Puisi : Rintih Ramallah

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/



Tarikh: Rabu, 02 Jun 2004 @ 16:52:33
Topik: Kenangan



Ketika bedil peluru kau saksikan
berjujuhan bagai rintik hujan,
hanya pandangan sayu
kau hadiahkan buat Ramallah,
hanya matamu yang melirik jerih derita mereka.

Ketika tamtama Ramallah melontar senjata,
kau hanya tahu berkata itu perjuangan absurd
yang tidak akan menempuh sabil jaya,
sedangkan kau selesa melayani mimpi
di atas alas empuk bertemankan dodoi sayang.

Saat perawan-perawan sunti Ramallah
bermatian mempertahankan mahkota diri
dari renggutan nafsu haiwanat,
kau ralit bersantai berlibur .a
dengan pingkal ketawa.

Bukan kau tidak tahu
semakin ramai muslimah-muslimah Ramallah
yang hidup menjanda meladeni rengek tangis
anak-anak kecil yang sudah bergelar yatim,
sedangkan kau tegar berdiam diri
di dalam dakapan suri jelita,
mengaburi atma anak-anakmu
dengan keindahan duniawi.

Ramallah terus merintih akibat
luka yang semakin abses,
hadarah al-Quds semakin binasa
diluluh-hawa bejat nafsumu sendiri,
kerana tiadanya jurai-jurai iman
melakari sedar jiwamu.

Jangan kau tergolong di dalam marga asfal
yang nyata dimurkai Tuhan!

Amiza Khusyri Yusof,
6 Februari 2004, Cairo, Egypt.