Array
Welcome To Portal Komuniti :: Ukhwah.com

  Create An Account Home  ·  Topik  ·  Statistik  ·  Your Account  ·  Hantar Artikel  ·  Top 10 29-06-2022  

  Login
Nickname

Password

>> Mendaftar <<

  Mutiara Kata
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
-- al-Baqarah: 286

  Menu Utama

  Keahlian Ukhwah.com
Terkini: navratan
Hari Ini: 0
Semalam: 0
Jumlah Ahli: 43152

  Sedang Online
Sedang Online:
Tetamu: 37
Ahli: 0
Jumlah: 37




  Yang Masuk Ke Sini
muslimin23: 16 hari yang lalu
Daeng_Jati: 36 hari yang lalu
Kang: 40 hari yang lalu

Isu Globalisasi dan Impaknya kepada Identiti Muslim
 Posted on Isnin, 05 Julai 2004 @ 21:38:33oleh Hanan
Umum teman_siber menulis Apakah dia globalisasi? Ahmad seorang pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur. Setiap hujung minggu dia berjumpa dengan kawan-kawannya untuk lepak dan berjalan-jalan di bandar. Tempat pertemuan mereka ialah di restoran MacDonalds di Ampang Park. Di sana mereka akan makan dan sembang-sembang sebelum pergi menonton wayang atau window shopping di plaza membeli-belah. Di MacDonalds mereka dapati ada satu birthday party ala MacDonalds dengan Ronald MacDonalds, si badut sarkis yang juga merupakan maskot MacDonalds. Kanak-kanak yang berada di majlis tersebut semuanya memakai topi tiga-segi yang bermacam warna, sebagai simbol sedang berseronok di samping kanak-kanak lain. Anak kecil yang menjadi tumpuan mereka adalah anak Melayu Muslim di kalangan masyarakat pertengahan di Malaysia. Kek diberikan oleh MacDonalds dengan lilin di atasnya untuk ditiup oleh si penyambut harijadi. Kemudian kek dipotong dengan sorakan dan tepuk tangan oleh mereka yang hadir. Bagi para hadirin yang lain mereka dijamu dengan burger MacDonalds dan minuman ringan.

Ahmad dengan rakan-rakannya memerhatikan daripada jauh tanpa dijemput. Mereka menghabiskan burger mereka dan kemudian ke cinema untuk menonton filem Jurassic Park III yang baru keluar di panggung Malaysia. Untuk menyedapkan penontonan, air coca-cola dan popcorn dibeli di luar panggung. Sebelum bermulanya cerita, iklan Carlsberg dan Anchor Beer ditayangkan berkali-kali bersama mesej pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dengan si perempuan memakai mini skirt dan mendedahkan sebahagian daripada dadanya.

Ahmad menonton dengan tidak mempunyai apa-apa perasaan, ada di kalangan rakannya mengusik dengan mengatakan seksinya.. Kemudian filem dimulakan dengan segera. Filem dari Hollywood memang terkenal dengan adegan yang mencemaskan dan special effects yang hebat. Penonton semuanya merasa puas dengan filem Hollywood yang baru ditonton.

Selepas keluar panggung, mereka menuju kompleks membeli-belah. Dalam perjalanan ke kompleks mereka ternampak poster filem Melayu. Semua rakannya mengkritik dengan keras mutu filem melayu, tidak ada special effects lah, kurangnya pendedahan tubuh, jalan cerita yang simplistiklah dan pelbagai kritikan tajam yang lain yang menjatuhkan filem melayu. Namun kata sahabatnya, sekiranya ia dilakoni oleh Erra Fazira atau Siti Nurhaliza, mahu jugak aku tengok! Semuanya ketawa terbahak-bahak.

Di kompleks membeli-belah mereka melihat dan membelek-belek jeans Barat yang terbaru daripada Levis, Lee, Wrangler dan Lee Cooper, sambil melihat kasut but seperti Caterpillar, Dr Cardin dan lain-lain. Mereka tidak melihat but atau seluar jeans Malaysia apalagi kasut getah atau seluar yang bukan jeans.

Begitulah aktiviti mingguan si Ahmad dan rakan-rakannya. Ia juga berlaku kepada hampir semua golongan muda Malaysia dalam linkungan umur 16 hingga 25 tahun.

Inilah kesan dari globalisasi. Mari kita lihat dengan lebih mendalam aktiviti Ahmad. Kita dapati semuanya merupakan budaya yang telah dibawa oleh Barat ke dunia Islam. Budaya MacDonalds yang dilihat pada majlis birthday membawa mesej yang bertentangan dengan budaya kita.. Birthday party tersebut adalah carbon-copy dari majlis harijadi oleh keluarga di Barat. Pemakaian topi tiga-segi, kek, peniupan lilin dan sebagainya merupakan budaya yang asing yang telah berjaya diglobalisasikan oleh restoran-restoran Barat seperti MacDonalds, KFC dan lain-lain. Burger itu sendiri didatangkan dari Barat, namun ia sudah diterima oleh masyarakat Malaysia dengan mudah bahkan ada syarikat-syarikat tempatan yang menghasilkan daging burger untuk jualan di pasaran. Sehinggakan burger sekarang sudah menjadi salah satu makanan utama rakyat Malaysia. Pelik dan mengejutkan namun ia adalah kenyataan. Jika dilihatkan bekas-bekas siswa yang pulang dari Amerika atau Eropah, semuanya membuka gerai burger, sekiranya tidak mendapat pekerjaan atau menganggur. Daripada membuka gerai pisang goreng atau gerai roti canai, kebanyakannya membuka gerai burger atau makanan western dan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat. (termasuk yang membuka gerai roti Khurasan atau mi Bandung!)

Budaya filem Barat yang membanjiri masyarakat di panggung-panggung dan juga di luar panggung seperti penjualan VCD dan video menyebabkan masyarakat sudah mabuk dengan filem Barat. Mabuk dengan erti kata sekiranya filem tempatan tidak setanding atau tidak setara dengan filem Barat, ia akan dikritik dengan hebat. Filem merupakan arena yang paling mudah untuk menyebarkan nilai-nilai moral kepada masyarakat. Justeru, para intelektual Barat telah mengkaji bagaimana untuk menguasai masyarakat dengan filem. Di dunia Timur juga, filem memainkan peranan penting dalam menghibur masyarakat dan mengaju suatu mesej tertentu untuk pentarbiyahan masyarakat. Seperti Mao Tze Tung di China dengan revolusi budayanya, filem Hindi yang digunakan untuk menghibur orang-orang Hindu di India, filem Iran yang ‘mendoktrinkan’ jihad dan syahid, nilai kekeluargaan dan sebagainya.

Namun Hollywood dan filem Barat lebih daripada itu, mereka mahukan agar filem-filem boleh menyampaikan budaya mereka untuk kemudahan mereka menjual produk-produk Barat kepada dunia ketiga - yang kebanyakannya merupakan negara Islam. Suata ketika saya berada di Masjid Nabawi di Madinah, tiba-tiba masuk waktu solat. Kemudian tanpa saya sedari tiga orang pemuda pada umur 14 hingga16 tahun datang ke sebelah saya untuk solat. Kami semuanya solat. Selepas solat dan memberi salam saya dapati mereka memakai T-shirt American Football Dallas Cowboys, topi New York Yankees, jam Casio, dan semuanya memakai seluar Levis! Betapa Barat sudah berjaya menembusi pemikiran pemuda Islam sehinggakan sekiranya mereka tidak memakai pakaian Barat, ia adalah dianggap ‘orang darat’.

Keluar dari masjid Nabawi, ada gerai-gerai yang baru didirikan (kerana ketika saya di sana pada 1996 ia masih tidak ada) yang menjual burger dan pizza. Gerai menjual kebab sudah diletakkan di belakang dan untuk mencapainya kita perlu melalui gerai makanan Barat tersebut. Bau pizza yang harum mengajak para tetamu Rasulullah untuk menikmatinya.

Di Makkah, dalam kawasan haram sudah ada restoran KFC dan MacDonalds dengan staf yang memakai tudung dan lelaki yang berjambang menjualnya. Makanannya sudah tentu halal. Dua tahun yang lalu, sudah kedengaran adanya sebuah kedai seks yang dibuka di Makkah untuk menjual barang-barang untuk suami dan isteri dalam perhubungan mereka. Walaupun ada ulama yang membangkang, ada juga ulama yang menyokong dengan alasan ia adalah untuk kebahagiaan rumahtangga.

Malangnya, globalisasi bukan hanya membawa produk kepada masyarakat Islam, ia juga membawa kesan ideologi seperti sistem nilai yang asing, budaya yang bertentangan dengan budaya Timur dan sebagainya. Budaya ini perlu dikaji dengan mendalam agar kesan negatifnya dapat dilihat dan dikesan dalam masyarakat Muslim hari ini.

Ia juga membawa semacam suatu perasaan kepada generasi muda bahwa sekiranya ingin maju dan berjaya, kita harus menjamah makanan Barat dan memakai pakaian Barat. Makanan seperti burger MacDonalds dan Coca-cola sudah menjadi lazim di dalam masyarakat kita hari ini. Bahkan di depan pintu masuk ke Universiti Malaya dahulu pernah diwujudkan restoran MacDonalds. Alat muzik seperti gitar dan drum sudah dikenali oleh generasi muda kita sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Alat muzik tradisional seperti gambus, gamelan dan lain-lain sudah tidak dikenali malah dianggap kolot oleh sebahagian masyarakat. Perkataan seperti ‘tak rock lah’, ‘F*** You’, dan lain-lain sudah menjadi sebahagian dari bahasa yang digunakan oleh generasi muda dalam komunikasi harian mereka. Gambar pelakon-pelakon filem asing terpampang di bilik-bilik dan di baju juga di buku-buku! Dari aspek nilai, ramai yang tidak mengambil kisah ke atas apa yang dilakukan oleh orang lain. Budaya individualistik dan nafsi-nafsi semakin menebal di kalangan remaja hari ini.

Adakah ini semua perlu disalahkan keatas kerajaan kerana membenarkan budaya-budaya asing masuk ke negara? Atau ia disebabkan identiti Islam kita yang lemah yang menyebabkan cepatnya generasi muda menyerap budaya luar hingga ke akar umbinya? Mungkinkah ini yang dikatakan oleh pembangkang apabila mengkritik dasar modenisasi kerajaan?

Tidak semudah itu untuk menuding jari kepada sesiapa. Sebelum menghalakan jarikepada orang lain, baiklah kita menuding ke arah diri kita terlebih dahulu. Kita sebagai intelektual Muslim perlu mengkritik diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengkritik orang lain. Kita sebagai pemimpin, perlu merenung diri kita. Kita sebagai mahasiswa perlu melihat diri kita. Bukankah budaya muhasabah digalakkan oleh Islam. Jika kefahaman agama kita hanya di peringkat ritual mungkin kita tidak akan nampak kepentingan muhasabah kepada aspek ini. Kembali ke persoalan kita, siapa atau apakah yang patut disalahkan?

Masalah ini merupakan suatu masalah yang kompleks kerana struktur dan peranan persekitaran ke atas masyarakat kita hari ini. Masyarakat hari ini bukan lagi sebuah masyarakat yang tradisional. Erti tradisional di sini ialah ia berkembang dengan kadar yang perlahan sehingga untuk menerima perubahan memakan masa bertahun-tahun. Pada hari ini informasi maklumat bergerak secepat kilat atau a click of the mouse. Kita boleh mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku di Amerika dengan merujuk ke internet sahaja. Berita informasi berada di webpage BBC News berubah setiap minit. Beberapa detik, tragedi World Trade Centre tersebar luas. Malangnya bukan hanya informasi berita yang cepat sampai ke pelosok dunia, bahkan informasi muzik, filem dan pelbagai hiburan juga sepantas kilat disampaikan kepada generasi muda melalui internet.

Pemasaran dan penyerapan budaya asing ini adalah secara senyap tetapi membunuh. Akhirnya tanpa disedari ia sudah mempengaruhi cara berfikir dan bertindak generasi muda. Budaya lepak dan budaya black metal yang hangat diperkatakan pada hari ini bukanlah suatu budaya yang mengejutkan sebenarnya. Sebaliknya ia adalah suatu budaya yang sepatutnya dijangka oleh para pemikir di negara. Ia adalah hasil daripada muzik Barat yang dipakejkan bersama dengan budaya si penyanyi itu sendiri.

Kita sendiri pernah mendengar lagu-lagu rock malah banyak kumpulan rock tumbuh bak cendawan selepas hujan pada akhir 80an dan awal 90an namun mengapa mereka ini tidak mengikut budaya black metal yang bermula sejak tahun 70an di Barat? Ini menandakan generasi muda dahulu walaupun mengikut budaya penyanyi dari segi pakaian, gaya hidup yang bebas dan minuman keras namun untuk menentang Tuhan ia adalah sesuatu yang sukar untuk difikirkan apatah lagi untuk dilakukan. Ini menandakan generasi muda akhir 80an dan awal 90an masih mempunyai kesedaran agama walaupun ia hanyalah surface atau sekadar mempercayai bahawa Yang Maha Kuasa adalah Allah atau setiap Muslim harus sembahyang Hari Raya. Namun generasi hari ini yang mengikut black metal sudah hilang identiti tersebut bahkan sampai ke tahap mencaci dan memaki Allah dan juga Rasulullah SAW. Identiti keIslaman mereka sudah hilang, identiti surface yang dipegang oleh generasi dahulu sudah lenyap dan tidak diwarisi oleh generasi muda akhir 90an dan millenium ini.

Ini menandakan identiti keIslaman semakin menipis di kalangan generasi muda walaupun tidak hilang terus. Mungkin ini agak keterlaluan terhadap generasi muda hari ini kerana adalah tidak adil untuk menyamaratakan mereka yang Islamik dan tidak Islamik. Namun hakikatnya budaya black metal adalah petanda awal agar para ilmuan dan aktivis masyarakat untuk bangkit dari tidur yang lena, menganalisis masyarakat kita hari ini dan seterusnya menyembuhkan.

Krisis identiti ini perlu diselesaikan dengan pelbagai langkah yang praktikal seperti menganalisa dan memperbaiki kelemahan identiti terdahulu dan memberi suatu pegangan identiti baru bagi masyarakat Islam pada abad ini. Persoalan Islam perlu diketengahkan ke kancah masyarakat. Hanya dengan Islam sahajalah identiti Melayu itu dapat dikekalkan kerana identiti Melayu berpuncak kepada Islam. Sekiranya Islam itu dibuang dari identiti Melayu akan hilanglah Melayu di dunia ini dan akan muncullah Melayu Amerika, Melayu MacDonalds, Melayu Levis atau Melayu yang terus ‘melayu’....

dipetik: www.pmram.org

 

  Umum


Komen


"Isu Globalisasi dan Impaknya kepada Identiti Muslim" | Login/Mendaftar | 0 Komens
Threshold
Komen di sini adalah hakmilik yang menghantar. Pihak Pengurusan Portal tidak ada kena mengena.






Datacenter Solution oleh Fivio.com Backbone oleh JARING Bukan Status MSCMyPHPNuke Portal System

Disclaimer: Posting dan komen di dalam Portal Komuniti Ukhwah.com ini adalah menjadi hak milik ahli
yang menghantar. Ia tidak menggambarkan keseluruhan Portal Komuniti Ukhwah.com.
Pihak pengurusan tidak bertanggung jawab atas segala perkara berbangkit
dari sebarang posting, interaksi dan komunikasi dari Portal Komuniti Ukhwah.com.


Disclaimer: Portal Komuniti Ukhwah.com tidak menyebelahi atau mewakili mana-mana parti politik
atau sebarang pertubuhan lain. Posting berkaitan politik dan sebarang pertubuhan di dalam laman web ini adalah menjadi
hak milik individu yang menghantar posting. Ia sama-sekali tidak ada
kena-mengena, pembabitan dan gambaran sebenar pihak pengurusan Portal Komuniti Ukhwah.com

Portal Ukhwah
© Hakcipta 2003 oleh Ukhwah.com
Tarikh Mula: 14 Mei 2003, 12 Rabi'ul Awal 1424H (Maulidur Rasul)
Made in: Pencala Height, Bandar Sunway dan Damansara Height
Dibina oleh Team Walasri




Loading: 0.20224 saat. Lajunya....