Rizal Hafizuddin [4]

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Isnin, 29 Ogos 2005 @ 22:57:09
Topik: Karya



flashback

Rizal Hafizuddin- ‘first impression’

Ketika itu Rizal Hafizuddin baru saja turun dari bas Express dari Kedah. Penatnya tak payah dibahaskan. Sementara Rizal menunggu roomatenya Shah datang ambil dari kolej, Rizal capai senaskah The Star dan labuhkan punggung atas bangku-bangku sepi terminal one. Sungguhpun masa Rizal beli paper tu jam sudah kira-kira enam petang, tapi fikir Rizal tiada salahnya baca paper pagi tadi pun. Bukannya dah ‘basi’ kertas tu.

Ketika jarum jam sibuk berputar, Rizal terpandang akan seorang makcik tua berbangsa Cina. Jaraknya dalam beberapa meter dari bangku yang diduduki. Tersentuh Rizal akan gayanya. Memang nampak begitu uzur. Dengan baju lusuh, rambut tak terurus... dia benar-benar tak sangka ada manusia sebegitu dhaif di Malaysia ni. Tapi itulah hakikatnya, Rizal telah menyaksikan kedhaifan seorang wanita tua dengan matanya sendiri.

Sedikit sebanyak Rizal cuba mengelak dari kelihatan memerhati tapi matanya tergerak untuk mengekori gerak-geri makcik tersebut. Semakin lama semakin Rizal sayu. Maklumlah Rizal bukan berasal dari keluarga yang berada, walaupun keluarganya tak pernah pula melarat. Rizal juga tahu apa itu susahnya nak dapatkan sehelai baju baru. Untuk merasa makanan yang enak selain masakan mak.

Rizal perhatikan wanita tua itu mengeluarkan sekeping syiling entah dari mana. Barangkali dari kocek baju buruknya. Di tenungnya seketika dengan mata tuanya sebelum menghampiri seorang penjual minuman berdekatan. Syiling tadi di tunjuk-tunjuknya kepada penjual minuman itu, seorang lelaki dalam lingkungan tiga puluhan, sementara mulutnya mengomel sesuatu...

“Saya mahu beli air...”

Menyirap darah Rizal tiba-tiba. Brader tu berlagak tidak faham. Buat-buat tidak dengar!

Betapa perasaan di hati Rizal Hafizuddin melihat seorang yang penampilannya saja sudah cukup mensayukan hati di hinakan sebegitu rupa. Mata makcik itu menyepet, tekaknya kelat meneguk air liur. Rizal duga dia ingin beralih dari situ tapi gelojak dahaga membawa ke cubaan seterusnya. Dengan denyutan jantung bertambah pantas sedikit, Rizal perhatikan gerak langkah lelaki kurang ajar itu. Apa reaksinya kali ni?

“Saya tak jual air sepuluh sen! Pergi...!”

Berdesing telinga Rizal. Kata-kata tu mungkin tak sekuat mana tapi cukup untuk membuat beberapa kepala berdekatan menoleh. Terasa seolah kata-kata itu di tujukan kepada dirinya!

‘Apalah salahnya brader tu kasi free saja air kat makcik tu? Berapa sen sangat dia nak rugi?! Luak ke air dalam bekas tu?’

Fikiran demi fikiran terus menerjah dengan berlalunya setiap detik. Namun Rizal masih membatu. Agaknya dia manusia dayus, atau mungkin dia hanya seorang pengecut. Tapi yang pasti dia hanya terpacak bodoh saja di atas bangku umpama patung McDonald yang memerhatikan sandiwara senja itu. Makcik tua terkebil-kebil membawa diri. Pasti dia pun tahu apa itu rasa malu.

‘Kejamnya brader tu...’


“Bang, saya hendak beli air oren...”

Entah Kenapa Rizal sedikit terpanggil mengecam suara itu. Manisnya gadis bertudung labuh biru muda ni. Entah bila masanya dia muncul dihadapan si penjual air. Manisnya bukan pada wajahnya saja, tetapi yang lebih trampil nyata adalah lemah lembut setiap gerakannya. Saat itu Rizal sedar itu bukan pandangan pertamanya. Cuma sebelum ini Rizal tidak pernah mengambil pusing. Dalam benaknya terlintas, ‘kalau awek ni tau macammana brader ni layan makcik tadi dah tentu dia pun tak beli air kat situ’.

Betapa silapnya Rizal. Dan betapa terharunya dia. Pada saat-saat berikutnya dia telah jatuh cinta pada gadis bertudung labuh biru muda yang juga merupakan juniornya itu. Jatuh cinta apabila melihatkan gadis itu memberikan air yang di belinya tadi pada seorang makcik tua yang memegang duit sepuluh sen...