Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 06-10-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Tak semestinya melakukan apa yang anda sukai tetapi menyukai apa yang anda lakukan
-- Kang Razzi Armansur

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 71
Ahli: 0
Jumlah: 71




  Yang Masuk Ke Sini
izad: 25 hari yang lalu

Isteri Pejuang Syahid
 Posted on Khamis, 05 Jun 2003 @ 21:11:20oleh Hanan
Kenangan doktor_kampung menulis penderitaan rakyat palestin sering kita dengar di dada akhbar tanpa sedetik pun kekesalan yang timbul dalam hati kita. mana mungkin kan terasa kerana perasaan ananiyyah masih lagi bermaharajalela dalam relung iman kita. renugilah rentetan diari syahdu ini buat tatapan para hizbullah...

Suamiku, basah bibirmu mengucup dahiku, hangatnya
meresap ke hati, harumnya tersebar ke urat nadi. Kala
aku tunduk mencium tanganmu. Aku pun mengingatkan diri
ini mengahwini sekujur tubuh seorang pejuang. Aku pun
mengerti, sekujur tubuh pejuang itu belum tentu dapat
kumiliki sepenuhnya, tetapi kuharap aku menjadi
pemaisuri hatimu.

Oleh dirimu seorang pejuang itu. Aku belajar merelakan
pemergianmu.

Kata orang, malam pertama tidak mungkin berulang
tetapi ia tetap kekal dalam hati. Aku pun tahu. Aku
tidak mungkin melupakan malam pertama ini.

Kata orang, manis malam pertama tidak akan menipis dan
kemuncaknya apabila si isteri berdarah setitik,
mengaduh kecil dan mengeluh nikmat berpanjangan.

Aku tidak merasainya. Darah tumpah sekawah, pedih
meleret panjang dan nikmat tidak pernah terkecap.
Bukan darahku yang tumpah, tetapi darahmu, wahai
suamiku. Bukan setitis yang menitik, bahkan sekawah
yang mengalir. Aduh kecil itu tidak terbit, tetapi
tangis derita berlarutan.

Antara kita, hanya diikat ijab dan qabulmu, kucupan di
dahiku dan ciuman di tanganmu, sebelum kau diheret ke
luar rumah. Resah pantas pecah dan suara saling
bertingkah. Segala-galanya berbaur-baur, kekeliruan
dan kegelisahan bergaul-gaul, sebelum muncung uzi
meludahkan jarum maut ke tubuhmu.

Suara itu bertukar jerit dan tangis. Ibumu tersepa di
pintu kamarku, ayahmu menyerbu si celaka tetapi
tersungkur tika timah berapi membenamkan dadanya. Aku
pun rebah di ranjang yang tidak sempat kita jamah.

Saat aku membuka mata, tangisan menggigil-gigil
menusuk kalbuku. Ibumu menampar-nampar pipi di penjuru
kamar. Dia wanita tabah, kehilangan suami dan anak
sulung dalam satu waktu. Bagaimana aku mahu
menafsirkan dua kesedihan yang berhimpun dalam satu
bejana hati?

Ibumu dan aku, sama-sama menjadi balu. Bezanya dia
balu kehilangan anak. Aku balu belum sempat dijamah
suami. Masing-masing berkongsi kesedihan, tetapi tiada
siapa berani membandingkan derita siapa lebih menusuk
dan menghiris.

Kau dianggap musuh dan pengganas di tanah airmu
sendiri. Kesalahanmu hanya satu, memperjuangkan
kemerdekaan bumi ini. Hukumnya tunggal, kau harus
dibunuh sama ada melalui perbicaraan mahkamah mereka
atau hakimnya muncung uzi beralaskan suasana resah
memaksa.

Tidak ada hubungan intim antara kita. Aku diberitahu,
kau menghantar rombongan menyuntingku. Aku membisu
dengan pipi merah mekar dan tersipu mengutil aspal
bilik – diamku itu tanda setuju kerana aku dara yang
punya maruah dan haya’. Sepanjang pertunangan kita,
juga tidak dighairahkan ungkapan cinta. Dalam satu dua
pertemuan diatur keluarga. Aku makin mengenali dirimu
dan kau mengetahui diriku.

Itu cebisan-cebisan kisah cinta kita. Terlalu tipis,
tetapi tetap bermakna. Lirik mata, senyum kecil, halus
bicara dan gerak tanganmu. Aku mengetahui semuanya
bernafas satu – jihad!

Kau cuba menghantar isyarat itu kepada aku. Kau
seorang pejuang dan aku apabila usai ijab qabul itu
ialah isteri seorang pejuang. Aku bukan mengahwini
sekujur tubuhmu, bahkan bersatu dengan jalur perit
perjuanganmu. Perjuanganmu ialah perjuanganku dan
menjadi perjuangan kita.

Namun. Aku tidak menduga. Usia perkahwinan kita
sesingkat itu.

Kau sudah menemui Tuhan dengan gelaran as-syahid. Aku
tertinggal di dunia ini dengan status balu as-syahid.

Suamiku. Aku tidak akan selama-lamanya bergelar balu
as-syahid. Saat ini sudah kutanam tekad dalam bumi
hatiku, gelaran itu mahu kutukar kepada mujahidah dan
cita-citaku juga merebut as-syahid itu.

Suamiku, nantikan kedatanganku. Aku berharap agar kita
dapat berterbangan berpasangan di taman hijau.

Sepuluh hari lagi genap iddah. Empat bulan itu
kesedihan tidak pernah menipis, meski derita tidak
lagi meraung-raung dalam atma. Galur luka itu semakin
sembuh, tetapi pedihnya kekal dalam nafasku. Ia
berbaur-baur dengan dendam, tetapi sudah kusatukan
menjadi api jihad.

Empat bulan itu terlalu banyak tragedi datang
bertindan-tindan. Tidak mampu kukumpulkan dalam kertas
sejarah, kerana catatan berdakwat darah itu terlalu
panjang dan menulisnya menumpahkan kesedihan tidak
mampu kulorekkan.

Ibu mentuaku menemui ajalnya. Sniper bersembunyi di
atas bangunan meludahkan timah berapi membenam dada
tuanya. Ketika jenazahnya diusung ke rumah. Aku lekas
mengingati wanita itu terpaksa ke luar dari rumah
meski kekal berkabung untuk mencari rezeki. Dia
mengambil alih tonggak keluarga, menjadi ayah
sekaligus ibu kepada lima mulut yang masih kecil.

Adik-adik iparku itu terlalu muda mencicip derita itu.
Aku segera mengingatkan, di kalangan kami tidak ada
bezanya di mata pengganas itu. Mereka pernah menebuk
dada seorang bayi, menghentam jantung seorang tua dan
membidik kepala seorang muda.

Justeru, adik-adik iparku perlu belajar, hidup sebagai
manusia terjajah syaitan peliharaan dunia itu, adalah
ulangan derita dan sengsara yang mesti dirasai ummah
kami.

Waris mereka mengambil adik-adik iparku itu, manakala
aku memelihara si bongsu seusia dua tahun yang belajar
mengerti aku bukan ibu kandungnya. Mereka terpaksa
hidup berpisah, tetapi aku yakini hati mereka tetap
disatukan api dendam yang kuharap segera bertukar
menjadi bara jihad; membakar dan meratah musuh tanah
air dan agama kami.

Adik iparku yang paling tua baru berusia lima belas
tahun, dibawa bapa saudaranya ke Khan Younis.
Kepadanya kubisikkan, “Kau mewarisi jihad abangmu.
Darah yang berlari-lari dalam nadimu membawa partikel
perjuangan. Aku tahu, dendam menyala-nyala dalam
dadamu, tetapi kumpul dan bentukkannya menjadi
jarum-jarum jihad yang bakal kau lepaskan kepada musuh
kita bersama sehingga al-Aqsa dapat kita bersihkan
daripada dosa Yahudi.”

Dia membisu, tetapi bibirnya menggigil-gigil, kuyakini
dendam itu sedang berpadu, berubah jihad yang bakal
menghentam dinding-dinding penjajahan Israel sehingga
berkecai menjadi debu-debu yang bakal dilupakan dunia.


Aku tahu, dia sedang menyusur jalan jihad abangnya.
Cuma. Aku tidak pernah menyangka, dia terlebih dahulu
bertemu abangnya dan bergelar as-syahid sepantas itu.

Segala-galanya berlaku ketika langit masih gelap dan
derita meraung-raung dari rumah seorang ibu tua yang
dibidik mesingan tentera Israel. Kesalahan wanita itu
hanya satu – dia tidak mengetahui di mana anak
sulungnya yang dikehendaki Israel dan hukumannya juga
tunggal – bunuh!

Selepas gerombolan syaitan itu meninggalkan Khan
Younis, anak-anak muda membanjiri Masjid Katiba,
masing-masing menyitirkan derita ibu tua itu,
berkongsi simpati, dan pasti api jihad menjerit-jerit
dalam dada mereka. Kala itu, Apache Israel meludahkan
api ke bumi, menggegarkan Khan Younis serentak
melemparkan tubuh-tubuh kerdil ke segenap jihat. Kawah
darah lekas tumpah, mengalir dan membasahkan bumi.
Subuh itu, sengsara mengaum-ngaum dengan jerit
kesakitan anak-anak kecil bersimpang-siur dengan
percik darah apabila jarum-jarum maut itu mencarik
daging dan menembus jantung mereka.

Adik iparku itu juga tidak terkecuali. Dia terbentur
ke dinding masjid yang terpongkah. Aku dikhabarkan,
dia masih tersedar ketika itu sebelum mengetahui
sebahagian kakinya sudah hancur, tetapi tidak dapat
berteriak kerana serpihan api menebuk kerongkongnya.

Dia masih sempat diselamatkan, andai pantas dibawa ke
hospital. Namun, kereta kebal Israel membedil ambulans
dan kereta yang cuba memunggah anak-anak kecil yang
tergelatak menderita. Pasti, sekawah darah tumpah ke
bumi itu tidak diganti sepantas mungkin, ruh terpancut
ke luar pula.

Dia bergelar as-syahid tika ambulans upaya
menghantarnya ke hospital empat jam kemudian. Aku
tidak mungkin melupakan adik iparku itu, bukan sahaja
iras abangnya tersalin di wajah, bahkan mewarisi
semangat jihad as-syahid suamiku. Berbekal batu dan
lastik, dia dan anak-anak remaja seusia bertarung
nyawa dengan tentera Israel lengkap bersenjata dan
berperisai. Batu melawan peluru, jihad bertembung
syaitan.

Aku meyakini, semangat itu tidak mati meski dia sudah
bergelar arwah. Semangat itu terwaris kepada
adik-adiknya dan seluruh anak muda di jihat Palestin
ini.

Suamiku, adikmu sudah menemuimu dengan sepasang sayap
syahid. Nantikan pula kedatanganku. Ini iktikadku.


 

  Kenangan


Komen


"Isteri Pejuang Syahid" | Login/Mendaftar | 1 Komen
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


Re: Isteri Pejuang Syahid
oleh amad pada Jumaat, 13 Jun 2003 @ 11:58:00
(Info AHLI) http://vzard.vze.com


sedih juga ana baca artikel nih...ana kagum dengan semangan jihad anak2 muda tuh..dan ana juga kagum dengan isteri pejuang tuh...moga dapat menjadi iktibar untuk kita..
[ Tetamu tidak dibenarkan memberi komen. Sila mendaftar ]





Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.212945 saat. Lajunya....