Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 22-09-2021  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Bukanlah kerja yang membunuh manusia, sebaliknya rasa risau, bimbang, khuatir.
-- Kata Bijaksana

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 81
Ahli: 0
Jumlah: 81




  Yang Masuk Ke Sini
HIKAL: 2 hari yang lalu

Kaedah berpuasa bagi orang sakit..
 Posted on Isnin, 25 Oktober 2004 @ 15:51:37oleh Hanan
Umum nazri menulis SYARIAT Islam mewajibkan puasa pada bulan Ramadan, bermula dari sebelum terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun demikian, sesetengah orang dikecualikan daripada berpuasa, antaranya orang sakit.

Beberapa jenis penyakit boleh menghalang seseorang daripada berpuasa. Contohnya, penyakit ulser perut.

Pesakit ini biasanya akan mengalami kesakitan yang perit terutama sekali ketika perut kosong.

Keadaan ini boleh menggugat kesihatan dan keselamatan pesakit jika tidak dirawat segera. Ia juga boleh membawa kepada pelbagai masalah lain yang lebih serius.

Begitu juga dengan pesakit migrain. Sakit kepala yang keterlaluan di sebahagian kepala sahaja ini mungkin boleh memburukkan keadaan jika mereka berpuasa.

Ini kerana kemungkinan kekurangan air dan gula di dalam tubuh ketika berpuasa.

Semasa berpuasa, kandungan asid lemak bebas juga semakin tinggi. Hal ini juga boleh memburukkan migrain tadi.

Jadi, bagi mereka yang diserang migrain, puasa perlulah dilakukan dengan berhati-hati atau ditinggalkan dahulu.

Walaupun demikian, ada penyakit yang tidak menghalang seseorang daripada berpuasa.

Dengan nasihat doktor, pesakit kencing manis, umpamanya boleh berpuasa dan sebenarnya boleh mendapat manfaat daripadanya.

Pesakit kencing manis yang mengawal penyakit hanya dengan menjaga gaya pemakanannya, boleh mendapat faedah tambahan seperti pengurangan berat badan.

Jadi, selain keadaan penyakit terkawal, pesakit juga ada kemungkinan memperbaiki keadaan penyakit kencing manisnya.

Bagi pesakit kencing manis yang perlu memakan ubat, mereka juga boleh berbincang dengan doktor sama ada boleh berpuasa atau tidak.

Mereka masih boleh berpuasa dengan mengurangkan sedikit dos ubat yang diambil, dan mengambil ubat selepas berbuka dan tidak di sebelah pagi.

Jika ada tanda-tanda kekurangan gula yang teruk atau hipoglisemia, mereka mesti segera berbuka puasa.

Bagi pesakit lain seperti pesakit darah tinggi yang sederhana serta mengalami masalah obesiti (kegemukan), amalan berpuasa juga mungkin boleh membantu mengurangkan berat badan.

Golongan ini boleh mendapat nasihat doktor atau ahli farmasi tentang jadual pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa.

Bagaimanapun, jika darah tinggi mereka serius, pesakit dinasihatkan supaya tidak berpuasa.

Bagi perempuan hamil, al-Quran tidak mengecualikan mereka daripada berpuasa kerana kehamilan bukan dikira suatu penyakit.

Namun, ada hadis Rasululah s.a.w. yang membenarkan wanita hamil untuk meninggalkan puasa jika ia atau doktor menjangkakan bahawa ibu atau bayi dalam kandungan akan mengalami masalah kesihatan.

Janin dalam kandungan memerlukan makanan dan air dengan secukupnya, terutama pada tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir kehamilan.

Ketika ini janin paling terdedah kepada bahaya. Kekurangan zat-zat serta air dalam makanan ibu boleh menjejaskan pertumbuhan dan kematangan bayi.

Jadi, bagi mengelakkan daripada pertumbuhan fizikal dan mental terencat, berbincanglah dengan para doktor agar diberi kepastian sama ada boleh atau tidak anda berpuasa.

Dalam hal penggunaan ubat untuk mengawal penyakit jantung bagi pesakit-pesakit yang sedang berpuasa, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah membuat keputusan bahawa, `ubat yang digunakan untuk merawat pesakit jantung yang sedang berpuasa tanpa dimasukkan melalui rongga anggota, tidak membatalkan puasa dengan syarat diyakini air liurnya tidak masuk melalui rongga'.

Hal ini berkaitan ubat pereda angina yang diletakkan di bawah lidah.

Bagi mereka yang sakit dan perlu makan ubat tetapi ingin berpuasa, mereka boleh mengubah sedikit masa memakan ubat berdasarkan arahan seperti berikut. Maklumat ini boleh dirujuk kepada Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) seperti berikut:

* Dua kali sehari selepas makan

Makan ubat sekali selepas berbuka puasa dan sekali selepas bersahur.

* Tiga kali sehari selepas makan

Makan ubat sekali selepas berbuka puasa, sekali selepas moreh iaitu sebelum tidur dan sekali selepas bersahur.

* Dua kali sehari sebelum makan

Makan ubat sekali selepas berbuka puasa dengan segelas air.

Anda boleh makan makanan biasa setengah hingga satu jam selepas makan ubat tadi.

Makan ubat kali kedua setengah hingga satu jam sebelum bersahur.

* Tiga kali sehari sebelum makan

Makan ubat sekali selepas berbuka puasa dengan segelas air.

Anda boleh makan makanan biasa setengah hingga satu jam selepas makan ubat tadi.

Makan ubat kali kedua sebelum tidur tanpa moreh dan ketiga, setengah hingga satu jam sebelum bersahur.

Sekali sehari sebelum atau selepas makan - Boleh makan sama ada pada waktu berbuka puasa atau bersahur, dan amalkan masa yang sama sepanjang bulan Ramadan.

Setiap lapan jam - Masih boleh berpuasa dan mengamalkan kaedah makan ubat tiga kali sehari.

Selain daripada itu, bidang farmasi kini mampu membantu dengan menyediakan ubat-ubat yang mempunyai tempoh tindakan yang panjang.

Dapatkan pandangan doktor atau ahli farmasi mengenai pengambilan ubat jenis ini

 

  Umum


Komen


"Kaedah berpuasa bagi orang sakit.." | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.138659 saat. Lajunya....