EDISI KL: PETAKA AWAL PAGI MERDEKA

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Jumaat, 03 September 2004 @ 9:16:16
Topik: Berita



PETIKAN HARIAN METRO 1 SEPTEMBER 2004

KAJANG: Seorang gadis dirogol seorang daripada empat lelaki yang menyamun mereka ketika pulang menyertai sambutan Ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka, awal pagi semalam.

Pasangan berkenaan yang menaiki kereta ditahan kumpulan lelaki yang menggunakan dua motosikal di simpang Kampung Sesapan, Batu Rembau di Beranang, dekat sini, kira-kira jam 2.30 pagi.

Dalam kejadian itu, kumpulan itu mengarahkan pasangan terbabit keluar dari kereta tetapi mereka enggan.

Mereka kemudian menarik teman lelaki gadis berkenaan keluar dari kereta dan kemudian memaksa pasangan itu menanggalkan pakaian dan melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, pasangan itu enggan mengikut arahan lalu seorang daripada lelaki itu membawa gadis berkenaan ke kawasan sawah kira-kira satu kilometer dari tempat berkenaan dengan menaiki kereta teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Mohamad Noor Hakim Kassim, berkata setibanya di kawasan sawah berkenaan, gadis itu dirogol.

Menurutnya, gadis berkenaan kemudian dibawa semula ke tempat teman lelakinya yang ditahan tiga rakan lelaki itu.

Menurutnya, kumpulan terbabit kemudian melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM100 milik gadis itu dan teman lelakinya berusia 18 dan 20 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal dan keterangan mangsa, kumpulan itu adalah penduduk tempatan malah dua daripadanya dikatakan pernah dilihat gadis terbabit di kampungnya.

“Keempat-empat lelaki itu juga dipercayai dalam keadaan mabuk ketika melakukan perbuatan berkenaan berdasarkan bau minuman keras,” katanya.

Menurut Mohamad Noor Hakim, kumpulan itu dikenal pasti menggunakan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha RG Sports tetapi nombor pendaftarannya tidak dapat dilihat mangsa.

Katanya, gadis itu dari Balakong dan berkerja sebagai operator pengeluaran keluar bersama teman lelakinya kira-kira jam 8 malam untuk menyambut Hari Kemerdekaan di ibu kota.

“Kawasan mereka ditahan gelap dan jauh dari rumah orang serta jarang dilalui terutama pada awal pagi.

“Polis percaya suspek berkenaan berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun masih di sekitar Balakong dan usaha memburu mereka sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392 dan 376 Kanun Keseksaan kerana samun dan rogol.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat boleh meghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Veronica Lucy Peter, di talian 03-88736222 sambungan 241 bagi membantu siasatan.