Mengganas di Mekah tidak boleh dimaafkan..

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Sabtu, 28 Mei 2005 @ 14:07:16
Topik: Berita



MEKAH tidak lagi selamat? Arab Saudi yang diamanahkan oleh seluruh umat Islam untuk mempertahankan kesucian kota Mekah dan Madinah kini semakin terancam.

Kejadian terbaru dua anggota militan meletupkan diri di Mekah, 6 November lalu mencetuskan kebimbangan baru umat Islam terhadap tahap keselamatan di kota suci itu. Ia adalah peristiwa kedua selepas kota suci Mekah dicemari kejadian pertempuran yang mengejutkan umat Islam dengan kematian tujuh orang, Jun lalu. Peristiwa pengeboman berani mati di Mekah 10 hari lalu yang berlaku ketika kira-kira sejuta orang sedang mengerjakan umrah sempena bulan Ramadan amat mengejutkan umat Islam. Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai adalah antara empat orang yang melarikan diri selepas bertempur dengan pasukan keselamatan, 3 November lalu. Dalam pertempuran itu, pasukan keselamatan menembak mati dua anggota militan yang bersembunyi di bangunan Al-Sharayaa bersama empat lelaki bersenjata yang lain. Walaupun latar belakang pengganas itu tidak didedahkan tetapi mereka disyaki ada kaitan dengan jaringan pengganas Al-Qaeda. Pertempuran pertama di antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan di Mekah tercetus pada 14 Jun lalu. Dalam kejadian itu tujuh orang terkorban, lima daripadanya adalah pengganas. Ia berlaku sebulan selepas kejadian empat letupan terhadap kepentingan dan penempatan warga Barat yang mengorbankan 34 orang dan mencederakan 200 orang lagi di pinggir ibu kota Riyadh, 12 Mei lalu. Ketika kejadian itu, mereka menjadikan sebuah pangsapuri dipenuhi dengan jerangkap samar yang sedia untuk meletup di daerah Khaldiya, lima kilometer dari Masjidilharam sebagai tempat persembunyian. Salah seorang daripada tujuh yang ditahan dipercayai pengebom berani mati kerana memakai tali pinggang berisi bom. Polis merampas 72 butir bom buatan tempatan, 12 raifal automatik dengan 50 magazin peluru dan 40 bilah pisau dalam serbuan itu. Selain itu ialah pelbagai senjata api, peluru, alat komunikasi, bahan kimia untuk membuat bom, asid dan topeng. Senjata ini dirancang untuk melancarkan serangan di sekitar Mekah. Sementara itu, pendedahan terbaru pihak Arab Saudi mengenai perancangan pengganas lebih meningkat kekhuatiran terhadap tahap keselamatan di negara itu, khususnya di Mekah. Kumpulan militan dikatakan sudah bersiap sedia untuk menyerang kota suci itu dengan menjadikan jemaah haji musim akan datang sebagai sasaran lebih menggemparkan. Mereka memasang perangkap bom di dalam beberapa naskhah al-Quran untuk membunuh dan mencederakan jemaah. Lebih dahsyat lagi, mereka dipercayai sanggup menyembelih sesiapa sahaja berikutan penemuan pisau pemotong daging dan pedang. Menyamar Pengganas terbabit merancang memakai rambut palsu dan jubah wanita bagi mengelak daripada dikesan di khalayak ramai. Turut ditemui ialah bertan-tan bahan letupan dan pelancar roket yang dibiarkan terdedah dalam satu serbuan di rumah persembunyian pengganas. Selain itu ialah beberapa botol air berisi bahan letupan yang dirancang diseludup masuk ke kota suci Mekah. Sejak kejadian letupan membunuh 17 orang di kawasan kediaman Muhaya, Riyadh baru-baru ini dan pengeboman berani mati di Mekah, pasukan keselamatan Arab Saudi melipatgandakan tahap kawalan di seluruh negara itu. Rumah-rumah persembunyian yang disyaki menjadi sarang pengganas di Mekah dan Riyadh digempur dan dalam semua serbuan yang dilakukan, lima pengganas ditembak mati. Dalam satu siasatan yang dijalankan Julai lalu, polis menemui beberapa senjata termasuk jam cenderamata menyerupai kitab suci al-Quran yang telah dipasang dengan bom. Pengganas mempunyai hanya satu tujuan iaitu mensasarkan semua senjata itu kepada jemaah haji yang sedang mengerjakan ibadat di situ. Selama ini, umat Islam beranggapan bahawa Mekah - bumi menempatkan Kaabah, kiblat semua umat Islam dunia dan tempat kelahiran Rasulullah s.a.w. - tidak mungkin menjadi sasaran pengganas sesuai dengan kedudukannya sebagai tanah haram dan kota suci bagi penganut Islam. Mekah sentiasa dianggap tempat yang paling selamat dan pilihan terakhir kemungkinan berlakunya keganasan. Bagi umat Islam, Mekah adalah `syurga' kekuatan dalaman mereka dan mereka ke sana untuk keamanan fikiran selain mengerjakan perintah atau suruhan Tuhan. Selepas serangan Jun lalu, pihak berkuasa Arab Saudi mula melancarkan tindakan tegas termasuk menangkap kira-kira 600 suspek dan membunuh 12 yang lain dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan untuk mematahkan kumpulan-kumpulan militan di negara itu. Hampir 5,000 anggota polis Arab Saudi dikerah berkawal di sekeliling Mekah bagi melindungi kira-kira 2.5 juta jemaah di Mekah yang mengambil kesempatan menunaikan umrah pada 10 hari terakhir Ramadan. Keputusan itu juga dibuat atas desakan keselamatan setelah mendapat maklumat mengenai rancangan pengganas melakukan serangan di sekitar kota suci itu. Kepantasan dan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dalam usaha menjamin keselamatan di negara itu sentiasa dihargai oleh umat Islam. Namun itu tentunya tidak mampu memadam sama sekali ketakutan umat Islam dari seluruh dunia yang bercadang ke Arab Saudi semata-mata mahu beribadat di kota suci Mekah atau Madinah. Umat Islam di seluruh dunia tentunya sependapat dengan penduduk tempatan yang mengutuk tindakan pengganas yang menggunakan `kota suci Rasulullah' itu sebagai tempat mencetuskan keganasan. Di sebalik itu, kemungkinan bahawa serangan-serangan tersebut didalangi pihak luar termasuk Amerika Syarikat (AS) menerusi Agensi Perisikan Pusat (CIA) tidak boleh diketepikan. Analisis banyak pihak mempercayai bahawa ada pihak luar yang menempatkan `jari-jarinya' dalam pengeboman di Riyadh baru-baru ini untuk memastikan Arab Saudi terus bekerjasama memerangi keganasan. Tetapi, apa pun alasan pengganas termasuk memberi tekanan kepada kerajaan Arab Saudi dengan melibatkan kota suci Mekah atau Madinah, ia tidak akan dipersetujui. Menjadikan insan seagama yang sedang beribadat sebagai mangsa dan juga mencemarkan maruah kota suci Islam merupakan perbuatan yang tidak akan dimaafkan oleh umat Islam