Kerajaan diminta henti kongkong mahasiswa
Wednesday, July 14 @ 14:12:29 MYT
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Kerajaan diminta tidak mengongkong mahasiswa dengan pelbagai akta dan tekanan bagi memastikan mereka menjadi aset penting pelapis kepimpinan negara.
Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim berkata, beliau bersetuju pendapat Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman Said yang mahu pelajar universiti digilap dan dipupuk menyelesaikan masalah negara.
"Bagaimanapun katanya, pra syarat kepada melahirkan generasi pelapis negara ini tidak ditekankan kerajaan.
Azalina dalam satu laporan akhbar harian baru-baru ini memperkatakan cabaran dalam mendidik pelajar universiti sebagai pewaris kepimpinan negara.
Abduullah berkata pra syarat kepada membina budaya pemimpin di kalangan mahasiswa ialah, pertamanya mahasiswa perlu digilap dengan keutuhan sahsiah dan kematangan intelektualan mereka.
Mutakhir ini, pelbagai sekatan dikenakan ke atas mahasiswa dan juga golongan akademik di universiti, katanya.
Sebagai contoh, beliau mendakwa, dalam pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi lalu, kerajaan bertindak menggunakan kuasa mereka bagi memastikan hanya calon yang pro kepada mereka menang dalam pilihan raya tersebut.
Pelbagai taktik telah digunakan termasuk menggunakan ugutan kepada pimpian mahasiswa, pelajar baru supaya hanya memilih calon Aspirasi Kerajaan, dakwanya.
Berdasarkan itu, katanya, tindakan kerajaan telah mengorbankan kebebasan mahasiswa dalam menentukan pilihan mereka yang akhirnya memperlihatkan amalan demokrasi yang teruk di menara gading.
Katanya, keadaan tersebut diperburukkan pula dengan campurtangan beberapa pemimpin politik yang secara jelas menggunakan platform universiti untuk mengekang pengaruh pelajar pro Islam.
Akhirnya, mahasiswa era pro-kerajaan ketika ini dibuai dengan segala macam hiburan, maksiat dan program yang tidak menatijahkan sahsiah yang baik dan tidak membentuk budaya intelektual.
Abdullah yang juga seorang peguam berkata, selepas Umno berjaya merampas universiti awam di negara ini, pelbagai program hiburan, persembahan artis dan tarian giat dijalankan.
Sementara majlis ilmiah dan keagamaan tidak lagi dijadikan agenda utama membentuk personaliti dan sahsiah mahasiswa, katanya.
Beliau berkata, akibatnya mahasiswa kini dilanda dengan pelbagai masalah sosial termasuk isu dadah, khalwat dan gengsterisme yang memalukan kampus dan negara.
Justeru beliau mencadangkan kepada kerajaan agar mengembalikan semula proses demokrasi yang benar-benar telus di dalam kampus tidak kira kepada mahasiswa mahupun kepada kakitangan akademik.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan budaya ilmu yang subur dengan demokrasi dijalankan dengan baik di setiap kampus. – WN/lanh