Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 06-10-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Bila sesuatu telah sempurna akan mulalah kelihatan cacat celanya.

-- Saidina Abu Bakar

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 83
Ahli: 0
Jumlah: 83




  Yang Masuk Ke Sini
izad: 25 hari yang lalu

Jangan Salahkan Takdir Allah
 Posted on Khamis, 03 Jun 2004 @ 18:03:28oleh Hanan
Kenangan teman_siber menulis Ternyata mereka ini baik-baik dan ikhlas dalam beragama. Sepanjang tujuh hari mereka di situ jemaah masjid bertambah ramai terutama ketika sembahyang maghrib, isyak dan subuh. Ada kuliah maghrib dan kuliah subuh yang dinamakan majlis fikir yang dihoskan oleh salah seorang daripada mereka.

Suatu petang tiga daripada mereka ke rumah saya. Dia mengucapkan tahniah melihat kawasan pondok saya (Yayasan Darul Hanan) yang diduduki oleh orang-orang tua yang sudah dianggap sebagai keluarga emas. Saya hanya menjawab bahawa ini sebagai hadiah murni kepada ibu saya Hajah Khadijah yang tidak sempat menyaksikan zaman tua saya dan tidak berpeluang melihat kejayaan cucu-cucunya.

Sebelum ini ibu saya telah bermandikan keringat dan sering menitiskan air mata untuk kejayaan saya ketika dalam kesusahan dan kemiskinan.

Seorang daripadanya secara kesal memberitahu saya, katanya, ``Sekarang ini ramai orang kita masuk neraka, kerana matinya tidak sempat bersyahadah. Sebelum mati mereka tidak sedar diri beberapa hari. Kadang-kadang terpaksa dibantu dengan oksigen dan sebagainya.''

Kata-kata ini memeranjat dan mencubitkan perasaan saya. Lebih-lebih lagi kematian ibu saya pada tahun 1993 adalah kerana kecelakaan jalan raya.

Pendakwah berkenaan sebenarnya bukan berlatar belakang dan berkelulusan agama. Tetapi dalam perbualan itu dia selang-seli menggunakan bahasa Arab dan istilah-istilah agama. Dia adalah seorang pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan yang berkelulusan sebuah universiti di Kaherah, Mesir. Dua kawannya dan tetamu-tetamu saya yang berada pada waktu itu semuanya menganggap doktor yang berkenaan adalah seorang alim, kerana dia tahu bahasa Arab dan hadis-hadis yang disebutnya adalah nyata dan fasih. Penghuraiannya juga mudah difahami dan penampilan berjubah dan berjanggut itu menampakkan bahawa dia memang alim.

Saya menghormati mereka kerana cinta dan penglibatannya dengan agama. Tetapi mereka bukan ahli dakwah. Pada hemat saya sebilangan besar kalangan mereka tidak sesuai mengembara bagi maksud tersebut, khususnya bagi seorang yang bernama doktor yang terikat dengan tugasnya sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan. Bagaimana seorang doktor bercakap dalam suatu bidang yang dia bukan ahlinya?

Dia membacakan hadis kepada saya yang bermaksud, Sesiapa yang mengakhiri kalimah syahadah ketika hampir mati maka terus saja masuk syurga.

Tetapi nampaknya dia tidak mengetahui ilmu fikah yang menyatakan bahawa Allah itu mengangkat tanggungjawab (taklif) bagi orang yang tidur, mabuk, pitam, pengsan, gila dan sebagainya sehingga dia sembuh atau sedar, lebih-lebih lagi tidak sedarnya orang sakit itu tidak disengajakan. Sembahyang dan puasa yang ditinggalkan sewaktu tidak sedar adalah dimaafkan.

Saya memberitahunya tentang pandangan dan pendapat saya bahawa golongan profesional sepertinya amat tidak sesuai berdakwah dengan cara mengembara sebegini sehingga terpaksa meninggalkan keluarga, rumah tangga dan tugas harian yang diamanahkan kepadanya, kerana manusia sebagai khalifah dan tugas kekhalifahan manusia di dunia ini telah dibahagi dan diagih-agihkan sebegitu rupa menurut keahlian dan kepakaran masing-masing. Hadis Nabi bermaksud, Apabila dilantik atau diberi tanggungjawab kepada seseorang pada perkara yang dia bukan ahlinya maka tunggulah kehancurannya.

Dia menjawab bahawa golongan profesional juga ingin mendapat pahala daripada Allah dengan kerja-kerja dakwah. Kemudian dia dengan suara yang agak tegas menyatakan bahawa dakwah bukan milik ulama atau golongan agamawan sahaja, tetapi untuk semua. Sahabat Nabi dahulu semuanya berdakwah sedangkan ramai di kalangan mereka adalah ahli perniagaan, petani dan penternak.

Jawapan ini memang benar, tetapi pengutamaan pada zaman ini adalah menurut keahlian dan kepakaran masing-masing. Sebagai seorang doktor maka eloklah dakwah itu kepada pesakit-pesakitnya seperti orang kaya berdakwah dengan hartanya, orang politik dengan kuasanya, pegawai kerajaan dengan bidang pentadbirannya. Saya memberitahu bahawa pondok-pondok yang ada di sini adalah hasil daripada derma orang-orang kaya di kalangan kita untuk kebajikan keluarga emas yang tidak berwaris.

Saya telah menyarankan kepada doktor berkenaan supaya beliau memberi tumpuan kepada bidangnya sehingga mencapai taraf pakar, kerana bilangan orang Melayu dalam bidang itu amat berkurangan. Jika saudara dapat memenuhi tuntutan ini bererti saudara adalah orang yang paling hampir dengan Tuhan kerana saudara telah menunaikan fardu kifayah yang amat dihajati oleh umat Islam semasa.

Tetapi sekiranya saudara menjelaskan kerja-kerja dakwah ini tanpa ilmu yang berkaitan maka kerja-kerja saudara adalah sia-sia, bahkan rosak (fasid) dan merosakkan (mufsid).

Dia kemudiannya bersyarah panjang. Katanya, ``Sedarkah Datuk bahawa alam dunia ini tempat tinggal sementara.''

Kemudian dia membaca beberapa hadis yang membawa maksud bahawa dunia ini adalah tempat tinggal bagi seorang musafir yang sedang dalam perjalanan. Waktunya amat sebentar jika dibandingkan dengan alam akhirat yang merupakan tempat tujuan akhir kehidupan manusia.

Tetapi Allah tidak menyuruh kita melupakan dunia, bahkan menyuruh kita memakmurkannya. Jawab saya pendek.

Dia membaca beberapa potongan ayat yang menggambarkan bahawa kehidupan di dunia ini merupakan permainan dan senda gurau (laeban walahwan) tempat yang melalai dan melekakan, perhiasan untuk bermegah-megah dan berbangga. Atau ibarat air hujan turun dari langit yang menyuburkan tumbuh-tumbuhan di muka bumi.

Akhirnya tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan musnah juga. Dia menegaskan bahawa kehidupan di dunia ini hanya untuk kesenangan sementara dan sebentar. Dunia adalah penghalang bagi seseorang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Jika beginilah sikap saudara maka umat Islam akan hancur. Saya terus menjelaskan Tuhan murka sekiranya kita mewarisi anak cucu kita, bangsa kita dan negara kita dalam keadaan yang lemah dan mundur. Nabi sendiri amat menyukai umatnya yang kuat dan hebat. Nabi menggesa umatnya supaya bekerja untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok. Hari-hari kita berdoa selepas sembahyang minta kurnia keselesaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Jika semangat ajaran ini tidak dapat dihidupkan umat Islam akan hilang dan pupus di dunia ini.

Jika berlaku demikian maka itu adalah takdir Allah. Kita bertawakal saja. Jawabnya pendek.

Konsep takdir dan tawakal yang sering dijadikan panduan saudara perlu difahami selayaknya, kerana orang yang mendirikan rumah di tebing sungai, apabila datang banjir, rumah yang berkenaan dihanyutkan oleh air, maka keadaan seumpama ini tidak boleh didakwa sebagai takdir. Nabi sendiri pun meminta supaya menambat unta kamu lebih dahulu kemudian barulah bertawakal.

Dia membaca hadis, Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah sebenar-benar tawakal, Allah akan kurniakan rezeki kepada kamu seperti burung yang keluar daripada sarangnya dengan perut yang kosong dan balik dengan perut yang kenyang.

Sebenarnya hadis itu dengan sendirinya menolak fahaman bertawakal tanpa didahulukan oleh sebab musabab.

Burung itu balik ke sarangnya dengan perut yang kenyang setelah dia keluar pada waktu pagi. Jika ia terus-menerus berada dalam sarangnya maka sudah tentu dia lapar berterusan.

Kemudian dia memaklumkan kepada saya tentang kejayaan mereka dalam kerja-kerja dakwah. Hal ini amat dihormati, tetapi dorongan dan rangsangan untuk keluar rumah dengan penentuan masa itu bukanlah pengutamaan, khususnya bagi golongan profesional, kerana mereka mempunyai tugas yang lebih besar dan lebih wajib daripada itu dalam menghadapi cabaran semasa. Walaupun ada syarat-syarat yang telah ditentukan bagi mereka yang dicadangkan untuk keluar, tetapi apabila fikiran mereka dimotivasikan tentang kepentingan keluar, maka ketika itu mereka lupa untuk memberi pertimbangan yang wajar dan lupa kepada pengutamaan mereka.

Kita tidak mahu lagi mendengar rintihan isteri yang mengandung tanpa suami di samping ketika hari kelahiran, pekerja-pekerja yang tidak menerima gaji kerana menunggu ketuanya yang masih dalam pengembaraan, anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan tanpa sokongan moral daripada bapa dan sebagainya.

Jika dikatakan bahawa dakwah cara ini penting dan berkesan maka para amir dan maulana di kalangan mereka hendaklah mempastikan hanya di kalangan yang layak dan mampu saja didorong dan dirangsang untuk keluar, seperti orang yang tidak ada kerja atau yang sudah pencen. Mereka ini pula hendaklah benar-benar dipastikan mempunyai ilmu yang hendak didakwahkan dan tidak mempunyai masalah kewangan, kekeluargaan, rumah tangga dan kerja. Dan hendaklah disaksikan secara syahadah dengan mendapat pengesahan daripada pihak ketiga.

Patut diadakan satu borang kaji selidik perihal keluarga, bilangan isteri, anak-anak dan pekerjaannya supaya tidak berlaku lagi pengabaian tanggungjawab yang lebih utama atau kecuaian tugas yang lebih penting sebagai ketua keluarga, penjawat jawatan, pemilik firma dan anggota masyarakat. Dengan demikian dapatlah dielakkan daripada kelalaian dan kedederan yang sering berlaku dan selalu terjadi. Yang lebih penting apabila berlaku kegagalan dan kekecewaan maka tidak akan ada lagi kata-kata sumbang yang menyalahkan takdir.
====================================================
nukilan: akhi, www.pmram.org

 

  Kenangan


Komen


"Jangan Salahkan Takdir Allah" | Login/Mendaftar | 2 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: Jangan Salahkan Takdir Allah
oleh hijrah pada Khamis, 24 Jun 2004 @ 10:15:09
(Info AHLI)


Kerja dakwah adalah sunnah Nabi SAW yang paling tinggi di antara semua sunnah. Semua manusia mahu dapat syafaat Nabi SAW di akhirat nanti, tetapi di dunia tak mahu amalkan sunnah Nabi, apatahlagi ikut buat kerja dakwah Nabi. Kerja kita yg utama di dunia adalah dakwahkan kebaikan, dan setinggi-tinggi kebaikan adalah sebarkan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH. Jadi doktor ke, DATUK ke, cikgu ke, YB ke, itu semua kerja no.2. Kesian ramai umat yg dah lupa tanggungjawab ni. Kalau nak kira ulama, para ahli agama yg nak buat dakwah, tunggu cangak depan tv atau pergi dengar ceramah je lah.. Itupun berapa kerat yg nak tengok ceramah kat tv, dan berapa kerat sangat yg tunggu ceramah di masjid. Style Nabi SAW dakwah pegi jumpa org ramai, style ahli agama yg diterima masyarakat sekarang duduk depan kamera je, up to date lah katakan...I've read this article in Mingguan Malaysia, written by "Datuk" Dusuki, who likes to strike out at tabligh people in his articles. Allah je lah yg tahu kenapa he is anti-orang tabligh. Sesungguhnya org yg terpilih buat kerja dakwah Nabi SAW yg mulia ini adalah pilihan ALLAH, kalau dah tak terpilih maka akan jadi pembangkang mcm DATUK kita ni lah, tak dapat nak faham erti pengorbanan diri, masa dan harta untuk agama ALLAH SWT. Nak korban sikit pun bnyk songeh, sampai mengungkit dan megomen dlm national newspaper.. ALLAH Maha Kaya lagi Adil, sikit je kita korban banyak ganjaran yg ALLAH balas. Di dunia memang tak nampak, di akhirat nanti baru nak menyesal tak nak buat dakwah. Dpt dosa lagi ada sebab dok ckp buruk pasal kerja dakwah Nabi yg mulia. Nabi kata kalau sayang Nabi dan nak bersamanya, Allah akan uji dgn kesusahan dan penderitaan. Sebenarnya, isteri2 & anak2 yg kena tinggal masa suami2 mereka pergi berdakwah taklah bising memekak sangat, sebab mereka faham dan sanggup berkorban untuk dunia yg sementara ni, sedangkan ganjaran yg Allah sediakan utk akhirat yg kekal abadi adalah lebih baik lagi berganda ganda. Dan mereka2 yg ditinggalkan akan mendapat penjagaan drp malaikat2 Allah yg mulia. Yg panas hati dan panas perasaan adalah org2 lain yg mcm DATUK kita ni lah...Satu pesanan untuk di kongsi bersama : jgn nilaikan siapa yg dtg menasihati kita utk buat kebaikan, biar dia seorang budak kecil sekalipun yg tidak tahu apa2, tetapi dengarkan, nilaikan dan sedarkan diri kita dgn nasihat itu, kerana mungkin kita belum dapat mengamal kebaikan itu walaupun sudah berjuta kali kita mendengarnya, walaupun kita rasa kita adalah lebih tinggi darjat drpnya, lebih intelektual dan lebih berpengetahuan agama ...
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]


hang nak tunggu mubaligh-mubaligh kristian p ka datuk....
oleh my_UmmaL pada Selasa, 27 Julai 2004 @ 16:46:44
(Info AHLI)
sampaikanla walaupun satu ayat...kita tidak mampu untuk mengubah insan...kita hanya menunjukkan secebis jalan...yang akan merubah segalanya hanyalah Allah s.w.t. semata-mata untuk selamanya...

inilah yang menjadi masalah kita umat islam pada akhir zaman ini tuan-tuan...bila ada jemaah yang mengajak hendak pulang ke pangkal jalan ketentuan allah...orang islam kita sendiri yang menentang...kita kata...kita inginkan kegemilangan islam...tapi at the same time...kita hina islam secara tidak langsung....islam apaka kita ini...

ana pun penah join jemaah tabglih...pendekatan yang digunakan adalah berdasarkan adab2 tertentu...bukannya seberono saja...kalau bercakap pun...di fikir dahulu..adakan mesyuarat.. inilah cara islam...bukannya tidak mengambil kira peribahasa "Cakap siang pandang2"....

kalau Dr ndak diajak berdakwah...sapa nak ajak depa...kalau nanti mereka makin jauh dari agama...lagu mana kita nak bina islam kita...kita ni AS A HAMBA kpd ALLAH... kalau jadi hamba pun kita FAIL...DONT TALK ABOUT LEADER....


so...biak p la...jemaah tabligh dengan sumbanga depa..kita yang dok baca ni...apa kita punya sumbangan untuk martabatkan kalimah "lahilahailallah"...gapo?????

ask our self first....
]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.178135 saat. Lajunya....