Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 29-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Perkataan yang baik tidak akan muncul dari jiwa yang kotor sebagaimana biji benih takkan tumbuh pada tanah yang gersang
-- Kata Bijaksana

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 186
Ahli: 0
Jumlah: 186




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 2 hari yang lalu
Rashdin: 27 hari yang lalu

airmata karbala menitis di kota kaherah
 Posted on Selasa, 03 Mei 2005 @ 1:06:23oleh littlemuslimah
Umum trouver_99 menulis Membaca cerpen ini menuntut keterbukaan. Ia adalah sebuah karya yang agak asing. Penulis sempat merujuk beberapa buah kitab sebelum menulisnya. Semoga fakta yang dikemukakan bertepatan

Sebuah Cerpen Nukilah Akhi Masrawi

NOTA:(Membaca cerpen ini menuntut keterbukaan. Ia adalah sebuah karya yang agak asing. Penulis sempat merujuk beberapa buah kitab sebelum menulisnya. Semoga fakta yang dikemukakan bertepatan)


Air Mata Karbala menitis di Kota Kaherah

Hati dirundung duka. Air mata bertakung di kelopak mata. Meski kaki sudah kekejangan berdiri, namun aku masih tidak berganjak walau setapak. Mahu terus untuk merenung dan mengingati sebuah kedukaan yang tercetus di zaman lalu. Aku merenung pusara Saidina Husain Bin Ali K.w dengan tenang meskipun hati bergelora meronta mahu menyingkap sebuah sejarah yang telah lama terukir. Pusara itu kekal di situ. Ya... di sebuah Kota kegemilangan pinggir Kaherah. Namanya Kota Husain. Ada riwayat lain turut menyatakan pusara Saidina Husain sebenarnya di tempat lain. Ada riwayat yang menyatakan di karbala; tempat di mana dia dibunuh. Malah ada yang menyatakan di Damsyik berhujah kepalanya dibawa ke hadapan khalifah Yazid selepas pembunuhan. Di Mesir pula timbul selepas beberapa lama. Walaupun aku tidak pasti kesahehan ihtimalku terhadap pusara itu namun banyak pengajaran sebenarnya aku perolehi sementelah bertandang ke situ. Sehingga kini kebanyakan umat Islam masih menyalahkan keluarga Muawiyah di dalam tragedi pertumpahan darah di Karbala. Terutama Yazid... Mengapa?

Aku ingin menyingkap secara ringkas kepada kalian tentang peristiwa itu. Ia bukan lagenda atau cereka dalam kebanyakan cerita pendek. Ia adalah sebuah hakikat sejarah yang telah ternukil di lebaran sirah umat Islam. Kata-kata seorang ustazku masih tergiang diingatan. Sehingga kata-kata itu sirna aku masih belum menemui jawapan.

"Kita tak boleh menyalahkan sesiapa. Baik Muawiyah mahupun Saidina Ali. Lagipun semua yang berlaku ada hikmah yang tersirat."

Fikri rakan sekelasku memprotes. "Saya terima pendapat Ustaz... tapi Muawiyah sepatutnya menjadi gabnor yang patuh. Tidak wajar seorang gabnor menginginkan jawatan khalifah sedangkan Saidina Ali telah pun dibaiah."

"Fikri... awak sepatutnya tidak mendahulukan ra'yu yang khilaf terhadap tarikh." Jelas ustazku tenang.

Kelas sepi. Pelajar-pelajar lain menumpukan perhatian pada hujah Fikri. Ada yang memandang ustaz sambil mengerut dahi menuntut jawapan selanjutnya. Aku terdiam. Berfikir sedalam-dalam. Kata-kata Fikri seolah menyisih sumbangan Muawiyah dan dalam masa yang sama dominsi simpatinya begitu tinggi terhadap Saidina Ali k.w. Meskipun sejarah menukilkan bukan Muwiyah yang membunuh Saidina Ali; Muawiyah masih dianggap salah. Aku kebingungan. Tiada jawapan.

Malah aku pernah berjidal dengan Fikri. Dia tidak sepatutnya terlalu ego dengan pendapatnya. Untuk menentukan siapa betul atau siapa salah bukan kita. Allah lebih mengetahui segalanya. Sepatutnya kita mengambil pengajaran dan hikmah dari sejarah. Bukan menambah kerumitan.

Madah Tarikh adab Islami memeningkan. Zaman khilafah Islamiah terpaksa dibongkar. Nyatanya ada zaman emas. Ada zaman haru-biru. 'Sejarah Umat Islam sebenarnya sesuatu yang rumit'. Aku membuat kesimpulan sendiri. Lantaran itu aku mengambil keputusan bertandang mencari jawapan di bumi Al-Azhar.

Seketika selepas Saidina Usman .a dibunuh setelah 11 tahun memegang amanah sebagai khalifah maka kebanyakan umat Islam ketika itu telah memilih Saidina Ali K.w untuk meneruskan amanah Allah. Saidina Ali menolak. Sehinggalah berlaku desakan demi desakan yang keras; Saidina Ali terpaksa akur untuk menerima amanah tersebut. Setelah Saidina Ali K.w menjawat jawatan khalifah itu menurut riwayat; beliau telah mengambil tindakan terburu-buru dengan memecat kebanyakan pegawai dan gabnor yang dilantik sewaktu pemerintahan Saidina Usman. Meskipun sebelum itu beliau pernah dinasihati oleh beberapa orang sahabat supaya tidak terburu-buru dengan tindakan tersebut. Pada hematnya tindakan memecat pegawai-pegawai Saidina Usman itu wajar lantaran perlantikan mereka ketika zaman Khilafah Usman adalah kerana berkerabat dengan Saidina Usman .a semata-mata. Bukan lantaran kelayakan. Sedangkan ketika itu kekhilafahan Saidina Ali k.w masih belum dibaiah oleh mereka. Sehingga beliau mengutuskan utusan membawa surat kepada Saidina Muawiyah yang sedang berada di Syam.

"Kau nak ikut aku pulang ke tak, Taufiq?" Soal Fuad sambil bergegas mengambil beg sandangnya. Kemudian beg itu disandang ke bahunya. Hanya beberapa buah kitab kuliah di dalamnya bergerak-gerak. Selesai kuliah di Al-Azhar selepas Zohor Aku dan Fuad bertandang ke Masjid Husain untuk berehat. Untuk berebut pulang pada waktu tenghari itu memeritkan. Malah terpaksa berebut-rebut untuk memanjat bas dengan orang-orang arab Mesir dan pelajar-pelajar lain yang turut mahu pulang sehabis kuliah. Biasanya kami akan berehat seketika di Masjid Hussain atau menghadiri kelas pengajian talaqi di Jami' Al-Azhar As-Syarif bersebelahan Masjid Husain yang biasanya diadakan selepas asar.

Aku masih diam. Tiada jawapan kepada pertanyaan Fuad.

"Aku mahu bersegera menghambat bas. Lagipun Maghrib sudah hampir. Malam ini kita ada mahu'id dengan Sheikh Fathi untuk tasmi' Al-Quran di Masjid Musa. Kalau kau mahu ikut sekali kita perlu pulang segera." Jelas Fuad bersahaja.

"Aku mahu solat Maghrib di sini saja. Lepas itu barangkali aku menyusul ke Masjid Musa. Kita jumpa di sana. Mungkin hampir Isyak aku akan sampai."

"Baiklah. Kita jumpa di sana nanti. Jangan kau lupa pula! Minggu lepas pun kau tak hadir tasmi' dengan Sheikh Fathi. Dia bertanya tentang kau. Tiada jawapan yang aku berikan selain berjanji yang kau akan hadir hari ini." Fuad mengingatkan aku sambil berlalu pergi.

Aku masih di sisi pusara Saidina Husain anak kepada Saidina Ali dan merupakan cucu Rasulullah saw. Aku masih terkenangkan Tragedi Karbala. Lokasi di mana Saidina Husain dibunuh. Dia dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah yang dikepalai oleh Ubaidullah bin Ziyad. Kepalanya dipenggal untuk di bawa ke hadapan Yazid di Damsyik.

Yazid menduduki takhta pemerintahan selepas kematian bapanya Muawiyah bin Abu Sufyan. Maka bermulalah pemerintahan khalifah pertama dalam Islam berbentuk monarki keturunan. Kerajaan Bani Umaiyah bertahan agak lama juga. Semenjak jatuhnya kuasa itu ke tangan Muawiyah sehinggalah tahun 132H ketika Abul Abbas Assafah diangkat menjadi khalifah. Maka setelah itu bermulalah pemerintahan Kerajaan Bani Abbas dan berakhirlah pemerintahan Bani Umaiyah di Damsyik. Namun seorang daripada keturunan Umaiyah iaitu Abdul Rahman Bin Muawiyah bin Hisyam bin Abdul Malik berjaya menyusup ke Andalusia (Sepanyol) dan mendirikan alias meneruskan kerajaan Bani Umaiyah di sana.

Sewaktu kecil Yazid dididik sangat manja oleh ayahnya. Lantaran itu dia membesar sebagai anak bangsawan yang fakir tentang hal keagamaan. Dia hanya suka berhibur dan kurang mengambil peduli hal-hal yang lebih penting tentang kehidupan. Namun keistimewaannya ialah fasih dalam bahasa. Justeru dia pandai bersyair. Meskipun pernah diberikan jawatan yang penting oleh Muawiyah ketika kekuasaannya namun Yazid tidak betah belajar untuk menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan ahli-ahli politik pada zaman tersebut mencadangkan kepada Muawiyah supaya dia menentukan anaknya Yazid menjadi khalifah selepas kematiannya. Ini bertujuan supaya tidak terjadi pertumpahan darah akibat berebut jawatan khalifah. Sebenarnya cara tersebut telah menyalahi sistem yang diperkenalkan oleh Islam iaitu melalui syura yang akhirnya bertukar kepada hak keturunan sehingga layak dinamakan raja sahaja, bukan khalifah.

Mataku masih merenung pusara Saidina Husain. Orang-orang Mesir agaknya bersimpati dan 'menjaga' keturunan Ahli bait. Barangkali sebab itu pusara Saidina Husain terjaga rapi. Aku masih terhimpit dengan pertembungan itu. Di benakku terpancul pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya yang bersalah atau pihak mana yang betul. Muawiyah? Yazid? Husain sendiri... atau siapa? Malah persoalan itu berkubur sendirian. Aku sendiri tersihir dengan persoalan-persoalan tadi.

************

Utusan yang dihantar oleh Saidina Ali K.w kepada Muawiyah disuruh pulang dengan tangan kosong. Muawiyah akan menjawab surat Saidina Ali itu dengan menghantar utusannya sendiri. Tidak lama selepas itu dihantarnya balasan surat Saidina Ali itu melalui utusannya ke Madinah. Surat kosong itu hanya tertulis 'bismillahirrahmanirrahim' dan diluarnya tertera tulisan 'dari Muawiyah bin Abu Sufyan kepada Ali bin Abi Thalib'. Tanpa perkataan 'Amirul mukminin' jelaslah bahawa Muawiyah belum mengakui bye'ahnya terhadap Saidina Ali K.w. Malah Muawiyah telah mempersiapkan tenteranya untuk memerangi pembunuh Saidina Usman .a. Manakala lain pula halnya di Madinah, Muawiyah dipandang telah derhaka kerana keengganannya mengakui kekuasaan khalifah yang sah, sebab itu halal pula memeranginya.

Muawiyah seorang yang cekap politik, bijaksana dan pintar mengatur urusan dunia. Memeluk Islam sewaktu Fathu Makkah. Dia adalah juru tulis; bahkan penulis wahyu kepada Baginda Rasulullah dan turut meriwayat hadith. Sememangnya para sahabat mempunyai kelebihan masing-masing yang berbeza. Malah ada riwayat yang menyatakan dia seorang yang bijak berdampingan dan mempunyai pengaruh yang kuat. Meskipun begitu kemenangannya menjawat jawatan khalifah bukanlah di atas kehendak umum tetapi melalui percaturan Amru bin Al-'Ash sewaktu mengikat perdamaian dengan Abu Musa Al-Asyari di Daumatul Jandal. Di sinilah bermula suratan tersirat dan seribu satu hikmah yang tersembunyi sehingga kurang diketahui oleh kebanyakan umat Islam.

Sebenarnya Muawiyah sangat menginginkan jawatan khalifah itu selepas kematian Saidina Usman .a. Sedangkan Saidina Ali k.w diangkat menjadi khalifah. Di kala itu huru-hara selepas pembunuhan Saidina Usman .a masih belum reda. Ini memungkinkan Muawiyah mencapai impiannya itu. Sementelah untuk mencapai hasratnya, Muawiyah mengatur pelbagai helah siasahnya. Berlaku beberapa siri peperangan yang merugikan umat Islam. Kematian demi kematian. Di antaranya peperangan Jamal (unta) dan peperangan Siffin.

Sewaktu pertempuran di medan Siffin tercetus tentera pimpinan Saidina Ali K.w hampir berjaya menewaskan tentera Muawiyah. Sehingga terdengar laungan meminta supaya menghentikan peperangan dan berhukum mengikut kitab Allah. Maka terjadilah gencatan senjata. Muawiyah mengusulkan supaya dilakukan Majlis tahkim dengan Amru bin Al-Ash mewakili Muawiyah sedangkan Saidina Ali k.w keberatan melepaskan Abu Musa Al-Asyari menjadi wakilnya. Namun orang ramai telah memilihnya dan berkeras.

*********

Di luar sana hari semakin gelap. Lampu-lampu masjid telah lama menyala. Musim panas di Mesir membahang panas. Siang lebih panjang dari malam. Orang awam berada di mana-mana. Bingar kenderaan masih kedengaran. Penumpang-penumpang menyesakkan kenderaan awam. Bas merah terutamanya sebab nilai tambang cuma 25 sen. Aku masih termangu sendirian. Seorang siswa menghampiriku. Aku sempat merenung tajam ke arahnya. Dia sebenarnya kukenali. Teman seperjuangan yang turut bersama di Al-Azhar. Cuma dia seniurku. Dia menepuk bahuku. Aku menoleh membuang pandang sambil tersenyum tawar. Tangan kami berjabat mesra.

"Akhi Taufiq! Hari dah nak maghrib, mengapa masih sendirian di sini?" Tegur Azmi membuka bicara.

"Ana nak solat di sini. Lepas tu barangkali akan menyusuli Fuad di Masjid Musa. Kami ada mahu'id tasmi' Al-Quran dengan Sheikh Fathi." Jelasku tanpa disoal.

"Dari tadi ana tengok akhi di sini. Mesti ada sesuatu yang difikirkan." Azmi meneka.

"Melihat pusar Saidina Husain ana terkenang tragedi pertumpahan darah di Karbala. Tetapi tidak terniat untuk menyalahkan sesiapa."

"Baguslah kalau begitu. Sewajarnya kita menjadi orang yang mu'tadil dalam hal seperti ini." Tutur Azmi sambil tersenyum tawar.

"Akhi Azmi... boleh ana tanya sesuatu?" Pintaku.

"Tentang apa akhi Taufiq?"

"Siapa yang terlibat dalam komplot pembunuhan Saidina Ali k.w?"

"Mengikut apa yang ana tahu pembunuh Saidina Ali ialah Ibnu Muljam. Anta boleh rujuk kitab Feqh sirah karangan Al-Buthi. Mengapa?" Azmi kembali melontar persoalan.

"Ibnu Muljam golongan khawarij kan?"

"Ya... Malah bukan cuma Ibnu Muljam merancang untuk membunuh Saidina Ali, golongan khawrij telah berpakat untuk membunuh Muawiyah dan Amru bin Al-Ash juga. Tetapi yang berhasil cuma Ali. Muawiyah dan Amru terselamat. Ramai orang Islam yang tak tahu. Malah lebih menyedihkan ada yang menuduh Muawiyah yang bersalah tanpa usul periksa." Jelas Azmi.

Kelihatan jemaah sudah mula memenuhi ruang masjid. Azan dilaungkan. Sayu rasanya hati. Keinsafan menerjah dalam diri. Umat Islam dibina atas kesatuan. Kalimah Tauhid menjadi neraca. Tuhan itu Esa tiada dua atau bertiga. Konsep triniti terlalu lemah sebenarnya. Kristian masih mengunggulinya. Dan setiap percaturan alam adalah qudrah dan iradah Ilahi yang Esa. Kalaulah tuhan itu berdua atau lebih sudah tentu kehendaknya berbilang. Sedangkan ianya tidak terjadi secara kebetulan kerana perkara yang terjadi kebetulan hanya jadi sekali sekala. Sedangkan percaturan Ilahi terhadap siang dan malam, peredaran cakerawala pada paksinya mengikut ketetapan, kejadian pasang surut air laut, dan sebagainya terjadi berulang kali. Malah ada peraturan pula. Sebagaimana siang yang bercahaya cerah, malam pula bumi akan gelap dari simbahan cahaya matahari. Itulah sunnatullah.

Khilafah jatuh ke tangan Saidina Muawiyah. Golongan khawarij masih ingkar mengakui kekhilafahannya. Ini bermakna golongan khawarij memusuhi Saidina Ali dan berdendam terhadap pemerintahan Muawiyah. Itu tidak penting. Meskipun beralih kuasa khalifah masih dipegang oleh kuasa Islam sehingga jatuhnyanya kerajaan Turki Uthmaniyah. Khilafah telah benr-benar hilang. Umat Islam patut sedar. Amanah untuk mengembalikan khilafah Islam itu semula kerana itulah antara kemenangan awal komplot zionis. Mustafa Kamal Al-Tartuk gemilang sebagai pemerintah Turki moden sedangkan dia adalah alat zionis antarabangsa. Orientalis menukilkan kegemilangan sumbangan At-Tartuk sedemikian dalam catatan sejarah. Anak-anak umat Islam tertipu dengan penjajahan pemikiran itu.

Pada tahun ke 60H Muawiyah meninggal dunia dan Yazid menjadi gantinya. Saidina Husain ketika itu berada di Makkah menerima surat dari Kufah memintanya ke sana. Saidina Husain bersiap-siap bersama sanak saudara dan kerabatnya untuk bertolak ke Kufah. Ada riwayat yang menyatakan beliau dilarang berbuat demikian. Namun tidak diendahkannya. Maka rombongan Saidina Husain pun bertolak meninggalkan Makkah. Setelah hampir tiba di Kufah barulah dia mendengar perkhabaran bahawa kaum Bani Umaiyah telah bersedia hendak memeranginya. Tetapi dia tidak betah untuk kembali ke Hijaz. Dia akhirnya terbunuh di Karbala.

Selesai solat maghrib aku dan Azmi berpisah. Azmi akan ke 'Atabah. Katanya ada urusan. Aku mengambil teksi ke Masjid Musa di Haiyu Sabiek. Barangkali Fuad sedang menantiku di sana. Di dalam perut teksi aku melayan diri dan tanpa kusedari air mata Karbala menitis di Kota Kaherah mengenangkan bilakah khilafah akan kembali.

TAMAT


Glosari:

ihtimal : pertimbangan
ra'yu : pandangan akal
berjidal: berbahas
Madah : mata pelajaran
talaqi : kelas pengajian
mahu'id : janji
tasmi' : memperdengarkan (pengajian Al-Quran)
bye'ah : kesetian
mu'tadil: pertengahan/ adil

Nota- Glosari perkataan yang disertakan sekadar untuk menterjemahkan maksud penceritaan karya ini.

Rujukan:

Kitab al-Bidayah Wan nihayah karangan Imam Ibnu Kathir.
Kitab Feqh Sirah karangan Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi.
Sejarah Umat Islam karangan Prof. Dr Hamka.


Nukilan : Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.


Nama : Ahmad Tarmizi Ismail
Nama Pena : Akhi Masrawi
Fakulti : Syariah dan Undang-undang
Universiti : Al-azhar cawangan Tanta.

 

  Umum


Komen


"airmata karbala menitis di kota kaherah" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.2432 saat. Lajunya....