Cetusan suara Subuh.

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Sabtu, 20 September 2003 @ 11:33:40
Topik: Umum



Pada pagi itu seperti pagi-pagi yang lain. Aku menyambut seorang tetamu tetapku.
"assalamu'alaikum.." seru Subuh.
"waalaikummussalam." sahutku.

dan kami terus berpelukan, tanda rindu dan kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

"tadi.." kata Subuh dengan sayu,

"...aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu."

dan air mata Subuh berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka. bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?"

Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

"oh ya, tadi aku melalui satu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu,menyambutku dengan penuh kesukaan,menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat. Hidangan yang paling kusuka ialah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas."

dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

"maaf Subuh. Aku tiada menanam pokok al-Lail, jadi aku tak dapat menghidangkanmu dengan buah kesukaanmu. Tapi aku ada roti Syiyam"
cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat,
"roti itu ada tuan punyanya." kata Subuh.

"adakah kau mahu manisan Zikir?"

"baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan," pinta Subuh.

aku agak sugul.
'Bagaimana harusku memberitahu Subuh yang Air Mata Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat?'
Namun. Aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan air mata tersebut. Aku terkejut, perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Hatiku berdetik
'adakah ini tanda kemarau akan berakhir?'
tanpa berlengah lagi,kubawa air tersebut pada Subuh, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah semuanya, subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh.."seruku.
"mahukah kau tinggal selamanya denganku. Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh."

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan dipenuhi.

"aku perlu menziarahi ramai orang, ada ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, seperti mana aku mengulit mimpimu."

dan aku akur dengan penjelasan Subuh.

"Subuh.." seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi.
"sudikah kau menziarahiku lagi esok?"

"insya Allah.."
jawab Subuh.
"bukankah aku kekasih yang kau rindui?"
subuh berangkat dengan lambat tapi tetap.

"assalamualaikum," seru Subuh.

"waalaikummussalam," jawabku kembali.

dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

p/s: apalah agaknya keluh kesah dr Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak?
jawapannya.. tersirat dalam diri.

Wallahua'lam