Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 22-09-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Kalau Hidup Tidak Boleh Menyenangkan Orang, Jangan Menyusahkan Orang

-- Meow (Warga Ukhwah.com)

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 57
Ahli: 0
Jumlah: 57




  Yang Masuk Ke Sini
HIKAL: 2 hari yang lalu

Cerita Bersiri: EGO RANIA I
 Posted on Jumaat, 20 Oktober 2006 @ 10:18:53oleh istisafa
Karya cucu menulis Bukankah mempertahankan negara sendiri daripada dijajah oleh bangsa lain itu merupakan Jihad…? Bukankah lebih baik negara itu diperintah oleh rakyatnya sendiri…? Persoalan demi persoalan bermain di benak Maddas. Adakalanya menyiksa jiwa dan memedihkan naluri seorang rakyat yang cintakan negaranya. Iraq, tanahair yang ditinggalkan bertahun lamanya hanya kerana menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu bukankah juga satu jihad...?

Berita demi berita yang didengar dan dibaca. Khabar demi khabar yang diselidiki. Dari Kedutaan Iraq di Malaysia, dan rakan-rakan di negara yang tercinta semua habis dijelajahi. Benarkah nanti tentera Bersekutu pimpinan Amerika Syarikat akan melancarkan perang ke atas bumi Iraq...? Britain dan Australia bersama dengan kelompok paksi kejahatan itu untuk menghancurkan sebuah negara yang merdeka. Alasannya mudah negara itu mempunyai senjata pemusnah. Bagaimana dengan nasib keluarga dan rakan-rakan di sana nanti. Adakah mereka akan menjadi pelarian dalam negara sendiri atau tidak mustahil juga mereka akan terkorban dek kerakusan perang. Ya Allah, jauhkanlah bala dari negaraku yang tercinta itu. Hati kecil Maddas berdoa.
    
Nasib Rania nanti bagaimana...? Anak presiden Iraq yang belajar bersama di Malaysia ini. Anak gadis yang cukup lantang bersuara memmpertahankan tindak tanduk ayahnya. Bapa borek anak rintik. Senyuman terpamer di wajah Maddas. Adakah presiden Iraq akan dapat digulingkan oleh tentera Bersekutu...? Ya Tuhan beratnya persoalan ini.
    
‘Rania, bagaimana nanti jika ayahmu digulingkan oleh tentera Bersekutu...?’ Maddas menguji anak gadis dihadapannya. Rania memandang Maddas, pelajar undang-undang tahun terakhir itu.
    
‘Aku yakin dan percaya yang ayahku tidak akan dijatuhkan oleh mereka. Ayahku mempunyai strategi perang yang baik. Tentera yang ramai apatah lagi anggota Faddayen yang setia. Mana mungkin Bush boleh menggulingkan ayahku’. Suara keyakinan terbit dari wajah manis itu.
    
Maddas tahu anak gadis itu nanti akan tersentuh bila diungkit soal pentadbiran negara mereka. Soal kronisme, diktatornya presiden dan pelbagai perkara yang seringkali menimbulkan perbalahan antara mereka. Namun ada ikatan kukuh antara mereka. Bukan kerana mereka dilahirkan di daerah yang sama, juga bukan kerana mereka menganut agama yang sama. Namun kerana ada cinta sesama manusia dalam hati mereka. Mahzab agama bukanlah penghalang kata mereka. Maddas Sunni dan Rania Syiah. Mereka juga dipisahkan oleh darjat yang berbeza. Rania anak presiden yang memerintah negara manakala Maddas anak rakyat biasa yang tinggal di pinggir kotaraya Baghdad.
    
‘Kau perlu menerima hakikat bahawa satu hari nanti ayahmu akan meninggalkan kerusi presiden dan kau akan menjadi rakyat biasa seperti aku. Mungkin aku pengkritik ayahmu yang setia namun ada jasa dan sumbangannya pada negara. Ingat perang Teluk tahun 1990, semangat ayahmu mempertahankan negara kita satu merupakan aspirasi dan semangat bagiku meneruskan perjuangan disini.’ Maddas menimbulkan lagi soal kebobrokan dan jasa ayah kekasihnya itu.
    
‘Kau juga harus terima Maddas bahawa ayahku banyak berjasa kepada negara...!’ Rania nyata tidak mahu mengalah. Maddas ketawa kecil melihat reaksi puteri tunggal presiden itu. Manis dan menawan.
    
‘Aku akui ayahmu punya sumbangan yang besar tapi aku juga akui yang ayahmu banyak menimbulkan masalah kepada rakyat Iraq sendiri.’ Maddas cuba menduga lagi Rania. Gadis itu menarik muka masam.
    
‘Aku bukan anti ayahmu tetapi aku hanya menyuarakan hak aku sebagai rakyat Iraq. Itu sahaja. Adakah dengan menyuarakan pandangan dan cadangan itu satu kesalahan...? Maddas menguji pendapat Rania. Lama mereka membatukan diri. Membiarkan segala kemarahan dan emosi yang ada berlalu bersama angin petang khamis itu.
    
‘Sudahlah. Aku tidak mahu berbincang tentang hal ini lagi.’ Rania mengalah dan ada manik-manik jernih tumpah dibalik matanya. Rania berlalu begitu sahaja. Maddas terkedu melihat gadis pujaannya berlalu tanpa meninggalkan pesan.
    
Maddas tidak berniat untuk menyakiti hati Rania. Maddas sedar bahawa dalam kemelut Iraq yang semakin meruncing mereka harus bersatu hati bukannya berbalah sesama sendiri. Bilangan pelajar Iraq di perbukitan ilmu ini tidak ramai dan mereka harus bersatu mengatakan bahawa negara mereka hak mereka. Orang asing tidak mempunyai hak untuk campurtangan, namun gadis manis itu cepat tersinggung apatah lagi mendengar kritikan dan teguran terhadap ayahnya. Sang presiden.
    
Sudah dua minggu peristiwa itu berlaku. Pertengkaran kecil yang menimbulkan kesan berpanjangan. Maddas dan Rania sudah seperti orang asing walau ada pijar-pijar rindu dalam hati. Maddas sudah berulangkali memohon maaf dari Rania atas keterlanjurannya itu. Rania diam membisu mendengar perkataan maaf diungkap berulangkali. Maddas menghitung hari berlalu dengan hati yang cukup pedih mengenangkan tingkah Rania. Gadis manis yang pernah menjadi punca perselisihan antara dia dan Rahim, anak timbalan presiden negara mereka. Namun, cinta Rania pada Maddas anak seorang pegawai rendah kerajaan sahaja.
    
Maadas adakalanya mengakui bahawa Rania seorang yang perasa dan cepat tersinggung, namun Maddas mahu mendidik bakal permaisuri hidupnya itu sebagai seorang rakyat biasa. Tahu dan memahami pendirian orang lain. Memandang ke bawah dan bukannya mendongak ke langit terus. Maddas ingat lagi satu ketika mereka berbincang soal negara mereka...
    
‘Rania. Aku sangat berharap melihat pemerintah negara kita bertukar khasnya presiden dan kabinetnya.’ Maddas menyuarakan rasa hati.
    
‘Kenapa, adakah kau sudah menyokong orang asing untuk menjatuhkan ayahku...?’ Emosi Rania mudah sahaja tergugah. Maddas menggelengkan kepala. Susah bercakap dengan anak orang besar seperti Rania.    
    
‘Aku tidak menyokong orang asing malah aku tidak akan merelakan walau seinci tanahair kita dipijak oleh orang asing. Tetapi aku mengharapkan perubahan kepimpinan itu dilakukan oleh rakyat Iraq sendiri. Itu maksud aku.’ Maddas menzahirkan kata-katanya. Jelas dan terang.
    
‘Bagus sekali pandanganmu Maddas. Kau tidak bersyukur akan apa yang ayahku lakukan untuk negara kita. Aku tetap yakin yang ayahku akan kekal berkuasa. Sudahlah Maddas aku tidak percaya orang seperti kau ini ramai di bumi Iraq. Nampak kesalahan ayah aku sahaja.’ Rania tetap dengan pendiriannya, menyokong sang ayah.
    
Bukan sekali dua perbalahan itu berlaku. Malah sudah berulangkali dan kesannya Rania akan merajuk berhari-hari. Maddas banyak mengalah dengan tindakan Rania. Seboleh-bolehnya Maddas mahu mempertahankan ikatan suci antara mereka itu berpanjangan walaupun seringkali keegoan Rania melampaui batas kasih dan sayang. Tinggal setahun lagi mereka akan kembali ke bumi Iraq sebagai pejuang yang akan berjuang di tanahair sendiri. Mungkinkah impian mereka akan tercapai ataupun sebaliknya. Rania, yakinlah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.
    
‘Maddas negara kita sudah diserang subuh tadi...!’ Suara lunak Rania menghiasi corong telefon Maddas. Berita itu sudah diketahui oleh Maddas lebih awal melalui Rahim yang kembali ke Iraq untuk berjuang sebagai seorang anggota Faddayen presiden Iraq.
    
“Rania, cepat bagitahu semua kawan-kawan kita untuk berkumpul di dewan kuliah B sekarang. Aku nak sampaikan taklimat tentang keadaan negara kita.’ Maddas menjalankan tanggungjawab sebagai senior juga pemimpin persatuan mahasiswa Iraq.
    
Apa yang harus aku sampaikan pada mereka nanti...? Ya Allah selamatkanlah keluarga kami dan negara kami. Doa Maddas dalam hati. Sepanjang perjalanan menuju dewan kuliah B, Maddas memerhati wajah-wajah sugul rakan-rakan mahasiswa lain. Berlainan negara tetapi mempunyai agama yang sama. Menyampaikan rasa amarah tentang tindakan kejam Amerika dan sekutunya. Maddas cuma mampu untuk mendengar. Riak mukanya tidak berubah meskipun ada nada ketakutan dalam dirinya. Bimbang dan risau tentang nasib kaum keluarga di negara yang jauh dari mata.
    
Pegawai Kedutaan Iraq di Kuala Lumpur menghubungi Maddas agar dapat menenangkan rakan-rakanya yang lain. Maklumat akan disampaikan dari masa ke semasa. Maddas hanya mampu mendengar dengan teliti sedangkan negaranya sedang dihujani peluru bermacam saiz dan nama. Negaranya dikepung dari semua sudut. Kuwait, Arab Saudi membenarkan penceroboh itu menggunakan negara sebagai pangkalan tentera penceroboh melancarkan serangan. Terdetik rasa marah dalam hati Maddas. Bukankah mereka juga beragama Islam...? Adakah dengan hanya kesalahan seorang pemimpin maka semua rakyat Iraq menjadi mangsa...?
    
Kelompok rakan-rakan Maddas menghampirinya. Seorang demi seorang memandang muka Maddas. Hujan air mata membanjiri perjumpaan mereka pagi itu. Maddas cuba untuk mengawal emosinya agar dapat menenangkan rakan-rakan yang lain. Rania cuba menenangkan rakan-rakan siswinya. Maddas merasakan bahawa nasib keluarga mereka bagaikan telur dihujung tanduk.
    
‘Rakan-rakan sekalian...’ Maddas memulakan ucapan.
‘Negara kita sudah diserang oleh pengganas dunia yang sebenar. Apa yang kita mampu lakukan ialah berdoa semoga Allah menyelamatkan negara kita dari tangan mereka. Kita bersabar kerana kita tahu semua ini dugaan dari Allah untuk melihat kesabaran kita semua. Insyallah, semua akan baik tak lama lagi’ Maddas tidak mampu lagi menyembunyikan rasa hiba dan sedihnya.
    
‘Bagaimana kita boleh menghubungi keluarga di Iraq...? Terbit pertanyaan dari bibir seorang siswi. Maddas tahu siapa gadis itu. Kawan baik Rania.
    
‘Itu nanti saya akan usahakan dengan pihak kedutaan. Mulai hari ini kita semua akan berada di pejabat kedutaan setiap malam untuk mengetahui perkembangan lanjut di negara kita. Rakan-rakan kita dari universiti lain juga akan bersama dengan kita.’ Rania menjawab bagi pihak Maddas.
    
‘Kita semua harus yakin yang negara kita akan tetap bebas merdeka dan tidak akan dijajah. Insyaallah, semua rakyat negara kita akan bangkit mempertahankan negara dari pengganas.’ Rahman, bersuara. Pelajar tahun satu kursus kejuruteraan itu menyuarakan keyakinan. Maddas tersenyum melihat semangat rakan-rakannya.
    
Sudah berlalu perang ke atas Iraq, Maddas dan Rania masih menunggu khabar dari sanak-saudara di bumi Iraq. Kesugulan wajah Rania menginsafkan Maddas bahawa tanggungjawabnya untuk menjaga Rania harus dipikul. Maddas sengaja merahsiakan bahawa keluarganya terkorban sejak hari kedua serangan lagi pada Rania kerana tidak mahu gadis itu bersedih. Presiden dan keluarganya juga tidak diketahui berada dimana. Rania sepanjang hari menangis mengenangkan nasib kaum keluarganya dan Maddas yakin bahawa presiden masih hidup. Mungkin bersembunyi di sebuah tempat yang sulit dan rahsia.
    
‘Rania, walaupun negara kita diceroboh oleh orang asing tidak semestinya kita telah kalah. Percayalah bahawa mereka akan menerima padah jika berada lebih lama dalam negara kita. Rakyat akan bangkit menentang menghalau keparat itu semua dari bumi Iraq. Rania juga yakin yang keluarga Rania juga selamat. Insyaallah Rania akan bertemu dengan mereka lagi.’ Maddas memberikan semangat pada Rania walaupun hatinya pedih mengenangkan nasib keluarganya.
    
‘Tapi bagaimana dengan nasib keluargamu...?’ Rania bertanya. Maddas diam dan memandang sayu mata Rania yang kemerahan menahan tangis. Maddas hanya menggelengkan kepala dan maksudnya difahami oleh Rania.
    
‘Sudahlah, apa yang penting sekarang kita mesti bebaskan kembali negara kita...!’ Maddas menyatakan tekad dan senyum pahit terbit dari bibir mungil anak sang presiden itu.

 

  Karya


Komen


"Cerita Bersiri: EGO RANIA I" | Login/Mendaftar | 2 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: EGO RANIA I
oleh aqma pada Isnin, 06 November 2006 @ 12:23:45
(Info AHLI)


menarik dan penuh penghayatan.
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: EGO RANIA I
oleh perak ([email protected]) pada Ahad, 03 Disember 2006 @ 16:16:06
(Info AHLI) http://redzx.multiply.com/


setuju dengan pendapat awak
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.076544 saat. Lajunya....