 |
Posted on Rabu, 21 September 2005 @ 19:56:13oleh Kang
|
|
|
DeenulIslam menulis Saya cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada saya.
Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu. saya ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta saya dan adik berdiri di tepi dinding. saya menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. saya langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang saya. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. saya gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu, emak dan saya tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu. saya meraung sekuat hati, kesal dengan sikap saya yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"
saya mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan saya bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan saya pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. saya terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang...!" saya terdengar ibu teresak-esak. "Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu saya lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," saya memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....
"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa saya keluar bilik. Dari jauh saya nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni.Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. saya cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. saya kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak. saya bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." saya kaku. Sepatah kata pun tak terucap. saya rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester. saya pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. saya lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." saya menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. "Sakit ke?" saya bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.
" Apalagi...saya menangis seperti selalu. saya berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik tak ada pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada." "Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab,
"Selain emak, kakak saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. "Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila." Sebaik adik tamat bercerita. saya meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria
|
|
| |
|
|
|
|
|
Karya
|
|
|
|
Artikel yang paling banyak dibaca dalam Karya:
Air mata cintaRecent News About Karya:
Misc
|
|
|
Komen
oleh harmoni_melodi ([email protected]) pada Selasa, 27 September 2005 @ 21:21:44
(Info AHLI)
OK...
agk tersentuh juga cerita ni.
ternyata kasih sesama saudara tak mampu dinilai
tahniah,
ada kesenian dalam cerita tapi mungkin lain kali boleh buat lagi dramatik.
teruskan usaha.
oleh adrianahayati pada Khamis, 30 Mac 2006 @ 1:54:49
(Info AHLI)
oleh Kayrill ([email protected]) pada Selasa, 03 Oktober 2006 @ 8:24:52
(Info AHLI)
karya ini menyentuh nilai sayang yang amat mendalam di antara seorang adik dan kakak.. dan baru sahaja membuatkan hati lelaki ini tersentuh..
huh..! tak boleh nangis, tak boleh nangis..
erm..teruskan berkarya ek..
oleh nur_ukhwah pada Sabtu, 01 Oktober 2005 @ 12:10:31
(Info AHLI)
cerita ni memang menyentuh perasaan betul...hebat betul kasih sayang seorang yang bergelar adik....betape besarnye pengorbanan dia terhadap kakaknye..kalau sayalah berada ditempat kakaknye sekarang..mesti saya beruntung mempunyai seorang adik yang sepertinye
oleh khalifah_85 ([email protected]) pada Selasa, 28 Februari 2006 @ 16:17:53
(Info AHLI)
alhamdulillah setelah tamat saya baca dan hayati,ternampak sikit kelainan dalam cerpen yang anda tulis..jalan cerita yang menarik dan menyentuh perasaan...
sellau orang suka buat kesah cinta,anda pulak mengetengahkan satu kelainan cinta juga tapi antara seorang adik dan kakak..
teruskan usaha anda..saya menokongnya
wassalam..
oleh emi pada Selasa, 07 Mac 2006 @ 22:46:47
(Info AHLI)
baik sungguh hubugan dua beradik ni, "dalam derita ada bahagia"
oleh kembara_girl ([email protected]) pada Rabu, 23 Ogos 2006 @ 9:28:36
(Info AHLI) http://-/
hebat sungguh perasaan yang wujud antara dua beradik ni....
tetiba keinsafan timbul dalam diri saya...kakak2 saya sangat menyayangi diri saya tapi saya anggap diorng hipokrit...
terima kasih,dengan membaca cerita ni saya rasa insaf sangat...
oleh puteriarina pada Sabtu, 14 Oktober 2006 @ 13:48:58
(Info AHLI)
sedih sangat.
thanks
oleh qibtiyah pada Rabu, 10 Januari 2007 @ 13:57:08
(Info AHLI)
best sangat...ana sendiri pun tak sebaik itu...
oleh Farishah pada Selasa, 30 Januari 2007 @ 17:13:22
(Info AHLI)
walaupon dah banyak kali baca cerpen ni...setiap kali baca mesti menangis...ianya seperti berlaku didepan mata...
oleh ima280387 pada Isnin, 16 April 2007 @ 16:43:45
(Info AHLI)
menarik sungguh cerita ni..
kat sini kita nampak betapa kasihnya seorang adik kepada kakaknya sehingga sanggup mengaku kesalahan kakaknya..
teruskan berkarya..
=)