Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 16-10-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Matinya anak muda itu bukan kerana tergelincir kakinya, tetapi kerana tergelincir lidahnya.
-- Ilham Pujangga

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 71
Ahli: 0
Jumlah: 71




  Yang Masuk Ke Sini
Daeng_Jati: 4 hari yang lalu
skater: 6 hari yang lalu
HIKAL: 26 hari yang lalu

Empat strategi penyambung semangat hijrah Rasulullah
 Posted on Isnin, 21 April 2008 @ 19:55:36oleh istisafa
Semasa Faris_Ahlamiyy menulis SALAH satu aspek utama dalam Hijratul Rasul ialah membangunkan jejak ke arah perubahan. Matlamat perubahan ialah ke arah membangun insan berasaskan risalah tauhid. Insan adalah sasaran utama Rasulullah dalam mencetuskan perubahan. Perubahan terhadap insan adalah syarat penting bagi perubahan dalam perkara lain.

Oleh itu, sebelum berlakunya peristiwa hijrah, Rasulullah membangunkan insan untuk terus istiqamah atau teguh hati bagi menghadapi kerenah perjuangan yang panjang dan payah. Kesan Hijratul Rasulullah pada jangka panjang ternyata memberikan jalan kepada terbinanya tamadun besar, yang memberi kesan bijaksana terhadap kesejahteraan umat manusia. Tamadun Islam menjadi model terbaik kerana ia menjadikan akhlak sebagai qudwah (teladan), perimbangan antara faktor duniawi dan ukhrawi sebagai jalan amal. Faktor ilmu dan amal sebagai teras serta faktor manusia dan persekitarannya sebagai memahami hakikat sunnah dan fitrah.

Melakukan imbauan terhadap kemajuan silam tidak hanya menjadikan kita tergamam atau nostalgik dengan kehebatan pencapaiannya saja, malah menuntut pencernaan kembali antara faktor zaman dan cabaran lingkungan. Faktor zaman dan cabaran lingkungan adalah dua faktor yang sangat penting dan relevan dengan kehidupan kini. Faktor ruang dan waktu (time and space) sifatnya dinamik.

Perkembangan ilmu, kaji selidik, teknologi dan ilmu alat yang lain menyebabkan tata cara dunia berubah ke arah yang lebih hegemonik. Ia tidak saja memberikan kesan terhadap faktor politik, ekonomi dan sosial, lebih langsung lagi terhadap sistem nilai, bahasa, budaya dan jati diri sesuatu bangsa. Globalisasi atau pemBaratan adalah sesuatu yang dirancang dan bukan lahir secara kebetulan.

Oleh itu, melakukan tindak balas memerlukan upaya strategik tinggi. Ini supaya antara gagasan besar yang ingin dikemukakan mesti seimbang dengan kemampuan ilmu dan ketrampilan yang berkait rapat dengan pembangunan sumber tenaga manusia berkualiti.

Meneliti semula jejak Hijratul Rasul, ia berkisar sekitar satu pihak yang ingin melakukan perubahan sistem kepercayaan dan cara hidup yang lebih fitrah sifatnya, dengan pihak yang sedia teguh dengan ‘status-quo’ atau sistem kabilah yang mengamalkan cara hidup bercanggah dengan fitrah manusia.

Allah mengutus seorang Nabi dan kemudiannya melakukan tugas nubuwwah sebagai pembawa risalah rahmat yang alamiah sifatnya. Pemilihan seorang Nabi adalah faktor yang amat strategik. Ini kerana faktor manusiawi yang ada pada Nabi menjadi contoh bagi manusia lain meneladaninya.

Proses teladan adalah perkara yang amat utama dalam kehidupan manusia yang ingin berubah. Lebih-lebih lagi, proses perubahan itu berasaskan qudwah pilihan Allah yang melalui proses pembentukan pekerti yang Rabbaniah dalam tempoh yang agak panjang.

Proses ini yang meninggalkan jejak sunnahnya menjadi sumber ikutan orang terkemudian. Ini kerana pengalaman itu adalah sesuatu yang rapat hubungannya dengan proses meneladani yang menjadi fitrah manusia sepanjang zaman.

Rasulullah melalui proses yang amat strategik meneroka jejak perubahan, yang akhirnya menjadi asas terbina tamadun madani. Tamadun madani yang berpusat di Madinah, akhirnya menjadi model terbaik dalam pengembangan tamadun Islam selepas itu. Malah, model madani amat relevan dengan sifat masyarakat yang berbilang kerana latar Madinah memberikan asas sedemikian.

Oleh itu, memahami konteks tamadun madani dalam konteks kini, memerlukan upaya pencernaan kreatif menginsafi ada kelainan dari sudut realiti, tetapi roh dan prinsip madani masih boleh menunjangi perubahan.

Sejarah perjuangan Rasulullah penuh dengan cabaran strategik yang menguji kebijaksanaannya menekuni pelbagai kerenah zaman dari pelbagai arah. Rasulullah tidak hanya menggunakan kekuatan pemikiran dan perancangannya, malah meletakkan perancangan Allah mengatasi segala-gala.

Oleh itu, pengurusan dan perancangan strategik masa kini perlu mempertautkan dimensi menegak (hablum minal’lah) dengan dimensi merentas (hablummin’annas) sebagai suatu ikatan kukuh. Dalam banyak hal, Allah menurunkan perintah dalam bentuk wahyu bagi memandu jalan strategik yang diambil oleh Rasulullah. Inilah jalan perubahan yang fitrah sifatnya untuk membangun manusia dan tamadun yang lebih bermakna.

Dalam mendepani faktor globalisasi, umpamanya, umat Islam memerlukan empat strategi utama supaya semangat hijrah yang mengasaskan perancangan strategik dapat diatur.

Pertama, umat Islam harus bijaksana dalam memahami kesan positif dan negatif daripada cabaran globalisasi. Ada faedah berbanding yang boleh dimanfaatkan dalam arus globalisasi. Aspek komunikasi, umpamanya, amat berfaedah untuk manusia. Umat Islam harus memiliki ilmu dan ketrampilan untuk membangun corak input dan maklumat yang selari dengan acuan yang membangunkan martabat insan, bukannya sebahagian maklumat yang boleh merosakkan minda dan hati budi jelek. Hijrah seperti inilah yang amat selari dengan tuntutan sezaman.

Kedua, umat Islam harus mempunyai keutamaan dalam menentukan pelbagai masalah dan kerenah yang sedang dihadapi. Tidak mungkin semua masalah umat Islam kini boleh diatasi dengan mudah. Antaranya, keperluan kepemimpinan dan kepengikutan yang baik, pembangunan sumber tenaga berkualiti, pembangunan ekonomi seimbang, pembangunan teknologi semasa dan prasarana merata. Jika keutamaan ini dapat dijadikan agenda utama, pasti ia akan memberi kesan baik kepada perubahan yang lebih bererti.

Ketiga, umat Islam harus mempunyai tumpuan. Umpamanya, fokus yang harus menjadi tumpuan semua negara Islam ialah pembangunan sumber tenaga manusia. Ilmu dan ketrampilan yang bersifat sains dan teknologi adalah teras kepada pembangunan sumber tenaga. Mengambil semangat hijrah, konsep jihad terhadap ilmu dan ketrampilan wajib menjadi fokus. Jika sumber kekayaan bagi setiap negara Islam diarahkan terhadap pembangunan manusia berkualiti, umat Islam akan mempunyai tenaga pakar yang ramai untuk membangun negaranya.

Jihad ilmu ini tentunya memerlukan perancangan baik dan tersusun. Ini supaya antara faktor strategi yang dituntut dan semangat hijrah yang dijadikan landasan perubahan umat akan berlaku dengan nyata.

Keempat, usaha tersusun rapi bagi membawa perubahan ke arah yang dirancangkan. Umumnya, umat Islam banyak mengeluarkan fikiran di seminar, bengkel, simposium dan konvensyen. Sayangnya kadang-kadang rumusan tinggal rumusan saja.

Dengan semangat hijrah yang tinggi, umat Islam harus berubah dari perbahasan umum kepada pendekatan ke arah mengukuhkan tenaga umat ke arah ilmu dan kemahiran yang lebih praktikal.

Ini supaya kesan perubahan akan ternyata dilihat. Ini pastinya menuntut pembangunan sumber tenaga manusia yang relevan dengan zaman.

Tetapi, apa pun zaman yang dilalui, asas akhlak dan etika perlu ada. Inilah sebenarnya semangat Hijratul Rasul yang memulakan pembangunan insan seutuhnya, kemudian membangunkan semangat jihad tinggi, hingga akhirnya berpindah ke Madinah untuk mewujudkan model madani sebagai asas pembangunan dan perubahan umat Islam serta manusia.

Oleh: Prof. Dr. Sidek Baba

 

  Semasa


Komen


"Empat strategi penyambung semangat hijrah Rasulullah" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.077498 saat. Lajunya....