|
islamnya seorang wanita kristian
|
|
|
Posted on Jumaat, 16 Januari 2004 @ 11:35:46oleh Engku_Salina
|
|
|
uqu menulis SANA ialah seorang wanita Kristian Mesir. Allah telah memberinya hidayah memeluk agama Islam setelah melalui perjalanan yang lama, penuh dengan keraguan dan kekufuran...
SANA menceritakan bagaimana dia mendapat hidayah: "Sama seperti gadis Kristian Mesir yang lain saya membesar di atas dasar kereta'assuban agama Kristian. Kedua orang tua saya amat mengambil berat untuk membawa saya bersama mereka ke gereja pada setiap pagi Ahad, supaya saya dapat mencium tangan paderi, membaca lagu-lagu gereja di belakangnya dan seterusnya untuk mendengar ucapan yang disampaikan kepada ahli gereja tentang konsep kefahaman ketuhanan 'tiga dalam satu,' dengan mengemukakan sumpah kepada mereka bahawa orang-orang yang bukan Kristian walau betapa besar sekalipun kebajikan yang mereka lakukan, mereka adalah tetap dimurkai Tuhan, kerana menurut mereka, orang-orang ini mengingkari Tuhan.
Saya mendengar ucapan-ucapan paderi, tetapi tidaklah dengan sepenuh perhatian. Keadaan saya sama juga seperti keadaan kanak-kanak lain. Apabila keluar dari gereja saya akan terus pergi menemui teman saya seorang kanak-kanak perempuan muslimah untuk bermain-main dengannya. Yang jelas kanak-kanak belumlah mengetahui rasa iri dan kedengkian yang disemai oleh para pendita di hati orang-orang Kristian.
Setelah besar sedikit, saya masuk sekolah dan mula menjalin persahabatan dengan teman-teman sekolah yang tinggal di kawasan Suez. Di sekolah mata saya mula melihat tingkah laku baik yang diamalkan oleh teman-teman sebaya yang beragama Islam. Mereka melayan saya sama seperti melayan saudara seagama mereka. Mereka tidak melihat perbezaan agama saya dari agama mereka. Akhirnya saya dapat memahami bahawa AI-Quran rupanya menyuruh orang-orang Islam melayan orang-orang (yang bukan Islam) dengan cara yang baik dengan harapan supaya mereka masuk Islam dan terlepas daripada belenggu kekufuran.
Firman Allah Ta'ala:
"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil
Salah seorang dari teman-teman muslimah itu secara khusus telah menjalin hubungan rapat dengan saya. Saya tidak berpisah dengannya kecuali semasa belajar mata pelajaran agama, kerana mengikut peraturan yang berjalan, saya akan belajar bersama dengan penuntut-penuntut Kristian tentang dasar-dasar agama Kristian melalui seorang guru perempuan Kristian.
Saya pernah teringin bertanya kepada guru saya : "Bagaimana mungkin orang-orang Islam dianggap sebagai bukan beriman - sebagaimana sangkaan orang-orang Kristian - sedangkan mereka itu mempunyai akhlak yang mulia dan pergaulan yang baik? ........ Akan tetapi pertanyaan ini tidak jadi saya kemukakan kerana takut dimarahi oleh guru itu. Walau bagaimanapun pada suatu hari saya terlanjur juga menanyakan perkara itu. Dalam keadaan menahan marah dan dengan mengukir senyuman hambar di bibir, guru itu berkata kepada saya : "Engkau masih kecil dan belum lagi kenal dunia ini, jadi jangan tanda-tanda kecil ini boleh mempengaruhimu tentang hakikat orang-orang Islam. Kami yang sudah dewasa sudah mengenalinya...."
Mendengar jawapan itu saya diam membatu, tetapi menolaknya di dalam hati.
Keluarga teman rapat muslimah saya berpindah ke Kaherah. Pada hari kepergiannya kami menangis kerana kesedihan untuk berpisah. Kami sempat saling bertukar cenderahati. Teman muslimah saya ini tidak memberi apa-apa hadiah kepada saya sebagai tanda rapatnya persahabatan kami, kecuali sebuah Mushaf AI-Quran yang diletakkan di dalam kotak kecil yang dibalut dengan kain sutera. Ketika memberikannya kepada saya, dia berkata: " Saya sudah memikirkan akan memberikan hadiah yang paling berharga kepadamu sebagai kenangan persahabatan selama ini, tetapi saya tidak mendapatinya melainkan mushaf mulia yang mengandungi Kalamullah ini sahaja...."
Saya menerima hadiah teman muslimah ini dengan gembira dan ucapan terima kasih. Hadiah ini saya jaga betul-betul dari diketahui oleh pihak keluarga saya yang pasti tidak akan membenarkan anak mereka membawa mushaf AI Quran.
Setelah berpisah dengan teman muslimah itu, setiap kali mendengar azan memanggil untuk sembahyang dan menyuruh orang-orang Islam ke masjid, saya akan membuka hadiah itu, kemudian menciumnya sambil melihat keliling takut-takut kalau ada keluarga saya yang sedang memerhati. Jika mereka tahu pasti padahnya buruk bagi saya.
Hari demi hari berlalu. Sayapun berkahwin dengan seorang Koster (Penjaga gereja), sehingga mendapat 3 orang anak. Namun hadiah teman muslimah tetap saya bawa dan sembunyikan dari mata suami saya.
Saya bekerja di majlis daerah. Di pejabat ini saya menemui ramai kawan-kawan dari wanita-wanita Islam yang bertudung yang mengingatkan saya semula kepada teman muslimah saya yang lama.
Setiap kali suara azan kedengaran dari masjid-masjid yang berdekatan, perasaan sayu akan menikam hati saya tanpa dapat saya ketahui sebabnya, kerana ketika itu saya masih lagi belum Islam, dan suami saya seorang Koster yang rapat dengan gereja.
Dengan sebab bergaul dengan teman muslimah dan juga berjiran dengan orang-orang Islam, saya mula memikirkan hakikat Islam dan Kristian, dan membanding-banding di antara apa yang saya dengar di gereja tentang Islam dan orang-orang Islam dengan apa yang saya lihat dan saya rasai sendiri. Ternyata hakikat itu bertentangan dengan kata-kata paderi dan orang-orang Kristian yang ta'assub.
Saya berusaha mengenali hakikat Islam dan mengambil peluang ketika suami saya tidak ada untuk mendengar syarahan-syarahan ulama melalui radio dan televisyen.
Saya amat tertarik dengan bacaan AI-Quran AI-Karim yang dibacakan oleh Syeikh Muhammad Rif'at dan Syeikh Abdul Basith Abdul Samad. Saya dapat merasakan ketika mendengar bacaan mereka melalui radio dan televisyen, bahawa yang mereka baca itu tidak mungkin kata-kata manusia, akan tetapi adalah ia wahyu Allah.
Pada suatu hari ketika suami saya berada di gereja, saya senghaja membuka laci meja saya, dan dengan tangan yang gementar sayapun mengeluarkan simpanan mulia saya 'AI-Mushaf AI Syarif', saya buka dalam keadaan pandangan saya tertumpu kepada Firman Allah Ta'ala:
"Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya "Jadilah " (seorang manusia), maka jadilah dia " (Ali lmran: 59)
Tangan saya sangat gementar dan muka saya pula berpeluh, serta tubuh badan saya terasa menggigil. Saya merasa hairan, kerana sebelum ini pun saya selalu mendengar bacaan AI-Quran di jalan raya, televisyen, radio dan di rumah teman-teman orang-orang Islam tetapi belum pernah menggigil seperti ini.
Saya masih terus membacanya, sehinggalah saya mendengar suara gemeruncing kunci suami saya membuka pintu flat kami. Saya pun bersegera menyembunyikan mushaf AI-Syarif di tempat yang selamat, kemudian saya bersegera menyambut suami saya.
Pada hari berikut selepas kejadian itu, saya pergi ke tempat kerja. Dalam kepala saya masih berhimpun seribu pertanyaan, kerana ayat AI-Quran yang saya baca itu telah meletakkan satu garis pemisah antara fahaman: Adakah Isa Alaihissalam itu anak Allah sebagaimana yang didakwa oleh paderi atau adakah dia seorang Nabi sebagaimana yang disebutkan oleh AI-Quran.
Ayat AI-Quran telah membuang keraguan saya dan menggantikannya dengan keyakinan. Ia telah mengisytiharkan bahawa Isa Alaihissalam berasal dari keturunan Adam juga. Jadi Isa Alaihissalam itu bukanlah anak Allah. Firman Allah:
"(Allah) Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara denganNya" (AI lkhlas: 3-4)
Kini saya bertanya-tanya untuk mencari jalan keluar. Saya telah mengenali hakikat yang sebenar, iaitu hakikat:
"Tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah"
Sekarang bagaimanakah sikap keluarga saya, bahkan suami saya dan juga kedudukan anak-anak saya jika saya masuk Islam?!
Kesemua pertanyaan ini datang mengelilingi saya, sewaktu saya duduk di kerusi pejabat. Saya berusaha membuat kerja-kerja pejabat tetapi tiada berupaya. Keadaan terus berfikir dan berfikir hampir-hampir membunuh saya.
Peringkat awal yang saya nampak akan menimpa saya ialah saya akan dibunuh, sama ada oleh pihak keluarga atau suami atau gereja.
Tetapi apapun keadaan, sa'at yang ditakdirkan telah tiba juga. Pada hari itu saya telah merasa benar-benar bebas dari keraguan, berpindah dari gelap gelita kekufuran kepada cahaya keimanan.
Ketika saya sedang asyik berfikir, tiba-tiba menerpa ke telinga saya suara azan Zuhur dari masjid yang berdekatan mengajak umat Islam mengadap Tuhan. Suara azan itu menggelegak dalam jiwa saya.
Lalu saya terdiri, dan tanpa mengucapkan kata-kata pendahuluan, saya terus berteriak dengan melafazkan:
"Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan saya bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah."
Dalam keadaan bingung dan kehairanan, teman-teman saya datang menerpa saya, mereka mengucapkan tahniah yang diiringi oleh tangisan kegembiraan, dan saya sendiri juga turut menitiskan airmata suka diiringi harapan semoga Allah menghapuskan segala dosa yang telah berlaku dalam hidup saya dan semoga Dia meredhai saya dalam hidup baru saya ini.
Berita saya masuk Islam telah tersebar ke segenap bahagian pejabat daerah. Ianya diketahui oleh teman-teman muslim dan kristian. Teman-teman kristian dengan marah menyampaikan berita ini kepada keluarga dan suami saya. Selain itu, mereka juga telah menabur fitnah bahawa di sebalik Islam saya itu ada maksud dan sebab-sebab tertentu.
Saya tidak memperdulikan kata-kata mereka yang penuh dengan kebencian itu, kerana bagi saya ada satu perkara lagi yang lebih penting, iaitu "mengisytiharkan Islam saya secara rasmi", dengan maksud supaya Islam saya itu jelas terang. Akhirnya sayapun pergi ke Jabatan Keselamatan Negara menguruskan keislaman saya.
Saya balik ke rumah untuk melihat reaksi suami saya. Rupa-rupanya sebaik saja suami saya mengetahui berita keislaman saya, dia bersama keluarganya telah membakar semua pakaian saya dan mengambil perhiasan-perhiasan harta dan perabot saya. Akan tetapi kesemuanya itu tidaklah mendukacitakan saya. Hanya yang mendukacitakan saya ialah kehilangan anak-anak saya yang telah dilarikan oleh suami saya dengan tujuannya supaya saya marah dan balik semula kepada kekufuran...... Masa depan anak-anak saya sangat mendukacitakan saya. Saya takut mereka akan diasuh di gereja dan akan bersama-sama dengan bapa mereka di Neraka Saqar.
Apa yang membebani saya ini saya adukan kepada Allah subhanahu Wataala supaya Dia mengembalikan semula anak-anak saya agar mereka dapat diasuh secara Islam. Doa saya diperkenankan oleh Allah. Mula-mula ada beberapa orang Islam memberi jalan kepada saya supaya mendapatkan keputusan Mahkamah untuk memberi kepada saya hak penjagaan anak. Sayapun pergilah ke mahkamah dengan membawa bersama Sijil Perakuan Islam saya. Pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman yang tepat, memberi pilihan kepada suami saya sama ada hendak masuk Islam atau berpisah dari isteri. Suami saya enggan masuk Islam, lalu mahkamah memutuskan bahawa hak menjaga anak diberikan kepada saya, atas asas mereka itu belum baligh.
Saya menyangka problem saya telahpun berakhir. Rupa-rupanya tidak. Suami dan keluarga saya telah memulaukan saya melalui ucapan dan ejekan yang bertujuan untuk melemahkan jiwa dan peribadi saya. Saya juga dipulaukan oleh orang-orang Kristian yang pernah saya kenali. Selain itu, mereka juga menyebarluaskan cemuhan terhadap saya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah saya dan menakut-nakutkan orang Islam yang lain dari membantu saya dan supaya hubungan saya dengan mereka terputus.
Walaupun ada tekanan ini, saya tetap teguh dan berpegang kepada Iman saya dan menolak semua usaha yang bertujuan mengeluarkan saya semula dari agama yang benar. Saya menadah tangan dengan berdoa kepada Pemilik bumi dan langit supaya Dia memberikan kepada saya kekuatan dan keteguhan menghadapi segala apa yang berlaku di sekeliling saya dan supaya Dia menghilangkan kesusahan saya.
Doa saya diperkenankan oleh Allah Yang Maha Hampir lagi Maha Memperkenankan. Masalah saya telah dapat diatasi melalui seorang balu muslimah yang miskin harta, tetapi kaya jiwa. Balu muslimah ini mempunyai empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Balu ini kasihan dan kagum dengan kedudukan saya, lalu dia menawarkan kepada saya untuk berkahwin dengan anak lelakinya 'Muhammad' supaya saya dapat hidup bersama anak-anak saya dan keempat-empat orang anak perempuannya yang sedia di bawah jagaannya. Selepas berfikir panjang, sayapun bersetuju kahwin dengan Muhammad, anak balu muslimah yang baik itu.
Kini saya hidup bersama suami saya seorang muslim (Muhammad). Walaupun menghadapi tekanan dari bekas suami saya, disamping layanan buruk pihak keluarga saya yang masih Kristian, namun kami sekeluarga tetap berada dalam kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman.
Saya masih tetap berdoa semoga keluarga saya yang masih Kristian mendapat petunjuk dari Allah dan menerima rahmat, sebagaimana Allah memberi petunjuk dan rahmatnya kepada saya.
Semua perkara bagi Allah Ta'ala adalah mudah.
|
|
| |
|
|
|
|
|
Umum
|
|
|
|
Komen