Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 28-03-2024  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Kita seringkali melihat bagaimana jemaah-jemaah haji mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebagai persiapan untuk menempuhi suasana haji yang sebenar, begitu juga dengan pelajar-pelajar yang akan menempuhi peperiksaan, dilatih dengan pelbagai tuisyen dan kelas tambahan untuk menempuhi peperiksaan, maka kehidupan akhirat dan peperiksaan di padang mahsyar lebih patut lagi diadakan kursus persediaan dan kelas tuisyennya yang tersendiri..Persediannya ialah iman serta amalan soleh dan kelas tuisyennya ialah majlis-majlis ilmu.
-- Tuan Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan)

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 183
Ahli: 0
Jumlah: 183




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 1 hari, 10 jam, 48 minit yang lalu
Rashdin: 26 hari yang lalu

Permatang Kasih
 Posted on Rabu, 06 Oktober 2004 @ 9:34:15oleh istisafa
Umum Raidenz- menulis Sarina melemparkan pandangannya jauh-jauh ke tengah bendang yang subur menghijau. Dilihatnya pokok-pokok padi yang membunting berwarna keemasan meliuk-lintuk disapa angin sepoi-sepoi bahasa. Oh, indah sungguh bumi ciptaan Tuhan, milik mutlak yang Maha Esa.

Sarina merenung lagi di kejauhan. Kelihatan seorang tua yang hampir uzur bersandar di tiang rapuh pondoknya di tengah sawah. Asap curut yang dihisapnya dihembus laju, lalu berkepul-kepul naik ke udara. Pinggan ayan yang tadinya penuh berisi nasi goreng kampung kini licin berkilat. Angin bendang bertiup lagi. Kali ini lebih kencang sedikit daripada yang tadi.

Sarina memegang tudung di kepalanya kemas - kemas, takut terbang ditiup angin. Disematnya elok-elok dengan jarum peniti. Begitu teliti dan bersungguh-sungguh dia dalam menjaga auratnya. Memang sejak dari dahulu lagi Sarina teguh mempertahankan imej wanita Muslimah yang sejati. Baginya, aurat perlu dijaga kemas, lebih-lebih lagi gadis kampung sepertinya, supaya tidak nanti difitnah orang.

Dia membetul-betulkan pakaiannya yang tak tentu hala ditiup angin. Perlahan-lahan dia mengorak langkah satu-persatu meniti permatang di tepi sawah. Sesekali kelihatan burung-burung pipit mematuk-matuk buah-buah padi yang sedang elok dituai. Sesekali juga suara cicipan burung yang kedengaran dirasakannya begitu indah membentuk susunan not-not muzik yang begitu menarik, lalu terciptalah sebuah melodi asli yang cukup harmonis. Ya Allah, Maha SuciMu ya Allah. Segala puji-pujian buatMu, Sarina bertasbih dalam hati. Terasa luka di hatinya makin sembuh. Terasa kekosongan di jiwanya makin terisi.

Sarina melabuhkan punggungnya di perdu sepohon pokok yang rendang. Terbayang-bayang di ruang matanya saat dia berlari-lari anak menyusuri titian permatang. Berlari-lari sambil memerhatikan ikan -ikan sawah yang bebas berenang, menyelit-nyelit antara rumpunan padi. Kemudian, datang pula sahabat rafiqnya, Nurul, mengejarnya dari belakang, mengacah-acah untuk menolaknya masuk ke dalam sawah. Masing-masing melompat pantas, saling elak-mengelak, beraksi persis ratu -ratu Silat Cekak Ustaz Hanafi.

Mereka lalu lari berkejar-kejaran di atas permatang, menjerit-jerit sambil tertawa riang. Akhirnya….debuusssshhhhh!!!! Mereka sama-sama tergelincir ke dalam petak sawah. Ketawa mereka pecah lagi. Kemudian, sekuat-kuat tenaga mereka mengocak air di sawah. Terkekeh-kekeh mereka ketawa melihat wajah masing-masing yang comot bersalut lumpur, daripada hujung rambut hinggalah ke hujung kaki.

Apabila hujan turun, mereka sama-sama membuat pesta mandi di bawah siraman air yang sejuk menggigil. Apabila kesejukan, lekas-lekas mereka lari bergandingan tangan mencari tempat berteduh, lalu duduk berpelukan. Apabila sang mentari mula memancarkan sinarnya di balik awan, mereka sama-sama membilang warna-warna pelangi….

Sarina menyeka air hangat yang mengalir deras menuruni pipinya yang putih gebu. Setiap kali teringatkan Nurul, empangan air mata itu pasti pecah, membanjiri birai matanya yang makin membengkak. Fikirannya mula menerawang ke masa lalu…

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Ina…!! Ina..!! Tahniah buat kita….tahniah…!!!” Laungan nyaring seorang gadis benar-benar membuatkan Sarina tersentak. Terkejut benar dia. Nasib baik jantungnya tidak terhenti serta-merta. Dia pantas menoleh ke belakang. Dari jauh kelihatan seorang gadis lengkap bertudung litup berkain batik lepas warna merah terkedek-kedek berlari ke arahnya. Sarina kenal betul gadis itu. Nurul namanya, sahabat rafiqnya sejak dari kecil lagi.

“ Ina…!!! Aku ada berita baik untuk kita….!!! Kau nak dengar tak..???!!!” jerit Nurul lagi.
“ Ya…ya…aku taauuu….Kalau ia pun cuba bawa bertenang. Kan tak elok perempuan menjerit kat tengah-tengah bendang ni….!” Balas Sarina pula dalam nada separuh menjerit. Nampaknya kali ini dia pun berperangai lebih kurang sahaja dengan Nurul.

“Oooopppsss….sorry…ha!ha..!ha…!!Ahaks..!”
Hilai tawa Nurul memecah kesunyian pagi yang hening. Pantas dia menghayunkan langkah-langkah yang lincah, penuh bersemangat waja bak seorang atlet acara lari pecut 100 meter perempuan kelas A. Lariannya ditamatkan sebaik sahaja dia tiba di batas sawah tempat Sarina berdiri.

“ Hish…kau ni Nurul…tak tau lah aku nak kata apa….Daripada kecil sampai ke besar tak berubah-ubah…Bukankah sekarang ini kita dah meningkat dewasa..?! Hhmmm…hah! Apa bendanya yang kau seronok sangat nak beritahu aku tu??!!” Sarina mula bertanya setelah penat membebel. Tangkas sungguh dua ulas bibirnya yang mungil itu melemparkan bicara demi bicara yang mungkin,..atau setidak-tidaknya mampu membuatkan sahabat karibnya itu berkecil hati.

“ Yelah….yelah…aku taulah siapa aku ni…Dah tua-tua pun perangai macam budak-budak tadika. Helleh..! kau seorang sajalah yang kononnya matang…” rajuk Nurul pula.

“ lah…ke situ pulak dia…Aku tak maksudkan yang macam tu lah..! Eeiii…kau ni…geramnya aku….!” Balas Sarina dengan suara yang agak tinggi. Tangan kanannya pantas mencuit mesra hidung Nurul sementara tangan kirinya pula mencekik-cekik leher sahabatnya itu.

“ Adooii…adoiii…tolong…..!!!ha..!ha..!!haa…!!Ahaks..!” Nurul mengacah-acah menjerit meminta pertolongan. Suasana hiruk-pikuk itu diselang-selikan dengan gelak ketawa mereka berdua. Nurul kembali mengulangi perangai keanak-anakannya dengan ketawa besar sehingga tergolek-golek di atas tanah. Geli betul hatinya. Sarina hanya mampu tersenyum melihat sahabatnya itu.

Saat itu dirasakannya dirinyalah orang yang paling bahagia kerana dipertemukan Tuhan dengan seorang sahabat seperti Nurul. Nurul sememangnya seorang yang riang gembira dan pandai mengambil hati. Acap kali lawak yang dibuatnya mencuit hati Sarina. Sepanjang perkenalannya dengan Nurul, belum pernah mereka bermasam muka, apatah lagi bertikam lidah. Bukanlah hendak dinafikan bahawa mereka tidak pernah bergaduh, atau tersalah faham…tetapi bagi mereka, perkara sebeginilah yang menjadi asam garam dalam persahabatan, menambah kemanisan dalam persaudaraaan.

Sarina memandang sayu sahabatnya yang masih belum puas-puas ketawa itu. Ditatapnya wajahnya dalam-dalam, seakan-akan tidak mahu kehilangannya. Sesungguhnya Sarina amat menghargai persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama itu. Dalam diam dia mengucapkan syukur kepada Tuhan yang telah mengurniakan nikmat kasih sayang antara mereka, kasih sayang sesama saudara seIslam.

Dalam tak sedar juga dia bertahmid kepada Allah, yang telah menyempurnakan fitrahnya sebagai seorang manusia dengan naluri ingin berteman, ditambah pula dengan kehadiran seorang sahabat yang sehati sejiwa, pengubat luka di kala duka.

Teringat dia akan tulisan seorang tokoh mujaddid Islam, as-Syeikh al-Imam Hasan al-Banna, yang mana beliau menerangkan bahawa tahap paling rendah tingkatan ukhwah itu ialah apabila seseorang itu mampu berlapang dada dan bersangka baik tehadap saudaranya, manakala tahap paling tinggi tingkatan ukhwah itu pula ialah apabila seseorang itu mengutamakan keperluan saudaranya melebihi keperluan dirinya sendiri.

Kerana itu Sarina amat menyayangi saudara seIslamnya, Nurul. Kerana itu juga Sarina berazam untuk menerapkan nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama dalam persahabatan mereka. Dia sedar bahawa merekalah mujahidah Islam, penyambut seruan dakwah Rasulullah s.a.w. sejak zaman-berzaman, buat penyambung generasi warisan masa hadapan.

“Haa…! Ni yang aku nak beritahu kau ni. Emmm…tahniah Sarina..tak lama lagi kita akan terbang di awan biru..! Kita berjaya Ina..! Kita berjaya..! Kita telah diterima melanjutkan pelajaran di luar negara…!” jelas Nurul dengan penuh semangat dan panjang lebar. Senyumnya makin lebar dan meleret-leret, menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

“ Iya ke Nurul?! Alhamdulillah…syukur kita kepada Allah…Tahniah juga buat kau Nurul…!” sahut Sarina pula penuh kegembiraan. Dirangkulnya Nurul erat-erat dan mereka saling berdakapan. Menitis air mata kedua-duanya mengenangkan nikmat dan rezeki Tuhan yang tidak putus-putus ke atas mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya, Maha Pemurah. Benarlah kalamullah yang mafhumnya:

“ Sekiranya kamu bersyukur akan aku tambahkan (nikmat) lagi untuk kamu, dan sekiranya kamu kufur maka sesungguhnya azabKu amat pedih…”

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Jarak waktu untuk mereka bertolak hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Segala persiapan semuanya telah pun selesai dibuat. Selain barang-barang keperluan yang sememangnya perlu dibawa, al-Quran, Ma’thurat dan Majmu’ Syarif juga ada dibawa bersama. Begitu juga dengan pakaian. Baju kurung, jubah, stokin dan mini telekung sudah sedia dilipat kemas dan disusun rapi di dalam beg.

Walaupun bakal menempuh kehidupan di rantau orang, mereka tetap berazam untuk mengekalkan corak pakaian yang Islamik, yang terkenal dengan kekemasan dan kesopanannya, di samping menambahkan lagi keayuan si pemakai. Aduh, kan sejuk mata memandang jikalau semua Muslimah berpakaian sebegini. Mudah-mudahan…Semoga Allah perkenankan pintaku ini…doa Sarina dalam hati.

Sebaik sahaja tiba hari yang dijanjikan, masing-masing bersiap untuk bertolak. Tidak sabar-sabar rasanya hendak memulakan perjalanan. Sarina tampak begitu manis berbaju kurung sutera biru air laut dipadankan dengan tudung labuh berwarna biru muda dengan sulaman bertekat benang emas. Tidak kurang juga dengan Nurul. Dia nampak lebih matang berbaju kurung moden dengan warna tanah hijau tua, diserikan lagi dengan tudung berwarna kuning krim. Masing-masing membuka langkah dengan penuh keyakinan menuju ke perut kereta. Dalam hati, tidak putus-putus mereka memohon rahmat dan barakah daripada Allah agar sentiasa memayungi mereka di sepanjang perjalanan nanti.

Kereta mula bergerak secara konvoi perlahan-lahan meninggalkan kampung halaman. Terasa sayu rasanya. Sayup-sayup kelihatan saudara-mara dan penduduk kampung yang tidak ikut serta melambai-lambai ke arah mereka. Terharu juga mengenangkan kedua-dua ibu bapa yang bersusah payah menghantar mereka ke airport, dengan iringan doa dan harapan, moga-moga mereka beroleh segulung ijazah dan mampu berkhidmat untuk kemaslahatan ummah suatu masa nanti. Perjalanan ke airport dirasakan begitu jauh. Suasana sunyi sepi mencengkam jiwa. Tiada seorang pun yang mampu bersuara. Masing-masing khusyuk melayan perasaan sendiri. Hanya kedengaran deruan kenderaan yang mengaum-ngaum di ibu kota.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *

Di balai berlepas…..

“ Nurul, kau tahukan tak lama lagi kita akan berpisah. Aku akan ke California dan kau akan ke New York. Jarak antara kedua-duanya bukannya dekat. Kita terpaksa membawa haluan sendiri. Sebab itulah sebelum berpisah. Aku ada beberapa perkara yang nak dikongsi bersama….” Sarina bersuara perlahan. Digenggamnya tangan Nurul erat-erat.

“Apa dia I..Ina…?” Nurul bertanya. Tersekat-sekat suaranya manahan sebak di dada.

“Nurul…kita dah lama berkawan. Secara jujur. Aku berani mengatakan bahawa aku menyayangi kau sebagai seorang sahabat ikhlas kerana Allah. Bagi aku, kaulah sahabat sejatiku dunia dan akhirat…Kerana itu Nurul, kalau boleh aku berhasrat untuk berkongsi beberapa perkara. Pertamanya, kau tahu bahawa kita akan menempuh hidup di negara yang penuh dengan cabaran arus kemodenan. Aku bimbang ada antara kita yang hanyut dalam mengharungi arus tersebut.

Ingatlah Nurul, kita bukannya nak mengikut atau menentang arus, tetapi kita perlu meniti arus itu. Kerana itu Nurul, kita perlu beramal ikhlas kerana Allah. Di mana-mana pun kita berada, hanya Allah sahajalah dalam ingatan kita. Janganlah sekali-kali kita menjadi hipokrit kepada diri kita sendiri…” Sarina bersuara sayu. Matanya redup memandang wajah Nurul. Padanya jelas terlukis garis-garis kedukaan. Suasana sepi seketika. Kemudian, Sarina menyambung lagi.

“Kedua, walau sesibuk manapun kita, jangan walau seharipun kita tinggalkan Al-Qur’an. Teruskanlah perjuangan kita dalam memahami isi kandungannya. Yakinlah pada Al-Qur’an itu ada sumber kekuatan dan motivasi. Nurul, di sana nanti kita akan duduk berjauhan….terlalu jauh. Sekiranya engkau berasa sukar dalam kehidupan, renungilah ayat-ayat Allah bahawa Dia sentiasa berada di sisi hamba-hambaNya yang bertaqwa. Sekiranya engkau berasa sedih, tatapilah ayat-ayat Allah yang menjanjikan ganjaran syurga buat hamba-hambaNya yang beriman. Sekiranya engkau mampu, luangkanlah sedikit masa emasmu untuk menghafaz ayat-ayat Al-Qur’an. Oleh itu, di manapun kita berada, Al-Qur’an itu sudah tersedia dan sentiasa tersemat di dalam dada…”

“Yang ketiga, ingatkah kau sahabatku bahawa Rasulullah s.a.w. pernah besabda: Sesungguhnya tiada fitnah yang lebih besar untuk kaum lelaki selepas kewafatanku melainkan fitnah yang datang daripada kaum wanita. Kerana itu sahabatku, jagalah dirimu baik-baik nanti. Selama ini pun kita tak pernah bergaul terlalu bebas dengan insan yang berlainan jantina. Aku cukup bimbang ada antara kita yang tersasar apabila kita berada di negara orang nanti. Kita perlu berhati-hati kerana inilah antara permasalahan yang terbesar yang membelenggu belia di peringkat umur seperti kita. Pertahankanlah maruah dan harga diri seorang hamba Allah dan muslimah sejati. Sekalipun kau dilanda kesunyian, maka pohonlah kepada Allah agar dihiburkan kesunyian itu dengan kasih sayang daripadaNya…Sahabatku, tetaplah berpegang pada tali Allah yang kukuh…kerana kalaupun kita ditakdirkan mati dalam perjalanan kita ini, sekurang-kurangnya kita mati dalam cita-cita mujahid, dalam jihad fisabilillah…” Sarina terhenti setakat itu. Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya. Banyak lagi perkara yang terbuku di hatinya tetapi apakan daya…dia tidak mampu meluahkannya. Airmata yang deras mengalir tidak dapat ditahan-tahan lagi. Terasa sebak jiwanya menahan sendu. Air mata itu mengalir bukanlah kerana dia menangisi sebuah perpisahan, tetapi air mata itu mengalir kerana mengenangkan masih mampukah dia untuk terus kekal sebagai hamba Allah, muslimah sejati di masa-masa akan datang?!

“ Ina….terima kasih aku ucapkan atas pesanan-pesanan kau yang penuh hikmah itu…Doakanlah yang terbaik buat kita….Semoga Allah memberikan kepada kita kekuatan untuk memiliki sekeping hati yang suci….” Balas Nurul. Terkebil-kebil matanya memerhatikan Sarina. Melihat Sarina menangis, gugur jua air matanya.

Selama ini Sarinalah yang banyak membimbingnya agar menjadi wanita yang berjiwa murni, setanding dengan wanita-wanita muslimah yang berjuang di awal-awal kegemilangan Islam dahulu. Dia sedar bahawa azam itu tidak cukup sekadar pada kata-kata, tetapi ia perlu kepada amal dan perbuatan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Setelah dua tahun berlalu….
“ Hello….Ina! Ini aku ni Nurul…!”

“ Waalaikumussalam….”.

“ Yelah..yelah…assalamualaikum Cik Sarina..Ina…dah dekat dua tahun aku tak jumpa kau. Kau apa khabar sekarang?!”.

“ Waalaikumussalam….aku…alhamdulillah…sihat…Kau pulak macam mana?”.

“ Aku…biasalah…lebih advance…ha..!ha..!ha…!ahaks..!”.

“ Advance?!! Apa maksud kau..?!”

“ tak ada apa-apalah…aku gurau saja…Ina, macam ni…Aku bercadang nak lawat kau minggu depan. Aku rindu sangat kat kau. Aku nak travel by car ke sana…”.

“ What?! Travel by car?!! Ishhhh…tak logik…tak logik….terlalu jauh. Bahaya nanti Nurul. Aku nasihatkan kau naik flight saja…”.

“ Alah….bolehlah…Aku dah janji dengan 3 orang member aku nak travel sama-sama…Bolehkan?!”.

“ Member?! Siapa member kau tu?!”

“ Alah…siapa mereka tu tak penting. Yang penting aku ke tempat kau nanti taklah seorang-seorang…”.

“ Nurul….aku dengar khabar kau agak berlainan sekarang.Berlainan yang macam mana tu aku tak tahulah…tapi, sebagai sahabat aku cuma nasihatkan yang terbaik buat kau. Dan kalau kau masih berdegil juga nak travel by car, terpulanglah pada kau…”.

“ Ha…macam tulah kawan…oklah, kalau ada apa-apa nanti aku call kau semula, ok?! Bye…!”

Tup! Talian dimatikan. Sarina menggeleng-gelengkan kepala. Terasa olehnya ada sesuatu yang menggoncang tali persahabatannya, dan ada badai yang menghempas istana persaudaraannya. Hati kecilnya semakin takut sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Sesuatu yang pernah diwasiatkan kepada Nurul dua tahun yang lalu…ah! Tidak wajar dia membuat andaian kosong. Lekas-lekas ditepisnya sangkaan-sangkaan buruk yang menghantui benaknya itu jauh-jauh.

* * * * * * * * * * * * * * * * *

Ish…ke mana pulak si Nurul ni. Tak sampai-sampai lagi…kalau diikutkan sepatutnya sekarang ni dah lama dia sampai…Rengus Sarina sendirian.

Matanya tak henti-henti menjeling ke arah jam di dinding. Dari saat bertukar minit, dari minit bertukar jam…belum juga sampai-sampai lagi. Makanan yang terhidang dah mula sejuk. Sarina lantas bangun dan berjalan mundar-mandir di sekitar kawasan rumahnya. Batang hidung Nurul tak juga muncul-muncul. Bayangnya pun tak nampak-nampak. Sarina makin resah. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Degup jantungnya kian terasa. Fikirannya mula mencongak-congak memikirkan sesuatu yang buruk mungkin berlaku.

“ Kring..Kringgg…!!! Telefon berbunyi. Sarina bergegas mencapai gagang.

“ Assalamualaikum…” lancar mulutnya menuturkan kalimah sejahtera sebaik sahaja gagang sampai ke telinganya.

“ Waalaikumussalam…Sarina, saya ada perkhabaran yang kurang baik. Saya harap awak bertenang dan banyak-banyaklah bersabar….” sahut satu suara dari corong telefon.

“ Berita kurang baikkk…??!!! Apa dia..??!!!” Sarina segera mencelah. Tak sabar-sabar dia menunggu. Nada cemas jelas kedengaran pada suaranya.

“ Begini…kereta yang dinaiki Nurul dan kawan-kawannya accident…Keadaannya terlalu parah. Dia kini berada di hospital. Kalau ada harapan…mungkin awak sempat bertemu dengannya…”.

“ Apa?!! Nurul accident?! Ujar Sarina seakan-akan tidak percaya. Hampir terjelepok dia di atas lantai. Gagang telefon terlepas dari genggamannya. Terasa ada air hangat yang mengalir deras menuruni pipinya. Perasaan pilu, bercampur baur antara sedih dan ragu-ragu. Terasa sukar untuk dia menerima hakikat berita yang terlalu memilukan itu. Benarlah tekaan yang bermain-main di fikirannya selama ini bahawa sesuatu yang buruk menimpa sahabat rafiqnya itu. Ya Allah…berikanlah hambaMu ini kekuatan…rintih Sarina dalam hati.

Dengan saki baki tenaga yang ada, Sarina pantas mencapai anak kunci kereta. Diluncurkan keretanya laju menghala ke jalan raya. Matanya tidak kering-kering dibasahi air jernih yang makin deras mengalir. Makin dikesat air matanya, makin laju pula ia mencurah-curah keluar. Sarina sedih mengenangkan takdir yang menimpa sahabatnya. Dia makin terharu bila teringatkan kata-kata Nurul yang dia terlalu merindui dirinya. Sarina ingin segera tiba di hospital. Tak sabar-sabar dia ingin bertemu sahabatnya itu. Sebaik sahaja kereta memasuki pekarangan hospital, lekas-lekas dia mencari tempat parking. Enjin segera dimatikan. Pantas dia mengatur langkah-langkah yang longlai menuju ke bilik Nurul ditempatkan.

Dari jauh kelihatan Nurul terbaring lesu. Tidak bergerak. Dia disahkan koma. Wayar-wayar berselirat di seluruh tubuhnya. Benarlah kecederaan yang dialaminya amat parah. Jantungnya gagal berfungsi dengan baik. Dia kini terpaksa bergantung hidup sepenuhnya dengan bantuan life supporting machine. Sarina melabuhkan punggungnya di sisi katil Nurul. Diusap-usapnya lembut rambut sahabatnya itu. Pilu sungguh hatinya. Di hadapannya sekujur tubuh yang dulunya lincah beraksi kini terbujur kaku. Rindu sungguh dia pada Nurul yang dahulu, yang pernah dikenalinya suatu masa dahulu.

Sekalipun dipanggilnya Nurul, tak mungkin sahabatnya itu akan menyahut. Dia kini ibarat bangkai bernyawa. Hampir mati. Ah! Sarina tidak kisah itu semua. Dia tidak kisah sahabatnya itu terbaring kaku asalkan dia itu masih lagi diistilahkan hidup, sekalipun dengan bantuan life supporting machine.

Nurul…aku datang Nurul…Bukalah matamu. Bukankah kau sangat merinduiku? Sarina mengharap dalam hati. Penat dia menunggu sahabatnya itu membuka mata dan tersenyum padanya. Penantian ini terlalu seksa buatnya…terlalu perit…ibarat menanti buah durian yang tak mungkin gugur….

* * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Sarina terduduk setelah mendengar maklumat lanjut mengenai kemalangan itu. Air matanya sudah kering untuk dia menangis lagi. Hanya tinggal cebisan-cebisan hatinya sahaja yang parah menanggung duka. Sarina dimaklumkan oleh sahabat serumah Nurul bahawa dia telah keluar pada pagi hari kejadian bersama seorang rakan perempuan dan 2 orang lelaki. Seingat Sarina, Nurul belum pernah berkahwin dan dia pasti mereka itu bukan pasangan suami isteri. Masya-Allah Nurul…kau hanyut jua akhirnya…Moga-moga Allah ampunkan dosa-dosamu. Kemudian, Sarina dimaklumkan lagi bahawa Nurul dan kawan-kawannya tidak terus memandu ke tempatnya, sebaliknya mereka membelok mengambil jalan lain untuk memasuki tempat perjudian terbesar di dunia, Las Vegas. Hampir terkedu Sarina mendengar berita itu. Payah untuk dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

Nurul…patutlah kau beria-ia nak pandu kereta ke sini…rupa-rupanya kau juga ada hasrat lain selain ingin bertemu aku. Nurul…tak ingatkah kau pada janji-janji kita 2 tahun yang lalu?! Oh..Nurul…singkat sungguh pemikiranmu! Sarina merintih dalam hati. Sahabat Nurul menjelaskan lagi bahawa memang telah lama Nurul memberitahu bahawa dia teringin untuk ke sana. Menurut Nurul, bukannya dia ingin turut serta berjudi di situ…tidak! Dia masih lagi kenal antara dosa dan pahala. Dia cuma ingin melihat-lihat sahaja bagaimanakah rupanya bandar yang dikatakan pusat perjudian yang terbesar itu. Dan…ditakdirkan hari itu empat orang insan menyaksikan kebenaran janji-janji Allah dalam Al-Qur’an, bahawa:
Dan sekiranya engkau kufur, maka sesungguhnya azabKu amat pedih…Pada waktu itulah janji Allah datang.

Kereta mereka hancur, habis remuk dirempuh sebuah jip yang dipandu oleh seorang ‘mat saleh’yang mabuk. Disangkanya dia telah menekan brek, rupa-rupanya dia telah tersilap lalu tertekan pedal minyak. Tiga orang sahabat Nurul mati serta-merta di tempat kejadian. Cebisan-cebisan daging bercampur baur dan berserakan di sana sini. Daging-daging mereka dimasukkan ke dalam karung hitam dan dibahagikan begitu sahaja kerana tidak bisa dikenal pasti siapakah pemiliknya.

Sarina teringat kata-kata Ustaz Azman kepadanya suatu ketika dahulu bahawa semulia-mulia manusia itu darjatnya melebihi para malaikat dan sehina-hina manusia itu lebih hina daripada binatang. Sarina segera beristighfar dalam hati. Begitulah Allah menunjukkan kebesaranNya bagi kaum yang ingkar dan kebenaran akan janji-janjiNya. Bagi Nurul pula, sungguhpun dirinya cedera parah, dia terselamat kerana tercampak keluar. Sekali lagi Sarina terharu mengenangkan kasih sayang dan rahmat Allah. Mujur Nurul tidak menerima padah seperti sahabat-sahabatnya yang lain. Moga-moga dia sempat bertaubat kepada Allah….

* * * * * * * * * * * * * * * * *

Sarina datang lagi untuk melawat Nurul di hospital. Bertambah baikkah dia..atau..bertambah parahkah dia..? Sarina mula mencongak-congak dalam hati. Sebaik sahaja tiba di sisi katil Nurul, dilihatnya seorang pegawai yang menjaga kebajikan pelajar Malaysia berkata sesuatu kepada doktor. Sarina lantas memasang telinga.

“ Actually… we can’t afford this kind of treatment for her. It costs us quite a lot of money. If she is not recovered in 3 days, you have to remove the machine…” tegas bunyinya suara pegawai itu. Sang doktor hanya mengangguk-angguk sahaja, seakan-akan sudah tahu bahawa harapan Nurul untuk sembuh sememangnya tipis.

Sarina terkedu mendengar kata-kata pegawai itu. Dialihkan pandangannya ke wajah Nurul. Oh! Ya Allah…ada air jernih yang mengalir dari kedua-dua matanya yang terkatup rapat. Nurul…rupa-rupanya kau dengar Nurul..oh..Nurul…Apakah yang mampu aku lakukan. Kalau boleh ingin saja rasanya aku merayu pada pegawai itu agar dipanjangkan tempoh rawatan ini kerana kau mungkin sembuh..Tapi, apakan dayaku Kerajaan Malaysia tak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi ini….Lekaslah sembuh, Nurul…lekaslah..Kita masih ada peluang 3 hari lagi…Sarina mengharap dalam hati.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *

Kini telah tiga hari berlalu. Nurul tidak juga membuka kelopak matanya. Di hadapan mata Sarina doktor dan jururawat bekerjasama mengalihkan mesin penyambung hayat. Wayar-wayar yang berselirat semuanya dicabut dan dibuka. Kini, di pangkuan Sarina Nurul pergi menghadap Ilahi.

Sarina menyaksikan sahabatnya itu kembali ke rahmatullah…kembali menghadap persoalan-persoalan Munkar dan Nakir…Sesungguhnya ajal tidak pernah mengenal usia. Apabila ia tiba, tidak sesaatpun daripadanya dipercepatkan dan tidak sesaatpun daripadanya diperlambatkan oleh Tuhan. Dikucupnya kening sahabatnya itu buat kali terakhir. Dia pasrah menerima ketentuan Ilahi. Allah lebih menyayangi sahabatnya itu. Biarpun dia kehilangan seseorang yang terlalu istimewa buat dirinya, dia yakin bahawa Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Bak kata pepatah, yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti. Segala-gala yang menimpa Nurul dijadikannya sebagai iktibar.

Pesan Ustaz Azman masih lagi terngiang-ngiang di telinganya, bahawa seorang Muslim yang baik itu juga ialah seorang yang apabila dia melihat sesuatu musibah menimpa orang lain, kemudian diambilnya peristiwa itu sebagai iktibar dan teladan buat dirinya, sebelum dirinya sendiri ditimpa bala bencana seperti itu. Nurul…kau pergi dulu Nurul..Tiba masanya nanti aku pula akan menyusuli pemergianmu…Semoga Allah menerima taubatmu, Sarina berkata-kata lagi dalam hatinya.

* * * * * * * * * * * * * * * * *

“Kak Ina…! Kak Ina..! Mak kata udah lah tu…Mak suruh balik makaaaannnnn….!!!!” Sarina tersentak oleh laungan adik bongsunya.

“ Ok..ok…kejap lagi Kak Ina balik ya dik?!” Sarina menjawab panggilan adiknya itu, tanda bersetuju. Dia melepaskan pandangannya ke arah sawah yang banyak meninggalkan kenangan-kenangan manis antara dia dengan Nurul. Sawah yang pernah menjadi saksi akan terjalinnya sebuah persahabatan yang kukuh, yang dibina kejap atas dasar ukhwah yang suci dan murni…Sawah yang pernah menjadi tapak dua insan bersatu hati, mencipta kegemilangan hari demi hari masa demi masa tahun demi tahun…………………….

 

  Umum


Komen


"Permatang Kasih" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.351921 saat. Lajunya....