Abah

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Isnin, 22 Oktober 2007 @ 10:03:49
Topik: Kenangan



Assalamualaikum Warahmatullah akhawat semua
Hari ni saya nak tulis pasal seseorang yang saya amat sayangi, abah saya nama abah saya Hamidon b Abdullah. Beliau dilahirkan pada 20/5/1953 (kalau tak silap) dan abah saya sudah pulang kerahmatullah pada 26/8/2003.

Semasa hidup abah saya berkerja sebagai seorang peniaga kedai makan. Genap umur saya setahun 2 hari, abah tiada lagi disisi saya kerana kata kakak (masa tu umur dah 10 tahun) abah dan emak saya sudah bercerai. Tapi abah adalah seorang yang sangat bertanggungjawab. Dia melawat kami adik beradik seminggu sekali. Kadang-kadang abah datang hari Isnin, kadang-kadang abah datang hari Selasa, atau kadang-kadang selepas solat Jumaat dia akan jumpa dengan anak-anaknya. Kakak ada memberitahu saya yang yang kami semua ada emak baru. Dulu emak baru tu baik sangat, kami sayang sangat dengan beliau. Tapi sekarang tidak lagi (selepas abah meninggal) perangai emak baru tidak seperti dahulu.

Tapi itu ketika saya sekolah rendah, tapi ketika saya sekolah menengah, tiada lagi lawatan tidak rasmi abah untuk kami. Emak bilang, abah sibuk dengan urusan perniagaan yang baru diceburinya. Tak apalah. Tanpa abah, saya rasa saya mampu lagi menjadi anak harapan keluarga. Kerana saya masih cukup kasih sayang yang dicurah oleh orang terapat.

SEMINGGU SEBELUM ABAH MENINGGAL DUNIA
Suatu hari saya pulang ke kampung (cuti seminggu), saya dikejutkan dengan kepulangan abah. Saya melihat semua ahli keluarga seakan benci padanya. Tiada angin, tiada ribut, tup-tup abah kembali semula ke kampung. Buka peniagaan baru disebelah kedai emak. Emak terasa saingan untuknya semakin sengit dalam bidang perniagaan kedai makan. Saya? Saya tidak mengerti apa-apa kerana kepulangan saya ke kampung juga merupakan satu kejutan.

Suatu hari dalam cuti seminggu itu, emak jatuh sakit. Semua kami adik beradik dipanggil mengadap emak. Emak bicara jangan sesekali menjenguk abah. Kenapa? Saya tidak setuju kerana abah adalah abah saya. Emak kata kalau berdegil, jangan jumpa emak lagi. Saya sayang emak, saya juga sayang abah, saya tersepit diantara kasih ibu, dan sayang seorang abah...

Dan kali terakhir tanganku melambai kepada abah, sehari sebelum saya kembali semula ke KUKTEM

DI KUKTEM
Seminggu yang saya lalui di kampung bagaikan kenangan yang sudah terbang di bawa angin KUKTEM. Memang menjadi prinsip hidup saya, jangan campur adukkan masalah keluarga dengan hal pelajaran.

Tapi yang menjadi kepelikannya, saya seakan-akan malas untuk berbicara dengan sesiapa pun di kolej. Saya rasakan tiada "mood" untuk saya berbual kosong, kecuali dengan Aishah. Aishah juga pelik dengan keadaan saya yang sentiasa murung dan kurang bergaul dengan rakan yang lain.
Suatu malam, saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada abang Nuar (satu-satunya abang saya dalam dunia) yang memberitakan sesuatu yang saya langsung tidak dapat menerimanya..ABAH DAH MENINGGAL..

SELEPAS ABAH MENINGGAL DUNIA
Tahukah bagaimana perasaan saya ketika itu? Telefon tangan yang saya pegang sudah ingin terlepas dari genggaman. Saya tidak terkata apa-apa, tiada perkataan yang sesuai saya ungkapkan dalam mentafsirkan perasaan saya ketika itu. Saya terasa kehilangan. Kehilangan sesuatu yang amat berharga.

Saya meraung sekuat hati saya. Kenapa saya? Kenapa saya yang dipilih untuk menghadapi dugaan yang maha hebat ini. Saya tidak kuat. Saya sangat sedih bila ketidaksempatan saya mengucapkan maaf untuknya. Saya terlepas untuk meminta maaf dan ampun. Ya Allah, apalah dosa saya hingga dihukum sebegini. Tuhan, tiada siapa yang akan maafkan saya atas kesalahan dan dosa yang telah saya lakukan terhadap abah.

Saya menyesal. Menyesal yang teramat sangat. Saya menganggap saya kuat untuk menghadapi sesuatu tanpa abah. TIDAK! Saya tidak kuat langsung. Saya masih mahukan dia di sisi saya. Saya ingin seorang abah yang memberi pujian kepada saya ketika saya mendapat tempat pertama dalam kelas. Tapi kini saya tidak akan dengar lagi pujian itu untuk saya..

Saya pulang ke kampung malam itu juga walaupun ketika itu saya memang tiada duit sesen pun. Tapi saya berterima kasih sangat kepada kawan-kawan saya kerana memneri saya pinjam duit mereka. Di ketika itu, saya sangat menghargai nilai persahabatan yang ada pada kawan-kawan saya. Saya sayang mereka.. berbalik kepada cerita abah tadi.

Sampai di kampung, saya melihat ramai orang di depan rumah atuk. Saya berlari naik. Saya tidak mampu untuk berkata-kata ketika melihat seorang yang saya sayang terbujur kaku. Saya menangis lagi. Saya ambil Al-Quran. Hanya sedekahkan Al-Quran yang termampu saya lakukan ketika ini untuk arwah abah.

Abah,
Andai ini ketetapan yang tersurat untuk adik,
RedhaNya sahaja yang adik harapkan untuk adik menyusuri jalan merentasi duniaNya.
Semoga Abah bahagia di sana,
Semoga abah ampunkan dosa-dosa yang adik lakukan,
Walaupun ianya tidak akan abah dengar lagi,
Tapi yang pasti Bah,
Adik rindu sangat pada Abah…rindu sangat-sangat
Al-Fatihah untuk Abah..