yang sama di samping berjanji untuk menempatkan
semula, akhirnya dilaporkan pegawai terbabit telah
menjual rumah tersebut.
Jelasnya, pada kali ini pegawai HEP telah mengeluarkan
arahan mengusir seramai 68 orang pelajar pada 30 Mac
dengan alasan mengemaskinikan asrama untuk persediaan
kedatangan pelajar baru 2005 yang akan memulakan
pengajian pada September. – lanh
-----------------
Sabda Nabi Muhammad s.a.w.yang bermaksud:"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam,dia adalah orang yang beruntung.