Array
Selamat Datang ke Portal Komuniti :: Ukhwah.com
  Assalamualaikum Tetamu: Mendaftar | Login Depan Perihal Peraturan & Etika Profil Liputan Media Impian & Harapan Hubungi Kami Laman Peribadi  








Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

Mutiara Kata
Orang bodoh hanya berdiam diri, tetapi orang yang paling bodoh adalah yang bercakap perkara yang dia sebenarnya bodoh
-- -- Meow (Warga Ukhwah.com)

Menu Utama

Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 85
Ahli: 0
Jumlah: 85




Yang Masuk Ke Sini
nasiruddin: 15 jam, 36 minit yang lalu
Kang: 19 hari yang lalu
lidah-penghunus: 21 hari yang lalu
muslimin23: 29 hari yang lalu


[ Mari BERSELAWAT kepada RASULULLAH S.A.W dan keluarga Baginda setiap kali masuk ke Ukhwah.com ini ]


APA ITU MANHAJ SALAF?
Disiarkan pada Khamis, 29 Januari 2004 @ 9:28:08 oleh Engku_Salina

Tazkirah hanzaalah menulis: "'Manhaj' menurut pengertian bahasa ialah, "jalan yang jelas/terang." Kalimah ini terdapat juga penggunaannya di dalam al-Quran, antaranya ialah firman Allah:

"Li kulli saja'alnaa minkum syir'an wa manhaajan" bermakna: "Untuk tiap-tiap ummat (di antara kamu) Kami berikan aturan dan jalan yang terang."( Al-Maidah, 5:48. )

Manhaj yang dimaksudkan pada ayat di atas ialah "Jalan dan Sunnah." Menurut Imam Ibn Kathir dan As-Syaukani yang dinukil dari Abi Abbas Muhammad bin Yazid, apa yang dimaksudkan sebagai manhaj ialah:

" Adapun apa yang dimaksudkan sebagai manhaj ialah: Jalan yang terang dan mudah. "

Akan tetapi kalimah manhaj ini telah di gunakan oleh masyarakat di zaman ini dengan pengertian yang baru iaitu: Perancangan yang tersusun rapi seperti perancangan dalam dasar pelajaran dan pendidikan. Ia juga bermaksudkan cara dan dasar umpamanya sebagai contoh:"Manhaj dakwah" yang mana ia dimaksudkan cara,dasar dan perancangan dakwah tersebut.

APA ITU SALAF/SALAFIYAH DAN SIAPA SALAFI?

Kalimah salaf, salafi atau salafiyah dinasabkan kepada para Salaf as-Soleh. Kalimah salaf memberi pengertian berikut:

Yang asal (yang mula-mula) atau golongan yang mula-mula dan yang terdahulu. Antara yang dimaksudkan ialah para salaf yang telah berlalu dan kaum salaf yang terdahulu. Berkata Ibn Mansur: "Salaf ialah sesiapa yang telah mendahului engkau yang terdiri dari ibu bapa atau kaum kerabat yang lebih tua pada umur dan kedudukan."

Kalimah salaf disebut juga di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah:

"Dan Kami jadikan mereka (orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. " Az- Zukhruf, 43:56.

Menurut istilah: Salaf as-Soleh (salafi atau salafiyah) terdiri dari para nabi, para rasul dan para sahabat mereka. Nabi Muhammad s.a.w adalah juga seorang Rasul, Nabi dan Salafi sebagaimana pengakuan baginda:

"Bersabda Rasulullah s.a.w: Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kematian),maka bertakwa dan bersabarlah (wahai Fatimah!) sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu." H/ Bukhari/Muslim.

As-Salaf as-Soleh ialah generasi awal yang terdiri dari kalangan mereka yang berilmu, mendapat hidayah melalui petunjuk Nabi s.a.w, pemelihara sunnah Nabinya, Allah memilih mereka menjadi sahabat Nabi, mereka tercalun untuk menegakkan agamanya, diredhai oleh Allah, berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, mengorbankan masa mereka untuk menasihati ummah, memberi manfaat kepadanya dan berusaha untuk mencari keredhaan Allah sehingga Allah memuji mereka di dalam kitabNya:

"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama(masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar." (Surah At-Taubah, 9:100)

Para ulama yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh meyakini bahawa para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin adalah tergolong dalam golongan salaf as-soleh. Keterangan ini berdasarkan kepada beberapa buah hadith Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana di bawah ini:

"Maka setelah Zainab Binti Rasulullah s.a.w wafat, Rasulullah s.a.w bersabda: Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz'oun." H/ Ahmad.

"Rasulullah s.a.w pernah melintasi perkuburan Madinah lantas menghadapkan wajahnya dan bersabda: Wahai ahli kubur! Allah mengampunkan kami dan kamu, kamu adalah salaf kami dan kami adalah bakal menyusul."

Terdapat ulama yang mengambil lahir hadith ini (salaf kami) dan ada yang memaksudkan: "Mendahului kami." Yang di doakan oleh Nabi Muhammad s.a.w agar diampunkannya dosanya ialah orang-orang Islam yang telah meninggal kerana tidak diharuskan Nabi dan orang-orang beriman mendoakan orang-orang kafir supaya diampunkan dosanya.

Berkata Ibn Hajar al-Qatari:

"Maka apa yang dimaksudkan sebagai mazhab salaf ialah: (Mengikuti) sebagaimana (yang telah diikuti) oleh para sahabat yang mulia yang mana mereka sekalian telah diredhai oleh Allah, begitu juga para tabiin yang mengikuti mereka dengan baik serta semua mereka yang mengikutinya dengan baik sehinggalah ke Hari ad-Din (Hari Kiamat).

Mahmud Muhammad Khufaji menulis:

"Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini, tetapi di samping penentuan tersebut (bahawa salaf bukan sahaja generasi yang berada) di zaman (para sahabat) yang telah berlalu zamannya, malah perlulah juga ada kesecucukan (kesepakatan) pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-|Sunnah, sama ada secara nas atau kerohanian. Sesiapa yang pandangannya bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah, maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin."

Ini menandakan bahawa sesiapa sahaja akan dianggap sebagai salafi setelah ia mengikuti jalan (berittiba' dengan manhaj) generasi awal yang mencontohi mereka (para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin) dalam memperolehi ilmu, cara memahaminya dan sikap serta cara berdakwah.

Sesungguhnya salafiyah dan berittiba' kepada salaf bukanlah sesuatu yang boleh di anggap sebagai bid'ah daripada bid'ah-bid'ah orang-orang yang terkemudian (khalaf), sebaliknya salafiyah (atau berittiba' kepada salaf) adalah manhaj para rasul, para nabi serta para sahabatnya.

Wajibnya setiap mukmin kembali kepada pegangan para Salaf as-Soleh ialah berdasarkan perintah dari Allah dan Rasulnya. Menurut keterangan dari Al-Quran dan as-Sunnah, para Salaf as-Soleh (terutamanya yang terdiri dari para sahabat) telah di jamin masuk syurga kerana mereka meredhai Allah dan Allah pula telah redha terhadap mereka.

Tabi'in dan tabiut at-tabiin pula di jamin sebaik-baik manusia kerana zaman dan generasi mereka adalah zaman kesempurnaan akidah, muamalah dan akhlak. Cara hidup dan segala amalan agama yang mereka laksanakan pada setiap aspek terhindar dari segala bentuk bid'ah, kesyirikan, khurafat, tahayul, campur tangan atau pencemaran akal fikiran manusia.

Di dalam ayat yang lain Allah telah memuji para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin serta orang-orang yang mengikuti jejak mereka dalam urusan ugama, sebagai sebaik-baik ummah sebagaimana firmanNya:

"Kamu adalah ummat yang terbaik yang di lahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'aruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah." (Surah Ali-Imran, 3:110)

Manhaj Salaf as-Soleh adalah manhaj yang paling selamat diikuti kerana para salaf adalah generasi yang terjamin, terbaik dan termulia walaupun mereka tidak maksum terutamanya para salaf yang terdiri dari kalangan para sahabat yang hidup di sisi dan di zaman Nabi s.a.w lantaran mereka telah di tarbiyah (di asuh) oleh wahyu. Mereka mengetahui mengapa, kerana apa, bila dan sebab musabab turunnya wahyu tambahan pula wahyu turun menggunakan bahasa mereka. Oleh sebab itu Nabi Muhammad s.a.w menjamin kesempurnaan dan kemuliaan mereka sebagaimana sabda baginda:

"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut at-tabiin)." H/ Bukhari

Seseorang individu ataupun jamaah tidak boleh dianggap sebagai salafi kecuali setelah meninggalkan semua bentuk taqlid buta. Setelah itu sewajarnya ia memenuhi semampu mungkin perkara-perkara berikut:

a. Mencintai para salaf yang terdiri dari para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan mereka yang mengikuti mereka dengan ihsan (baik) kemudian ittiba' (mengikuti/mentaati) manhaj mereka.
b. Mempelajari dan memahami manhaj salaf (yang dikenali juga sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah) kemudian mengamalkannya dan berdakwah dengan uslub (metod) Salaf as-Soleh.
c. Sentiasa beriltizam (komited) dengan manhaj salaf dalam semua aspek agama sama ada di segi akhlak, dakwah, suluk, perkataan, perbuatan dan yang lain-lainnya.

Dalam syara' para Salaf as-Soleh dikenali juga dengan nama-nama yang berikut:

1. Al-Jamaah.
Nama jamaah diambil dari nas (hadith) Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya Ahli Kitab berpecah dalam agama mereka kepada 72 millah. Sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada 73 millah semuanya ke neraka kecuali satu iaitu Jamaah." (H/ Ibn Majah)

Mereka yang berpegang dengan manhaj salaf dinamakan al-Jamaah oleh Nabi s.a.w kerana mereka bersatu dalam persaudaraan Islam dengan cara berittiba' kepada al-Quran dan as-Sunnah bukan ibtida' hawa nafsu. Ahli Salafi menganggap perpecahan sebagai perbuatan bid'ah yang diharamkan yang menyebabkan pelakunya ke neraka. Hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan lagi:

"Dari 'Auf bin Malik : Akan berpecah Yahudi kepada 71 firqah, satu firqah ke syurga dan 70 ke neraka. Akan berpecah Nasrani kepada 72 firqah, 71 firqah ke neraka dan satu ke syurga. Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah ummatku kepada 73 firqah hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Di tanyakan: Siapa mereka wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Al-Jamaah. " (H/ Ibn Majah)

Di riwayat yang lain: "Bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya mereka yang sebelum kamu dari kalangan Ahli al- Kitab berpecah kepada 72 pecahan. Sesungguhnya millah (ummat ini) akan berpecah kepada 73 (yang mana) 72 ke neraka dan satu ke syurga iaitu al-Jamaah." (H/ Abu Daud dan Tirmidzi)

"Dari Abdullah bin 'Amr: Akan berpecah ummatku kepada 73 pecahan semuanya ke neraka kecuali millah yang satu: Iaitu apa yang aku dan para sahabat (sesiapa yang seperti aku dan para sahabatku." (H/ Tirmizi)

Dan pada riwayat yang lain:

"(Yang ke syurga) ialah al-Jamaah, tangan Allah atas al-Jamaah." (H/ Abu Daud)

2. Ahli Sunnah wal-Jamaah atau Jamaatul Muslimin.

Nama ini terdiri dari dua kalimah:

a. Ahli Sunnah. Sunnah yang di maksudkan ialah sunnah Rasulullah s.a.w. Dinamakan Ahli Sunnah kerana berittiba' kepada sunnah. Sunnah pula sangat bertentangan dengan bid'ah, oleh kerana itu Ahli Sunnah sangat menentang Ahli Bid'ah atau Ahli al-Ahwa.

b. Al-Jamaah menurut bahasa diambil dari kalimah "Al-Jamak" iaitu mengumpulkan yang bercerai-berai (berpecah-belah). Antara maksud jamaah ialah yang bersatu , dan lawannya pula ialah yang berpecah. Kalimah ini menunjukkan perkumpulan manusia yang mana mereka bersatu untuk tujuan yang satu (yang sama). (Ibid)

Menurut ta'rif (istilah) ilmu pula jamaah ialah beberapa kalimah ahli ilmu yang berkisar di atas enam makna (nama):
1. Golongan yang besar/ramai dari kalangan umat Islam.
2. Jamaah ulama yang mujtahid.
3. Jamaah yang terdiri dari para Sahabat secara khusus.
4. Jamaah umat Islam yang bersatu atas satu matlamat.
5. Jamaah muslimin yang bersatu di bawah satu amir.
6. Jamaah yang mengikuti kebenaran termasuklah semua para ahlinya. (Ibid)

Di maksudkan juga sebagai jamaah ialah mereka yang terdiri dari kalangan para sahabat dan sesiapa sahaja yang berittiba' kepada sunnah Nabi s.a.w dan athar para sahabat sebagaimana yang di jelaskan di dalam hadith:

"Hendaklah kamu kembali (ittiba') kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk." ( H/ Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)

Pemakaian gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul di akhir zaman sahabat berdasarkan keterangan yang di ambil dari athar Ibn Abbas semasa menafsirkan firman Allah:

"Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram." (Ali- Imran,3:106)
Menurut Ibn Abbas:

"Adapun yang putih berseri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah Ahli Bid'ah dan orang-orang yang sesat." (Ibn Abi Hatim dan Abu Nasr di dalam Al-Ibanah)

3. Ahli al-Hadith atau Ahli Athar.

"Berkata Ibn Qaiyim:

"Setiap individu telah mengetahui bahawa ahli hadith adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang di katakan oleh Ibn Mubarak. Aku dapati agama berada pada ahli hadith, percekcokan(banyak cakap) pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidah (Syiah) dan banyak berhelah (beralasan) pada Ahli Raii."

4. Firqah an-Najiah (al-Mansurah) atau At-Taifah an-Najiah.

Berkata Ibn Taimiyah:

"Apa yang di katakan Firqah Najiah ialah pengikut para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. Ia adalah syiar Ahli Sunnah. Dinamakan Firqah Najiah kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah (ittiba' as-Sunnah)".

5. Ahli Ittiba'

Di namakan Ahli Ittiba' kerana berittiba' (mengikuti/mematuhi) al-Quran, as-Sunnah Rasulullah s.a.w serta athar para sahabat .a dan menentang taqlid.

PENGENALAN DAKWAH SALAFIYAH

1. Para Salaf as-Soleh memulakan dakwah mereka dengan al-Quran dan as-Sunnah.

"Berkata Ibn Taimiyah: Para pendakwah salaf sentiasa mengutamakan kalam Allah (al-Quran) dari kalam manusia , mereka mengutamakan petunjuk Muhammad s.a.w (al-Hadith sahih) dari petunjuk seseorang yang lain dan berittiba' dengan athar Nabi s.a.w lahir dan batin." (Majmuk Fatawa)

2. Memahamkan dan mengajak ummah supaya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah melalui manhaj Salaf as-Soleh.

"Berkata Ibn Qaiyim: Sesungguhnya cara yang terbaik mengambil dalil dari makna (tafsir) al-Quran ialah dari riwayat yang dipercayai benar-benar dari Rasulullah s.a.w kemudian diiringi yang demikian dengan penafsiran tabiin yang mengikuti petunjuk segala penghulu." (Ibid)

3. Senang dan mudah.

Jika dikembalikan kepada prinsip al-Quran dan as-Sunnah agama Islam amat senang dan mudah sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w: "Agama itu mudah." (H/ Bukhari)

Ibn Taimiyah pula menjelaskan :

"Pada setiap bab dalam melaksanakan sunnah, mereka (para salaf) mengikut jalan tengah (mudah) kerana mereka berpegang kepada kitab Allah dan sunnah RasulNya s.a.w sebagaimana yang disepakati (dicontohkan) oleh generasi yang terawal dari kalangan Muhajirin dan Ansar serta mereka yang mengikutinya dengan ihsan."

4. Dakwah para Salaf bersifat syumuliah iaitu menyeluruh yang meliputi semua bidang dan aspek.

5. Berbentuk semasa iaitu sentiasa sesuai dengan situasi, kondisi dan persekitaran manusia sehinggalah ke Hari Kiamat.

PRINSIP AWAL DAKWAH SALAFI

1. Berdakwah kepada akidah yang murni dengan cara mengenalkan ummah kepada segala jenis kesyirikan, bid'ah, khurafat dan tahayul sebagai penyebab kerosakan akidah, amal atau ibadah.

2. Berdakwah kepada tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa sifat tanpa takwil, takyif, tahrif, ta'til dan tasybih.

3. Berdakwah dengan cara mengajak ummah ittiba' kepada al-Quran, as-Sunnah dan athar sahabat serta meninggalkan taqlid buta.

4. Berdakwah dengan cara mentarbiyah (mendidik) atau menta'lim (memberi pelajaran) ummah melalui cara tazkiyah atau tasfiyah supaya:

a. Membersihkan akidah, akhlak, muamalah atau ibadah dari segala jenis perkara yang boleh membatalkan atau merosakkan akidah dan ibadah.

b. Ummah sentiasa beramal berdasarkan al-Quran, as-Sunnah serta athar sahabat mengikut manhaj Salaf as-Soleh.

Wallahu a'alam bil muradik.

"

Tazkirah


Artikel yang paling banyak dibaca dalam Tazkirah:


tanda-tanda kebahagian dan kesengsaraan

Recent News About Tazkirah:




Misc





Untuk Mencetak    Hantar Artikel ini kepada sahabat




Komen


"APA ITU MANHAJ SALAF?" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.


 



Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.441999 saat. Lajunya....