Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 01-12-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
" Ilmu yang hakiki itu ialah yang memberi keyakinan bahawa maksiat itu racun yang membunuh dan bahawa akhirat itu lebih utama daripada kehidupan dunia."
-- Imam Al-Ghazali

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 51
Ahli: 0
Jumlah: 51




  Yang Masuk Ke Sini
Muslim1987: 4 hari yang lalu

KONFLIK QABIL DAN HABIL
 Posted on Jumaat, 20 Jun 2003 @ 10:17:30oleh Engku_Salina
Umum mohm3 menulis Kisah Qabil dan Habil dikemukakan di dalam surah al-Ma'idah (ayat 27-31) sebagai pembuka bicara kepada penetapan hukum bunuh ke atas pembunuh (qisas). Sebelum Tuhan menetapkan hukuman kepada pembunuh, gambaran psikologi pembunuhan itu dikemukakan terlebih dahulu - dengan "membedah" hati nurani pembunuh, menyelongkar motif dan unsur-unsur yang mendorong manusia untuk membunuh. Dan ini disampaikan menerusi dua watak manusia yang bertentangan: Qabil dan Habil.

Kisah ini dipaparkan agar kehitaman dan keputihan sesuatu watak itu jelas. Kes pembunuhan pertama dalam sejarah keluarga pertama di dunia ini menyerlahkan motif pembunuhan yang amat relevan di sepanjang sejarah. Ia kemudiannya menjadi pendorong kepada pelbagai pembunuhan lain yang berlaku di dalam sejarah, baik pembunuhan fizikal atau bentuk-bentuk lain termasuklah pembunuhan karier seseorang dan seumpamanya. Sehubungan ini juga, Al-Qur'an tidak menyebutpun nama Qabil dan Habil secara khusus. Kerana nama-nama ini tidaklah terlalu penting di dalam kes ini. Yang lebih penting ialah watak dan minda mereka.

Nama-nama Qabil dan Habil ini didapati dari dokumen-dokumen sejarah agama lain. Qabil merupakan watak hitam - pembunuh saudara kandungnya sendiri, Habil. Motif pembunuhan ini ialah hasad-dengki, tamak dan sikap terlalu mementingkan diri sendiri yang menyebabkan manusia sering hilang pedoman dan sanggup pula membunuh saudara sendiri. Soalnya, apa yang dihasadkan? Ini dijelaskan oleh ayat ke-27 di dalam surah al-Maidah:- "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Qabil dan Habil) menurut yang sebenarnya, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban. Maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): 'Aku pasti membunuhmu!' Berkata Habil: 'Sesungguhnya, ALlah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.'"

Apabila korban Habil diterima Tuhan dan korban Qabil pula ditolak, ini menimbulkan sikap kedengkian yang melampau. Sejarah mencatatkan bahawa Qabil dan Habil dilahirkan dengan kembar perempuan masing-masing. Apabila kesemuanya telah dewasa, Nabi Adam mendapat ilham wahyu Ilahi untuk mengahwinkan mereka. Tetapi Qabil dan Habil tidak boleh berkahwin dengan saudara kembar perempuan masing-masing. Mereka mesti bertukar saudara kembar perempuan. Maknanya, Qabil mesti berkahwin dengan saudara kembar perempuan Habil manakala Habil berkahwin berkahwin dengan saudara kembar Qabil.

Inilah yang kemudiannya menimbulkan masalah. Qabil berkeras mahu berkahwin dengan kembar perempuannya dan tidak membenarkan Habil berkahwin dengan saudara kembar perempuannya kerana ia lebih cantik. Ternyata keinginan Qabil ini menyalahi wahyu, yang telah menentukan syariatnya ketika itu. Qabil menginginkan sesuatu yang telah diperuntukkan kepada orang lain.

Apakah faktor wanita cantik merupakan satu-satunya faktor yang menimbulkan hasad? Dalam hal ini, surah al-'Imran menyebut bahawa banyak lagi keinginan manusia yang lain yang berupa emas, perak, ladang dan wanita. Dan keinginan-keinginan yang menjadi perebutan ini berkembang mengikut peredaran zaman. Di dalam peristiwa pertembungan Qabil dan Habil, isu penjodohan ini adalah manifestasi ledakan dari sesuatu yang lebih dalam dari itu - iaitulah hasad dan tamak yang menyebabkan Qabil hilang pertimbangan lalu menolak syariat dan mendurhakai ayahnya, Nabi Adam hinggakan sanggup melakukan pembunuhan. Kesanggupan ini didorong oleh runtunan nafsu hasad dan tamak yang sememangnya mempunyai implikasi berat.

Qabil mempunyai sifat angkuh yang tidak tertolong. Kononnya beliau dilahirkan di syurga dan Habil dilahirkan di dunia. Qabil angkuh dengan keturunan dan asal-usulnya; suatu penyakit yang turut dideritai oleh Iblis yang mengungkit asal kejadiannya dari api. Konflik ini cuba dileraikan oleh Nabi Adam dengan mengingatkan kedua-dua Qabil dan Habil agar kembali kepada ketentuan Ilahi. Nabi Adam memujuk kedua-duanya agar melakukan korban. Sesiapa yang korbannya diterima Tuhan akan membuat pilihan hati. Ini semacam suatu proses tahkim (arbitration) yang keputusannya harus diterima. Pada zahirnya, kedua-dua Qabil dan Habil bersetuju.

Sebenarnya Al-Qur'an cuba memberi gambaran tentang mereka yang berbudaya membunuh iaitulah orang-orang Yahudi di dalam konspirasi pembunuhan RasuluLlah S.A.W. Golongan Yahudi mempunyai sejarah membunuh orang-orang saleh dan para nabi serta rasul. Sikap mereka sudahpun terlalu lama menyejarah.

Di dalam ayat yang lain, apabila menyentuh soal pemberitaan, Tuhan menegaskannya dengan kalimah al-haq (sebenarnya). Barangkali memang menjadi kecenderungan manusia bercerita untuk menambah dan menyimpang demi tujuan-tujuan tertentu. (surah al-'Imran, ayat ke-62; surah al-Kahfi, ayat ke-13). Selanjutnya, apabila korbannya ditolak, Qabil berkata, "aku akan membunuhmu". Ini menyerlahkan sikap Qabil yang bebal, degil dan tidak mempedulikan aturan dan hanya kerana ingin memajukan dorongannya. Sedangkan pada awalnya, Qabil telahpun bersetuju untuk mematuhi syarat. Qabil telah melanggar persetujuan dan ingin meneruskan kemahuannya dengan menyalahkan orang lain.

Seolah-olah korbannya itu ditolak kerana saudaranya itu. Lalu saudaranya itu pula yang ingin dibunuhnya. Inilah sikap gemar menyalahkan orang lain sedangkan silap itu adalah akibat kesalahannya sendiri. Sikap tidak mahu mengaku salah sendiri ini adalah sikap bebal dan degil. Habil pula melakukan korban secara ikhlas. Beliau mengorbankan untanya yang paling gemuk dan yang terbaik. Manakala Qabil sudah mempunyai sikap curang sejak mula. Beliau hanya mengorbankan gandum yang paling rendah mutunya. Malah Qabil telahpun bertekad untuk meneruskan kemahuannya biar apapun keputusannya. Majlis tahkim diadakan untuk memohon keputusan dari sesuatu autoriti.

Dalam hal ini ia boleh diumpamakan sebagai sebuah mahkamah ataupun suatu suruhanjaya. Di dalam sejarah mutakhir, institusi tahkim ini menyerahkan kepada rakyat secara jujur untuk membuat keputusan. Dan keputusan rakyat ini mesti diterima. Oleh yang demikian, semua pihak perlu menonjolkan sikap ikhlas dan jujur sejak mula. Mana-mana pihak tidak seharusnya curang dan menipu serta mempunyai agenda lain untuk meneruskan kemahuan sendiri. Dalam hal ini, sikap Qabil yang membunuh saudaranya melambangkan sikap menggunakan kekerasan untuk meneruskan kemahuannya. Beliau meneruskan tindakan ganas (brutal) dengan semangat menghancurkan saingan. Namun ketika diancam untuk dibunuh, Habil berkata "sesungguhnya ALlah menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa." Habil cuba mengambil jalan damai dengan memberi peringatan dan nasihat agar tidak menyalahkan orang lain; lalu menjatuhkan mereka yang berjaya. Qabil dinasihatkan agar mengakui bahawa penolakan korban itu adalah salah laku sendiri kerana Qabil tidak bertaqwa.

Sesungguhnya mereka yang bertaqwa takut menyalahi syarat, takut kemurkaan Ilahi dan ikhlas pula dalam amalan. Ini sekaligus melambangkan sikap menerima keputusan Tuhan. Seseorang itu harus mengorbankan sesuatu yang terbaik. Berdasarkan latar belakang sejarah inilah maka kita tidak boleh menyalahkan orang lain seandainya kita tidak disenangi manusia atau dimurkai Tuhan. Salahkanlah diri sendiri! Orang yang meletakkan keseluruhan salah kepada orang lain mempunyai mentaliti egois yang tergambar sama dalam sikap Qabil.

Jawaban Habil ketika hendak dibunuh membayangkan ketenangan orang yang beriman menghadapi ancaman. Beliau tidak emosional dan tidak melenting dek provokasi. Habil tidak ingin melawan. Ini mewujudkan persoalan kerana dikatakan Habil lebih perkasa dari Qabil. Tetapi dalam keadaan itupun Habil tidak melawan. Menurut sebahagian ulama pula, ketika itu belum disyariatkan seseorang untuk melawan. Dalam konteks Islam, yang mensyariatkan seseorang untuk melawan adalah suasana kontekstual. Mengalah dalam situasi sebegini menggalakkan pemerintah-pemerintah yang zalim untuk lebih berleluasa menzalimi manusia. Ini dihujahkan oleh Dr Rashid al-Barawiyy di dalam karyanya, "Al-Qasasu 'l-Qur'aniyy: Tafsir Ijtima'iyy".

Sesungguhnya, Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." Perbuatan jahat perlu dibalas dengan kadar yang seimbang. Dalam hal ini, ayat ke-194 dari surah al-Baqarah menyatakan, "…barangsiapa yang menyerang kami, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu…." Oleh yang demikian, sikap Habil perlu difahami secara kontekstual. Habil masih menggunakan pendekatan menasihati - mengingatkan Qabil tentang beban dosa yang harus ditanggungnya. Namun Qabil sudah tidak dimasuki nasihat. Beliau sudah dirasuki tamak dan hasad. Nasihat-nasihat itu tidak dapat memadam gejolak nafsunya untuk meneruskan niatnya itu. Beliau tergamak untuk membunuh saudaranya sendiri!

Namun, mereka yang meneruskan niat jahat tidak dapat disifatkan sebagai memperolehi kemenangan. Kerana amalan ini membawa kepada kerugian di dunia dan di akhirat yang berupa kehilangan saudara, jaminan sebagai penghuni neraka dan kehilangan penasihat yang jujur. Yang tinggal hanyalah para pengampu. Cara Qabil membunuh diilhamkan dari iblis yang menunjuk cara menerusi penjelmaan burung dan sebagainya. Habil mati dibunuh dengan menghempaskan batu pejal di atas kepalanya. Qabil kemudian kebingungan untuk menguruskan mayat Habil. Jelas bahawa perancangannya tidak menyeluruh. Diriwayatkan bahawa Qabil menghabiskan masa setahun memikul mayat Habil.

Sememangnya Qabil tidak berpengalaman membunuh. Dan kejadian itu merupakan pembunuhan pertama di dalam sejarah manusia. Namun sesungguhnya, Tuhan mencurahkan rahmat-Nya kepada mayat mereka yang baik. Tetapi ini bukanlah untuk menolong Qabil. Lalu diutuskan seekor burung gagak seperti yang tersurat di dalam ayat ke-31, surah al-Maidah. "Kemudian ALlah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: 'Aduhai, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini? Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal." Qabil kemudiannya mendapat ilham bagaimana menguruskan pengkebumian. Ulama menyatakan bahawa kisah ini merupakan pengajaran untuk seluruh manusia.

Seseorang tidak boleh angkuh dengan ketinggian ilmu dan pengalaman yang ada pada manusia. Ada ketikanya manusia terpaksa belajar dari orang yang lebih rendah darinya. Dalam hal ini, Qabil terpaksa belajar dari makhluk yang lebih rendah iaitu burung gagak. Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang rendah kepada sesiapapun kerana ada hal-hal tertentu yang perlu dirujuk. Di dalam tafsiran lain, peristiwa ini cuba mengajar Qabil yang bebal itu yang layak hanya untuk menjadi murid kepada gagak hitam itu. Lazimnya, bila Tuhan menyampaikan petunjuk wahyu, ia disampaikan kepada para nabi. Ilmu diberikan kepada mereka yang saleh. Namun Qabil tidak layak menerima wahyu dan ilham.

Yang layak bagi beliau hanyalah mempelajari pengalaman dari makhluk yang lebih rendah! Inilah suatu tempelak kepada mereka yang angkuh. Qabil semacam mengutuk dirinya. Beliau takut terhadap Nabi Adam yang menyoalnya mengenai ketiadaan Habil. Qabil mengelak untuk memberi jawaban yang sebenar. Tetapi tidak mungkin Qabil dapat menipu seorang nabi. Nabi Adam bertanya sama ada Qabil membunuh Habil kerana tubuh Qabil menjadi hitam. Kejadian ini merupakan taqdir Tuhan yang merubah tubuh Qabil. Namun kejadian ini cuma berlaku sekali itu sahaja. Dan tidak berulang lagi di dalam sejarah.

Di waktu-waktu lain, apabila seseorang itu melakukan kezaliman, imej dan sejarahnya pula yang berubah menjadi hitam dan terus menderita. Qabil lalu menyesal, sedih, kecewa dan dukacita. Beliau menyesali ketololannya sendiri. Beliau tidak mendapat sebarang manfaat dari pembunuhan itu. Malah dia dibenci oleh seluruh keluarganya. Dan popularitinya merudum! Tetapi ini bukan bererti beliau telah bertaubat. Tiada sebarang isyarat dari Al-Qur'an yang menyatakan bahawa Qabil bertaubat. Seterusnya, ayat ke-32 di dalam surah al-Maidah menyatakan: "Oleh kerana itu, Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di mukabumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, mseolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi." ALlah telah menetapkan hukuman ke atas Bani Israel. Hukuman ini menyoroti beberapa persoalan. Pertama, membunuh seseorang seolah-olah membunuh seluruh manusia. Apabila seseorang sudah mencapai kesanggupan untuk membunuh, maka soal bilangan tidak lagi menjadi penting.

Hak untuk hidup adalah hak semua orang. Apabila seseorang itu mencabul hak ini, maka bererti dia sudah mencabul hak yang telah dikongsi bersama oleh semua orang. Persoalan kedua ialah mengenai Bani Israel. Hukum qisas terdapat di dalam semua agama. Tetapi dalam hal ini ianya adalah khusus kepada Bani Israel kerana mereka adalah bangsa yang berbudaya membunuh orang baik-baik. Ayat ke-21 di dalam surah Al-'Imran menyatakan bahawa Bani Israel membunuh nabi-nabi tanpa alasan dan membunuh mereka yang memperjuangkan keadilan. Kaum Yahudi adalah bangsa yang tebal hasadnya (ayat ke-109 surah al-Baqarah). Mereka sangat menginginkan manusia kufur setelah beriman lantaran hasad mereka yang nyata. Di zaman RasuluLlah S.A.W., kaum Yahudi tidak henti-henti melakukan konspirasi. Ketika baginda mengunjungi Bani Nadir, baginda nyaris-nyaris ditimpa batu pejal yang dibuang dari bumbung rumah yang diziarahi baginda.

Sesudah Yahudi kalah di dalam Perang Khaybar, seorang wanita Yahudi menjamu paha kambing yang beracun, yang dimakan oleh Sahabat. Ada yang terkorban akibat kejadian keracunan ini. Namun RasuluLlah S.A.W. diselamatkan ALlah S.W.T.. Baginda meluahkan semula daging kambing tanpa ditelannya. Punca utama segala kejadian-kejadian ini hanyalah satu: hasad! Watak-watak seperti Qabil boleh muncul dengan berbagai nama yang berbeza di dalam mana-mana sejarah. Oleh yang demikian, kita perlu melakukan persiapan menghadapi watak-watak seperti ini. Sehubungan ini juga, Habil mengambil pendekatan menasihat tanpa melawan dengan kekerasan. Ini perlu difahami secara kontekstual kerana ketika itu belum disyariatkan melawan. Dalam hal ini, Nabi Isa turut mengambil pendekatan serupa.

Syariat berubah mengikut zaman dan mengikut nabi serta rasul. Tetapi menurut syariat RasuluLlah S.A.W., kezaliman harus dilawan. Soalnya ialah apakah kita sudah siap atau tidak? Kalau belum siap, maka lebih baik jangan melawan lagi. Barangkali strategi yang lebih baik ialah menangguh terlebih dahulu! RasuluLlah S.A.W. mengambil sikap menunggu dahulu ketika di Mekah. Dengan itu baginda terpaksa menahan rasa. Kalau melawan pun tidak berguna! Takut-takut nanti ~ baru berputik sudah dipenggal orang. Oleh yang demikian, ummat dinasihatkan untuk membanyakkan salat agar ia membawa kepada keringanan dan untuk membina kekuatan. Apabila tiba Perang Badr di zaman Madinah, masanya sudah sampai untuk melawan. Di atas dasar yang serupa jugalah maka sesebuah gerakan Islam perlu terus melakukan persiapan meliputi segala segi mengikut keterbatasan undang-undang!

 

  Umum


Komen


"KONFLIK QABIL DAN HABIL" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.24006 saat. Lajunya....