Muslim Bertaqwa Peneraju Ummah

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Khamis, 07 Oktober 2004 @ 22:47:03
Topik: Tazkirah



Assalamu'alaikum wrt..

Bismillahirrahmanirrahim..

Sifat ketaqwaan itu umpama benteng yang dapat menghalang seorang itu daripada melakukan segala yang dilarang Allah SWT sama ada dosa kecil mahupun dosa yang besar. Muslim bertaqwa ialah yang takut pada Allah, beramal dengan apa yang diperintah, meninggalkan apa yang dilarang, redha dengan yang sedikit dan bersedia menghadapi hari kematian.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” (Al-Hujurat:13)

Ketaqwaan juga dapat menimbulkan rasa ghairah untuk sentiasa menunaikan perintah Allah, malah terasa nikmat dan bahagia setiap kali melakukan ibadah ikhlas keranaNya. Sesiapa yang meninggalkan perbuatan dosa, maka lembutlah hatinya. Sesiapa yang menjauhi perkara yang haram dan mendekati perkara yang halal, jernihlah fikirannya. Siapa yang buat dosa sambil ketawa, Allah lemparkannya ke neraka dalam keadaan menangis. Sesiapa yang taati Allah sambil menangis akan dimasuk ke syurga dalam keadaan ketawa.

Muslim yang beragama dan berilmu tetapi tidak pula berakhlak, tidak ada kesabaran serta tidak dapat mengawal hawa nafsunya akan jauh daripada keredhaan Allah SWT. Beruntunglah muslim yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsunya sebagai tawanan. Rugilah pula bagi muslim yang menjadikan nafsu sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan.

Muslim yang baik ialah yang melakukan kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepadanya, juga melakukan kebaikan kepada orang yang berbuat jahat kepadanya dengan menasihatinya. Sesiapa yang takut pada Allah tidak akan takut sesama manusia, malah akan dihormati. Sesiapa yang tidak takutkan Allah akan takut sesama manusia dan tidak akan digeruni.

Tiga perkara yang meninggikan darjat muslim ialah: Menyebarkan ucapan salam, suka memberi makan atau bersedekah dan melakukan solat malam ketika orang lain sedang tidur. Tiga perkara yang bakal membinasakan seorang muslim pula ialah terlalu bakhil, rasa takjub atau hairan dengan kehebatan diri sendiri serta mengikut telunjuk hawa nafsu.

Berusahalah mencapai taqwa yang hakiki kerana Allah tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda melainkan nilai kepatuhan dan ketaqwaan yang tinggi dalam mengimplikasikan syariatNya.

wallahua'lam..

Ditulis oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, UIAM