Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 21-09-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Jika anda taknak bekerja, carilah duit sebanyak-banyaknya; nanti anda tak perlu bekerja
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 55
Ahli: 0
Jumlah: 55




  Yang Masuk Ke Sini
HIKAL: 14 jam, 47 minit yang lalu

Novel Bersiri: Risik
 Posted on Isnin, 28 Ogos 2006 @ 8:17:33oleh istisafa
Karya zaidakhtar menulis FAJAR menyingsing. Kokokan ayam begitu nyaring. Azan yang bergaung dari masjid desa mendayu-dayu. Sebuah pagi yang syahdu. Ila terbangkit sendiri. Lain benar azan subuh yang mengejut lenanya pagi ini. Merdu dan berlagu.
Tidak seperti selalu. Baru Ila tersedar di mana dia berada.

Selesai solat subuh, terus saja Ila ke dapur. Ibunya yang hendak ke bilik air terkejut melihat Ila sedang menyediakan sarapan. Demikian juga abah yang baru selesai solat subuh. Namun di sudut hati mereka gembira. Bertuah ada anak yang mengaji agama!

Baru tengah hari semalam Ila tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyangka Ila yang baru dua tahun
menuntut di Jordan itu akan pulang. Tiba-tiba saja sudah tersembul di ambang pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti ibu menceceh, sebab Ila tidak memaklumkan terlebih dahulu kepulangannya. Ila cuma senyum.
Sengaja dia mahu buat kejutan.

“Hai … maknya. Beruntung awak. Tak payah bangun awal lagi. Ustazah dah ada.”

Abah mengusik. Ila tersenyum sambil memandang ibunya yang masih bertelekung, mengacau kopi di dalam kole.
Wajah ibunya cukup berseri-seri. Girang benar dengan kepulangan anak gadisnya ini. Memang sejak semalam bibir ibu tak lekang senyum.

“Mak bahagia Ila balik juga. Dah rindu mak ni.”

“Ila bukan tak nak balik mak. Baru sangat rasanya duduk di Jordan tu. Lagi pun sekarang ringgit jatuh. Kenalah berjimat cermat,” luah Ila tatkala ibu mendakapnya sesampainya di rumah. Kejap betul pelukan ibu, hampir sukar rasanya hendak bernafas. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudung Ila yang
labuh hingga ke pinggul itu. Ila lihat mata abah masa itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.

Ila sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh pulang. Dia sebetulnya tidak berancang. Tekad asalnya untuk tidak
akan pulang selagi tidak meraih gelaran siswazah Syariah Timur Tengah, tiba-tiba sahaja mencair apabila dia beroleh
jayyid jiddan dalam peperiksaan semester lepas. Dia gembira bukan kepalang. Tidak tahu dengan siapa mahu dikongsinya kegembiraan itu selain kawan-kawan serumahnya. Memang hajat asalnya tidak mahu pulang. Apa kala melihat kawan-kawannya hendak pulang bercuti, entah bagaimana dia pun turut sama menempah tiket kapal terbang.

Sudah seminggu Ila pulang, tetapi masih tidak ke. mana-mana. Paling jauh pun ke rumah saudara-mara. Dia hanya
terperap di rumah. Kenduri kesyukuran pun sudah dibuat. Setiap hari ada saja orang kampung yang datang ke rumah. Maklum sajalah Ilalah anak pertama kampung ini yang belajar di Timur Tengah. Ibu pula langsung tidak berenggang. Di mana ada Ila, di situ jugalah ibu akan menemani. Ada saja perkara yang mereka sembangkan. Tidak henti-henti wanita separuh abad itu bertanyakan kehidupannya di Jordan, pengalamannya sewaktu menunaikan umrah, juga kenangannya semasa
melancong ke Mesir.

Dalam perancangannya, kalau boleh, cuti ini ingin dihabiskan dengan beristirehat dan menziarahi adik-beradik dan
saudara-mara. Dia mahu santai sepuas mungkin, setelah puas bertungkus lumus semester penuh di Jordan. Lebih daripada itu, dia tidak mahu. Ditambah cutinya cuma sebulan, masakan sempat untuk berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, petang itu abah memanggil Ila ke ruang tamu. Ada perkara yang nak dibincangkan katanya. Ibu pun
sudah menanti sama.

“Begini Ila. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Maisarah di kedai. Dia ada tanyakan Ila.”

Ila terdiam setagal. Bertanya tentang saya? Dadanya berdebar-debar.

“Ustazah nak minta Ila tolong gantikan dia mengajar malam esok.”

“Ila?” Terkedu dia mendengarnya.

“Ha’ah. Ustazah nak ke Johor Bahru. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”

“Jangan abah. Ila tak sanggup.”

Ila menggeleng. Abah menghirup teh yang asapnya kian menipis. Ibu terus leka dengan jahitannya.

“Kenapa pula, kan Ila dah belajar itu semua?”

“Ila … Ila tak bersedia lagi. Baru seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”

Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasan Ila itu menerjah akalnya. Ila menarik nafas. Lega dengan tindak-tanduk abah.

Sementara menunggu mata terlelap malam itu, Ila teringat kata-kata abahnya di ruang tamu tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam lima orang adik-beradiknya, dialah perintis dalam keluarga, yang belajar di sekolah agama. Kakak-kakak dan abangnya dihantar ke sekolah biasa. Belajar pun perkara-perkara sekular. Malah tiada seorang pun yang berjaya ke peringkat universiti, melainkan Ila satu-satunya. Lantaran itu, Farhana adiknya yang bongsu dihantar ke sekolah agama, demi menuruti jejak kakaknya.

Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang tidak pernah terfikir di akalnya sebelum ini. Ila benar tidak
menyangka Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya untuk itu. Dia kenal benar keluarga ustazah itu. Fathi, anak sulungnya
pernah sekelas dengannya sewaktu di SMKAS. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya.

Tidak pasti pula di mana Fathi sekarang. Yang dia tahu Fahmi dan Siti Khadijah, dua orang lagi anak ustazah itu masih menuntut di SMKAS.

Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan ibu belum tidur lagi.
Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak imam. Perlahan-lahan Ila membuka pintu biliknya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.

“Abang nak tolak cadangan pak imam tadi. Tapi … lepas tu abang terfikir apa salahnya kalau anak kita yang beri pengisian.”

Langkah Ila terhenti.

“Ish … nak ke si Ila tu?” Ibu bertanya separuh ragu.

“Alah … dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu.”

Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang. Terus memasang telinga.

“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini cuma untuk muslimat saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”

Sekali lagi Ila terkedu. Dia sudah dapat menangkap hala tuju percakapan abahnya. Lantas, berpatah balik ke bilik, dan merebahkan diri di tilam.

Kacau! Ila mengetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama sudah ditolak. Tetapi, menolak program yang ini, memang tidak wajar!

Bukan dia tidak mahu, cuma tidak sanggup. Dengan ilmu yang tidak seberapa, bagaimana mahu memberi pengisian kepada masyarakat. Dia teringat kehidupannya di Jordan. Banyak dihabiskan dengan studi. Masanya digunakan cuma untuk menelaah muqarrar kuliah. Jarang sekali dia mengikuti program-program seperti ini. Aktif berpersatuan pun tidak. Semuanya tidak dihiraukan. Dia cuma mahu score dalam peperiksaan.

Pernah sekali rakan serumahnya mengajak dia menghadiri program public speaking.

“Lain kalilah Icah. saya tak free petang ni.”

“Alah … program macam ni bukannya selalu. Kebetulan Kak Suhanna yang buat Ph.di tu ada sekali. Rugi kalau tak dengar dia berceramah tau.”

“Saya nak studi, macam tak sempat saja. Minggu depan imtihan.” Dia cuba berdalih. Bila berbicara dengan Icah dalam soal-soal begini jarang sekali dia menang. Gadis kelahiran Batu Pahat itu memang bijak berhujah.

“Orang lain pun belajar juga. Tapi, tak adalah sampai langsung tak ada masa.”

“Kita ke sini ‘kan untuk belajar.”

Icah yang sedang memakai tudung tersentak.

“Apa, kau ingat belajar tu dengan menghadap buku saja?”

Esoknya, Ila benar-benar terkejut, pagi-pagi lagi Ustazah Maisarah sudah muncul di halaman rumahnya. Wajah wanita itu berseri-seri. Dada Ila mulai bergetar. Ibu sedang mandi, terpaksalah Ila pula yang menyambutnya.

“Ana bukan tak mahu ustazah. Tapi rasa macam tak layak saja.”

Betul jangkaannya, Ustazah Maisarah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah.

“Tak usahlah tawaduk sangat Ila. Ustazah yakin Ila boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”

Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Maisarah membuatkan lidahnya kelu.

Segala jawapan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan berlalu.

“Semua orang yakin dengan Ila. Orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi. Pak Imam pun dah setuju.”

“Ana tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut.

“Tak mengapa. Terpulang pada Ila. Lambat lagi majlis tu. Ila fikirlah dulu.”

(bersambung)

 

  Karya


Komen


"Novel Bersiri: Risik" | Login/Mendaftar | 11 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


assalamualaikum.......
oleh SBM pada Khamis, 21 September 2006 @ 11:47:14
(Info AHLI)


saya sangat teruja dengan cerpen ringkas ni dan tak sabar rasanya nak tahu kesudahan cerita ni..harap saudara dapat teruskan penulisan cerita ni spy dapat dikongsi bersama..teruskan penulisan saudara k...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]


Re: assalamualaikum.......
oleh Hibatullah pada Jumaat, 10 Ogos 2007 @ 7:10:21
(Info AHLI)
salam...
tak sabar menanti kelanjutan cete ni.
]

Re: Risik
oleh mawardah23 pada Isnin, 28 Ogos 2006 @ 9:29:00
(Info AHLI)


jalan cerita yang menarik.... hope bakat ni dapat di perkembangakn ok...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]


Re: Risik
oleh hangkas ([email protected]) pada Khamis, 31 Ogos 2006 @ 2:18:43
(Info AHLI)
jalan cerita yang memberi mesej positif. menarik dan baik. teruskan usaha dan asah lagi bakat saudari. wasalam......
]


Re: Risik
oleh azemi pada Isnin, 18 September 2006 @ 12:39:52
(Info AHLI)
salam..

kawan-kawan..buat pengetahuan, penulis cerita diatas, abang zaidakhtar ialah seorang penulis sepenuh masa..seangkatan dengan abang faisal tehrani. angkatan yang InsyaAllah akan mengubah kebobrokan dunia kesusasteraan kini..saya salah seorang peminat abang zaid akhtar..teruskan berkarya abang.zaid akhtar, moga dipermudahkan dalam menyampaikan manhaj Islami melalui karya sastera anda.
]


Re: Risik
oleh SBM pada Khamis, 21 September 2006 @ 11:52:16
(Info AHLI)
hmm..susunan ayat yang menarik dan membawa kita mengenal pencipta sebenar...hope abang akan trusksn ushaha murni in...
]


Re: Risik
oleh immad pada Rabu, 15 November 2006 @ 9:38:59
(Info AHLI)
cerita ni best memang ada bakat nak jadi penulis yang hebat
]

Re: Risik
oleh perak ([email protected]) pada Ahad, 03 Disember 2006 @ 16:18:08
(Info AHLI) http://redzx.multiply.com/


bagus artikal ni..boleh forward pada mmbe lain nanti..
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Risik
oleh med pada Ahad, 25 Mac 2007 @ 3:01:02
(Info AHLI)


salam...sebenarnya ana baru join laman ukhwah ini,jadi ana tak tahu cerita sebelumnya...macam mana ana nak dapatka cerita sebelumnya
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Risik
oleh taman_syurga ([email protected]) pada Khamis, 13 Mac 2008 @ 10:23:59
(Info AHLI)


menarik cerita nya....
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Risik
oleh aisya_humairah ([email protected]) pada Isnin, 24 Mac 2008 @ 10:06:24
(Info AHLI)


menarik...apa kesudahannya??harap-harap Ila setuju...Kalau tak sia-sia dia pergi belajar jauh-jauh tapi tak amal apa yang dia pelajari....
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.080172 saat. Lajunya....