Istighfar Sebagai Amalan

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Jumaat, 19 Disember 2003 @ 10:06:25
Topik: Tazkirah



Suatu hari Hassan al-Basri dikunjungi seorang lelaki yang mengadu mengenai keadaan daerahnya yang kering kontang kerana dilanda kemarau.

Hassan menjawab, "Mohonlah ampun kepada Allah."

Selepas itu, datang lagi seorang rakan yang mengadu bahawa dirinya ditimpa kemiskinan.

Sekali lagi Hassan menjawab, "Mohonlah ampun kepada Allah."

Tidak lama kemudian datang pula seseorang meminta didoakan agar dikurniakan anak dan reaksi Hassan ialah, "Beristighfarlah kepada Allah."

Kemudian datang lagi orang lain mengadukan tentang kebunnya yang tandus, Hassan juga memintanya supaya beristighfar.

Jawapan Hassan itu menimbulkan rasa tidak puas hati para sahabatnya, lalu mereka bertanya mengapa semua masalah itu hanya dapat diselesaikan melalui istighfar.

Hassan berkata, "Saya tidak mengatakan semua itu secara suka-suka. Tetapi berdasarkan firman Allah dalam surah Nuh:10-12 yang bermaksud:

"Maka aku katakan kepada mereka, Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula didalamnya) untukmu sungai-sungai."