Tajuk : JODOH YANG SEKUFU

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Rabu, 01 September 2004 @ 10:18:44
Topik: Kenangan



Alia terus sahaja berborak didalam komputer. Kadang-kadang dengan budak Mesir, Cairo, Pakistan, Kaherah, Budak tahfiz dan juga kolej Islam tempatan. Sememangnya chatting adalah salah satu yang sangat popular dalam internet. Sebab itu Alia tidak melepaskan peluang untuk menggunakan sepenuhnya CC yang berdekatan dengan tempatnya belajar, Biasanya channel surau menjadi pilihannya. Alia adalah seorang pelajar tahun 3 di UUM, berumur 21 dan mengambil jurusan perakaunan. Dia juga seorang pelajar yang mempunyai kefahaman Islam yang mendalam dan cemerlang dalam pelajarannya..

Dapat saja budak dari Timur Tengah atau popular dengan nama ardhu khinanah, maka mulalah Alia mengeluarkan butir-butir kata yang selalu didengar atau didapatinya dari usrah, ceramah ataupun tazkirah disurau di universitinya. Persis seorang ustazah. Selalunya Alia akan menggunakan nick Raudahtul Jannah kerana Alia mengharapkan chatting itu akan dapat dimanfaatkan untuk menjadi tempat mencari ilmu yakni majlis ilmu.

Bukankah ada sabda hadrat Rasulullah saw kepada para sahabat . a bahawa majlis ilmu itu adalah salah satu taman disyurga. Jadi sebab itulah Alia menggunakan nick Raudahtul Jannah yang bermaksud taman di syurga. Ramai juga yang mendapat alamat email Alia. Ada yang memang minta dan ada juga yang sengaja diberi oleh Alia. Mudah-mudahan mereka boleh memberi nasihat atau tazkirah kepadanya melalui email. Dan kemudian bolehlah Alia menyampaikan apa yang diperolehinya melalui emailnya kepada anak-anak usrahnya sesuai dengan hadis hadrat Nabi saw mafhumnya; Sampaikan dariku walau sepotong ayat...

Penuhlah ruang emailnya dengan email dari pelajar2 dari Al-Azhar, Yaman, Pakistan, Sudan, dan dari Malaysia sendiri. Semuanya pelajar bidang agama dan beberapanya adalah dari sekolah tahfiz dan seorang pelajar Shoubra di Mesir yang mana disitu adalah tempat pelajar yang menghafal Quran.

Arif Alimun yang berasal dari Selangor adalah satu-satunya pelajar Shoubra yang turut memberi respon kepada email Alia. Berumur 25 tahun dan alhamdulillah telah menghafal 30 juzuk dari Al-Quran. Kesopanan bahasa Alia yang berbentuk nasihat dalam emailnya telah mendorong Arif Alimun untuk meluahkan rasa hatinya terhadap Alia. Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan bagi Alia untuk menulis dalam bentuk motivasi dan nasihat kerana dia adalah salah seorang naqibah di Universitinya.

Alia amat bersyukur kerana ditemukan dengan lelaki seperti yang selalu didoakannya selama ini setiap kali selepas solat. Lelaki yang berilmu , beriman, beramal dan melibatkan diri dalam gerakan jemaah Islam agar dapat membimbing dirinya agar menjadi wanita solehah dan istiqamah sebagai sayap kiri perjuangan. Mudah-mudahan dia memperolehi kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Lebih menggembirakan Arif Alimun adalah seorang Al-Hafiz Quran. Tidak sudah-sudah Alia membuat sujud syukur.

Proses demi proses telah pun berlalu. Mula-mula bertaaruf dengan lebih lanjut, menghantar gambar dan kemudian proses akhir istikharah untuk menentukan sama ada bolehkah perhubungan ini diteruskan. Keesokkan harinya dengan penuh rasa tidak sabar bercampur gembira Alia membuka emailnya. Hari ini Arif Alimun hendak memberitahu keputusan istikharahnya. Keputusan Alia sudah positif. Tetapi keputusan istikharah Alia bukanlah diperolehi melalui mimpi tetapi melalui gerak hatinya yang mempunyai keyakinan kuat bahawa jodohnya adalah dengan Arif Alimun. Lagipun kalau ikut Islam jika hanya ada seorang sahaja lelaki yang approach kita dan lelaki itu adalah lelaki mukmin maka haruslah diterima, tidak perlu istikharah pun tak mengapa.

Kerana istikharah itu sebenarnya untuk mereka yang didalam dilemma. Mempunyai dua pilihan yang kedua-duanya mukmin dan tidak tahu hendak memilih antara keduanya; (Maka tatkala itulah memerlukan pertolongan petunjuk dari Allah yang mana satu membawa akibat baik bagi diri, agama dan kehidupan pada masa sekarang dan masa akan datang..) bisik Alia kepada hatinya.

Namun email hari itu sedikit menghampakan Alia kerana Arif Alimun tidak memberikan jawapan istikharahnya. Tulisnya dalam email itu ;Belum dapat apa-apa petanda. Setiap kali membalas email Arif Alimun, Alia akan bertanya keputusan istikharah Arif Alimun namun setiap kali itu jugalah dia akan menerima ayat Quran atau hadis hadrat Nabi saw yang menyatakan tentang kelebihan bersabar..

Masuk bulan ini sudah hampir 9 bulan Alia meneruskan hubungannya dengan Arif Alimun. Dan dalam tempoh itu mereka sering berbalas email dan Arif Alimun pernah menelefonnya dari Mesir. Bunga-bunga kecintaan mereka semakin mekar dan berkembang. Tidak sabar Alia hendak menunggu kepulangan Arif Alimun dari Mesir. Dan bulan depan Arif Alimun akan pulang ke Malaysia. Keputusan jayyid yang diterimanya telah melayakkan dia untuk pulang ke tanah air.

Hari ini Arif Alimun yang berada dirumahnya di Banting menelefon Alia yang pada masa itu berada dirumahnya di bangi. Kebetulan UUM pada masa itu cuti. Belum pun sempat Alia menanyakan apa-apa, Arif Alimun telah memotong percakapannya. Dengan penuh tenang Arif Alimun telah menyatakan sesuatu yang Alia tunggu selama ini, namun isi kandungannya tidaklah seperti yang diharapkan oleh Alia selama ini.

Alia... Arif Alimun menarik nafas panjang... maafkan abang.. jawapannya nagatif Alia. Sebenarnya semasa abang di Shoubra dulu abang telah memperolehi jawapan negatif tetapi abang masih lagi berdoa agar jodoh kita sampai. Namun petunjuk yang diperolehi bertambah keruh.. Alia.. tidak ada siapa yang dapat mengubah takdir Allah.. InsyaAllah nanti mungkin akan ada seorang lelaki yang lebih baik dari abang yang akan memenuhi ruang hati Alia. Itulah doa abang untuk Alia.. Sampaikan salam abang kepada emak dan ayah Alia dengan lafaz Assalammualaikum.. dan sampaikan juga minta maaf dari abang buat mereka.. Alia .. kita hanya merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

Hancurlah hati seorang yang bernama wanita yang mana sememangnya sifat hati kaum Hawa ini sensitif.. Tewaslah matanya dari menahan air matanya untuk tidak tumpah membasahi pipinya yang licin dan putih melepak itu.. akhirnya Alia pasrah dan redha dengan ketentuan Allah buatnya..

Hari ini rumah kedua orang tua Alia mengadakan walimahtul urus.. Alia akan diijabkabulkan pada pukul 2.00 petang ini dimasjid jamek ditaman rumahnya bersama seorang pemuda yang baru pulang dari United Kingdom. Muhammad Haza Azmi bin Abdullah adalah seorang pelajar jurusan Computer Engineering yang melanjutkan pelajarannya di Oversea. Dahulunya bekas pelajar Univesiti Malaya yang aktif dalam gerakan persatuan jemaah Islam di universitinya...

Alhamdulillah Haza juga istiqamah dan aktif dalam jemaah semasa di United Kingdom. Sekurang-kurangnya Alia masih lagi boleh istiqamah sebagai sayap kiri perjuangan Islam setelah berkahwin dengannya... Lamunan Alia lenyap sejurus sahaja kompang dipalu.. Rombongan pengantin lelaki sudahpun sampai dan sekejap lagi Alia akan ke masjid untuk upacara ijab kabul. Dan dikala itu Alia mengesat air matanya sambil meletak kembali kad jemputan perkahwinan Arif Alimun yang telah berusia setahun lebih itu. Usia kad itu telah mengingatkan Alia akan perkahwinan Arif Alimun dengan seorang muslimat yang baru balik dari Kaherah yang juga seorang Hafizah Al-Quran.. Dan perkahwinan mereka sudah berusia sama dengan kad berwarna merah jambu lembut itu.. Alia mengesat air matanya yang sudah banyak tumpah membasahi pipinya dan telah menghilangkan bedak dipipinya.. Kemudian Alia menyapukan kembali bedak dipipinya. Itu sahaja yang dipakainya kerana Alia tahu akan haramnya tabarruj.

Sewaktu Alia diiringi keluar, dia sudah nampak rombongan yang datang dari jauh.. Kemudian dia mencari-cari wajah bakal suaminya. Tatkala terlihat saja wajah Haza, pada masa itulah Alia sudah membuang jauh semua kenangannya bersama Arif Alimun.... Semuanya... kerana pada saat dan detik itu Hazalah yang memenuhi segenap ruang isi hatinya nalurinya. Dia hendak menjadi isteri yang solehah kepada Haza.. Dia mahu menyintai Haza sepenuhnya sebagai kekasihnya didunia dan diharapkan dapat menjadi perantaraan buat kekasihnya yang kekal abadi yakni Allah Taala..

Tapi Tuhan saja yang tahu sejauh mana kekuatan Alia untuk menolak semua kenangannya sewaktu bersama Arif Alimun.. cinta pertamanya yang mana suatu ketika dahulu dia pernah berharap menjadi pelamin hidupnya.. Semua itu hancur sekelip mata bilamana itulah kehendak Allah terhadap makhluknya... namun Alia pasrah dan redha dengan keputusan Allah buatnya.. Dia yakin ada hikmah disebaliknya... dan dia juga yakin Hazalah yang akan memabwa akibat baik bagi dirinya, agamanya dan kehidupannya pada masa sekarang dan pada masa akan datang..

Alia cuba mengukir sekuntum senyuman pengantin buat Haza.. dia tahu Haza sedang memerhati kearahnya.. Dia mahu memaparkan wajah yang gembira menyambut kehadiran Haza didalam hatinya dengan penuh keikhlasan.. pada masa itu dengan rahmat Allah turun rasa mahabbah yang mendalam dalam dirinya terhadap Haza... Arif Alimun sudah dilupakan tatkala itu dan mungkin untuk selama-lamanya... sebagai isteri solehah, Alia sudah tidak boleh mengingati lelaki lain... Upacara ijab kabul telah berjalan lancar dan kini Alia dan Haza sudah sah sebagai suami isteri.. Tatkala kedua pengantin itu berjalan berpimpinan tangan menuju ke rumah, terdetiklah dihati Alia… memang benarlah kita ini perlu mencari jodoh yang sekufu.....

Penulis : Adakala keadaan seseorang itu dapat dikenal melalui kalamnya dan seringkali manusia tidak sedar yang dia sedang bercerita mengenai keadaan dirinya melalui percakapan, perbuatan mahupun tulisannya... Kisah diatas tidak ada kena dengan yang hidup atau yang telah mati.. sekiranya ada itu hanyalah ketentuan Allah..

Wallahuaalam..