ILMU DI DALAM SOLAT BERJEMAAH

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Isnin, 19 Julai 2004 @ 13:02:18
Topik: Tazkirah



Cuba kita pelajari (ilmu), kaji, fikir dan amalkan pelbagai ilmu yang terkandung di dalam solat lima waktu (Maghrib, Isyak, Subuh, Zohor dan Asar) secara berjemaah yang telah disyariatkan oleh Allah swt melalui wahyuNya yang disampaikan oleh Rasulullah saw kekasih Allah swt.

Kalau kita perhatikan segala amalan yang kita kerjakan di dalam solat lima waktu secara berjemaah, amalan-amalan tersebut banyak memberi pengajaran yang sangat bermanfaat kepada kita untuk menjalani kehidupan kita di bumi Allah ini. Di dalam solat lima waktu itu terkandung satu panduan yang cukup berguna kepada kita yang mana akan kita bincangkan nanti. Antara amalan yang perlu kita ambil tahu dan mengkajinya ialah seperti rukun-rukun dalam solat lima waktu, perbuatan (yang membatalkan solat, yang makruh) dan dari segi berjemaah itu sendiri.

Pertama sekali ingin dibincangkan di sini ialah mengenai kepentingan solat lima waktu secara berjemaah. Cuba kita lihat betapa elok dan indahnya solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah di mana di dalam solat berjemaah terdapat imam dan makmum. Sebagaimana kita ketahui semasa solat berjemaah kita sebagai makmum sewajibnya untuk mengikut imam sepanjang kita solat berjemaah dan batal solat kita sekiranya kita mendahului imam. Apa yang dapat praktikan dalam kehidupan kita seharian berpandukan solat berjemaah ini (ada imam dan makmum) ialah dari segi konsep kepimpinan yang mana kita sebagai anak patuh kepada pemimpin kita iaitu ayah dan emak, rakyat kepada kerajaan selagi segala suruhan yang diarahkan oleh ketua kepada kita tidak bercanggah dengan syariat Allah swt. Kalau kita perhatikan di dalam solat berjemaah kita boleh menegur imam dengan cara tertentu seandainya imam sebarang kesalahan ketika sembahyang, tidak kiralah dari segi perbuatan dan percakapannya (bacaan ayat suci al-Quran). Begitu juga dalam kehidupan kita seharian, seandainya sahabat kita membuat sebarang kesilapan kita sebagai insan yang bergelar muslim seharusnya tidak membiarkan sahabat kita terus melakukan kesilapan tersebut malahan kita sebagai seorang sahabat perlu mencari inisiatif untuk menegur sahabat kita dengan cara yang berhikmah dan berkesan. Itu salah satu yang dapat kita pelajari daripada konsep solat lima waktu secara berjemaah yang telah disyariatkan oleh Allah swt kepada kita.

Keduanya dari konsep cara kita bergaul dengan masyarakat (lebih-lebih lagi jiran tetangga kita) juga dapat kita pelajari dan ambil panduan daripada perlakuan solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa, di dalam solat lima waktu secara berjemaah kita tidak boleh untuk mengganggu makmum-makmum yang sedang solat bersama dengan kita. Yang dimaksudkan gangguan di sini ialah gangguan dari segi suara. Sedia kita maklum bahawa di dalam solat berjemaah kita tidak boleh membaca bacaan di dalam solat secara suara yang kuat (melainkan bacaan fatihah dan surah yang imam baca ketika dalam rakaat pertama dan kedua di dalam solat Maghrib, Isyak dan Subuh beserta dengan takbir yang imam lafazkan untuk pertukaran rukun/perbuatan ). Ini kerana apabila kita mengganggu makmum lain dengan bacaan yang kuat, maka jatuh hukum haram kepada kita kerana ketika orang sedang bersolat kita tidak boleh mengganggu mereka. Daripada perbuatan di dalam solat ini, kita boleh mengambil panduan untuk kita praktikan di dalam kehidupan kita ialah, dari segi kita hidup berjiran, di mana kita haruslah sentiasa menjaga ketenteraman jiran tetangga kita. Di dalam Islam kita tidak boleh sesekali untuk menyakiti jiran tetangga kita malah kita seharusnya sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan baik antara jiran kita. Jiran tetangga kita boleh diibaratkan sahabat kita yang bersolat berjemaah bersama kita, di dalam solat berjemaah seperti yang telah dinyatakan di atas, kita tidak boleh mengganggu kekhusyukkan dan ketenteraman sahabat kita ketika solat berjemaah bersama dengan kita. Di dalam kehidupan berjiran kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjaga ketenteraman antara kita dan jiran tetangga kita bagi mewujudkan masyarakat berjiran yang penuh harmonis tanpa perbalahan dan hasad dengki.