Remaja dan gejala sosial.

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Selasa, 14 Oktober 2003 @ 15:37:26
Topik: Semasa



Ini adalah artikel saya yang seterusnya. Saya berminat menulis artikel ini kerana ia melibatkan masa depan negara, bangsa dan agama kita. Moga kita mendapat sesuatu yang bermanfaat daripadanya.

“Rumah kecil tiangnya seribu,
Rumah besar tiangnya sebatang,
Waktu kecil kau ditimang ibu,
Dewasa kau dilanda gelombang.”

Permasalahan sosial remaja yang makin meruncing, siapa yang harus dipersalahkan? Inilah antara tajuk-tajuk akhbar utama dewasa ini. Baru-baru ini kita dikejutkan seorang pelajar asrama penuh di Batu Pahat telah kehilangan buah pinggangnya akibat dipukul dan dibelasah oleh pelajar senior di asramanya. Kemudian di Melaka, seorang pelajar patah tulang rusuk akibat dipukul rakan sekolah. Saban hari kita dikejutkan dengan isu-isu sosial yang melibatkan remaja. Tidak cukupkah perancangan kerajaan dalam membendung perkara ini dari terus berlaku? Atau salah dari segi acuannya?.

Program Rakan Muda yang direncana khas untuk membendung gejala-gejala negatif dari terus menular ke dalam diri remaja seolah-olah kurang memberi kesan. Pernah juga dikeluarkan di dalam artikel Program Rakan Muda gagal berfungsi. Kini diadakan pula Program Khidmat Negara. Satu persoalan timbul, tentang kemampuan dan keberkesanan program ini. Ini merujuk kepada beberapa program yang pernah dirangka oleh kerajaan yang kurang memberi kesan seperti yang diinginkan.

Dari satu sudut, program-program ini memang cantik dalam perancangannya. Semua sudut diambil kira dan ianya juga dibentangkan di parlimen yang kita kagumi serta diluluskan dengan peruntukan-peruntukan kewangan yang cukup besar. Tetapi apabila tiba pada tempoh perlaksanaannya, ada saja yang tidak kena. Dan ada saja perubahan dan demi peruabahan yang ingin dilakukan. Lalu apa gunanya perbincangan dan kelulusan yang diperolehi jika pada peringkat perlaksanaannya terdapat banyak perubahan yang perlu dilaksanakan. Itulah yang perlu dipetimbangkan. Bukan sedikit modal yang dikeluarkan tetapi mencecah hingga berjuta-juta ringgit.

Tanggungjawab dan peranan ini nampaknya tidak boleh diletakkan seratur peratus kepada kerajaan semata-mata tetapi ia juga memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak. Tidak kira NGO, pihak swasta, dan masyarakat, masing-masing perlu sedar bahawa negara memerlukan mereka dalam memastikan halatuju dan wawasan negara tercapai.

Masalah, cabaran dan dugaan yang datang, hadapilah dengan tenang. Usah gentar dan takut dalam melawan arus persaingan dunia globalisasi ini kerana mahu atau tidak kita sememangnya sudah berada di dalam arena ini. Tekadkan hati dan persediakan diri dalam menongkah cabaran ini, kerana hanya yang sabar dan cekal saja yang dapat merasai nikmat sesuatu kejayaan.