Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 04-12-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Apa-apa yang terjadi pada kita hari ini adalah hasil tindakan kita pada masa lalu
-- Kang

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 90
Ahli: 0
Jumlah: 90




  Yang Masuk Ke Sini
Martyr: 22 jam, 49 minit yang lalu
Muslim1987: 7 hari yang lalu

Cerpen: Muslimah ........
 Posted on Ahad, 18 September 2005 @ 15:07:55oleh istisafa
Karya malay_paan87 menulis FAJAR menyinsing. Kokokan ayam begitu nyaring. Azan yang bergaung dari masjid desa mendayu-dayu. Sebuah pagi yang syahdu. Ila terbangkit sendiri. Lain benar azan subuh yang mengejutkan lenanya pagi ini. Merdu dan berlagu. Tidak seperti selalu. Baru Ila sedar dimana ia berada.

Selesai solat subuh, terus saja Ila ke dapur. Ibunya yang hendak ke bilik air tekejut bila melihat Ila sedang menyiapkan sarapan. Demikian juga abah yang baru selesai solat subuh. Namun di sudut hati mereka gembira. Bertuah ada anak yang mengaji agama!

Baru tengah hari semalam Ila tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyangka Ila yang baru dua tahun menuntut di Jordan itu akan pulang. Tiba-tiba sahaja tersembul di ambang pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti ibu menceceh, sebab Ila tidak memaklumkan dahulu kepulangannya. Ila Cuma tersenyum. Sengaja dia mahu buat kejutan.

“Hai...maknya. Beruntung awak. Tak payah bangun awal lagi. Ustazah dah ada.”

Abah mengusik. Ila tersenyum sambil memandang ibunya yang masih bertelekung, mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Girang benar dengan kepulangan anak gadisnya ini. Memang sejak semalam bibir ibunya tak lekang senyum.

“Mak bahagia Ila balik juga. Dah rindu mak ni.”

“Ila bukan tak nak balik mak. Baru sangat rasanya duduk di Jordan tu. Lagi pun sekarang ringgit jatuh. Kenalah berjimat cermat,” luah Ila tatkala ibu mendakapnya sesampainya di rumah. Kejap betul pelukan ibu, hamper sukar rasanya hendak bernafas. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudung Ila yang labuh hingga ke pinggul itu. Ila lihat mata abah masa itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.

Ila sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh pulang. Dia sebetulnya tidak merancang. Tekad asalnya untuk tidak akan pulang selagi tidak meraih gelaran siswazah Syariah Timur Tengah, tiba-tiba sahaja mencair apabila dia beroleh jayyid jiddan dalam peperiksaan semester lepas. Dia gembira bukan kepalang. Tidak tahu dengan siapa mahu dikongsinya kegembiraan itu selain kawan-kawan serumahnya. Memang hajat asalnya tidak mahu pulang. Apa kala melihat kawan-kawannya hendak pulang bercuti, entah bagaimana dia pun turut sama menempah tiket kapal terbang.

Sudah seminggu Ila pulang, tetapi masih tidak kemana-mana. Paling jauh pun ke rumah saudara-mara. Dia hanya terperap di rumah. Kenduri kesyukuran pun telah dibuat. Setiap hari ada saja orang kampung yang datang ke rumah. Maklum sajalah, Ilalah anak pertama kampung ini yang belajar di Timur Tengah. Ibu pula langsung tidak berenggang. Di mana ada Ila, disitu jugalah ibu akan menemani. Ada saja perkara yang mereka sembangkan. Tidak henti-henti wanita separuh abad itu bertanyakan kehidupannya di Jordan, pengalamannya sewaktu menunaikan umrah, juga kenangannya semasa melancong ke Mesir.

Dalam perancangannya, kalau boleh, cuti ini ingin dihabiskan dengan beristirehat dan menziarahi adik-beradik dan saudara-mara. Dia mahu santai sepuas mungkin, setelah puas bertungkus-lumus semester penuh di Jordan. Lebih daripada itu, dia tidak mahu. Ditambah cutinya hanya sebulan, masakan sempat untuk berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, petang itu abah memanggil Ila ke ruang tamu. Ada perkara yang nak dibincangkan katanya. Ibu pun sudah menanti sama.

“Beginilah Ila. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Maisarah di kedai. Dia ada tanyakan Ila.”

Ila terdiam. Bertanya tentang saya? Dadanya berdebar-debar.

“Ustazah nak minta tolong Ila gantikan dia mengajar malam esok.”

“Ila?” Terkedu dia mendengarnya.

“Ha…ah. Ustazah nak ke Johor Bahru. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”

“Jangan abah. Ila tak sanggup.”

Ila menggeleng. Abah menghirup teh yang asapnya kian menipis. Ibu terus leka dengn jahitannya.

“Kenapa pula, kan Ila dah belajar itu semua?”

“Ila…Ila tak bersedia lagi. Baru seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”

Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasan Ila itu menerjah akalnya. Ila menarik nafas lega dengan tindak-tanduk abah.

Sementara menunggu mata terlelap malam itu, Ila teringat kata-kata abahnya di ruang tamu tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam lima orang adik-beradiknya, dialah perintis dalam keluarga, yang belajar di sekolah agama. Kakak-kakak dan abangnya dihantar ke sekolah biasa. Belajar pun perkara-perkara sekular. Malah tiada seorang pun yang berjaya hingga ke peringkat universiti, melainkan Ila satu-satunya. Lantaran itu, Farhana adiknya yang bongsu dihantar ke sekolah agama, demi menuruti jejak kakaknya.

Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang tidak pernah terfikir di akalnya sebelum ini. Ila benar tidak menyangka Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya untuk itu. Dia kenal benar keluarga ustazah itu. Fathi, anak sulungnya pernah sekelas dengannya sewaktu di SMKAS. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya. Tidak pasti pula di mana Fathi berada sekarang. Yang dia tahu Fahmi dan Siti Khadijah, dua orang lagi anak ustazah itu masih menuntut di SMKAS.

Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan ibu belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak Imam. Perlahan-lahan Ila membuka pintu biliknya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.

“Abang nak tolak cadangan pak Imam tadi. Tapi…lepas tu abang terfikir apa salahnya kalau anak kita yang beri pengisian.”

Langkah Ila terhenti. “Ish…nak ke si Ila tu?” Ibu bertanya separuh ragu.

“Alah…dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu.”

Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang. Terus memasang telinga.

“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini cuma untuk muslimat saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”

Sekali lagi Ila terkedu. Dia sudah dapat menagkap hala tuju percakapan abahnya. Lantas, berpatah balik ke bilik, dan merebahkan diri di tilam. Kacau! Ila mengetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama sudah di tolak. Tetapi, menolak program yang ini, memang tidak wajar!

Bukan dia tidak mahu, cuma tidak sanggup. Dengan ilmu yang tidak seberapa, bagaimana mahu memberi pengisian kepada masyarakat. Dia teringat kehidupannya di Jordan. Banyak dihabiskan dengan studi. Masanya digunakan cuma untuk menelaah muqarrar kuliah. Jarang sekali dia mengikuti program-program seperti ini. Aktif berpersatuan pun tidak. Semuanya tidak dihiraukan. Dia cuma mahu score dalam peperiksaan!

Pernah sekali rakan serumahnya mengajak dia menghadiri program public speaking.

“Lain kalilah Icah. saya tak free petang ni.”

“Alah…program macam ni bukannya selalu. Kebetulan Kak Suhanna yang buat Ph.D tu ada sekali. Rugi kalau tak dengar dia berceramah tau.”

“saya nak studi, macam tak sempat aje. Minggu depan imtihan.” Dia cuba berdalih. Bila berbicara dengan Icah dalam soal –soal begini jarang sekali dia menang. Gadis kelahiran Batu Pahat itu memang bijak berhujah.

“Orang lain pun belajar juga. Tapi, tak adalah sampai langsung tak ada masa.”

“Kita ke sini kan untuk belajar.”

Icah yang sedang memakai tudung tersentak.

“Apa, kau ingat belajar tu dengan menghadap buku saja?”

Esoknya, Ila benar-benar terkejut, Pagi-pagi lagi Ustazah Maisarah sudah muncul di halaman rumahnya. Wajah wanita itu berseri-seri. Dada Ila mula bergetar. Ibu sedang mandi, terpaksa Ila pula yang menyambutnya.

“Ana bukan tak mahu ustazah. Tapi rasa macam tak layak aje.”

Betul jangkaannya. Ustazah Maisarah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah.

“Tak usahlah tawaduk sangat Ila. Ustazah yakin Ila boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”

Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Maisarah membuatkan lidah kelu. Segala jawapan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan berlalu.

“Semua orang yakin dengan Ila. Orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi. Pak Imam pun dah setuju.”

“Ana tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut.

“Tak mengapa. Terpulang pada Ila. Lambat lagi majlis tu. Ila fikirlah dulu.”


**************************************************

Terkesip-kesip mata Ila mengingatkan itu semua. Sudah dua hari dia terlantar tanpa jawapan. Kitab Usul ad-Dakwah karangan dari. Abdul Karim Zaidan yang kebetulan dibawa balik dibelek-belek. Cuba dibaca beberapa perenggan. Bungkam. Segala yang melintas tidak lekat di fikiran.

Sebelum ini, tidak sekali dia terfikir perkara sedemikian akan dihadapinya. Langsung tidak pernah; biarpun dia sedar kelak dia akan bergelar siswazah Timur Tengah. Memadai sekadar itu. Dan, tidak pernah terencana di benaknya untuk menjadi pendakwah, untuk memimpin ummah!

Di Jordan, memang ada didedahkan dengan situasi sebegini. Program-program seperti usrah, tamrin, ceramah, kelas tafaqquh, semuanya ada. Cuma dia yang tidak ikut. Baginya, serupa sahaja. Kalau setakat untuk membincangkan manduk-manduk usrah, dalam kitab pun ada. Bila-bila masa boleh dibaca!

Terbayang-bayang wajah Ustazah Maisarah yang mengharap. Ila terasa dirinya kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Walaupun cuma guru sekolah agama, tetapi cukup aktif. Banyak perubahan yang telah dibuatnya. Pelbagai aktiviti muslimat di desa ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Farouk pun begitu. Sumbangan mereka terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kampung memang tidak dapat dinafikan.

Sedang saya ini siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam cara hidup masyarakat? Apa persediaan yang telah kubuat demi mencanai hasrat umat? Apa…argh!

Pertanyaan yang bertalu-talu itu berlegar-legar dalam diri. Dan fikirannya melayang mengingati kehidupannya di Jordan. Sendat dengan suasana ilmu. Malangnya selama ini, program-program yang ada tidak dimanfaatkan. Dia terlalu mengutamakan studi tanpa mencari ilmu-ilmu luar sebagai bekalan untuk menghadapi masyarakat; sebagai persediaan untuk memberi pengisian, sebagaimana yang dihadapinya sekarang.

Buat pertama kali Ila berasa begitu tersayat.
“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, agar mereka itu dapat menjaga dirinya.”
    
Firman Allah dalam Surah at-Taubah yang seringkali diulang-ulang oleh pensyarah Arabnya pada awal kuliah terngiang-ngiang, dan kali ini benar-benar menusuk. Dalam hatinya dia membuat satu jawapan buat Ustazah Maisarah. Moga ini adalah langkah yang pertama!

*************************************************

Petang itu, Ila kembali ke rumah setelah dua hari bermalam di rumah nenek. Sewaktu tiba di rumah, sebuah Proton Satria baru sahaja meluncur keluar dari kawasan rumahnya. Ila macam kereta siapa.

“Dah lama ustazah datang mak?”

Ibu mengangguk. Abah yang sedang membaca akhbar tersenyum meleret. Ila tidak faham makna senyuman itu. Dia terus melangkah ke kamar. Kemudian keluar semula.

“Ustazah tunggu Ila tadi.”

Ila mengutip cawan dan pinggan bekas tetamu untuk dibawa ke dapur.

“Tunggu Ila?”

Ila memandang tepat ke wajah ibunya. Ibunya juga senyum lebar.

“Dia nak tanya keputusan Ila. Kami tak berani nak kata apa.”

“Mak tak cakap yang Ila dah setuju?”

“Hai…belum apa-apa Ila dah setuju?”

“Yalah. Memang Ila dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul nanti,” jawab Ila tenang. Namun di hatinya terbetik rasa hairan.

Abah dan ibunya saling berpandangan. Senyuman yang terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.

“Ila…ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.”

Ila semakin tidak faham.

“Habis tu?”

“Dia datang nak risik Ila untuk anaknya.”

Kali ini Ila benar-benar terkedu!

 

  Karya


Komen


"Cerpen: Muslimah ........" | Login/Mendaftar | 8 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: Muslimah ........
oleh transmissionline pada Isnin, 19 September 2005 @ 12:03:50
(Info AHLI)


Cerita ni megingatkan saya pada siri "Salju Sakinah" dalam Utusan Malaysia karangan penulis kesukaan ramai, Zaid Akhtar. Entah Kenapa saya rasakan seolah-2 ada persamaan antara cerita ini dengan siri novel yang disebutkan tadi. Nanti saya cuba check dalam internet tengok sama ada betul sama ke atau tidak ...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Muslimah ........
oleh transmissionline pada Isnin, 19 September 2005 @ 13:50:12
(Info AHLI)


Terlebih dulu saya nak minta maaf andai apa yang saya nak kata ni mungkin mengecilkan hati si penulis. Memang sah cerita ini banyak persamaan dengan siri "Salju Sakinah". Cuma yang beza hanya nama watak. Minta maaf sekali lagi. Tak tau lah saya kalau-kalau saudara penulis yang bernama malay_paan87 ni sebenarnya Zaid Akhtar.

Saya harap sesiapa yang menghantar karya tu agar lebih berhati-hati agar tidak memplagiat karya nama-nama besar dalam dunia penulisan. Benda ni ada copyright tau. Silap-silap portal ni boleh kena saman nanti ... ;-)

Sila rujuk http://saljusakinah.blogspot.com/2005/06/siri-18.html
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Muslimah ........
oleh yan4485 pada Rabu, 21 September 2005 @ 11:57:10
(Info AHLI)


suspend saja ending cerita ni...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Muslimah ........
oleh kama_klate ([email protected]) pada Jumaat, 23 September 2005 @ 5:31:40
(Info AHLI) http://-/


satu cerpen yang baik...... ending boleh tahun........banyak pengajaran tu
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]

Re: Muslimah ........
oleh transmissionline pada Jumaat, 23 September 2005 @ 9:01:58
(Info AHLI)


Kalau ikut cerita Zaid Akhtar, semua kisah di atas ni hanya mimpi saja ...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]


Re: Muslimah ........
oleh zaidakhtar pada Sabtu, 24 Disember 2005 @ 1:15:34
(Info AHLI) http://www.myzaidakhtar.blogspot.com/
memang ini karya saya. 100% saya punya. Terima kasih kerana sudi membaca. Tak baik plagiat2 tau!
]


Re: Muslimah ........
oleh MohdHanafi pada Ahad, 01 Januari 2006 @ 18:38:50
(Info AHLI) http://naimppkk.blogspot.com/
Alamak...kesiannya.

Ada juga orang buat kerja ciplak macam ni ye?

Ini baru ana jumpa ni untuk sebuah karya.
]

Re: Muslimah ........
oleh siswa ([email protected]) pada Selasa, 27 Jun 2006 @ 3:35:47
(Info AHLI)


Boleh tahan endingnya... :).
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.079876 saat. Lajunya....