Permata hiasan dunia
Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com:443/ukhwah/
Tarikh: Sabtu, 10 April 2004 @ 21:36:07
Topik: Umum
As-Syifaa' ilmuan wanita yang disukai Rasulullah
Generasi hari ini adalah pemimpin hari esok.Remaja puteri khasnya bertanggungjawab mendidik generasi masa hadapan.Mahukah kita hidup dalam kejahilan yang gelap dan melucutkan martabat insan Muslim? Semua jawapannya ada dalam kemahuan kita.
Kedudukan wanita pada zaman jahiliyah telah sedia dimaklumi hina sehingga ditanam hidup-hidup sewaktu kecil.Kedatangan Islam membawa sejuta harapan yang meletakkan wanita di tempat yang mulia.
Seruan tauhid yang dibawa oleh Rasulullah tidak hanya disahut oleh para pria yang dahagakan kebenaran malah mendapat sambutan juga dari kalangan wanita-wanita yang rindukan pembelaan.Mengiringi sahutan peringkat awal Islam ini tidak terkecuali seorang wanita pintar yang merintis jalan intelektual buat muslimah sejagat.Dia memiliki akal fikiran yang cerdas disertai jiwa dan roh yang bersih serta sentiasa sedar terhadap kebenaran.Ditambah lagi dengan kemahirannya membaca,menulis dan kepakarannya mengubati badan dan jiwa yang tidak sihat.Peribadinya diperindahkan lagi dengan sifat kelembutan dan kematangan.Dialah As-Syifaa’ binti Abdullah bin Abdu Syams bin Khalaf Al-Quraisyiah.Pada waktu itu,memang sukar mencari wanita Arab yang terhimpun semua sifat demikian.Justeru itu, Rasulullah SAW memberi perhatian memartabatkan keistimewaan tersebut bagi menyuluh jalan keilmuan dikalangan wanita Islam.
As-Syifaa’ dijadikan idola ilmu yang memecahkan tradisi buta huruf dikalangan wanita yang awal memeluk Islam.Dia bukan sahaja bertugas sebagai tabib wanita,malah dia turut mengajar kaum muslimah menulis dan membaca.
Perjalanan hidup As-Syifaa’ tidak terkecuali dari peristiwa penting hijrah ke Madinah.Malahan,selepas menyertai hijrah ke Madinah,peranan As-Syifaa’ semakin menonjol sebagai suatu madrasah/pusat ilmu pelajaran bagi kaum wanita.Walaupun segala kepakaran As-Syifaa’ sentiasa menerima pengiktirafan dari Rasulullah meminta kepastian Rasulullah berkaitan tatacara pengubatannya agar tidak menyalahi ketentuan syarak.
Tumpuan kepakaran As-Syifaa’ tidak terbatas sebagai tabib wanita sahaja malahan,dia turut merawikan hadis-hadis Nabi SAW.Kekerapan dia berulang alik meminta bimbingan Rasulullah SAW disertai ketajaman akal fikirannya memudahkan dia menyimpan banyak sabda-sabda Rasulullah SAW serta menyampaikan kepada orang ramai dengan jelas.As-Syifaa’ telah Allah lanjutkan usianya ke zaman Khalifah Umar Al-Khattab ra.Khalifah Umar sendiri meminta nasihat As-Syifaa’ serta memuliakan kedudukannya sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.Akhirnya As-Syifaa’ kembali kerahmatullah pada tahun 20 Hijrah dengan meninggalkan kesan yang besar kepada perkembangan ilmu dikalangan muslimah.
Meskipun peristiwa kehidupan As-Syifaa’ telah lama berlalu.Namun,dia masih sesuai dijadikan idola ilmu pada hari ini.Marilah kita terapkan nilai-nilai murni ini di dalam kehidupan kita selaku remaja.Tambahan pula,usia muda kita miliki adalah masa yang subur menimba ilmu sebanyak yang mungkin bagi mentadbir maslahat hidup pada masa hadapan.Kecergasan fizikal dan ketajaman minda ketika usia muda ini merupakan modal yang paling besar yang membawa hasil lumayan.