Masakah pemisah antara kita?

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Isnin, 02 Januari 2006 @ 1:36:07
Topik: Kenangan



Entahlah, masa terlalu pantas berlalu hinggakan ana dapat rasakan betapa jauhnya kita terpisah. Bukan kerana jarak usia tetapi mungkin perjalanan waktu yang seringkali memangkah langkah untuk kita tetap bersama seperti dulu. Nyata memahamimu ana rasakan terlalu susah lantaran kesibukan rutin harianku sebagai seorang pelajar. Ana meredhai ketentuan tuhan yang relanya memisahkan kita sedang ku tahu betapa hangatnya api kerinduan yang membara dijiwa.

Budimu yang seindah santunmu tersimpan kejap didialam ingatan ku. Rasanya ingin saja kurakamkan kembali detik manis kita bersama walau jelas sudah wujud jurang yang terlalu curam dan dalam. Kau terlalu memahamiku, mengasihiku dan menerima kehadiranku seadanya walau secara zahirnya kau masih lagi memerlukan waktu.

Tiada yang seindah dari mengingati tuhan dan dirimu, kerana kutahu syurga dibawah tapak kakimu. Airmatamu adalah lukisan hatimu yang sebenarnya terguris, maafkan ana ibu kerana terlanjur hilang rasa kerinduan dan hilang rasa kasihku padamu walau ku tahu kau adalah segalanya untukku.

Kita pernah susah dulu dan kita tak akan susah lagi kalau ana berjaya kelak. Itulah ungkapan keramatmu yang lahir sebaik saja kakiku melangkah ke menara gading. Anggukkanku seakan memberi semangat kepadamu dan ana tahu akulah yang bakal mengubah impian itu menjadi realiti yang pasti. Namun disebabkan masa dan bebanan kerja yang kugalas cuma sedikit ruang dapat ku mengingatimu.

Pastinya kasihku akan mekar kembali, subur dan takkan terpadam sampai bila. Jika masa yang menjarakkan hubungan kita biarlah masa jua yang mendekatkan kita ibu, berilah ruang untukku rehat sebentar sebelum pulang membawa sebeban rindu kapadamu. Nantikan kepulanganku.