Penyalahan teknologi kini

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Rabu, 28 Jun 2006 @ 8:23:12
Topik: Umum



Islam sama sekali tidak menolak teknologi namun setiap teknologi dan penggunaan hendaklah tunduk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama. Keluarnya kita daripada had yang dibenarkan menatijahkan berlakunya penyalahgunaan.

Kewujudan komputer dan televisyen dihampir setiap rumah menatijahkan penyalahgunaan yang tidak sedikit. Hadirnya VCD yang dibawa dari tanah air menyaksikan siang dan malam kita diisi dengan daurah filem-filem baru maupun lama.

Cerita rekaan yang bukan sahaja mengasyikkan dan membuang masa malah menyuburkan benih maksiat dikalangan pelajar agama. Walaupun kebanyakan filem sudah diketahui permulaan dan kesudahan namun nafsu mengatasi segalanya, masa dibuang berjam-jam di hadapan skrin tanpa rasa menyesal.

Kita dibiasakan diri dengan artis yang mendedahkan aurat seolah-olah ianya tidak haram di sisi agama. Lupakah kita dengan firman Allah SWT:
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka buat.Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya……….." (an-nur 30,31)

Wujudnya golongan yang menyewa vcd di kalangan mahasiswa di sini merancakkan lagi agenda tayangan filem-filem yang tidak bermaruah dan berakhlak. Apa yang menyedihkan ada di kalangan kita yang membeli dan menyewanya dengan wang zakat atau pinjaman. Sedangkan wang ini perlu dibelanjakan ke arah peningkatan prestasi akedemik. Kadangkala sanggup berhutang bagi menyara diri sedangkan wang yang sedia ada dibelanjakan terhadap perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Dimanakah amanah yang sering kita laungkan?

Sekiranya kita ingin mengaut keuntungan dengan menyewa video ingatlah bahawa jalan-jalan lain masih lagi terpampang untuk mencari keuntungan yang tidak syubhat.

Menyentuh kepada penggunaan internet di kalangan mahasiswa pula, tidak dinafikan kepentingannya dalam kehidupan kita terutamanya dalam usaha untuk mencari maklumat semasa atau membuat kajian ilmiah. Persoalannya sejauh manakah kita menggunakan kemudahan yang ada ini. Realitinya masih ramai yang gagal menggunakan fungsi internet secara optimis. Rata-rata yang menggunakan teknologi ini hanyalah untuk chatting dan membuat panggilan ke Malaysia. Tidak ramai yang menjadikan internet sebagai medium dakwah kepada ummah.

Penggunaan telefon bimbit di kalangan kita sememangnya memudahkan urusan peribadi dan persatuan. Rasional setiap individu menpunyai telefon bimbit ini masih dipersoalkan. Adakah ianya satu keperluan ataupun sekadar bergaya. teknologi ini turut ternoda dengan SMS dan panggilan yang tidak syarie’ di kalangan dua jenis yang berbeza. Islam dari awal lagi mencegah hal ini berlaku dangan firman Allah SWT :
"dan janganlah kamu mendekati zina………." (al-israk 32)

Selain daripada wang yang dilaburkan kepada tempat yang tidak sepatutnya dalam penyalahgunaan ini, apa yang penting sekali ialah pembaziran masa yang berlaku. Kegagalan menggunakan masa yang ada untuk diinfakkan ke jalan ilmu merugikan diri dan menghampakan amanah masyarakat di Malaysia. Contohilah imam-imam terdahulu yang berjaya menggunakan masa mereka dengan baik walaupun umur mereka pendek. Lihat imam al-Sayuti yang telah mengarang lebih 500 buah kitab yang bertemu Allah pada umur 61 tahun juga Ibnu Qayyim al-Jauziah, Imam Nawawi dan ulama-ulama yang telah banyak berjasa kepada dunia islam.

“Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besarlah kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan”

Ayat ini memberi amaran kepada kita, dengan maksiat yang kita lakukan, bagaimana kita hendak menyeru kepada amar maaruf nahi mungkar sedangkan kita sendiri terjebak dengan dosa yang sama. Jangan sampai satu masa kredibiliti pelajar agama dipersoalkan hasil daripada kesilapan kita menggunakan teknologi ini.

Jesteru marilah sama-sama kita muhasabah diri, membaiki kesilapan dan berusaha ke arah kecemerlangan ilmu dan amal dalam rangka menyiapkan diri ke arah pembentukan kelompok ulama amilin. Rebutlah peluang muda sebelum tua ini, masa senang sebelum susah dan hidup sebelum mati dengan agenda khidmat kita kepada Islam.